Springerspaniel Wales

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Springerspaniel Wales
Nama ringkasWelshie
Negara asalWales
Trait
Tinggi Jantan 46–48 cm (18–19 in)
Betina 43–46 cm (17–18 in)
Bulu Rata melurus secara semula jadi dan lembut kepada sentuhan, tidak pernah mirip dawai atau beralun
Warna Merah pekat dan putih sahaja. Mana-mana corak boleh diterima dan mana-mana kawasan putih mungkin berbintik dengan merah.
Anjing (Canis lupus familiaris)

Springerspaniel Wales atau springer spaniel Wales[a] ialah satu baka anjing dan anggota keluarga spaniel. Sebagai anjing yang dianggap sebanding dengan spaniel darat lama, ia serupa dengan springerspaniel Inggeris dan dahulu pernah dirujuk sebagai spaniel Wales dan kokerspaniel Wales. Ia agak kurang terkenal sehingga kejayaan berturut-turut dalam ujian anjing oleh baka ini meningkatkan kepopularannya. Ikutan pengiktirafan oleh The Kennel Club pada tahun 1902, baka ini memperoleh nama moden springerspaniel Wales. Lapis bulu baka ini hanya terdapat dalam satu gabungan warna tunggal putih dengan tanda-tanda merah, biasanya dalam corak piebald. Dengan kesetiaan dan sikap penyayang, ia dapat menjadi sangat terikat dengan anggota keluarga dan curiga terhadap orang asing. Keadaan kesihatan terbatas kepada keadaan yang umum dalam kalangan banyak baka anjing, tetapi ia terjejas lebih daripada purata akibat displasia pinggul dan sesetengah keadaan mata. Ia merupakan anjing pekerja, yang dibiakbakakan untuk perburuan, dan sementara tidak sejarang sesetengah keragaman spaniel, ia lebih jarang daripada springerspaniel Inggeris yang lebih dikenali secara meluas yang dengannya springerspaniel Wales kadang-kadang dikelirukan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

"Sebuah lukisan hitam putih tentang dua ekor anjing. Anjing-anjing ini sama saiz, tetapi salah seekor berwarna merah dan gelap, sementara yang lagi seekor kelihatan berwarna gelap padu.
Imej kokerspaniel Inggeris dan kokerspaniel Wales, diterbitkan pada 1859

Asal usul springerspaniel Wales tidak diketahui, tetapi anjing yang menyerupai baka ini dengan lapis bulu merah dan putih distingtifnya kerap digambarkan dalam gambar dan cetakan lama.[1] Jenis anjing ini dikenali sebagai spaniel darat dan dianggap serupa dengan Welsh Springer moden.[2] John Caius, yang menulis pada tahun 1570, berkata "Spaniel yang kulitnya berwarna putih dan jika bertanda dengan mana-mana tompok biasanya berwarna merah".[3] Ada anggapan bahawa spaniel ini mungkin telah tiba di lembah-lembah Wales. Di sana, ahli sukan dan pemburu tempatan berjaya memuliharanya dalam keadaan tulen.[3]

Pada satu masa, ia dipanggil Welsh Starter dan digunakan untuk men-spring buruan, pada asalnya untuk pemburu yang menggunakan falkon.[4] Warna merah dan putih tradisional bagi Welsh Springer pernah juga terdapat pada anjing Inggeris, tetapi, menjelang awal abad ke-20, mana-mana anjing sedemikian dianggap telah "pupus lama dahulu".[5]

