Letupan kilang mercun Bright Sparklers
![]() Keadaan kawasan kilang mercun Bright Sparklers selepas kejadian. | |
Tarikh | 7 Mei 1991 |
---|---|
Masa | 3.45 petang (WPM) |
Tempat | Kilang mercun Bright Sparklers |
Lokasi | Sungai Buloh, Selangor, Malaysia |
Koordinat | 3°12′32.6″N 101°33′46.1″E / 3.209056°N 101.562806°E |
Juga dikenali sebagai | Hiroshima Sungai Buloh |
Jenis | Bencana mercun |
Penyebab | Letupan diakibatkan oleh bahan kimia letupan tertumpah semasa percubaan menguji mercun dan bunga api di kantin kilang |
Kematian | 26[1] |
Kecederaan | 103[1][a] |
Harta benda rosak | 200 kediaman penduduk musnah akibat kesan letupan di kilang mercun |
Letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers berlaku pada 7 Mei 1991, jam 3:45 petang di Sungai Buloh, Selangor, apabila kilang mercun itu terbakar dan menghasilkan letupan besar yang boleh didengari sejauh 7 km dari tempat kejadian, mengorbankan 26 orang dan mencederakan 103 yang lain.[2][3] Insiden ini juga telah memusnahkan sebanyak 200 kediaman penduduk di sekitar kilang tersebut serta tingkap-tingkap rumah di kawasan Sungai Buloh sehingga bandar Seri Menjalara dan Selayang pecah. Kejadian ini merupakan sebahagian daripada rentetan bencana dalam dekad 1990-an semasa pentadbiran Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat, termasuk runtuhan lombong tinggal di Pantai Remis, tragedi Highland Towers dan banjir lumpur Pos Dipang 1996. Insiden ini lebih dikenali sebagai "Hiroshima Sungai Buloh" oleh media tempatan.[4][b]
Kesan daripada peristiwa itu, yang mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa, membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dan melengkapkan laporan terhadap kes ini. Kerajaan telah mewujudkan undang-undang, peraturan serta garis panduan untuk pekerja, dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah diluluskan di Parlimen.[5] Kilang-kilang mercun dan bunga api di seluruh Malaysia terpaksa ditutup buat sementara waktu akibat pengharaman mercun.[6]
Latar belakang
[sunting | sunting sumber]Kilang mercun Bright Sparklers Sdn. Bhd. terletak di sebuah kawasan pertanian kira-kira 30 km dari kawasan penduduk di Kampung Baru, Sungai Buloh, Selangor. Bangunan kilang itu, yang ditubuhkan pada 26 November 1973 bagi menjalankan import dan eksport mercun, bunga api serta produk lain, bermula operasinya pada 1 April 1974.[7] Kemudahan tersebut tidak dibina mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Barangan mentah dan bahan keluaran siap disimpan di kilang Bright Sparklers, manakala mercun dan bunga api dipasang dengan tangan dan diuji di kilang. Jenis bunga api dan mercun utama yang dikeluarkan oleh kilang itu ialah bunga api pegangan tangan, lilin Rom, air pancut dan roket.[1] Pada 24 Mei 1977, pengurusan kilang itu menghantar surat kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya untuk memohon lesen menyimpan bahan letupan di kilang tersebut.[8]
Bright Sparklers pernah mendapat liputan dalam majalah Malaysia Trade News isu 2/89 terbitan Pusat Dagangan dan Eksport Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (kini Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI).[9] Kenyataan dalam majalah itu menyimpulkan bahawa syarikat ini terlibat dalam pengeluaran bahan letupan dan bunga api. Majalah itu menjelaskan bahawa Long Tat Heng ialah individu yang memainkan peranan penting dalam memantapkan kemajuan perniagaan bunga api Bright Sparklers. Kilang itu juga menghasilkan sebahagian besar pengeluarannya untuk dieksport ke United Kingdom dan negara-negara Eropah lain.[9]
Kilang Bright Sparklers disahkan beroperasi secara haram tanpa lesen sah sejak 1978, malah ia juga menyalahi undang-undang apabila menggaji pekerja di bawah umur.[10][11] Ia juga pernah membeli 6 tong fosforus kuning dari England pada tahun yang sama tetapi tidak menggunakannya.[12] Syarikat itu pada mulanya menggunakan tapaknya di Sungai Buloh untuk menempatkan gudang sahaja, namun kemudian mengembangkan operasinya sebagai kilang.[13] Sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong merupakan salah satu daripada dua pemegang ekuiti utama Bright Sparklers. Pemegang saham lain termasuk 10 individu Malaysia, syarikat swasta tempatan dan warga Singapura.[14][15]
