Universiti Sains Islam Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Universiti Sains Islam Malaysia
اونيۏرسيتي ساءين س اسلام مليسيا
DaniAsh Logo+USIM.jpg
Moto "Berilmu, Berdisiplin dan Bertakwa"
Jenis Awam
Ditubuhkan pada 1998
Canselor DYMM Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud
Tuanku Ampuan Negeri Sembilan
Naib Canselor Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad
Lokasi Nilai, Negeri Sembilan
Kampus Kampus induk di Nilai
Kampus cawangan di Pandan Indah, Kuala Lumpur
Laman web http://www.usim.edu.my

Universiti Sains Islam Malaysia (singkatan: USIM; dahulu dikenali: Kolej Universiti Islam Malaysia, KUIM) merupakan salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Malaysia. Kampus utama terletak di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan dan kampus di Pandan Indah, Kuala Lumpur pula dikhaskan untuk pelajar-pelajar Fakulti Perubatan dan Kesihatan (FPSK) serta Fakulti Pergigian (FPg).

USIM merupakan sebuah Universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia di permulaan abad ke-21. Ia merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang ke-12 di negara ini dan didaftarkan dengan nama Kolej Universiti Islam Malaysia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

USIM dahulunya dikenali sebagai 'Kolej Universiti Islam Malaysia' (KUIM) sebelum dimahsyurkan sebagai universiti awam.

Matlamat Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Idea penubuhan USIM dicetuskan oleh YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kini YAB Dato’ Seri), Menteri Pendidikan pada ketika itu, dan disokong oleh YAB Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) selaku Perdana Menteri. Ianya kemudian direalisasikan oleh YBhg Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin (kini Prof Emeritus Tan Sri) yang ketika itu merupakan Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan YBrs Prof Madya Dr Abdullah Mohamed Zin (kini Tan Sri Dato’) pensyarah UKM, YB Datuk Dr Mohamed Yusof Noor (kini Tan Sri) yang ketika itu Exco Terengganu dan YB Tan Sri Datuk Dr Abdul Hamid Othman (Allahyarham), ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pelaksanaan operasi awal USIM dibantu oleh Tuan Haji Addenan Abd Rahman sebagai Pendaftar, Puan Hajah Rohani Abu sebagai Bendahari, Encik Jasmin Jaimon sebagai Ketua Pustakawan dan Ir Daim Saian sebagai Pengarah Unit Pembangunan.

Penubuhan USIM membuka peluang kepada para pelajar lepasan sekolah aliran agama menyambung pengajian tanpa perlu ke Timur Tengah selain memenuhi hasrat kerajaan untuk mempunyai pusat pengajian Islam berikutan konflik di sesetengah negara Islam. Pada 6 Safar 1418 H (13 Jun 1997 EM), Jemaah Menteri bersetuju dengan penubuhan KUIM yang diwartakan pada 14 Zulkaedah 1418 H (13 Mac 1998 EM) dengan keunikan tersendiri melalui kurikulum yang menekankan paduan ilmu naqli dan aqli.

Universiti ini melalui penjenamaan semula dengan dianugerahkan status universiti penuh berkuatkuasa 13 Muharram 1428 H (1 Februari 2007 EM) dan dikenali sebagai USIM. Perasmian kampus tetap USIM diadakan dengan penuh gilang-gemilang pada 26 Zulkaedah 1429 H (25 November 2008 EM) oleh Perdana Menteri Malaysia kelima, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun). 

Keputusan USIM untuk memilih paduan ilmu naqli dan aqli sebagai falsafah Universiti memberi harapan dan semangat kepada generasi baharu Muslim untuk membongkar serta memanfaatkan kembali khazanah intelektual Islam dan mengenal pasti faktor-faktor yang mendorong kepada kegemilangan tamadun Islam. Usaha ini memberi peluang yang lestari kepada generasi akan datang untuk membina tamadun terbaik berasaskan kefahaman dan pelaksanaan Islam secara komprehensif dan sepadu. Ini disokong pula dengan penggunaan kitab- kitab turath yang ternama sebagai satu lagi asas keunikan pendidikan USIM. Semua penuntut didedahkan kepada sumber-sumber tersebut sebagai tambahan kepada ilmu kontemporari.

