Orang Cina di Terengganu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Cina Terengganu)
Lompat ke: pandu arah, cari
Cina Terengganu
Jumlah populasi
(26,429 (2010))
Kawasan ramai penduduk
Kuala Terengganu, Kemaman, Kuala Dungun, Wakaf Tapai, Chukai, Kuala Berang, Jerteh, Kuala Besut, Jabi, Kuala Paka
Bahasa
dialek Bahasa Cina seperti Bahasa Hokkien termasuk Bahasa Puxian dan Bahasa Mandarin serta Bahasa Hainan (di daerah Kemaman), Bahasa Malaysia dalam dialek atau loghat seperti Bahasa Terengganu mahupun Bahasa Melayu piawai dan Bahasa Inggeris
Agama
Buddha, Taoisme, Konfusianisme, Kristian, Islam, Ateisme dan Freethinker
Kumpulan etnik yang berkaitan
Peranakan, Orang Cina Malaysia

Terengganu adalah negeri yang didominasi orang Melayu. Sehubungan itu, orang Cina di Terengganu adalah golongan minoriti dengan populasi pada tahun 2010 adalah seramai 26,429 orang, hanya 2.43 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri ini. Kebanyakan orang Cina di Terengganu menetap di Kuala Terengganu, iaitu di ibu negerinya dan Chukai di Kemaman iaitu bandar paling selatan di negeri Terengganu yang turut mempunyai komuniti Cina yang besar ekoran perkembangan proses perbandaran disitu yang disebabkan oleh penemuan hasil petroleum dan gas asli.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kampung Cina yang terletak di Kuala Terengganu merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu sejak awal abad ke 15. Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara Kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Perkataan ’Teng Ya Nu’ ada disebut dalam buku sejarah China seperti ’Ling Wai Tai Ta’ karangan Cao Cu Fei tahun 1178 dan buku ’Cu fan Cih’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1225. Chao Ju Kua dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebut ’Teng Ya Nong‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.

Perkataan tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke 2. Ptolemy, seorang ahli kaji bintang Greek telah mencatatkan dua buah Pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu iaitu Primula dan Kole. Primula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman.

Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga menyebut tentang sebuah negeri yang dinamakan ’Tan Tan’ yang menghantar ufti ke China dan Paul Wheatley merumuskan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan China itu mungkin berkerajaan di Kuala Besut atau Kuala Terengganu. Catatan tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat perniagaan utama di Asia Tenggara pada abad ke 12. Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu. Pedagang barangan seperti Kayu Gaharu, Kayu Laka, Gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan Emas dan Perak.

Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433. Pada abad ke 19, pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah di Kuala Terengganu mencatatkan kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.

Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara Kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Bagaimanapun, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot selepas ditakluk Empayar Melaka. Ini disebabkan kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.

Kapitan Kuala Terengganu[sunting | sunting sumber]

  • 1736-1820 Teo Tioh Eng
  • 1782-17xx Kow Geok Seng
  • 1798 -1847 Lim Eng Huat
  • 1810 -18xx Kow Teck Lee
  • 18xx -18xx Low Kian Tee
  • 18xx -1899 Wee Teck Siew
  • 1xxx -19xx Kow Swee Leng

Kampung Cina[sunting | sunting sumber]

Kawasan Kampung Cina atau kini lebih popular dengan nama Kuala Terengganu Chinatown yang pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa terpenting di rantau ini pada abad ke-18 masih menyimpan pelbagai warisan bersejarah termasuk deretan bangunan tua yang bercirikan senibina tradisional cina purba.

Perigi tertua di Terengganu[sunting | sunting sumber]

Kampung Cina yang didiami penduduk berketurunan Cina sejak hampir 300 tahun lalu itu juga mempunyai sebuah perigi yang dipercayai tertua di Terengganu iaitu Perigi Low Tiey. Keistimewaan perigi Low Tiey ini bukan sahaja kerana usianya, namun dikatakan pernah berjasa kepada penduduk setempat serta membekalkan air kepada pedagang asing yang berniaga di situ. Perigi itu juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana airnya didakwa tidak pernah kering malah masih digunakan sehingga kini. Mengenai kewujudan perigi tua di Kampung Cina, ia dibina oleh empat orang kapitan Cina iaitu Law Kian Tee, Koo Swee Lin, Hin Khang Hoon dan Wee Teck Siew. Sebelum dibina, penduduk di Kampung Cina dan Kampung Tiong menggunakan air sungai untuk kegunaan harian.

Perigi tersebut dibina dengan menggunakan simen, berukuran 20 kaki panjang dan 20 kaki lebar, berbentuk bulat dan dipisahkan kepada dua bahagian oleh tembok simen. Ketinggian tembok adalah lebih kurang tujuh kaki, satu bahagian adalah kegunaan kaum wanita manakala satu bahagian adalah untuk kaum lelaki. Kewujudan perigi itu mempunyai kaitan dengan sejarah pekerjaan awal penduduk di kawasan tersebut pada zaman dahulu. Menurut cerita orang tua-tua, penduduk Kampung Cina yang miskin mengambil upah mengangkut air dari perigi itu untuk dibekalkan kepada golongan kaya sejak hampir 200 tahun lampau. Upah biasanya dibayar mengikut jumlah air yang diangkut iaitu satu sen setong. Bagaimanapun pekerjaan itu tidak kekal lama kerana menjelang tahun 1940-an golongan wanita sudah mempunyai pekerjaan lain termasuk menjalankan perniagaan di Pasar Besar Kedai Payang dan sekitarnya.

