Lee Hsien Loong
Lee Hsien Loong | |
---|---|
李显龙 லீ சியன் லூங் | |
![]() Lee di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2012 | |
Perdana Menteri Singapura Ke-3 | |
Memegang jawatan 12 Ogos 2004 | |
Presiden | Sellapan Ramanathan Tony Tan Halimah Yacob |
Timbalan | Tony Tan Shunmugam Jayakumar Wong Kan Seng Teo Chee Hean Tharman Shanmugaratnam Heng Swee Keat |
Didahului oleh | Goh Chok Tong |
Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat | |
Memegang jawatan 3 Disember 2004 | |
Timbalan | Wong Kan Seng Teo Chee Hean Tharman Shanmugaratnam Heng Swee Keat Chan Chun Sing |
Pengerusi | Lim Boon Heng Khaw Boon Wan Gan Kim Yong |
Didahului oleh | Goh Chok Tong |
Menteri Kewangan Singapura | |
Dalam jawatan 10 November 2001 – 1 Disember 2007 | |
Perdana Menteri | Goh Chok Tong |
Timbalan | Raymond Lim |
Didahului oleh | Richard Hu |
Digantikan oleh | Tharman Shanmugaratnam |
Timbalan Perdana Menteri Singapura | |
Dalam jawatan 28 November 1990 – 12 Ogos 2004 | |
Perdana Menteri | Goh Chok Tong |
Didahului oleh | Goh Chok Tong |
Digantikan oleh | Shunmugam Jayakumar |
Anggota Parlimen Singapura untuk Ang Mo Kio GRC | |
Memegang jawatan 31 Ogos 1991 | |
Didahului oleh | Perlembagaan diwujudkan |
Majoriti | 62,826 (38.7%) |
Anggota Parlimen Singapura untuk Teck Ghee SMC | |
Dalam jawatan 22 Disember 1984 – 31 Ogos 1991 | |
Didahului oleh | Perlembagaan diwujudkan |
Digantikan oleh | Perlembagaan digugurkan |
Butiran peribadi | |
Lahir | Singapura | 10 Februari 1952
Parti politik | Parti Tindakan Rakyat |
Pasangan | Wong Ming Yang (1978-28 Oktober 1982) Ho Ching (1985) |
Anak-anak | Xiuqi Yipeng Hongyi Haoyi |
Alma mater | Kolej Trinity, Cambridge Universiti Harvard United States Army Command and General Staff College |
Lee Hsien Loong (Cina ringkas: 李显龙; Tamil: லீ சியன் லூங்; dilahirkan pada 10 Februari 1952) ialah ahli politik Singapura dan penyandang terkini jawatan Perdana Menteri Singapura. Pada 2004, Lee menjadi Perdana Menteri Singapura ketiga selepas mengambil alih kempimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) apabila perdana menteri terdahulu Goh Chok Tong yang meletakkan jawatan untuk menjadi menteri senior baru. Lee kemudiannya membawa parti beliau pada kemenangan di pilihan raya umum 2006, 2011 dan 2015. Beliau memulakan penggal jawatan terkininya pada 15 Januari 2016 (berikutan pembukaan parlimen Singapura ke-13). Lee ialah anak sulung Perdana Menteri Singapura pertama, mendiang Lee Kuan Yew.
Beliau tamat belajar di Kolej Trinity, Universiti Cambridge, sebagai Senior Wrangler pada 1974 (memperoleh Diploma dalam Sains Komputer dengan jarak jauh) dan kemudian memperoleh Ijazah Pentadbiran Awam di Sekolah Kerajaan Kennedy Universiti Harvard. Dari 1971 hingga 1984, beliau berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Singapura yang mana beliau dinaikkan pangkat sebagai Brigadier Jeneral. Beliau memenangi pilihan raya Ahli Parlimen pada 1984, bertanding sebagai ahli Parti Tindakan Rakyat. Di bawah kempimpinan Perdana Menteri Singapura pertama, Goh Chok Tong, Lee berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Industri, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.
Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]
Anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan Tan Swee Phoon ini mempelajari tulisan Jawi sejak berusia lima tahun. Beliau amat berminat terhadap hal-ehwal Singapura sejak zaman kanak-kanak kerana selalu mengikut bapanya ke perhimpunan pilihan raya sejak 1963 ketika berumur hanya 11 tahun.[1][2]
Lee menerima pendidikan sekolah menengah di Sekolah Tinggi Katolik dan kemudiannya belajar di Maktab Rendah Kebangsaan (National Junior College atau NJC). Beliau memperoleh Ijazah Kelas Pertama dengan Kepujian dalam Matematik serta Diploma dalam Sains Komputer dari Kolej Trinity, Cambridge pada tahun 1974. Beliau kemudian memperoleh Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) dari Pusat Pengajian Kerajaan Kennedy di Universiti Harvard pada tahun 1980.
Lee menyertai Angkatan Tentera Singapura (SAF) pada tahun 1971 dan dinaikkan pangkat dari bawah dengan pantas untuk menjadi salah satu brigadier jeneral yang termuda dalam sejarah Singapura. Beliau bersara daripada ketenteraan pada tahun 1984 untuk menyertai politik dan dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun itu. Wong Ming Yang, isteri pertamanya yang merupakan seorang doktor yang dilahirkan di Malaysia, meninggal dunia pada tahun 1982, tiga minggu selepas beranak. Pada tahun 1985, Lee berkahwin dengan Ho Ching, seorang kakitangan awam yang naik pangkat dengan pantas. Mereka dikurniakan dengan seorang anak perempuan serta tiga anak lelaki, termasuk seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki daripada isteri pertama Lee.
Pada tahun 1992, Lee didiagnosis dengan limfoma dan selepas menjalani kemoterapi selama tiga bulan, beliau telah pun sembuh sepenuhnya.
Kerjaya politik awal[sunting | sunting sumber]
Lee memasuki bidang politik pada 1984 pada usia 32 tahun, dan dilantik oleh bapanya Lee Kuan Yew, Perdana Menteri ketika itu, sebagai Menteri Negara dalam Kementerian Perdagangan dan Industri serta dalam Kementerian Pertahanan pada Disember 1984. Beliau kemudian dinaik pangkat sebagai Pemangku Menteri Perdagangan dan Industri, serta Menteri Kedua Pertahanan, pada 1986.[3]
Pada Februari 1987, persoalan-persoalan mengenai hubungan-hubungan etnik di Singapura termuncul ketika pemimpin-pemimpin Malaysia bertanya Ahli-ahli Parlimen Singapura mengapa terdapat terlalu sedikit orang Melayu yang memegang jawatan-jawatan utama dalam SAF. Hsien Loong, Menteri Kedua Pertahanan ketika itu, menyatakan bahawa SAF tidak hendak askar-askarnya mendapati diri dalam kedudukan yang mana kesetiaan mereka sebagai askar mungkin bercanggah dengan faktor-faktor kaum dan agama.[4]
Timbalan Perdana Menteri[sunting | sunting sumber]
Ketika Goh Chok Tong menjadi Perdana Menteri Singapura pada 28 November 1990, Lee menjadi Timbalan Perdana Menteri dan sehingga 1992 juga merupakan Menteri Perdagangan dan Industri. Semasa itu, beliau menumpu pada perkara-perkara ekonomi serta perkhidmatan awam.
Lee dilantik sebagai Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada tahun 1998, dan Menteri Kewangan pada tahun 2001. Dalam tempoh selama tiga belas tahun setengah sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau amat mempengaruhi penguasaan Singapura, khususnya dalam hal-ehwal ekonomi dan sosial.
