Kesatuan Melayu Muda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Kesatuan Melayu Muda
Young Malays Union
كساتوان ملايو مودا
KMM
KetuaIbrahim Yaakob (pengasas dan pemimpin)
Diasaskan1938
Dibubarkan1945
DidahuluiMalay Youth League [1]
DiikutiParti Kebangsaan Melayu Malaya [2]
AkhbarWarta Malaya (Singapura)
Kedudukan politikHaluan kiri
Warna rasmiMerah, putih
Politik Malaya
Parti politik
Pilihan raya

Kesatuan Melayu Muda (KMM) (Jawi: كساتوان ملايو مودا atau Bahasa Inggeris:Young Malays Union) ditubuhkan pada 1938 di Kuala Lumpur, ibu negara Negeri-negeri Melayu Bersekutu oleh Ibrahim Yaakob dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) bagi melindungi hak-hak orang Melayu dan menentang penjajahan British.

KMM merupakan pertubuhan politik bersifat kebangsaan yang pertama di British Malaya. Pertubuhan ini berhasrat untuk menggulingkan pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu dengan tindakan keras dan menyatukan Tanah Melayu dengan Republik Indonesia di bawah Panji Melayu Raya.[3] Perjuangan yang amat radikal ini menyebabkan pihak Inggeris menggangap mereka pejuang berhaluan kiri yang berbahaya.

Nama asal KMM ialah Malay Youth League kerana hendak meniru Turki yang meneladani Barat. Atas usul Abdul Samad Ahmad, nama ditukar kepada kepada Kesatuan Melayu Muda, mencontohi 'Turki Muda' yang terkenal di kalangan orang Melayu saat itu.[4]

Sejarah Awal Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Penubuhan KMM berkait rapat dengan keadaan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), yang kini dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim,Perak pada tahun 1930-an. Semangat anti-British dipanaskan melalui syarahan dan penulisan di maktab tersebut. Cikgu Ibrahim Yaakob sendiri merupakan seorang bekas guru pelatih maktab itu. Antara bekas pelajar MPSI yang lain yang bergiat dalam KMM ialah Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Mohd Isa Mahmud.

Selepas penubuhan pusat KMM di Kuala Lumpur, ahli-ahli KMM yang ramainya terdiri daripada guru-guru graduan MPSI mula menyebarkan sayap KMM ke pelusuk Tanah Melayu. Kemudiannya, KMM dan beberapa pertubuhan Melayu yang lain telah mengaturkan satu kongress Melayu di Kuala Lumpur pada Ogos, 1939. Kongress kedua pula telah diadakan di Singapura pada Disember 1940. Kongres seterusnya sepatutnya diadakan di Ipoh pada tahun 1941. Akan tetapi terhalang apabila Perang Dunia II meletus dan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun.

Ahli-ahli Pengasas KMM

Name [5] Jawatan Pendidikan Pekerjaan Negeri Asal
Ibrahim Yaakub Presiden Sekolah Melayu Guru kemudian wartawan Pahang
Mustapha Hussain Naib-Presiden Sekolah Melayu dan Inggeris Pensyarah Perak
Hassan Manan Setiausaha I Sekolah Melayu Guru Selangor
Othman Mohd Noor Setiausaha II Sekolah Melayu dan Inggeris Jurutaip Kuala Lumpur
Idris Hakim Bendahari Sekolah Melayu dan Inggeris Kerani Perak
Ishak Muhammad Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu dan Inggeris Majistret ke Guru ke Wartawan Pahang
Abdul Karim Rashid Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu Guru Selangor
Bahar Abik Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu Pegawai bawahan Kuala Lumpur
Onan Siraj Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu dan Inggeris Pekerja rencam Perak
Sulung Chik Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu dan Inggeris Pegawai Subordinat Pahang
Abdul Samad Ahmad Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu Wartawan Selangor
Abdullah Kamil Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu Wartawan Kuala Lumpur
Mohammad Salehuddin Ahli Jawatankuasa Pusat Sekolah Melayu Wartawan Kuala Lumpur

Membeli Warta Malaya[sunting | sunting sumber]

Sewaktu Perang Dunia II semakin menghampiri Tanah Melayu,pemuda-pemuda KMM telah menyemarakan semangat anti-British. Pada 1941, Konsul Jeneral Jepun di Singapura telah membantu KMM membeli akhbar Melayu di Singapura yang dipanggil Warta Malaya dengan memberikan kemudahan kewangan. Pada tahun 1941, pihak British telah mula mengesan pengaruh Jepun di dalam KMM. British telah memerhati KMM dengan dekat dan pada akhir tahun 1941, pucuk kepimpinan KMM termasuk Ibrahim Yaakob dipenjarakan. Perjuangan KMM menjadi lemah apabila ramai pemimpin mereka ditangkap. Kelemahan mereka semakin ketara apabila Jepun mula menduduki Tanah Melayu.