Springerspaniel Wales juga pada satu masa dipanggil Welsh Spaniel ("spaniel Wales") dan juga pada satu ketika disertakan ke dalam buku pembaka The Kennel Club (United Kingdom) sebagai Cocker Spaniel ("kokerspaniel")[3] dan dikenali sebagai Welsh Cocker. Semasa abad ke-19, terdapat beberapa keragaman kokerspaniel berlainan, termasuk kokerspaniel Inggeris, kokerspaniel Wales, dan kokerspaniel Devonshire kerana istilah ini digunakan untuk memerihalkan saiz anjing dan bukan pula baka.[6] Yang luar biasanya, dalam buku tahun 1865 karya John George Wood The Illustrated Natural History, ada imej yang digambarkan menunjukkan seekor kokerspaniel Wales sebagai spaniel gelap berwarna padu.[7] Inskripsi sama digunakan dalam karya tahun 1867 The Dog in Health and Disease oleh Stonehenge dan beliau selanjutnya menerangkan Welsh Cocker dan Devonshire Cocker sebagai anjing yang "kedua-duanya mempunyai warna hati pekat".[8] Welsh Springer agak tidak terkenal semasa abad ke-19, tetapi ini berubah pada tahun 1900 apabila En. A. T. Williams dari Ynis-y-Gerwn memenangi pegangan pasukan dalam Ujian Sporting Spaniel Club. Ujian diadakan di estet Encik Williams sendiri, dan ada anggapan bahawa semasa pasukan beliau mengalahkan lapan buah pasukan cukup terkenal ini adalah kerana kelebihan keberadaan di padang sendiri. Ini disangkal apabila anjing daripada kenel sama terus menang pada beberapa tahun-tahun berturut-turut di sekeliling United Kingdom.[3] Anjing juara pertunjukan pengakuran milik beliau, Corrin, ialah springerspaniel Wales pertama yang difotografkan.[9]

Sekeping fotograg hitam putih tentang seekor anjing dalam dua gaya gambar dari sisi, berdiri dan duduk
Ch. Corrin, seekor anjing pertunjukan yang dimiliki oleh Mr A.T. Williams, difotografkan dalam dua gaya gambar pada 1903

Welsh Springer diiktiraf oleh The Kennel Club, selepas baka itu memperoleh kepopularan, pada tahun 1902 atas nama baharu Welsh Springer Spaniel ("springerspaniel Wales").[4][6] Sehingga itu, baka ini ditunjukkan bersama-sama dengan springerspaniel Inggeris. Springerspaniel Wales diangkut ke Amerika pada lewat abad ke-19 dan mendapat pengiktirafan oleh American Kennel Club pada tahun 1906.[10]

Perang Dunia Pertama menyebabkan masalah untuk baka ini di United Kingdom, dan apabila peperangan berakhir, tiada anjing yang induknya mempunyai pedigri berdaftar. Baka ini dimulakan semula dengan baki anjing tidak berdaftar, dan anjing inilah yang membentuk baka zaman moden. Pembiak baka pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an mengembangkan anjing ini menjadi jenis springerspaniel Wales yang kekal sehingga kini.[11] Welsh Springer Spaniel Club (United Kingdom) dibentuk pada tahun 1923. Pendaftaran perlahan-lahan meningkat antara peperangan tetapi semua rekod yang dipegang oleh kelab baka telah dimusnahkan dalam serangan udara semasa Perang Dunia Kedua.[9] Ikutan kedua-dua Perang Dunia, ada anggapan bahawa tiada springerspaniel Wales yang tersisa di Amerika Syarikat.[10] Baka ini diperkenalkan semula dan keturunan anjing itu membentuk baka ini kini di Amerika Syarikat dan di Kanada.[12] Baka ini diimport secara rasmi ke Australia pada tahun 1973.[4]