Untuk mengurangkan kurangan belanjawan yang semakin meningkat disebabkan penurunan hasil cukai yang diakibatkan oleh potongan cukai korporat serta pendapatan perseorangan, dan faktor-faktor yang lain seperti Perang Iraq dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), Lee mencadangkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST} daripada 3% kepada 5% pada 29 Ogos 2003. Kenaikan itu dikuatkuasakan pada Januari 2004.
Lee juga memulakan pengenduran keperluan memohon kewarganegaraan Singapura, khususnya terhadap suami asing bagi wanita Singapura serta anak-anak warganegara Singapura yang dilahirkan di luar negara. Perubahan-perubahan ini telah dibuat selepas rayuan-rayuan berulang daripada ahli-ahli Parlimen serta Jawatankuasa Membentuk Semula Singapura selama beberapa tahun.
Perdana Menteri[sunting | sunting sumber]
2004[sunting | sunting sumber]
Pada 12 Ogos 2004, Lee Hsien Loong mewarisi Goh Chok Tong sebagai Perdana Menteri, dan melepaskan jawatan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura yang diambil alih oleh Goh. Dalam "Ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan" sulungnya pada hari yang sama, beliau memulakan dasar "Minggu kerja lima hari", satu rancangan yang mengecualikan hari Sabtu yang ketika itu merupakan hari kerja setengah hari. Rancangan itu dikuatkuasakan pada 1 Januari 2005.
Lee juga mencadangkan cuti bersalin berbayar sebanyak dua bulan dan insentif kewangan untuk ibu-ibu yang melahirkan anak keempat. Dasar-dasar itu dimulakan sebagai tindak balas terhadap kemerosotan kadar kelahiran yang dialami oleh Singapura pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Pada November 2004, Lee mencetuskan sebuah perdebatan negara ketika beliau mendedahkan cadangan untuk membina dua buah Tempat Peranginan Bersepadu (IR) yang merupakan tempat percutian yang merangkumi kasino. Walaupun menghadapi tentangan-tentangan yang hebat daripada orang awam, Lee mengumumkan keputusannya untuk meluluskan cadangan ini pada April 2005. Kedua-dua IR itu akan dibina di Teluk Marina dan Sentosa. Untuk membataskan kesan sosial yang negatif terhadap perjudian kasino, Lee mencadangkan bahawa pelindung-pelindung dilaksanakan, seperti melarangkan orang yang di bawah umur untuk memasuki kasino dan mengenakan yuran masuk sebanyak SGD$100 bagi warganegara Singapura dan pemastautin tetap atau SGD$2000 untuk yuran masuk setahun.
2005[sunting | sunting sumber]
Ekoran daripada serangan-serangan kapal yang melintasi Selat Melaka oleh lanun-lanun, Lee mencuba mendapat sokongan keselamatan untuk lebih kurang 50,000 buah kapal yang lalu selat itu setiap tahun daripada negara-negara berjiran, termasuk Amerika Syarikat, ketika menteri-menteri pertahanan dari seluruh dunia bermesyuarat di Singapura pada 3 Jun 2005.
Lee menyampaikan ucapan untuk Perhimpunan Hari Kebangsaan yang keduanya pada 22 Ogos 2005, dan mengemukakan visinya untuk Singapura menjelang tahun 2015. Beliau mencadangkan perubahan-perubahan dalam enam bidang yang utama, iaitu:
- Bandar raya futuristik: sebuah pusat bandar futuristik di Teluk Marina yang merangkumi sebuah Tempat Peranginan Bersepadu serta sebuah Pusat Perniagaan dan Kewangan yang terunggul; selain itu, kawasan-kawasan Jalan Orchard, Bras Brasah, dan Bugis akan dijadikan lebih bersemangat dan lebih sibuk.
