Bukit Tengah
Bukit Tengah | |
|---|---|
| Bandar Bukit Tengah | |
| Negara | |
| Negeri | |
| Daerah | Daerah Seberang Perai Tengah |
| Poskod | 14000 |
Bukit Tengah merupakan sebuah kawasan perindustrian dan perumahan yang terletak berhampiran dengan Lebuhraya Utara-Selatan di negeri Pulau Pinang, Malaysia. Ia terletak kira-kira 10 km dari Butterworth. Susulan pembangunan pesat di kawasan ini seperti pembukaan Icon City dan Autocity, kawasan yang asalnya di bawah pentadbiran Mukim 11 ini kini telah diwartakan sebagai Bandar Bukit Tengah.[1]
Secara pentadbirannya, Bandar Bukit Tengah terletak di dalam kawasan parlimen Batu Kawan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah.
Ekonomi dan Infrastruktur
[sunting | sunting sumber]Dari segi geografi, bandar ini terletak di pertengahan laluan keretapi antara bandar Butterworth dan Perai menuju ke Bukit Mertajam.
Di Bukit Tengah, terdapat pelbagai kawasan perindustrian yang terdiri daripada perusahaan bebas mahupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS). Selain itu, kawasan ini terkenal dengan pusat hiburan dan komersial yang dinamakan Autocity. Ia terletak strategik di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (arah Pulau Pinang ke Ipoh). Perlu ditegaskan bahawa Autocity secara geografinya terletak dalam kawasan Bukit Tengah, bukannya di dalam kawasan Perai atau Juru.
Autocity
[sunting | sunting sumber]Pusat komersial ini menjadi tumpuan pengunjung untuk hiburan dan rekreasi. Autocity juga sinonim dengan bilik pameran kereta dan motosikal, di mana ia sering menjadi lokasi penganjuran pertunjukan kenderaan mewah. Hampir kesemua jenama syarikat kenderaan utama di Malaysia mempunyai cawangan atau wakil di sini. Pertunjukan kenderaan ini lazimnya diadakan pada waktu malam dan menjadi tarikan utama pengunjung. Selain itu, pelbagai acara seperti konsert dan persembahan kebudayaan juga kerap diadakan di perkarangan Autocity.
Pada waktu siang, kawasan ini menjadi hab kewangan yang sibuk dengan kehadiran pelbagai cawangan bank utama di Malaysia. Sektor makanan dan minuman (F&B) juga berkembang pesat di sini dengan pembukaan banyak restoran francais dan restoran berkelas tinggi, manakala kedai makanan penjaja kecil kurang kelihatan di zon komersial ini.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Selaraskan semula status tanah, warta 25 bandar baharu demi tingkatkan kecekapan pentadbiran". Buletin Mutiara. Dicapai pada 2026-01-16.