Jurubahasa tentera Jepun[sunting | sunting sumber]

Semasa tentera Jepun menyerang Tanah Melayu, pemuda-pemuda KMM telah membantu kemaraan tentera-tentera Jepun ke Tanah Melayu sepanjang tahun 1941-1942 sebagai penunjuk jalan dan juru bahasa. [6] Ibrahim dilatih selama enam bulan dan sebelum Jun 1944 dia dilantik sebagai Komandan Giyugun dengan pangkat Leftenan Kolonel. Dengan bantuan tentera Jepun pasukan Giyugun telah ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu dan di Sumatera.

Kesatuan Melayu Muda mempunyai hubungan yang akrab dengan Jepun. Pada Januari 1942, KMM telah meminta kemerdekaan Tanah Melayu dengan rasminya daripada Jepun. Ini membuatkan Kesatuan Melayu Muda sebagai badan politik kebangsaan Tanah Melayu yang pertama yang berbuat demikian. Walaupun begitu, Jepun menolak permintaan tersebut.

Ibrahim ke Jakarta[sunting | sunting sumber]

Ibrahim Yaakob menghantar tiga wakilnya ke Jakarta untuk berunding dengan Sukarno. Di Jakarta, Badan Penyelidikan Usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI) membicarakan batas sempadan negara Indonesia iaitu termasuk bekas Hindia Belanda, atau bekas Hindia Belanda ditambah dengan Malaya, New Guinea, Borneo Utara dan Timor Timur Portugis. Ataukah bekas Hindia Belanda tolak New Guinea. Prof. Mohammad Yamin menganjurkan alternatif kedua, yakni Indonesia Raya. Sukarno setuju dan pada pemungutan suara 39 daripada 62 anggota Badan tersebut memilih Indonesia Raya.

Pertemuan Taiping 1945[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Ogos 1945, Ibrahim Yaakob telah bertemu dengan delegasi Ir Sukarno, Drs Mohammad Hatta, Drs Burhanuddin Helmi dan Mejar Jeneral Umezu di bandar Taiping, Perak. Sukarno dan Hatta singgah di Lapangan Terbang Taiping dalam perjalanan pulang dari Saigon, Vietnam ke Indonesia.[7] Mereka menyatakan bahwa rakyat di Tanah Melayu ingin bersatu dalam negara Indonesia. Ibrahim Yaakob lahir di Temerloh,Pahang pada 1911 dan beliau berketurunan Bugis dan mengkagumi karisma Sukarno. Ibrahim Yaakob menegaskan kepada Sukarno bahawa orang- orang Melayu bertekad untuk menjadi orang Indonesia yang merdeka.

Indonesia Raya tidak menjadi kenyataan kerana Jepun menyerah kalah secara tiba-tiba pada 15 Ogos 1945. Ibrahim diarahkan membubarkan Giyugun. Pada 19 Ogos Ibrahim, isterinya, iparnya Onan Haji Siraj dan Hassan Manan terbang ke Jakarta dengan pesawat tentera Jepun. Sukarno mengaskan gagasan memasukkan Malaya tidak mudah kerana terpaksa berjuang menentang dua kuasa besar iaitu Belanda dan British.

Sukarno menyarankan Ibrahim dan rakan rakan-rakan berjuang di pulau Jawa untuk mencapai 'Indonesia Raya'. Sehingga 1973 barulah Ibrahim kembali ke Malaysia kerana sebelum itu kerajaan Malaysia melarang beliau kembali.

Pertemuan dengan Tunku Abdul Rahman 1955[sunting | sunting sumber]

Pada November 1955, Ibrahim Yaakob bertemu dengan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman yang menemui Presiden Sukarno di Jakarta. Tunku mahu Malaya merdeka dalam Komanwel British. Sedangkan Ibrahim mahu Malaya merdeka dalam kerangka 'Indonesia Raya'

Ibrahim menjadi ahli parlimen Indonesia[sunting | sunting sumber]

Dengan sokongan Sukarno, Ibrahim dilantik sebagai ahli Parlimen Indonesia dengan nama 'Iskandar Kamel'. Apabila terjadi peristiwa lubang buaya 1965, Ibrahim / Iskandar Kamel mengundurkan diri menjadi ahli parlimen. Kemudian beliau merintis membentuk 'Bank Pertiwi' dan menjadi pengarahnya.

Ibrahim Yaakob meninggal dunia pada 8 Mac 1979 dan disemadikan di Kalibata, Jakarta - tanda bukti beliau seorang patriot.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ 'Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran' by Abdul Rahman Haji Abdullah; 1997; page 168
  2. ^ Sani, Rustam (2008). Social Roots of the Malay Left. SIRD. m/s. 30. ISBN 9833782442.
  3. ^ Japanese-Trained Armies in Southeast Asia, By Joyce Lebra
  4. ^ 'Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran' oleh [[Abdul Rahman Haji Abdullah ;1997; hlm 168
  5. ^ Khairudin Aljunied, Syed Mohd (2015). Radicals: Resistance and Protest in Colonial Malaya. Illinois: Northern Illinois University Press. m/s. 51. ISBN 9780875804927.
  6. ^ Southeast Asian Culture and Heritage in a Globalising World: Diverging ... By Ooi Giok Ling
  7. ^ Soekarno - Ibrahim di Taiping