- Penyelidikan dan pembangunan untuk dijadikan pendorong ekonomi: sebuah Majlis Penyelidikan, Inovasi, dan Perusahaan untuk membawa ekonomi ke tahap yang lebih tinggi; majlis itu akan dipengerusikan oleh Lee sendiri, dengan Timbalan Perdana Menteri Dr. Tony Tan sebagai timbalan pengerusi. Satu Yayasan Penyelidikan Negara yang baru akan diketuai oleh Dr. Tan.
- Budaya Perkhidmatan: sebuah usaha negara berjangka panjang untuk meningkatkan tahap perkhidmatan, diketuai oleh Menteri Raymond Lim.
- Pendidikan: politeknik-politeknik dikaitkan dengan universiti-universiti asing yang mengkhususkan dalam bidang-bidang jurusan; perubahan-perubahan kurikulum untuk aliran biasa (teknikal) supaya dapat menjadikannya lebih menarik melalui kerja kelompok, kerja guna tangan, dan penggunaan teknologi maklumat.
- Bantuan untuk kumpulan pendapatan rendah: keluarga-keluarga dalam kumpulan ini akan menerima bantuan perumahan daripada CPF mereka untuk membeli rumah pangsa HDB.
- Penjagaan kesihatan: had umur untuk Medishield, sebuah skim insurans perubatan, dinaikkan dari umur 80 ke umur 85. Penggunaan Medisave dijadikan lebih fleksibel supaya dapat dipergunakan untuk rawatan di hospital swasta dan Wad Kelas A & B1, serta untuk rawatan besar di klinik-klinik pakar rawatan pesakit luar.
2006[sunting | sunting sumber]
Pada Februari 2006, Lee mengumumkan di parlimen satu bonus sebanyak S$2.6 bilion yang dipanggil Pakej Kemajuan.[5] Rancangannya ialah untuk membahagikan lebihan belanjawan yang dikumpul pada beberapa tahun yang lalu untuk:
- orang-orang dewasa Singapura dalam bentuk wang tunai
- tambahan kepada simpanan pencen negara bagi orang-orang tua
- rebet sewa dan kemudahan awam untuk mereka yang tinggal di dalam perumahan awam
- tabung pendidikan untuk kanak-kanak sekolah daripada keluarga-keluarga pendapatan rendah
- bonus tunai untuk pekerja-pekerja gaji rendah yang berumur melebihi 40 tahun serta untuk mereka yang telah menghabiskan Perkhidmatan Negara.
Bonus tunai ini dibahagikan pada awal Mei 2006. Para pengkritiknya, khususnya ahli-ahli parti pembangkang, telah mengutuk Pakej Kemajuan ini sebagai sebuah "usaha pembelian undi" untuk Pilihan Raya Parlimen Singapura yang diadakan pada 6 Mei 2006. Dalam pilihan raya itu, Lee mengetuai Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk memenangi 82 daripada 84 kerusi, termasuk 37 kemenangan secara tanpa bertanding. Lee dengan pasukan enam ahlinya memenangi Kawasan Pilihan Raya Perwakilan Kumpulan Ang Mo Kio dengan 66.1% daripada jumlah undi.
Hubungan luar negeri[sunting | sunting sumber]
- Hubungan dengan China
Hubungan dengan China telah bertambah baik di bawah pentadbiran Lee. Kemajuan yang lancar telah dicapai dalam bidang-bidang perdagangan, pelancongan, dan pelaburan yang bukan sahaja memanfaatkan kepentingan negara masing-masing, tetapi juga berfaedah kepada perkembangan umum bagi wilayah. Majlis Bersama Kerjasama Dwisisi China-Singapura (JCBC) bertanggungjawab untuk mempromosikan kerjasama antara China dan Singapura.
Semasa bermesyuarat dengan Naib Perdana Menteri Wu Yi pada September 2005, Lee mencadangkan pengasasan Zon Perdagangan Bebas China-ASEAN untuk mencapai matlamat sebanyak AS$50 bilion dalam jumlah perdagangan sebelum 2010. Untuk mencapai matlamat ini, kedua-dua pihak bersetuju bahawa hubungan antara China dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) harus dirapatkan.