Senibina[sunting | sunting sumber]

Masyarakat berketurunan Cina yang paling padat menetap di negeri ini pada masa dahulu ialah di Kampung Cina dan ia menjadi pilihan kerana kedudukannya di sebelah kanan muara Sungai Terengganu yang menjadi tempat berlabuh wangkang. Rumah dibina bertiang tinggi bagi mengelakkan ancaman pasang surut air sungai atau banjir. Ia menyerupai bentuk rumah yang terletak di negara China. Namun kini kebanyakan kaum Cina di Kuala Terengganu tinggal di taman-taman perumahan dan kondominium di merata tempat di bandaraya ini.

Catatan bertulis[sunting | sunting sumber]

Sementara itu, menurut catatan sejarah, seorang mubaligh Kristian iaitu Medhurst dikatakan pernah singgah di Kuala Terengganu pada tahun 1828 untuk menyebarkan agama Kristian di kalangan orang Cina tempatan. Catatan beliau berbunyi: Berada di kawasan yang bebas, saya telah menghampiri orang Cina daripada beratus-ratus penduduk yang tinggal di rumah-rumah yang diperbuat daripada batu-bata yang telah lama dibina, Wanita-wanita dan kanak-kanak semuanya menggunakan bahasa Cina untuk berhubungan antara satu sama lain dan kurang bergaul dengan orang-orang Melayu.

Sementara itu, menurut catatan sejarah Munshi Abdullah telah tiba pada tahun 1838 dan membuat catatan mengenai Kampung Cina seperti yang diceritakan dalam Hikayat Munshi Abdullah ke Kelantan dan Terengganu. Catatan itu berbunyi: Kemudian sampailah sahaya di Kampung Yamtuan. Maka sahaja lihat rumahnya rumah batu, ada kira-kira 30 kaki lebarnya, maka bangunannya itu seperti rumah Cina, maka segala tembok itu penuh kotor ludah sirih dan lumut-lumut, dan lagi ada sebuah rumah batu tempat menaruh daging.

Catatan bertulis seterusnya mengenai Kampung Cina dapat dilihat dalam laporan yang disediakan oleh Hugh Clifford yang telah memasuki kawasan pendalaman Terengganu dalam usahanya untuk mengejar dan menangkap pembesar-pembesar Pahang yang melancarkan gerakan menentang Inggeris pada awal abad ke-17.

Cina Tirok[sunting | sunting sumber]

Cina Tirok adalah merujuk kepada orang Cina Peranakan yang tinggal di Kampung Tirok dan Kampung Banggul Kemang yang terletak kira-kira 20 km dari bandaraya Kuala Terengganu. Penduduk Kampung Banggul Kemang dan Kampung Tirok mempunyai tali persaudaraan yang rapat. Mereka menganggap diri sebuah komuniti yang sama. Secara kolektif, mereka dikenali sebagai orang Cina Tirok. Justeru itu, nama Tirok digunakan untuk mewakili kedua-dua buah perkampungan itu. Jumlah penduduk tetap di Tirok adalah 73 orang. Bilangan penduduk tetap yang agak kecil ini disebabkan penghijrahan keluar orangnya, terutamanya generasi muda, yang tidak berminat mengambil alih aktiviti pertanian daripada generasi tua (kebanyakannya dalam lingkungan umur 60-an dan 70-an). Kebanyakan mereka menetap dan bekerja di Kuala Terengganu. Ada yang mendirikan keluarga di situ. Mereka hanya balik ke Tirok pada hujung minggu untuk beberapa jam sebelum pulang ke Kuala Terengganu kembali.

Perkampungan ini terletak di tepi Jalan Serada iaitu satu-satunya jalan yang membelahi kedua-dua buah perkampungan ini dengan dikelilingi beberapa buah perkampungan Melayu, iaitu Pengadang Baru, Kampung Beladau, Kampung Banggul Chempedak, Kampung Baru Serada, Kampung Banggul Tok Ku dan Kampung Banggul Mempelam.

Kampung Banggul Kemang terletak di sebelah kiri Jalan Serada, manakala Kampung Tirok pula terletak di sebelah kanannya (mengikut hala dari persimpangan di Pengadang Baru). Pola penempatan kedua-dua perkampungan itu sejajar dengan jalan raya, masing-masing terdiri daripada rumah yang bertaburan di kawasan berjarak kira-kira satu kilometer. Kini hanya ada 14 buah keluarga peranakan Cina menetap di Kampung Banggul Kemang. Sementara itu, bilangan keluarga peranakan Cina yang menetap di Kampung Tirok adalah 8 buah.


Secara tradisi, penduduk di situ menceburi aktiviti penanaman getah. Getah mula ditanam di situ pada tahun 1919 (Gosling 1964). Rumah mereka dikelilingi kebun kecil getah berkeluasan kira-kira satu setengah ekar. Mereka juga menanam pokok buah-buahan, seperti durian, duku, langsat, rambutan dan salak sebagai sumber pendapatan tambahan.

Populasi mengikut daerah[sunting | sunting sumber]

Daerah Populasi cina
Kuala Terengganu 11,617
Kemaman 6,800
Dungun 3,446
Marang 1,834
Besut 1,727
Hulu Terengganu 310
Setiu 123

Senarai orang Cina yang lahir di Terengganu[sunting | sunting sumber]

  • Toh Chin Yaw, Mantan Exco Kerajaan Negeri Terengganu dalam Porfolio Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan Dan Alam Sekitar.
  • Danny Koo, Penyanyi.
  • Alex Lee Yun Ping, Pemilik Terrapurri Heritage Village di Setiu.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

  1. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kwang Hwa, Terengganu
  2. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chong Hwa, Wakaf Tapai
  3. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Wei Sin
  4. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sin Chone
  5. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chukai
  6. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lok Khoon
  7. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jabor Kemaman
  8. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Jerteh
  9. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chee Mong
  10. Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kuala Kemaman

Pautan luar[sunting | sunting sumber]