Pada tahun 2000, The Kennel Club mendaftarkan 424 ekor springerspaniel Wales, berbanding dengan 12,599 ekor springerspaniel Inggeris dan 13,445 ekor kokerspaniel Inggeris.[13][14] Bilangan kekal mantap, dengan 420 ekor springerspaniel Wales yang didaftarkan pada tahun 2004, namun bilangan springerspaniel Inggeris meningkat kepada 14,765 dan bilangan kokerspaniel Inggeris meningkat kepada 16,608. Bilangan kekal lebih dekat dengan kokerspaniel Amerika yang mendaftarkan 610 pada tahun 2000 dan 599 pada tahun 2004. Baka ini kekal lebih popular daripada sesetengah baka spaniel lain, termasuk spaniel Clumber, spaniel padang, spaniel Sussex, dan spaniel air Ireland.[14] Jumlah pendaftaran di United Kingdom semasa tahun 2016 jatuh kepada 299 yang melayakkannya untuk disertakan dalam senarai Baka Asli Rentan oleh The Kennel Club.[15]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Dua ekor anjing yang duduk berdampingan. Kedua-duanya putih hampir menyeluruh dan kelihatan serupa, tetapi yang di sebelah kanan mempunyai tompok-tompok lebih gelap dan bersaiz lebih besar, sementara yang di sebelah kiri mempunyai tompok kemerah-merahan dan bersaiz lebih kecil sedikit.
Seekor springerspaniel Wales di sebelah kiri dan seekor springerspaniel Inggeris di sebelah kanan
Seekor spaniel merah dan putih sedang bergerak ke arah kamera.
Springerspaniel Wales bersikap penyayang dan ingin tahu

Springerspaniel Wales ialah anjing padat dan terbina dengan kukuh yang dibiakbakakan untuk kerja keras dan daya ketahanan. Tubuhnya dapat memberikan kesan panjang kerana sukuan hadapan serongnya dan sukuan belakang terbentuknya.[16] Binaan springerspaniel Wales patut sedikit terkeluar daripada segi empat sama, yang bermakna bahawa panjang anjing itu patut lebih besar sedikit daripada ketinggian pada paras kelasa. Walau bagaimanapun, sesetengah anjing mungkin berbentuk segi empat sama, dan ini tidak dikenakan penalti dalam gelanggang pertunjukan selagi ketinggiannya tidak lebih besar daripada panjangnya. Secara tradisional, baka ini dikenakan pemotongan ekor, bergantung pada perundangan di negara asal,[4] dan jika diizinkan, kuku embun dapat ditanggalkan.[17]

Dalam penunjukan pengakuran, matanya patut berwarna perang;[18] mata kuning kadang-kadang wujud tetapi dikenakan penalti dalam gelanggang pertunjukan.[16] Telinganya adalah kecil, tergantung, berbentuk vain, dan dengan jumbai sedikit mirip seter.[4] Lubang hidung cukup terbentuk dan berwarna hitam atau mempunyai sebarang cahaya warna perang; hidung merah jambu dikenakan penalti dalam piawaian AKC untuk gelanggang pertunjukan,[16] di Britain, warnanya tidak dinyatakan dalam piawaian baka The Kennel Club.[18] Dalam penunjukan, gigitan gunting lebih diutamakan dengan rahang undershot yang dikenakan penalti berat.[16] Tidak seperti springerspaniel Inggeris dan kokerspaniel Inggeris, tiada pencapahan kepada gaya pertunjukan dan gaya padang bagi baka ini.[19]

Anjing jantan adalah setinggi 46–48 sentimeter (18–19 in) pada paras kelasa dengan betina yang sedikit lebih kecil setinggi 43–46 sentimeter (17–18 in). Pada purata, anggota baka ini berukuran seberat 16–20 kg (35–45 lb).[20] Bahagian belakang tungkainya, dadanya, dan sisi bawah tubuhnya berjumbai dan telinganya dan ekornya berjumbai sedikit. Satu-satunya warna ialah merah-dan-putih pekat.[21] Sebarang corak dapat diterima dan mana-mana kawasan putih mungkin berbintik merah.[16]

