Maktab Rendah Sains MARA Serting

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari MRSM Serting)

Koordinat: 2°54′22″N 102°24′13″E / 2.90602°N 102.40358°E / 2.90602; 102.40358

Maktab Rendah Sains MARA Serting
مکتب رنده ساءين س مارا سيرتيڠ
Alamat
Bandar Baru Serting
Bandar Seri Jempol, 72120, Negeri Sembilan
Malaysia
Maklumat
Nama lainMRSM Serting
Jenis sekolahPendidikan menengah
DitubuhkanDisember 1993
StatusBeroperasi
PengetuaTuan Hj. Mohd Ali bin Yusof
Timb. Pengetua
Kecemerlangan Akademik
Pn. Za'aimah binti Hj. Muhamed
Timb. Pengetua
Pembangunan Pelajar
En. Ahmad Razif bin Isnin@Sarju
Timb. Pengetua
Pembangunan Bakat
Datuk Seri Mohamad Zaini bin Awalluddin
Sistem pendidikanSPMRSM Program Premier
BahasaBahasa Melayu, Bahasa Inggeris
SloganTapping Potential, Nurturing Excellence
Nama alumniANSARA Serting (ANSE)
Laman sesawang
Kali terakhir dikemaskinikan: November 2022

Maktab Rendah Sains MARA Serting (singkatan: MRSM Serting) terletak di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan. Ia telah ditubuhkan di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat Bil. 20 Tahun 1966 sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat MARA dalam bidang latihan dan pendidikan. Nama MRSM Serting diberi sempena nama tempat di situ yang dikenali sebagai Serting yang kemudiannya bertukar nama kepada Bandar Seri Jempol. Kedudukannya yang berada di dalam perkampungan FELDA menjadikan suasana pembelajaran lebih aman dan tenang. Pada tahun 2013, MRSM Serting telah diberi pengiktirafan sebagai antara salah satu MRSM untuk menjalankan program IGCSE. Kini, MRSM Serting menawarkan program Premier yang melibatkan pelajar dari tingkatan 1 hingga 5.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penubuhan maktab[sunting | sunting sumber]

Ia dibuka pada 1 Disember 1993. Tarikh Pecah Tanahnya pada 1985. Menteri yang terlibat dalam Perasmian Pecah Tanah itu adalah Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba. Keluasan maktab ini adalah 22 hektar.

Pada mulanya MRSM Serting hanya mempunyai guru seramai 35 orang dan bilangan kakitangannya seramai 21 orang sahaja. Bangunan asrama terbahagi kepada Asrama Putera dan Puteri. Asrama Putera terdiri daripada 2 blok iaitu At-Tarmizi dan Al-Ghazali manakala Asrama Puteri terdiri daripada Blok Rabiatul Adawiyah dan Blok Fatimah Az-Zahrah. Setiap bangunan asrama mengandungi 60 bilik.

Antara kemudahan-kemudahan yang terdapat di maktab ini ialah Surau Al-Huda, Dewan Sri Masyitah (Dewan Selera), Kafeteria, Pusat Sumber Pembelajaran (PSP), Studio Seni Reka, Makmal-makmal Sains, Bilik Sakit dan Pondok Istirehat (Pondok Suluh Budiman).

Seterusnya keistimewaan utama maktab ini adalah terletak dalam suasana persekitaran yang menghijau. Suasana ini adalah ilham daripada Pengetua MRSM Serting yang pertama iaitu Tuan Hj. Mohamed Idhan Bin Mamat. Suasana keceriaan yang menarik ini telah memberi kesedaran dan ilham yang terbaik kepada para pelajar maktab dalam mentelaah pelajaran.

Namun, kedudukan maktab ini yang strategik dan jauh dari kesibukan kota menjadikan maktab ini amat sesuai untuk warga pelajar belajar disini. Kawasan Felda yang senyap dan sunyi menambahkan lagi keselesaan persekitaraan maktab ini. Pada masa itu motto maktab ialah “Merintis Kecemerlangan”.