Syarikat ini dipercayai telah diinsuranskan terhadap kebakaran sebanyak kira-kira RM 1.5 juta, manakala pengurus kilangnya diberikan polisi kemalangan peribadi sebanyak RM 50,000 setahun.[16] Ia dilaporkan bahawa penanggung insurans utama ialah East-West UMI Insurance, ahli Kumpulan Sime Darby.[17] Selain itu, ia didakwa tidak memiliki Sijil Layak Menduduki (CF), yang tidak pernah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Petaling.[18][19] Pemegang saham dan pengarahnya mendakwa bahawa kilang Bright Sparklers telah beroperasi secara sah sejak 1977.[20] Sebelum kejadian pada 1991, pengurusan kilang mercun ini telah memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bahawa sebuah stor sementara dibina pada 1977 untuk kegunaan Bright Sparklers bagi menyimpan bahan letupan.[21] Pada November 1990, iaitu 6 bulan sebelum kejadian, Bright Sparklers menerima kelulusan daripada pegawai Jabatan Kilang dan Jentera yang memeriksa premis tersebut.[22] Kilang mercun itu juga mengeksport barangan bernilai RM 1.57 juta antara 8 Januari dan 30 April 1991 sebelum bencana itu berlaku.[23]
Letupan dan kebakaran
[sunting | sunting sumber]Insiden ini berlaku pada jam 3:45 petang Waktu Piawai Malaysia (WPM), 7 Mei 1991[2][24][25]—iaitu 22 hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri—apabila secara tiba-tiba letupan pertama berlaku dari satu kawasan di dalam kilang Bright Sparklers. Letupan dipercayai berpunca daripada kelalaian seorang ahli kimia Hong Kong yang menjalankan ujian bunga api di luar tempat khas sehingga terkena longgokan simpanan mercun dan bunga api yang terletak berhampiran, seterusnya letupan semakin merebak.[26][25][27] Keadaan semakin sukar dikawal apabila kebakaran berlaku kerana tiada usaha awal untuk memadamkan api dan peralatan pencegahan kebakaran tidak disediakan secukupnya di kilang itu.[28][29][30]
Selepas letupan pertama, letupan kedua menyusul kira-kira 10 minit kemudian.[27] Letupan ketiga, yang paling kuat, berlaku pada jam 4 petang dan dirasai lebih empat kilometer. Lebih 20 letupan kemudian terus berlaku sehingga kepulan asap boleh dilihat dari jarak lapan kilometer. Sebilangan pekerja kilang, yang kebanyakannya baru memulakan sesi tugas petang 45 minit sebelum kejadian, kelihatan menyerbu pintu keluar kilang untuk menyelamatkan diri daripada dibakar rentung atau hancur akibat letupan tersebut.[31][32]
Kekuatan letupan itu menggegarkan kawasan sekeliling, menyebabkan banyak rumah runtuh atau terbakar. Sebahagian penduduk Bandar Baru Sungai Buloh bermalam di balai raya dan dewan orang ramai di kawasan perumahan itu kerana bimbang berlaku letupan lain di kilang mercun Bright Sparklers.[33] Selain itu, beberapa kilang berdekatan, termasuk kilang makanan haiwan, kilang papan dan kilang bahan pewarna makanan, turut terbakar. Berpuluh-puluh kenderaan, termasuk kereta dan motosikal, musnah.[34] Letupan itu turut menggemparkan penduduk sekitar, termasuk anggota tentera di Kem Tentera Sungai Buloh yang terletak kira-kira 300 meter dari kilang, dan memecahkan tingkap rumah di bandar Seri Menjalara dan Selayang, kira-kira tujuh kilometer dari kilang itu.[35][36]
Keadaan menjadi lebih teruk apabila penduduk dan beberapa pihak yang berada berhampiran kilang melarikan diri untuk mengelak terkena serpihan batu, kayu dan besi yang berterbangan akibat letupan itu, serta bahang api. Beberapa pihak yang gagal menyelamatkan diri akhirnya cedera terkena serpihan dan api tersebut.[2] Kemalangan jalan raya turut berlaku apabila pemandu bergegas menyelamatkan diri semasa kebakaran. Seorang wanita cedera di kepala apabila terlanggar sebuah kereta di jalan raya dalam cubaan menyelamatkan diri.