Springerspaniel kerap dikelirukan dengan springerspaniel Inggeris, tetapi terdapat perbezaan ketara.[22] Springerspaniel Wales adalah lebih kecil sedikit dan tanda-tanda kemerah-merahannya pada latar belakang putih berbanding dengan tanda-tanda berwarna hitam atau hati pada springerspaniel Inggeris.[20] Kedua-dua baka dikagumi kerana kebolehan perburuan dan trait penanda "springing" terhadap buruan. Ini dapat terlihat semasa permainan juga, kerana anjing mungkin "men-spring" terhadap mainannya.[23] Sesetengah pakar percaya bahawa springerspaniel Wales dan brittany mengongsi keleluhuran sama kerana terdapat banyak keserupaan antara kedua-dua baka.[24] Warna-warna springerspaniel Wales, walaupun eksklusif daripada springerspaniel Inggeris, muncul pada brittany dan brittany dan springerspaniel Wales kedua-duanya bersaiz serupa.[25][26] Springerspaniel Wales adalah lebih besar daripada kokerspaniel Inggeris.[4]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Springerspaniel Wales adalah aktif, setia, dan penyayang. Ia mungkin bertemu dengan orang asing dan menyalak ketika mereka berada di dalam wilayahnya, atau bertindak menyendiri, berhati-hati, atau berwaspada.[27] Baka ini cukup terkenal kerana ramah dan demonstratif kepada semua anggota keluarga, terutamanya kanak-kanak, dan menerima haiwan peliharaan lain di dalam rumah dengan sikap ramah dan suka bermain.[12]

Baka ini cepat belajar tetapi dapat menjadi keras kepala,[28] namun dengan latihan betul dapat menjadi sangat patuh. Springerspaniel Wales dibiakbakakan untuk kerja dan daya ketahanan, dan seperti banyak baka anjing pemburu memerlukan rutin senaman tetap untuk mengekalkan kesihatan dan kepuasan. Tanpa senaman cukup, springerspaniel Wales mungkin kelihatan hiperaktif.[20] Sesetengah springerspaniel Wales dapat menjadi kuat berpaut pada pemiliknya dan menderitai kebimbangan perpisahan apabila bersendirian.[27]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Seekor merah dan putih yang memakai abah-abah merah marak. Ia berdiri dari sisi, menghadap ke kanan
Springerspaniel Wales yang memakai abah-abah anjing
Tangkapan gambar hitam putih bagi seekor anjing putih dan berwarna gelap, menghadap ke kanan
Sekeping fotograf seekor springerspaniel Wales dari tahun 1915

Springerspaniel Wales pada umumnya ialah baka sihat, tetapi sesetengah anjing dapat menghidap keadaan yang lazim pada banyak baka seperti displasia pinggul, glaukoma anjing, dan seperti anjing lain dengan telinga berayun,[29] ia terdedah kepada jangkitan telinga seperti otitis luaran.[30] Sesetengah springerspaniel Wales cenderung untuk menjadi terlebih berat.[31] Dalam tinjauan ke atas lebih daripada seratus baka anjing yang dijalankan pada tahun 1997, springerspaniel Wales ditempatkan di kedudukan ke-14 untuk skor pinggul terburuk, dengan purata skor bagi baka ini yang merupakan 18.45.[32] Purata jangka hayat ialah 12 hingga 15 tahun.[20]

Gangguan mata[sunting | sunting sumber]

Springerspaniel Wales dapat menjadi terdedah kepada entropion, iaitu gangguan yang menjejaskan kelopak mata. Keadaan ini menyebabkan kelopak mata melingkar ke arah dalam, lalu menekan bulu mata pada permukaan mata itu sendiri dan menyebabkan bulu mata itu menggaru biji mata.[28] Ini dapat menyebabkan kerengsaan dan kerosakan pada kornea. Dalam kebanyakan kes, ini hanya menjejaskan kelopak mata bawah pada salah sebiji atau kedua-dua mata, tetapi dalam sesetengah kes kelopak mata atas dapat menjadi terjejas juga. Gejala dapat termasuk penghasilan air mata, kejulingan, penggosokan mata, lelehan tebal daripada mata, dan gulingan kelopak mata bersama-sama dengan kebasahan pada bulu di sebelah kelopak mata. Tiada rawatan perubatan untuk entropion dan pembedahan pembetulan mungkin diperlukan bergantung pada keparahan kes. Keadaan ini mungkin hadir sejurus selepas kelahiran atau kemudian dalam kehidupan sebagai keadaan sekunder kepada penyakit atau jangkitan lain berkaitan dengan mata. Baka lain yang juga terjejas akibat keadaan ini termasuk cau-cau, anjing besar Denmark, anjing pengutip keemasan, dan springerspaniel Inggeris.[33][34]