Pada era Dr. Fatanah Bt. Mohamed, Pengetua Ke-2 MRSM Serting (Disember 1997 - 2000) motto telah ditukar sebagai “Juara Gemilang” secara tidak langsung motto tersebut telah menaikkan semangat pelajar di MRSM Serting.

Senarai Pengetua[sunting | sunting sumber]

Nama Mula berkhidmat Tamat berkhidmat
Tuan Hj. Mohamed Idhan Bin Mamat Disember 1993 Disember 1997
Dr. Fatanah Binti Mohamed Disember 1997 Disember 2001
Tuan Hj. Bahari Bin Ab Wahab Disember 2001 15 Julai 2008
Tuan Hj. Mohd Ghazi b. Samsudin 15 Julai 2008 17 Disember 2010
En. Suhaimin Bin Omar 17 Disember 2010 31 Oktober 2012
Tuan Hj. Noor Hassan Bin Hj Hussain 1 November 2012
Tuan Hj. Ab Bakar Bin Ab Wahab 3 Julai 2018 30 Julai 2021
Tuan Hj. Mohamad Hanif bin Hamali


Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Akademik dan pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Blok Rahman MRSM Serting

MRSM Serting mempunyai tiga buah blok akademik:

  • Blok Razak
  • Blok Rahman
  • Blok Hussin

Blok Razak mempunyai 13 kelas. 6 kelas ialah kelas tingkatan 3 manakala 7 kelas ialah kelas tingkatan 5. Blok Rahman mempunyai 7 buah kelas untuk tingkatan 4. Blok Hussin pula mempunyai 12 buah kelas untuk tingkatan 1 dan 2. Blok Rahman menempatkan pejabat Maktab, Pusat Sumber Pembelajaran, Bilik Bahasa, Bilik Kaunseling, Makmal Komputer, Jempol Room dan bilik kuliah. Blok Razak menempatkan pelbagai jabatan akademik seperti Jabatan Bahasa, Jabatan Sains Sosial, Jabatan Matematik dan Jabatan Sains, Bilik UPPM serta Serting Room. Blok Hussin pula menempatkan Bilik Kesenian dan Bilik SPBT. Dewan Gemilang terletak berdekatan dengan Blok Razak digunakan untuk menjalankan sebarang peperiksaan, perhimpunan rasmi serta aktiviti-aktiviti maktab.

Penginapan pelajar[sunting | sunting sumber]

Bagi menampung penginapan pelajar sepanjang sesi persekolahan, terdapat beberapa kemudahan yang berkaitan. Asrama bagi pelajar lelaki terdiri daripada dua blok:

  • Blok At-Tarmizi (AT)
  • Blok Al-Ghazali (AG)

Dahulunya terdapat 3 asrama lelaki,At-Tarmizi, Al-Khawarizmi dan Al-Ghazali namun At-Tarmizi dan Al-Khawarizmi telah digabung untuk menjadi sebuah asrama iaitu At-Tarmizi.

Asrama bagi pelajar perempuan pula terdiri daripada dua blok:

  • Blok Rabiatul Adawiyah (RAA)
  • Blok Asma` Abu Bakar (AAB)

Setiap blok mempunyai beberapa buah bilik. Dalam satu bilik, ianya dilengkapi dengan empat buah katil, empat buah almari serta meja belajar. Setiap bilik juga dilengkapi dengan almari rak kasut. Rumah warden pula disediakan berdekatan dengan blok Al-Ghazali dan At-Tarmizi bagi warden lelaki dan berdekatan dengan blok Asma` Abu Bakar dan Rabiatul Adawiyah bagi warden perempuan.

Antara kemudahan lain yang disediakan di setiap blok asrama ialah bilik utiliti iaitu bilik yang digunakan untuk belajar, bilik menggosok baju serta anjung. Ampaian disediakan bagi mereka yang ingin menjemur baju dan tidak menggunakan khidmat dobi.

Terdapat dua buah dewan selera yang menyediakan makanan bagi para pelajar setiap hari.