Selepas letupan demi letupan berkurangan, kedengaran raungan kesakitan di mana-mana. Berpuluh-puluh mangsa berlumuran darah, manakala ratusan orang ramai mula memenuhi kawasan kejadian untuk mencari sanak saudara yang dikhuatiri menjadi mangsa tragedi. Wajah cemas dan sugul mengiringi pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan kepada sesiapa sahaja yang dijumpai untuk mengetahui nasib sanak saudara masing-masing yang bekerja di kilang tersebut, kerana mereka bimbang insan tersayang menjadi korban tragedi itu.[2]
Tangisan dan raungan semakin kuat kedengaran apabila melihat keadaan ngeri mangsa yang rentung dan tidak lengkap anggota badan dibawa keluar dari bangunan kilang yang hangus terbakar.[2] Seramai 8 jentera bomba, termasuk dua dari Kem Tentera Sungai Buloh, Wilayah Persekutuan (2), Petaling Jaya (2) dan masing-masing satu dari Damansara Utama dan Shah Alam, tiba seketika kemudian untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa.
Lebih 50 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dalam kepayahan kerana pelbagai masalah timbul. Tekanan air terlalu rendah, pili air jauh, api merebak terlalu cepat, angin kencang serta beberapa letupan menghalang tugas memadam dengan lebih mudah. Apabila pasukan bomba tiba, api sudah merebak ke tiga rumah berhampiran kilang. Pasukan bomba terpaksa menggunakan air yang dibawa sendiri dan, selepas bertungkus-lumus selama dua jam, mereka akhirnya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah lain di kawasan berhampiran.[37]
Sembilan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan lima dari Hospital Sungai Buloh berulang-alik mengangkut mangsa yang parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan.[2] Keprihatinan orang ramai menyebabkan ada mangsa dibawa ke hospital menggunakan lori dan van dalam keadaan berlumuran darah. Walaupun kebakaran sudah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi mencari mangsa dengan mudah kerana bimbang letupan akan berulang kerana masih ada tiga tempat simpanan letupan bawah tanah di kilang itu. Dua daripada stor simpanan itu sudah meletup, meninggalkan kesan seperti kawah sedalam kira-kira enam meter.[38]
Bomba dan pasukan penyelamat lain terus memantau keadaan di tapak kilang sehingga malam. Api menyala semula di beberapa bahagian bangunan itu kira-kira jam 2.30 pagi, dan anggota bomba terpaksa menyembur air untuk memadamkannya. Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi, tiada lagi letupan berlaku.[2] Sehari selepas letupan, gerakan mencari yang dilakukan oleh bomba menemui 21 mayat yang terbunuh dalam tragedi itu. Salah satu mayat, iaitu seorang ahli kimia dari Hong Kong yang bekerja di kilang itu, rentung. Pemeriksaan awal juga mendapati seramai 83 orang cedera dan dirawat di beberapa hospital sekitar Kuala Lumpur. Polis juga menerima aduan mengenai kehilangan enam penduduk tempatan. Selain itu, 37 rumah, kilang serta tujuh motosikal musnah dalam kejadian ngeri itu. Polis bagaimanapun mengalami kesukaran mengesan jumlah sebenar pekerja yang hilang dalam letupan itu kerana majikan tidak mempunyai daftar kehadiran tugas harian, dan ada pekerja kilang berhampiran yang cedera atau belum melaporkan diri.