Kitab turath atau kitab lama sinonim dengan panggilan kitab kuning dalam kalangan generasi pondok. Kewujudannya di USIM bukan semata-mata menonjolkan keunikan dan hala tujunya yang berbeza berbanding dengan universiti-universiti yang lain. Sebenarnya ia mempunyai hasrat yang besar dan wawasan yang unggul iaitu menjadi sebuah universiti berteraskan pengajian Islam dan melahirkan generasi ulama yang bukan sekadar didedahkan kepada subjek-subjek agama. Menghubungkan penuntut dengan sumber utama (turath) merupakan agenda penting yang perlu dibudayakan. Ini usaha membentuk peribadi ulama. Misalnya, ulama perlu mempunyai hubungan ilmu dengan generasi sebelumnya (sanad) dalam memastikan kelestarian ilmu yang sahih. Selain itu, ulama juga perlu membawa bendera keamanan (rahmah). 

Moto, Falsafah, Misi dan Visi[sunting | sunting sumber]

MOTO

Berilmu, Berdisiplin dan Bertakwa

FALSAFAH

Paduan di antara ilmu Naqli dan Aqli serta budi pekerti yang mulia adalah teras utama membentuk generasi cemerlang dan masyarakat berilmu.

VISI

Mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli untuk mentransformasi dan menghasilkan nilai kepada negara, ummah dan manusia sejagat.

MISI

Bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan yang berteraskan pengajian Islam dan menjadi peneraju ilmu baharu yang menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan inovasi yang mampu mentransformasikan negara, ummah dan manusia sejagat.

[sunting | sunting sumber]

Empat komponen asas yang membentuk logo USIM ialah rehal, kubah, arabes dan litar. Tulisan USIM yang dijawikan membentuk sebuah rehal membawa maksud landasan atau pelantar sebagai lambang wadah penyampaian ilmu. Kubah yang terletak di tengah-tengah logo pula memberi simbol USIM sebagai institusi berdaulat. Manakala arabes yang mempunyai lima motif melambangkan rukun Islam. Lakaran litar yang terletak bersebelahan tulisan USIM bermaksud asas sains dan teknologi yang dibawa bersama dalam penyampaian ilmu.

Asasnya, logo ini menunjukkan USIM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang membawa bersama ciri-ciri Islam dalam penyampaian dan penerokaan ilmu. Logo ini menggambarkan kesungguhan USIM untuk menjadi kampus yang dilimpahi barakah dalam aspek ilmu dan takwa. 

Lagu "USIM Terus Maju"[sunting | sunting sumber]

Malaysia maju di zaman merdeka

Umatnya bergerak berganding bahu

USIM menyahut harapan bangsa

Menjadi universiti termaju

Cabaran masa teras kegiatan

Penyelidikannya untuk dunia

Terus progresif membina insan

Berdisiplin mengamal nilai mulia

Benteng harapan untuk terus maju

Menjadi universiti terkini

Meredah halangan mencipta mutu

Mengharum negara seluruh bumi

USIM berjanji pada ibunda

Berjasa berbudi untuk semua

Siswanya adalah tunggak negara

Kan terus membela maruah kita

Lagu ciptaan : Tn. Hj. Mahzan Manan

Lirik oleh : Y.Bhg. Tan Sri Dr. Yusof Noor

Paduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli[sunting | sunting sumber]

Falsafah USIM sejak dari awal penubuhannya ialah “Paduan antara ilmu naqli dan aqli serta budi pekerti yang mulia adalah teras utama membentuk generasi cemerlang dan masyarakat berilmu”. Falsafah ini menjadi panduan kepada Universiti dalam menubuhkan fakulti, membangunkan program akademik, merangka aktiviti kokurikulum dan pembangunan pelajar serta menentukan hala tuju pembangunan Universiti.

Dalam konteks pembangunan kurikulum, USIM mengambil pendekatan mengintegrasikan ilmu naqli yang berteraskan pengajian Islam dan aqli yang bersumberkan ilmu kontemporari dalam program pengajian yang ditawarkan. Setiap kursus diberi ruang untuk mengaplikasikan integrasi naqli dan aqli. Dalam konteks ini, USIM terus memacu ke hadapan melalui pengenalan kaedah penaksiran pelaksanaan integrasi ilmu naqli dan aqli yang dibangunkan oleh Pusat Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (PIINA).

Dalam masa yang sama, penawaran kursus berorientasikan turath ini mampu membentuk warga kampus yang seimbang dalam merealisasikan hasrat USIM mengintegrasikan antara ilmu naqli dan aqli (al-Muhāfazah cala al-Qadīm al-Sālih wa al-Akhdh bi al-Jadīd al-Aslah) yang bermaksud memelihara perkara lama yang baik berserta mengambil perkara baharu yang lebih baik. Pembudayaan turath turut mampu merintis hasrat Kampus Barakah dengan amalan yang berpaksikan ilmu yang absah. Fokus USIM kepada pengajian turath ini mampu memberi impak yang besar di peringkat nasional mahupun antarabangsa melalui siswazah yang dihasilkan daripada acuan integrasi ilmu naqli dan aqli. Maka fakulti-fakulti awal ditubuhkan selaras dengan usaha dan matlamat ini. 

