Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Kolej Universiti Insaniah)
Lompat ke: pandu arah, cari
Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah International Islamic University
Kuin.jpg
Jenis Swasta
Ditubuhkan pada 1995 (as INSANIAH), 2006 (upgraded as KUIN), 2018 (upgraded as UniSHAMS)
Lokasi Kuala Ketil, Mergong, Sungai Petani
Kampus Bandar
Laman web http://www.kuin.edu.my/

Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) telah dinaiktaraf sebagai universiti penuh pada 8 Februari 2018. UniSHAMS dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Insaniah (KUIN) (dinaiktaraf pada 15 Mei 2010) dan Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) pada awal penubuhannya iaitu pada tahun 1995. Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) merupakan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang berdaftar di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia KPT/JPS/DFT/US/K03 dan dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

Ahli Lembaga Pengarah UniSHAMS dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman. Kesepaduan tenaga akademik dari dalam dan luar Negara telah menarik ramai warga asing daripada Asia Tenggara seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja termasuk Iran, Australia, Republik Rakyat China dan lain-lain.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman. Institusi ini ditubuhkan menurut Enakmen Bil. 4 tahun 1995 di Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 22 Jun 1995.

INSANIAH pada masa kini, telah diberikan status (Institusi Pendidikan Tinggi Kerajaan [IPTK]) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta berdaftar di bawah Akta Pendidikan 1996 dengan nombor pendaftaran K/IPTK/07 (021). INSANIAH juga mempunyai sebuah badan eksekutif yang dikenali sebagai Majlis INSANIAH yang berfungsi sebagai badan yang mengelola, mengawal dan mentadbir INSANIAH.

Majlis INSANIAH dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman. Idea penubuhan INSANIAH ini tercetus apabila dua orang Pegawai Tinggi kerajaan negeri, pada tahun 1993 iaitu Yang Berhormat Dato' Paduka Hj. Ahmad Basri Mohd Akil, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Tuan Hj. Sukri Hashim, Pengurus Besar Yayasan Islam Negeri Kedah (YIK) telah mengadakan lawatan ke Kaherah,Mesir, untuk meninjau pelajar Kedah yang menuntut di Universiti Al-Azhar dan meneliti kebajikan mereka. Bermula dari sini, timbul cadangan untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri, mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi Islam di negeri Kedah Darul Aman.

Sehubungan itu, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman ketika itu, Tan Sri Dato' Sri Hj. Osman Hj. Arof telah mengarahkan agar dibuat satu kertas kerja yang berkonsepkan penubuhan Institut Pengajian Tinggi Islam di negeri Kedah yang melaksanakan satu program berkembar dengan Universiti Al-Azhar, Mesir. Bagi menerus dan menyempurnakan hasrat ini, Yayasan Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEIK) telah diamanahkan oleh kerajaan negeri untuk membuat kertas kerja awal. Dewan Undangan Negeri Kedah telah meluluskan penubuhan INSANIAH ini, pada 7hb Disember 1994 di bawah enakmen Bil 4 Tahun 1995 dan kemudiannya diutarakan pada 22hb Jun 1995.

INSANIAH merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Islam di negeri ini yang menjalankan program Pengajian Islam secara berkembar dengan Universiti Al-Azhar, Mesir. Pada peringkat awal penubuhannya ia hanya menawarkan peringkat pengajian ijazah pertama iaitu di dalam bidang Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab. Tenaga pengajarnya pula pada ketika itu hanya sembilan orang pensyarah yang bertaraf Profesor Madya yang terdiri daripada enam orang daripada Universiti Al-Azhar, seorang daripada Indonesia dan dua orang daripada Malaysia. Jumlah pengambilan pertama seramai 43 orang pada sesi 1995/1996.

Pada peringkat awal penubuhan INSANIAH, la telah ditempatkan di kampus sementara di No 45, Lorong Perak 18, Seri Mergong, 05150 Alor Setar Kedah. Kampus ini terletak di kawasan Taman Perindustrian Ringan Mergong, lebih kurang 1.5 Kilometer daripada bandar Alor Setar, Kedah Darul Aman.

Pada 8 April 2006, INSANIAH terus mengorak langkah apabila menerima surat tawaran naik taraf menjadi kolej universiti. Surat tersebut diserahkan sendiri oleh YB Dato' Haji Mustafa bin Mohamad, Menteri Pengajian Tinggi kepada Rektor KUIN dan disaksikan oleh YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman. Kemudian, pada 15 Mei 2006 INSANIAH melakar sejarah baru apabila secara rasminya telah dinaik taraf sebagai Kolej Universiti Insaniah (KUIN). KUIN ditadbir oleh sebuah badan eksekutif yang dikenali sebagai Lembaga Pengarah KUIN yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Pada tanggal 8 Februari 2018, merupakan detik yang paling dinanti-nantikan oleh warga KUIN yang mana pada tarikh ini KUIN telah diberikan perakuan pendaftaran universiti penuh oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan KUIN kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).

Kini UniSHAMS terus menaikkan imej Kedah dengan menjadi pusat pengajian Islam yang terulung dirantau ini apabila dianggap oleh Universiti al Azhar sebagai cawangannya di Asia Tenggara. Hal ini menarik lebih ramai pelajar warga asing untuk menyambung pengajian di sini seperti dari Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Republik Rakyat China, Kemboja, Iraq dan lain-lain.

Kulliyyah[sunting | sunting sumber]

  • Kulliyyah Hospitaliti dan Seni Kreatif
  • Kulliyyah Usuluddin dan Sains Al-Quran
  • Kulliyyah Syariah dan Undang-Undang
  • Kulliyyah Muamalat
  • Kulliyyah Perubatan dan Sains Kesihatan
  • Kulliyyah Bahasa Arab
  • Pusat Pengajian Asasi
  • Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi

Pautan luar[sunting | sunting sumber]