Pada hari ketiga gerakan mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru kerana hujan lebat selama sejam kira-kira jam 2.30 petang menyebabkan tindak balas kimia di lokasi letupan, menghasilkan gas beracun. Keadaan itu menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan itu untuk mengelak kesan kesihatan daripada gas tersebut serta mencegah sebarang kejadian tidak diingini.[39] Bagaimanapun, penyebaran gas beracun itu semakin buruk, menyebabkan lebih 50 anggota pasukan penyelamat dilaporkan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan kerana terkena gas beracun tersebut.[2] Pada hari keenam kejadian, beberapa penduduk sekitar kilang mercun Bright Sparklers mengadu menghidu bau busuk ketika kerja pembersihan kilang dijalankan.[40]
Operasi kemudian diteruskan dengan penyelamat memakai topeng gas dan pakaian khas. Pasukan penyelamat juga menggunakan dua jentolak untuk membersihkan tapak kilang. Pada 16 Mei, pihak berkuasa melancarkan 'Operasi Api Buluh' untuk membersih dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang tersebut.[27] Dalam operasi itu, petugas menjumpai beberapa lagi mayat dalam keadaan mengerikan, iaitu hangus terbakar sehingga menjadi rangka dan tengkorak di kawasan letupan, dan jumlah mangsa terkorban dalam tragedi itu meningkat kepada 26 orang.[41] Walaupun sudah beberapa hari berlalu, gas toksik masih tidak hilang, malah semakin merebak kepada penduduk berhampiran. Tujuh anggota penyelamat turut pengsan selepas tersedut gas tersebut.[42] Keadaan semakin bahaya apabila, walaupun memasuki hari ke-11, masih terdapat bara api yang muncul di tapak letupan, tetapi ia berjaya dikawal oleh pihak berkuasa yang segera memadamkannya.[2]
Kesan tragedi
[sunting | sunting sumber]Seramai 26 orang terbunuh dan 103 orang cedera dalam kejadian ini,[25][43] manakala sebahagian jasad rentung sehingga menjadi abu dan tidak dapat dikenal pasti.[27][44] Sebanyak 46 rumah musnah dan 149 lagi rosak akibat kesan letupan di kilang bunga api Bright Sparklers. Daripada rumah yang musnah, 28 diduduki oleh pemiliknya dan 18 lagi oleh penyewa. Kira-kira 260 orang kehilangan tempat tinggal apabila rumah mereka musnah. Daripada jumlah rumah yang rosak, 120 rumah didiami oleh pemilik dan keluarga mereka. Sebanyak 29 rumah yang disewakan turut mengalami pelbagai kerosakan.[45] Berikutan insiden itu, dua anak syarikat milik Bright Sparklers yang beroperasi di Rawang dan Hulu Langat diarahkan ditutup.[46][47]
Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Tabung Bantuan Kebakaran Sungai Buloh dengan peruntukan awal sebanyak RM10,000 untuk membantu keluarga mangsa yang terbabit dalam kebakaran kilang mercun Bright Sparklers.[48] Sehingga 1 Jun 1991, tabung ini telah mengumpul derma berjumlah RM833,538.45.[49] Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) menubuhkan pusat pemindahan di Bukit Komuniti Sungai Buloh untuk membantu mangsa dan penduduk kampung yang terjejas akibat letupan di kilang bunga api.[50] Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima senarai nama kira-kira 150 orang yang bekerja di kilang bunga api Bright Sparklers. Menurut Pengarah Cawangan PERKESO Petaling Jaya, Jothi Kandan, syarikat itu menyerahkan butiran semua pekerjanya ke pejabatnya di Kuala Lumpur, melibatkan kira-kira 150 nama, termasuk pekerja sementara, tetapi senarai itu tidak menyatakan siapa yang cedera atau terbunuh.[51] PERKESO juga mengumumkan bahawa ia akan membayar pampasan dan faedah pergantungan kepada keluarga mangsa tragedi Bright Sparklers, walaupun nama mereka tidak didaftarkan dengan pertubuhan itu.[52]
Pada Oktober 1991, kejadian letupan dan kebakaran kilang mercun Bright Sparklers yang dirakam melalui video dan foto oleh Jabatan Bomba ditayangkan kepada umum buat pertama kali sempena Minggu Kempen Memadam Kebakaran.[53][54] Berikutan insiden ini, kilang-kilang bunga api di seluruh Malaysia terpaksa ditutup akibat pengharaman bunga api. Unit HAZMAT diwujudkan pada 29 Oktober 1992. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 telah diluluskan di Parlimen.