Sukan dan rekreasi[sunting | sunting sumber]

MRSM Serting mempunyai sebuah padang yang luas yang boleh digunakan untuk bermain bola sepak, ragbi, bola keranjang, bola tampar, bola jaring, sepak takraw serta bola baling. Padang ini terletak di belakang Pusat Sumber Pembelajaran. Padang ini juga digunakan untuk acara sukan tahunan maktab. Terdapat dua gelanggang bola keranjang dan tiga gelanggang bola tampar. Antara fasiliti sukan yang lain ialah tiga buah gelanggang tenis, sebuah padang untuk bermain bowling padang, Dewan Gemilang yang menempatkan tiga buah gelanggang badminton.


Aktiviti[sunting | sunting sumber]

Dalam institusi[sunting | sunting sumber]

Homeroom[sunting | sunting sumber]

Sesi Homeroom sedang dijalankan

Homeroom ialah program di mana sekumpulan pelajar dibimbing oleh seorang guru akademik yang bertindak sebagai ibu atau bapa angkat kepada pelajar tersebut[1]. Sebuah homeroom biasanya mempunyai tidak lebih daripada 13 orang pelajar. Antara tujuan pelaksanaan homeroom adalah:

  • Mengesan dan menolong pelajar yang menghadapi masalah emosi.
  • Menggalakan pelajar merancang dan melaksanakan sendiri aktiviti mereka.
  • Memupuk persefahaman dan perpaduan dikalangan pelajar.
  • Menanam perasaan bertanggungjawab dan kasih kepada MRSM.
  • Mewujudkan hubungan mesra antara guru dan pelajar[2].
  • Mempelajari dan memahami nilai-nilai masyarakat.
  • Meninggikan kesedaran sivik dan perasaan kewarganegaraan Malaysia.

Luar institusi[sunting | sunting sumber]

Para pelajar di MRSM Serting banyak didedahkan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang sains dan teknologi. Pada tahun 2013, lima orang pelajar tingkatan empat menyertai Ekspo Sains Antarabangsa bertempat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu[3]. Mereka membentangkan kajian mengenai biodiesel dan teknologi hijau yang berpotensi meningkatkan kesuburan tanah[3]. Kajian dilakukan hasil kerjasama penyelidik dari Universiti Putra Malaysia. Selain itu, pada tahun 2022, Jabatan Alam Sekitar mengadakan pameran alam sekitar bersempena dengan Program Sambutan Hari Bumi[4].


Kejayaan[sunting | sunting sumber]

Bukan akademik[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2015, MRSM Serting melakar sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records menerusi penganjuran program bacaan Surah Yasin selama 58 jam tanpa henti[5]. Program ini dianjurkan bersempena dengan kemerdekaan Malaysia yang ke-58 tahun.


Lagu Maktab[sunting | sunting sumber]

Wahai putera puteri bangsaku
Ayuh segera menuju
Mengikut gerak langkah maju
Bersatu mencari ilmu

Di zaman sains dan teknologi
Negara perlukan jasamu
Janganlah rasa malas lagi
Bersama memegang teraju

Di Maktab Rendah Sains MARA
Tuntut ilmu jangan jemu
Ikrar taat setia pada guru
Berdisiplin selalu

Hari ini hari mulanya
Hari esok berjaya
Lengkapkan segala yang ada
Ke kuliah kita segera


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "IBUBAPA PUJI SISTEM HOMEROOM MRSM". eWarta MARA. Dicapai pada 13 November 2022.
  2. ^ "MARA bantu pelajar MRSM ke menara gading". Sinar Harian. 14 Februari 2021. Dicapai pada 13 November 2022.
  3. ^ a b "Pelajar MRSM Serting sertai ekspo sains di Abu Dhabi". Berita Harian. Dicapai pada 13 November 2022.
  4. ^ "PAMERAN SEMPENA SAMBUTAN HARI BUMI DI MRSM SERTING". Enviro. Dicapai pada 13 November 2022.
  5. ^ Aswad Shuaib, Iwan Shu (20 Ogos 2015). "MRSM Bakal Lakar Sejarah Baca Yasin 58 Jam Tanpa Henti". MStar. Dicapai pada 13 November 2022.


Lihat juga[sunting | sunting sumber]