Semasa lawatan tujuh harinya di China pada akhir bulan Oktober 2005, Lee menegaskan keperluan untuk memperbaik hubungan diplomatik dua hala antara ASEAN dan China. Lee juga mendesak pemimpin-pemimpin untuk menumpukan kepada gelombang pertumbuhan berikut di bahagian timur laut China.
"Ini adalah tanggungan jangka panjang. Tidak terdapat sebarang tempat di dalam dunia ini yang kamu pergi di mana wang kamu bertumbuh di atas pokok. Bukan di China."
- Hubungan dengan Amerika Syarikat
Singapura secara amnya mempunyai hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat. Pertumbuhan perdagangan dua hala adalah nyata sejak Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Syarikat-Singapura dikuatkuasakan pada 1 Januari 2004, dan ini telah memperbaik pertalian komersil dan diplomatik antara kedua-dua negara.
Lee membuat lawatan sulungnya ke Amerika Syarikat sebagai Perdana Menteri Singapura antara 6 Julai dan 16 Julai 2005. Beliau diiringi oleh banyak menteri, khususnya Menteri Pertahanan Teo Chee Hean dan Menteri Luar Negeri George Yeo.
Pada 12 Julai 2005, Presiden George W. Bush dan Lee memeterai "Perjanjian Rangka Kerja Strategi antara Amerika Syarikat dan Republik Singapura untuk Perkongsian Kerjasama Yang Lebih Rapat dalam Pertahanan dan Keselamatan". Perjanjian ini adalah langkah yang biasa dalam perkembangan pertalian dua hala.
Sebenarnya, Presiden Bush dan Goh Chok Tong, Perdana Menteri ketika itu, telah mengumumkan tujuan mereka buat pertama kali pada Oktober 2003 untuk mencapai persetujuan untuk perjanjian tersebut. Tujuan perjanjian ini adalah untuk menumpukan perhatian kepada ancaman-ancaman sama terhadap terorisme dan percambahan senjata-senjata pemusnahan besar-besaran (WMD) yang memerlukan kerjasama yang lagi rapat antara Amerika Syarikat dengan Singapura. Perjanjian itu mengakui peranan Singapura sebagai satu Rakan Kerjasama Keselamatan Utama dan akan meluaskan ruang lingkup kerjasama kini dalam bidang terorisme balas, percambahan balas, latihan tentera bersama, dialog dasar, dan teknologi pertahanan. Perjanjian juga akan meningkatkan kestabilan wilayah melalui menyokong kehadiran keselamatan Amerika Syarikat yang berterusan di Asia Tenggara. Kedua-dua Lee dan Bush bersetuju bahawa kehadiran Amerika Syarikat di Asia Tenggara telah mempromosikan keamanan dan kestabilan yang amat penting untuk kerjasama serantau dan pembangunan ekonomi.
Semasa mesyuarat mereka, kedua-dua tokoh tersebut mengakui kemajuan yang telah dicapai dalam peperangan terhadap keganasan. Lee memuji Bush atas 'pendirian [beliau] yang tegas dan teguh dalam peperangan terhadap keganasan' dan menyatakan sokongan Singapura yang berterusan terhadap usaha ini. Sebagai balasan, Bush memuji keprofesionalan anggota Angkatan Tentera Singapura yang diturunkan untuk menyokong operasi-operasi di Iraq selama dua tahun yang lalu, serta Pasukan Polis Singapura yang telah membekalkan latihan yang amat penting. Kedua-dua Bush dan Lee juga berjanji untuk mengekalkan kerjasama yang rapat antara Amerika Syarikat dan Singapura dalam institusi berbilang hala serantau dan sejagat.