Siasatan dan maklum balas kerajaan
[sunting | sunting sumber]Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden ini.[55][56] Penemuan daripada laporan siasatan RCI menunjukkan bahawa pengurusan syarikat melanggar peraturan berkanun dan negara melalui pemasangan kilang bunga api di tanah pertanian, mengendalikan kilang tanpa lesen pengilangan, mengimport bahan mentah tanpa kebenaran atau lesen sah, menyimpan bahan letupan tanpa lesen, dan mengeksport produk bunga api tanpa lesen.[1] Siasatan juga mendapati kebakaran di kilang mercun itu disahkan berpunca daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang siap untuk dipasarkan.[57] Pada masa yang sama, Kementerian Sumber Manusia menyiasat laporan bahawa kilang mercun Bright Sparklers yang musnah akibat letupan itu mengambil pekerja di bawah umur.[58]
Pada 11 Mei 1991, sekumpulan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) memulakan ujian ketoksikan ke atas asap di kawasan sekitar kilang Bright Sparklers.[59][60] Hasil ujian yang dijalankan oleh JAS menunjukkan asap kimia yang dikeluarkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.[61] Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengetahui tentang pembuatan barangan berbahaya seperti bahan letupan hanya jika permohonan dibuat melalui pihak berkuasa tempatan. Ini kerana wakil daripada Jabatan Polis menduduki lembaga pengarah pihak berkuasa tempatan. Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Megat Junid Megat Ayob, ketika ditanya sama ada permohonan dibuat untuk pembuatan bunga api oleh Bright Sparklers, beliau berkata tidak pasti tentang perkara ini, namun berpendapat: "Lebih baik jika ia diserahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk melakukan siasatan terperinci mengenai kejadian itu supaya akan ada gambaran yang lebih jelas."[62]
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk 'bergerak perlahan' dalam operasi mencari di kilang bunga api Bright Sparklers berikutan amaran kesihatan mengenai pendedahan kepada bahan kimia toksik.[63] PDRM juga meneruskan siasatan mengenai bilangan pekerja yang terperangkap dalam insiden Bright Sparklers. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Mohd Zaman Khan, berkata terdapat percanggahan keterangan mengenai jumlah sebenar pekerja di dalam bangunan itu semasa kejadian. Menurutnya, seorang pekerja memberitahu polis terdapat kira-kira 160 orang berada di kilang itu.[64] Beliau juga menambah bahawa pemilik kilang mercun dan bunga api Bright Sparklers mungkin akan menghadapi tindakan undang-undang kerana menyimpan bahan letupan.[65]
Menteri Kehakiman, Syed Hamid Albar, memberi jaminan bahawa Kerajaan akan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap kebakaran kilang Bright Sparklers ke muka pengadilan. Beliau berkata rakyat tidak perlu risau tentang penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kebakaran itu kerana Kerajaan ikhlas menjaga kepentingan mereka. Menurut Syed Hamid, parti pembangkang juga tidak seharusnya mengambil peluang ini untuk meningkatkan pengaruh mereka.[66]
Susulan insiden Bright Sparklers, pada 13 Mei 1991, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (PPPKWP) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik tindakan mahkamah ke atas peniaga bunga api dan mercun.[67] Seramai 12 peguam telah memfailkan saman bagi pihak mangsa tragedi Bright Sparklers, Kerajaan serta jabatan dan pihak berkuasa lain yang bertanggungjawab dalam tragedi itu. Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Husin Ali, dalam satu kenyataannya berkata kes terpilih pertama akan difailkan dalam tempoh 15 hari, manakala saman lain akan menyusul. Beliau berkata peguam dari seluruh negara, yang menggelarkan diri mereka sebagai "Peguam untuk Kepentingan Awam" (API), telah menawarkan diri untuk mewakili mangsa secara sah.[68]
Pada tahun 2006, kes mangsa terkorban dalam letupan kilang mercun Bright Sparklers ditutup selepas 15 tahun. Seramai 118 orang telah tampil untuk memfailkan saman terhadap kerajaan kerana kehilangan ahli keluarga tersayang. Kesemua keluarga mangsa yang terlibat juga menjumlahkan kerugian ke atas hartanah sebanyak RM30,000 kepada pemilik kilang Bright Sparklers Sdn. Bhd., Chin Kong Hin. Bayaran global oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Selangor, Majlis Daerah Petaling dan Kerajaan Malaysia – defendan kedua, ketiga dan keempat, masing-masing – dibuat tanpa mengaku liabiliti dan sebagai bayaran penuh dan muktamad untuk ganti rugi am dan khas serta kepentingan.[69][70] Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, menggesa kajian semula semua bentuk industri berbahaya, termasuk yang menggunakan bahan toksik dan bahan kimia berbahaya susulan kejadian letupan kilang mercun Bright Sparklers.[71]
Pampasan
[sunting | sunting sumber]Pada 1 Ogos 1991, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan RM 1.12 juta daripada RM 1.319 juta dalam Tabung Bantuan Kebakaran Sungai Buloh untuk membantu dan memberi pampasan kepada keluarga yang terjejas dan mangsa letupan kilang bunga api Bright Sparklers.[72] Pada 22 Oktober, PERKESO menerima 84 tuntutan pampasan daripada mangsa dan keluarga mangsa yang maut dalam kebakaran kilang mercun Bright Sparklers. Sebanyak 72 tuntutan yang dikemukakan adalah untuk pampasan hilang upaya sementara, di mana 59 daripadanya menerima faedah hilang upaya sementara.[73]
Dalam budaya masyhur
[sunting | sunting sumber]Stesen TV swasta, TV3, menerusi rancangan Detik Tragik terbitannya, telah menyiarkan episod mengenai tragedi ini pada 30 Mei 2012, dengan tajuk episod "Hiroshima Sungai Buloh". Episod ini menampilkan temubual bersama mangsa yang terselamat daripada tragedi itu serta pegawai bomba yang terlibat dalam insiden ini.[74]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Bencana bunga api Enschede – insiden serupa yang berlaku pada 2000 di Enschede, Belanda
- Tragedi bunga api Tangerang – insiden serupa yang berlaku pada 2017 di Tangerang, Indonesia
- Bencana bunga api Sungai Kolok – insiden serupa yang berlaku pada 2023 di Sungai Kolok, Thailand
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Terdapat sumber berbeza yang menyatakan 83 mangsa cedera dalam kejadian itu.