Glaukoma sudut sempit/tertutup ialah trait boleh waris dominan autosom pada baka ini. Ini merupakan punca utama kebutaan pada anjing dan berlaku apabila terdapat peningkatan tekanan bendalir di dalam mata. Jika bendalir itu tidak berkurang, tekanan menyebabkan kerosakan kekal pada retina dan saraf optik. Kehilangan penglihatan dapat berlaku secepat tempoh 24 jam jika tekanan jika cukup ternaik, atau secara perlahan-lahan dari masa ke masa jika hanya berketinggian ringan. Peningkatan tekanan secara tiba-tiba dan cepat adalah lebih lazim dengan glaukoma sudut sempit/tertutup yang lebih lazim pada baka ini berbanding dengan glaukoma sudut terbuka yang lebih perlahan. Gejala dapat termasuk kemerahan pada mata, iaitu apabila mata itu sendiri kelihatan kabur, kepekaan terhadap cahaya, dan anjing berkenaan mungkin menggosok mata, atau bahkan menggosoknya di sepanjang objek lain dan permaidani kerana keadaan ini sederhana hingga amat menyakitkan. Rawatan dapat berbeza-beza bergantung pada keparahan keadaan tetapi jika glaukoma terwaris muncul pada salah sebiji mata, maka keadaan ini biasanya berlaku pada mata sebelahnya lambat-laun.[35]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: سڤريڠرسڤانيئل ويل‌س; سڤريڠر سڤانيئل ويل‌س; Wales: sbaengi hela Cymreig; bahasa Inggeris: Welsh springer spaniel