Perbalahan[sunting | sunting sumber]
Sebagai anak sulung Lee Kuan Yew iaitu Perdana Menteri pertama Singapura, kerjaya Lee telah dibayangi oleh dakwaan nepotisme. Ketika berusia 32 tahun, Lee menjadi Brigadier Jeneral yang termuda dalam sejarah Singapura, dan diramalkan secara meluas sebagai waris Lee Kuan Yew untuk jawatan Perdana Menteri. Ketika Kuan Yew mengundurkan diri supaya dapat digantikan oleh Goh Chok Tong, banyak pengkritik melihatkan Goh sebagai waris sementara, tetapi Kuan Yew mengatakan bahawa beliau akan membuktikan pengkritik-pengkritik salah. Dalam kisah kenangannya, Kuan Yew menekankan bahawa beliau tidak boleh membenarkan anaknya terus mewarisinya.
"Adalah lebih baik untuk orang yang lain mewarisi saya sebagai Perdana Menteri. Jika Loong berjaya kemudian, adalah jelas bahawa beliau mencapai jawatan itu dengan keupayaan sendiri."
Bagaimanapun, dakwaan pengkritik terhadap Goh sebagai waris sementara berlangsung selama enam hingga tujuh tahun sehingga Goh dapat membuktikan nilai dirinya ketika beliau bukan sahaja memperoleh semula kerusi-kerusi partinya dalam pilihan raya umum 1997 tetapi juga meningkatkan jumlah undi PAP. Lagi satu persoalan ialah penyakit barah nodus limfa yang dihidapi oleh Lee pada tahun 1992. Banyak pengulas politik berasa ragu-ragu terhadap keupayaan fizikal beliau untuk bertahan kehidupan susah, waktu panjang, dan tekanan-tekanan jawatan perdana menteri.
Mungkin lebih dapat difahami ialah pelantikan Ho Ching, isteri Lee, sebagai pengarah Temasek, agensi pelaburan negara, yang menyebabkan orang-orang mengangkat kening. Bagaimanapun, keluarga Lee bertindak balas dengan keras terhadap dakwaan-dakwaan itu, dan memenangi penyelesaian luar mahkamah yang besar atas tuduhan fitnah daripada International Herald Tribune (1994), Bloomberg (2002) dan The Economist (2004), antara lain.
Perselisihan dalam negeri[sunting | sunting sumber]
Kerjaya Lee juga sering diburu oleh reputasi tanggapan sebagai seorang yang angkuh dan autokratik. Beliau dikatakan menghina Richard Hu, Menteri Kewangan, dalam sebuah mesyuarat pra-Kabinet pada tahun 1990 menurut satu khabar angin yang berulang-ulang. Ketika S. Dhanabalan, Menteri Pembangunan Negara, menyebelahi Hu, Lee menampar Dhabalan dan menuntut permintaan maaf daripadanya. [2]. Sedangkan mereka yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini tidak pernah menyebut perkara ini secara umum, Perdana Menteri Goh Chok Tong menafikan peristiwa ini pada tahun 2003 ketika membincangkan peralihan pimpinan kepada warisnya.
Perselisihan dengan Taiwan[sunting | sunting sumber]
Pada 10 Julai 2004, Lee melawat Taiwan dan mengakibatkan rasa tidak senang Republik Rakyat China. Pada 28 Ogos 2004 ketika memberikan ucapan sulung Perhimpunan Hari Kebangsaan, beliau mengkritik pimpinan Taiwan dan rakyatnya untuk membuat anggaran yang berlebihan terhadap sokongan yang akan diterima ketika mereka mengisytiharkan kemerdekaan Taiwan. Ketika ucapannya itu, Lee juga menerangkan bahawa lawatannya ke Taiwan pada bulan Julai adalah untuk memastikan bahawa beliau akan memperoleh risikan yang mencukupi untuk membuat keputusan-keputusan yang betul ketika beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Beliau juga mengulang sokongannya untuk dasar Satu China.