- ^ Menurut laporan media tempatan, letupan itu diibaratkan seperti peristiwa bom atom yang dijatuhkan oleh pesawat Amerika ke wilayah Jepun pada Perang Dunia Kedua.[4]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c d Ibrahim dll. 2002, m/s. 214–221.
- ^ a b c d e f g h i "Tragedi letupan Sungai Buloh yang membawa kepada pengharaman mercun dan bunga api". UtusanTV. 18 Januari 2021. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "KEBAKARAN KILANG MERCUN DI SUNGAI BULOH". Berita Harian Singapura. 10 Mei 1991. m/s. 14. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
- ^ a b Rozianah Risman (31 Julai 2012). "Tragedi 'Hiroshima'". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Mei 2018. Dicapai pada 7 Mei 2016.
- ^ S. Jayakrishman; Alex Chung (17 April 1993). "Firm Blamed for Explosion" [Firma dipersalahkan kerana letupan] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 10 Disember 2010 – melalui Google Books.
- ^ Borhan Abu Samah (18 September 2020). "Selepas 29 tahun tragedi Bright Sparklers, kes ditutup". Suara Merdeka. Dicapai pada 12 Ogos 2021.
- ^ Pereira Tan; Adrian David (7 Mei 2001). "Painful memories of Bright Sparklers" [Kenangan menyayat hati di Bright Sparklers]. New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 10 Disember 2010.
- ^ "Pernah mohon lesen letupan". Harian Metro. 23 Julai 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ a b Aliran 1991, m/s. 2.
- ^ "Kilang mercun haram". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ K Bala; Sabry Shariff; Badrolhisham Bidin; Faridah Hamid; Indira Nayar; Eddie Chua; Jasni Rahim; Surinder Jessy; Lionel Morais; Jaffry Azman; Haris Hussain; V Vasudevan; Esther Tan; Mimi Syed Yusof; Anne Teoh; Yushaimi Yahya; P Selvarani; S Jayak rishnan; Ahmad Sufian; Saiful Mahadhir; Ti Lian Siew (8 Mei 1991). "13-year-old factory was illegal" [Kilang berusia 13 tahun disahkan haram] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 13 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "Simpan bawah tanah". Harian Metro. 16 Julai 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ "Site should only have been a warehouse" [Tapak sepatutnya hanya sebuah gudang] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "HK company owns part of Bright Sparklers" [Syarikat HK memiliki sebahagian daripada Bright Sparklers] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Hong Kong company, 10 locals among owners" [Syarikat Hong Kong, 10 syarikat tempatan antara pemilik] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Factory had $1.5m cover against fire" [Kilang mempunyai perlindungan $1.5 juta terhadap kebakaran] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 11 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ Mustapha Kamil (10 Mei 1991). "'Razed factory insured $1.5m'" ['Kilang terbakar diinsuranskan RM1.5j'] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Factory never had a fitness certificate" [Kilang tidak mempunyai sijil layak menduduki] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ Rodhiah Ismail (10 Mei 1991). "No CF was ever issued to Bright Sparklers" [Tiada CF dikeluarkan untuk Bright Sparklers] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ Junaidah Yean Abdullah; K Vijiyan (12 Mei 1991). "Firm: Factory is legal" [Firma: Kilang beroperasi secara sah] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ "No records in Fire Dept" [Tiada rekod dalam Jabatan Bomba] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ "Go-ahead given to firm in November" [Teruskan diberikan kepada firma pada November] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 13 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ "Eksport lebih $1j". Harian Metro. 16 Julai 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ Termizi Che Anuar (20 Januari 2015). "Letupan kilang mercun di Sungai Buloh". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 Disember 2017. Dicapai pada 5 Mei 2016.
- ^ a b c Abdul Nashar 2022, m/s. 40–41.