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Johns, Catherine (15 Disember 2008). Dogs: History, Myth, Art (dalam bahasa Inggeris). Harvard University Press. m/s. 155. ISBN 978-0-674-03093-0. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  2. ^ American Kennel Club (Mac 1998). The Complete Dog Book (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-19). Howell Book House. m/s. 113. ISBN 978-0-87605-148-1.
  3. ^ a b c d Smith, A.C. (6 Oktober 2008). Gun Dogs - Their Training, Working and Management (dalam bahasa Inggeris). Brewster Press. m/s. 111–112. ISBN 978-1-4437-1920-9. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  4. ^ a b c d e f Burke, Don (2005). The complete Burke's backyard: the ultimate book of fact sheets (dalam bahasa Inggeris). Murdoch Books. m/s. 877. ISBN 978-1-74045-739-2. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  5. ^ Drury, W.D. (1903). "The Welsh Springer". British Dogs, Their Points, Selection, And Show Preparation (dalam bahasa Inggeris). Charles Scribner's Sons. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  6. ^ a b "Introduction and History" (dalam bahasa Inggeris). Cocker Spaniel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Mei 2019. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  7. ^ Wood, John George (1865). The illustrated natural history (dalam bahasa Inggeris). George Routledge and Sons. m/s. 270. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  8. ^ Stonehenge (1867). The Dog in Health and Disease (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). Longmans, Green, Reader and Dyer. m/s. 112.
  9. ^ a b Phillips, John (4 Januari 2002). "A Short History of the Welsh Springer Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). Welsh Springer Spaniel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 Jun 2008. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  10. ^ a b "Welsh Springer Spaniel History" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2014. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  11. ^ "Breed History" (dalam bahasa Inggeris). Welsh Springer Spaniel Club of South Wales. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Mac 2012. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  12. ^ a b "Welsh Springer Spaniel Information" (dalam bahasa Inggeris). Sarah's Dogs. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  13. ^ "The Welsh Springer Spaniel - an Introduction" (dalam bahasa Inggeris). Welsh Springer Spaniel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Mac 2012. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  14. ^ a b "Welsh Springer Spaniel Popularity" (dalam bahasa Inggeris). Welsh Springer Spaniel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 April 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  15. ^ "Dog breed trends over the years" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 27 April 2017. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  16. ^ a b c d e "AKC MEET THE BREEDS: Welsh Springer Spaniel". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
  17. ^ "What are dewclaws?" (dalam bahasa Inggeris). Council of Docked Breeds. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  18. ^ a b "Spaniel (Welsh Springer) Breed Standard" (dalam bahasa Inggeris). The Kennel Club. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  19. ^ "Spaniels" (dalam bahasa Inggeris). Dog Owners Guide. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  20. ^ a b c d Smith, Steve (September 2002). The Encyclopedia of North American Sporting Dogs: Written by Sportsmen for Sportsmen (dalam bahasa Inggeris) (ed. kulit keras). Willow Creek Press. m/s. 140. ISBN 978-1-57223-501-4. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  21. ^ "Welsh Springer Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). Pet Planet. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  22. ^ "Information About Welsh Springer Spaniel Dogs" (dalam bahasa Inggeris). Dogup.com. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  23. ^ Ditto, Tanya B. (April 1994). English Springer Spaniels (dalam bahasa Inggeris). Earle-Bridges, Michele. Barron's Educational Series. m/s. 6. ISBN 978-0-8120-1778-6. Dicapai pada 9 Mac 2024. welsh springer spaniel.
  24. ^ Rice, Dan (1 Mac 2008). Brittanys (dalam bahasa Inggeris). Barron's Educational Series. m/s. 6. ISBN 978-0-7641-3772-3. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  25. ^ "AKC MEET THE BREEDS: Brittany" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  26. ^ "AKC MEET THE BREEDS: English Springer Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 November 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  27. ^ a b Spiotta-DiMare, Loren (1 Oktober 1999). The sporting spaniel handbook (dalam bahasa Inggeris). Barron's Educational Series. m/s. 125–128. ISBN 978-0-7641-0884-6. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  28. ^ a b Ruben, Dr. Dawn. "Choosing a Welsh Springer Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). PetPlace.com. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  29. ^ "Pet Care: Ear infections" (dalam bahasa Inggeris). Healthy Pet.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Januari 2010. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  30. ^ "Welsh Springer Spaniel" (dalam bahasa Inggeris). Pet MD. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  31. ^ "Welsh Springer Spaniel Dog Breed Information". American Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 9 Mac 2024.
  32. ^ Wind, Alida; Davidson, Autumn P.; Morgan, Joe P. (8 Ogos 2003). Hereditary Bone and Joint Diseases in the Dog: Osteochondroses, Hip Dysplasia, Elbow Dysplasia (dalam bahasa Inggeris). Schlutersche. m/s. 272. ISBN 978-3-87706-548-8. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  33. ^ Spielman, Dr. Bari. "Entropion in Dogs" (dalam bahasa Inggeris). PetPlace.com. Dicapai pada 9 Mac 2024.
  34. ^ Alderton, David (2006). Top to Tail:The 360 Degrees Guide to Picking Your Perfect Pet (dalam bahasa Inggeris). David & Charles PLC. m/s. 110. ISBN 0-7153-2589-2.
  35. ^ "What is glaucoma?" (dalam bahasa Inggeris). Canine Inherited Disorders Database. 28 Mac 2002. Dicapai pada 9 Mac 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Baka haiwan Wales