Pada bulan September tahun itu, Menteri Luar Negeri George Yeo memberi amaran kepada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang bahaya-bahaya jika kemerosotan hubungan rentas selat dibiarkan. Sebagai tindak balas, Mark Chen, Menteri Luar Negeri Republik China (Taiwan), memanggil Singapura sebagai sebuah "Negara Pi-Sai", sepatah ungkapan Hokkien (bahasa Minnan) yang membawa maksud harfiah, "Negara yang sebesar dengan tahi hidung". Mark Chen kemudian meminta maaf secara rasmi.
Perselisihan dengan Jepun[sunting | sunting sumber]
Pada tahun 2005, ketika Junichiro Koizumi, Perdana Menteri Jepun, melawat Tokong Yasukuni, Lee menegur bahawa "dari sudut pandangan banyak negara di kawasan ini yang telah mengalami pendudukan Jepun, peristiwa in membangkitkan banyak kenangan yang tidak gembira". Tegurannya mengakibatkan tunjuk perasaan umum di luar kedutaan Singapura di Jepun pada 24 Mei 2005, dengan pembantah-pembantah mengkritik Lee kerana "masuk campur" dalam persoalan-persoalan Jepun.
Perselisihan dengan Australia[sunting | sunting sumber]
Pada November 2005, Singapura terlibat dalam pergaduhan diplomatik dengan Australia disebabkan hukuman mati yang dikenakan pada Nguyen Tuong Van, seorang pedagang haram dadah Australia. Dalam satu kejadian, John Howard, Perdana Menteri Australia dan kerajaannya berasa susah hati ketika Lee gagal memberitahunya tentang tarikh hukuman mati yang dijadualkan semasa pertemuan mereka di Persidangan kemuncak APEC walaupun ibu Nguyen telah diberitahu tentang tarikh itu. Rayuan-rayuan memohon belas kasihan oleh kerajaan Australia dan peguam Nguyen ditolak. Bagaimanapun, Singapura memberikan kekecualian dengan membenarkan ibu Nguyen memegang tangan anaknya selepas rayuan peribadi oleh Howard. Nguyen kemudian menjalani hukuman mati pada 2 Disember 2005.
Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]
Pilihan raya | Kerusi | Pengundi | Parti | Calon | Undi | % undi | |
---|---|---|---|---|---|---|---|
Pilihan Raya Umum Singapura 1984 | 1 | 16,866 | PAP | Lee Hsien Loong | 12,794 | 80.38 | |
UPF | Giam Lai Cheng | 3,123 | 19.62 | ||||
Pilihan Raya Umum Singapura 1988 | 1 | 15,510 | PAP | Lee Hsien Loong | 11,512 | 79.13 | |
BEBAS | Patrick Leong | 3,037 | 20.87 |
Pilihan raya | Kerusi | Pengundi | Parti | Calon | Undi | % undi | |
---|---|---|---|---|---|---|---|
Pilihan Raya Umum Singapura 1991 | 4 | 74,004 | PAP | Lau Ping Sum Lee Hsien Loong Umar Abdul Hamid Yeo Toon Chia |
Tarik diri | Tarik diri | |
Pilihan Raya Umum Singapura 1997 | 5 | 125,344 | PAP | Inderjit Singh Lee Hsien Loong Seng Han Thong Tan Boon Wan Tang Guan Seng |
Tarik diri | Tarik diri | |
Pilihan Raya Umum Singapura 2001 | 6 | 166,644 | PAP | Inderjit Singh Lee Hsien Loong Seng Han Thong Tan Boon Wan Sadasivan Balaji Wee Siew Kim |
Tarik diri | Tarik diri | |
Pilihan Raya Umum Singapura 2006 | 6 | 159,838 | PAP | Inderjit Singh Lam Pin Min Lee Bee Wah Lee Hsien Loong Sadasivan Balaji Wee Siew Kim |
96,636 | 66.14 | |
WP | Abdul Salim Bin Harun Gopal Krishnan Han Su May Lee Wai Leng Tan Kian Hwee Melvin Yaw Shin Leong |
49,479 | 33.86 |
Rujukan[sunting | sunting sumber]
- ^ 新加坡內閣資政李光耀 Diarkibkan 31 Disember 2008 di Wayback Machine Xinhua.com.