- ^ "Eyewitness: Official may have caused explosions" [Kakitangan mungkin penyebab letupan] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ a b c d Nadia Ghafar (20 Januari 2020). ""Bagai tanah Hiroshima dibom" – Tragedi Letupan Kilang Mercun Sungai Buluh Musnahkan Lebih 200 Kediaman Pada Tahun 1991". Lobak Merah. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ "Ujian mercun mungkin puncanya". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Lima bahan letupan ditemui". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Experiment that went awry" [Eksperimen membawa padah]. New Straits Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "100 masih hilang". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Tragedy under cloud of smoke" [Tragedi di bawah kepulan asap] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 11 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ "Penghuni risau letupan mercun". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Kenderaan awam turut musnah". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Ledakan 200 tan belerang". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Hingga ke Selayang". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Bomba hadapi masalah pili jauh". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ K Bala; Sabry Shariff; Badrolhisham Bidin; Faridah Hamid; Indira Nayar; Eddie Chua; Jasni Rahim; Surinder Jessy; Lionel Morais; Jaffry Azman; Haris Hussain; V Vasudevan; Esther Tan; Mimi Syed Yusof; Anne Teoh; Yushaimi Yahya; P Selvarani; S Jayak rishnan; Ahmad Sufian; Saiful Mahadhir; Ti Lian Siew (8 Mei 1991). "Alive or dead? Many keep vigil at hospital" [Hidup atau mati? Ramai yang berjaga di hospital] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 13 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ Razali Zakaria (11 Mei 1991). "Penduduk Sg Buloh resah". Harian Metro. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ "Penduduk terhidu bau busuk". Harian Metro. 11 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ "Death toll has reached 26" [Jumlah kematian mencapai 26] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 18 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "Tujuh polis pengsan di Sungai Buloh". Berita Minggu. 19 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "Lebih 100 dikhuatiri mati". Berita Harian Singapura. 8 Mei 1991. m/s. 1. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
- ^ Attiqah Mohd (21 Januari 2020). "'Umpama Tanah Hiroshima Yang Dibom' - Tragedi Hitam 1991 Sungai Buloh Buat Netizen Sayu". XTRA. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ "46 houses destroyed in blasts" [46 rumah musnah dalam letupan] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ "Dua anak syarikat Bright Sparklers diarah tutup". Berita Harian Singapura. 10 Mei 1991. m/s. 1. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
- ^ "Sejarah hitam sukar dilupakan". Berita Harian Singapura. 12 Mei 1991. m/s. 12. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
- ^ "Tubuh dana mangsa api". Harian Metro. 8 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Tabung Bencana Sungai Buloh kumpul $833,538.45". Harian Metro. 1 Jun 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "MRCS sets up relief centre" [PBSM tubuhkan pusat pemindahan] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Socso obtains employees list" [Perkeso peroleh senarai kakitangan] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 10 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Socso to pay compensation to affected families" [Perkeso akan membayar pampasan kepada keluarga terjejas] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ "Tayangan video tragedi kilang mercun". Harian Metro. 17 Oktober 1991. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
- ^ "Display of Sungai Buloh fire pictures" [Tayangan gambar kebakaran Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 17 Oktober 1991. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
- ^ "Royal Commision of Inquiry to be set up" [Suruhanjaya Siasatan Diraja akan dibentuk] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 13 Ogos 2021.
- ^ "Suruhanjaya diraja siasat tragedi". Berita Harian Singapura. 9 Mei 1991. m/s. 1. Dicapai pada 18 Ogos 2021.
- ^ "Findings of the Royal Commission of Inquiry into the Bright Sparklers tragedy at a glance" [Sekilas pandang Penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai tragedi Bright Sparklers] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. 17 April 1993. Dicapai pada 15 Ogos 2021.
- ^ Ahmad Al-Husna; Wan Sabariah Shikh Ali; Rasid Rahaman; Habhajan Singh; Razali Zakaria, A Hanim Malek; Yaacob A Rahim; Khalid Yasin; Solihan Badri; Amirullah Andi Nur (9 Mei 1991). "Pegawai Perkeso temui mangsa, waris". Harian Metro. Dicapai pada 13 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ Badrolshisham Bidin; S Jayakrishnan; Lee Boon Siew; Haris Hussain; P Selvarani; Radziah Abdul Rahim; Fadilah Jantan; Yushaimi Yahaya (11 Mei 1991). "Toxicity tests at scene of blast" [Ujian ketoksikan di tempat kejadian letupan] (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 14 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "DOE conducts toxicity tests at factory surroundings" [JAS jalankan siasatan ketoksikan di sekitar kilang] (dalam bahasa Inggeris). Sunday Mail. 12 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ "Law: Tests show air in Sungai Buloh safe" [Law: Ujian menunjukkan udara di Sungai Buloh selamat] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 15 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "Home Ministry awareness" [Kesedaran Kementerian Dalam Negeri] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 11 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ Ahmad Suffian; Jahabar Sadiq; Gerald Chuah; Juhaidi Yean Abdullah; S Jayakrishnan (12 Mei 1991). "Police to go slow in search ops" [Polis bergerak perlahan dalam operasi pencarian] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 14 Ogos 2021.CS1 maint: multiple names: authors list (link)
- ^ "Checking number of workers" [Memeriksa jumlah pekerja] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 9 Mei 1991. Dicapai pada 14 Ogos 2021.
- ^ "Tindakan kepada pemilik kilang mercun" (dalam bahasa Inggeris). Harian Metro. 17 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "Assurance on inquiry" [Jaminan dalam siasatan] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 18 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ Rasid Rahaman (14 Mei 1991). "Rayu tarik balik saman" (dalam bahasa Inggeris). Harian Metro. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "Sungai Buloh fire suits" [Saman kes kebakaran Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 30 Mei 1991. Dicapai pada 16 Ogos 2021.
- ^ "Case closes after 15 years" [Kes ditutup selepas 15 tahun] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 6 Ogos 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Januari 2017. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ "Kes Ditutup Selepas 15 Tahun, Ini Tragedi Bright Sparklers 1991 Serupa Hiroshima Yang Hampir Dilupai". Oh Bulan!. 18 September 2020. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ Ahirudin Attan (17 Mei 1991). "PM calls for review of all hazardous industries" [PM menggesa kajian semula semua industri berbahaya] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 20 Ogos 2021.
- ^ "$1.12m of Sg. Buloh tragedy fund spent" [$1.12j dibelanjakan untuk dana tragedi Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 1 Ogos 1991. Dicapai pada 17 Ogos 2021.
- ^ "Socso: 84 claims from Sungai Buloh tragedy" [Perkeso: 84 tuntutan dari tragedi Sungai Buloh] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 22 Oktober 1991. Dicapai pada 19 Ogos 2021.
- ^ "Detik Tragik' - Paparan Eksklusif Tragedi & Bencana Di Malaysia". Tonton Extra. 12 Mei 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-06-02. Dicapai pada 2016-05-05.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Ibrahim M. Shaluf; A. Fakhru'l-Razi; Sa'ari Mustapha; Aini Mat Said (1 Ogos 2002). "Bright Sparklers fire and explosions: The lessons learned" [Letupan dan kebakaran Bright Sparklers: Pengajaran yang dipelajari] (dalam bahasa Inggeris). 11 (3). Emerald Publishing. doi:10.1108/09653560210435812. ISSN 0965-3562. Cite journal requires
|journal=
(bantuan) - "A 'concern' which kills" ['Kebimbangan' yang membunuh] (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Aliran Monthly. 1991. ISSN 0127-5127.
- Abdul Nashar (Jun 2022). "Letupan Hiroshima Sungai Buloh". Dalam Fahd Razy (penyunting). Disaster! 19 Pengalaman Getir Menghadapi Tragedi dan Bencana (ed. Cetakan pertama). Cheras, Selangor: Penerbitan Kata-Pilar. ISBN 978-967-2796-04-6.
Bacaan lanjut
[sunting | sunting sumber]- Husna (25 September 2020). "Tragedi Letupan Kilang Mercun Tahun 1991, Tragedi Penuh Duka Rentap Hati Penduduk Sg Buloh". LIBUR.
- A. Zahid Amran (27 April 2022). "Kejadian letupan di Sungai Buloh dulu umpama tanah Hiroshima yang dibom". Soscili.my.
- Jonathan Soo (9 November 2018). "The terrifying 1991 incident that turned Sungai Buloh into 'Hiroshima'" [Insiden ngeri 1991 yang menjadikan Sungai Buloh sebagai 'Hiroshima'] (dalam bahasa Inggeris). Cilisos.my.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]- SYOK Dedah Letupan Kilang Mercun Bright Sparklers. SYOK. 27 November 2020. Dicapai pada 22 Ogos 2021 – melalui YouTube.
- Hiroshima Sungai Buloh, kejadian letupan Kilang Mercun Bright Sparklers 1991. Media Mulia. 22 April 2021. Dicapai pada 22 Ogos 2021 – melalui YouTube.