- ^ 李光耀劝扁勿藉奥运搞台独 Zaobao.com.
- ^ Chan, Heng Chee (1986). Singapre in 1985: Managing Political Transition and Economic Recession. University of California Press. halaman 158–167. JSTOR 2644451.
- ^ "Our History". Young PAP. Diarkib daripada yang asal pada 20 Mac 2014. Dicapai pada 7 Januari 2011.
- ^ [1]
Pautan luar[sunting | sunting sumber]
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan: Lee Hsien Loong. |
![]() |
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: Lee Hsien Loong |
- Lee Hsien Loong di Jabatan Perdana Menteri Singapura
- Lee Hsien Loong, Parliamen Singapore
- Penampilan hsienlee di C-SPAN
- Lee Hsien Loong di Charlie Rose
- Lee Hsien Loong di Pangkalan Data Filem Internet (IMDb)
- Karya oleh atau mengenai Lee Hsien Loong di perpustakaan (katalog WorldCat)
- Lee Hsien Loong collected news and commentary at CNN
- Lee Hsien Loong collected news and commentary at The Economic Times
- Lee Hsien Loong collected news and commentary at Los Angeles Times
- Lee Hsien Loong, The Commanding Heights: The Battle for the World Economy on PBS, 2002
- Profile: Lee Hsien Loong, BBC News, 11 Ogos2004
- Ucapan
- "Transcript of Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Rally English Speech on 19 August 2007 at NUS University Cultural Centre". Ministry of Information, Communications and the Arts (Singapore). 2007-08-19. Diarkib daripada yang asal pada 2007-09-27. Dicapai pada 2008-08-19.
- "Transcript of Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Rally 2008 Speech at NUS-UCC on 17 August 2008". Singapore Government Press Centre. 2008-08-17. Diarkib daripada yang asal pada 2008-11-20. Dicapai pada 2012-01-25.
- Sumber dalam talian
- "Hsien Loong: Election soon". (8 November 2005). New Straits Times, p. 31.
- PM Lee: Your vibrant global city, your home, The Straits Times, Headlines, p. 1.
- Singapore announces 60 percent pay raise for ministers [3]
- "Transcript of Prime Minister Lee Hsien Loong's National Day Rally English Speech on 19 August 2007 at NUS University Cultural Centre". Ministry of Information, Communications and the Arts (Singapore). 2007-08-19. Dicapai pada 2007-09-09.
- An interview with Lee Hsien Loong on Charlie Rose Show - 30 mins video
Jawatan politik | ||
---|---|---|
Didahului oleh Goh Chok Tong |
Perdana Menteri Singapura 2004 – kini |
Pemegang jawatan kini |
Didahului oleh Richard Hu Tsu Tau |
Menteri Kewangan 2001 – 2007 |
Diikuti oleh: Tharman Shanmugaratnam |
Didahului oleh Goh Chok Tong |
Timbalan Perdana Menteri Singapura 1990 – 2004 |
Diikuti oleh: Tony Tan Keng Yam |
Didahului oleh Tony Tan Keng Yam |
Menteri Antarabangsa dan Industri 1986 – 1992 |
Diikuti oleh: Suppiah Dhanabalan |
Kerusi dewan | ||
Didahului oleh Kawasan baru |
Anggota Parlimen Teck Ghee 1984 – 1991 |
Diikuti oleh: Kawasan digugurkan |
Didahului oleh Kawasan baru |
Anggota Parlimen GRC AMK 1991 – kini |
Pemegang jawatan kini |