Fakulti[sunting | sunting sumber]

Kini USIM mempunyai 9 buah fakulti iaitu:

  • Fakulti Pengajian Quran & Sunnah (FPQS)
  • Fakulti Kepimpinan & Pengurusan (FKP)
  • Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU)
  • Fakulti Ekonomi & Muamalat (FEM)
  • Fakulti Sains & Teknologi (FST)
  • Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK)
  • Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU)
  • Fakulti Pergigian (FPG)
  • Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB)

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam (FDPI) dan Fakulti Syariah dan Kehakiman (FSK) adalah tiga fakulti terawal ditubuhkan di USIM. Ketiga-tiga fakulti adalah teras utama bidang Pengajian Islam yang bermatlamat mengembalikan tradisi keilmuan Islam berasaskan sumber utama keilmuan dan ketamadunannya iaitu al-Quran, sunah, akidah, syariah dan dakwah.

Penubuhan ketiga-tiga fakulti ini membantu menangani keperluan dan cabaran semasa masyarakat Islam, melahirkan bakat yang kukuh penghayatan nilai Islamnya dan mahir dalam bidang pengkhususan yang diceburi serta mampu berinteraksi dengan berkesan. Seterusnya, siswazah ini kelak mampu memimpin masyarakat majmuk serta mempunyai potensi yang tinggi untuk menerajui pembangunan negara seperti yang tercatat pada objektif ketiga penubuhan Universiti.

Atas faktor keperluan perkembangan staf serta penuntut, USIM mula berpindah ke Kampus Pandan Indah pada 7 Zulkaedah 1422 H (21 Januari 2002 EM) dengan pertambahan fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM). Setelah hampir tiga tahun di kampus tersebut, USIM akhirnya berpindah ke kampus tetap di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada sesi akademik 2005/2006.

Dengan bertapaknya USIM di Nilai, ia memberi ruang fizikal untuk perkembangannya dalam meneruskan hasrat memartabatkan pendidikan Islam dengan pengertian yang luas dan membawa lulusan sekolah agama ke dalam arus perdana sistem pendidikan negara. Ia bagi membolehkan penuntut ini mengikuti pelbagai bidang pengajian profesional dan dalam masa yang sama berupaya melestarikan pengajian Islam yang menjadi latar belakang pendidikan mereka.

Sejajar dengan matlamat tersebut, USIM menubuhkan beberapa fakulti lain dengan penawaran pelbagai disiplin ilmu dan bidang profesional. Ia bermula dengan penubuhan Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) pada 1422 H (2002 EM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST) pada 1423 H (2003 EM), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) pada 1424 H (2004 EM), Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FBPU) pada 1425 H (2005 EM), Fakulti Pergigian (FPg) pada 1426 H (2006 EM), dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) pada 1437 H (2016 EM). Semua program yang ditawarkan di kesemua fakulti adalah berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli dengan memberi penekanan kepada penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris. 

FDPI bermula dengan hanya menawarkan Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam di peringkat Sarjana Muda. Pertambahan dua lagi penawaran program akademik iaitu Sarjana Muda Kaunseling dan Sarjana Muda Komunikasi memperluas skop pengajian di FDPI membuatkan nama fakulti ini diperbaharui kepada Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP). Kepelbagaian bidang akademik di FKP diperkukuh lagi dengan penawaran dua program iaitu Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama dan Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu.

FSK turut melalui proses penjenamaan semula dengan diberi nama Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) pada 1423 H (2003 EM), berdasarkan keunikan paduan sistem syariah dan undang-undang di Malaysia. Dengan penjenamaan ini, FSU menyerlahkan kemajuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta penyelidikan yang memenuhi keperluan semasa di lapangan perundangan.

FST yang ditubuhkan pada 1423 H (2003 EM) berusaha menghasilkan pakar dalam bidang-bidang kritikal dan intelektual Islam yang mampu menjana kepada kemajuan ilmu sains dan teknologi. Antara program yang ditawarkan di FST adalah Bioteknologi Makanan, Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Sains Komputer dengan Pengkhususan Keselamatan dan Jaminan Maklumat, Matematik Kewangan, Fizik Gunaan dan Teknologi Kimia Industri. Di samping itu, dengan falsafah bahawa kesihatan adalah kekayaan, USIM turut menyumbang dalam penjagaan kesihatan ummah melalui penubuhan FPSK dan FPg.

Terkini, FKAB dibangunkan pada 1437 H (2016EM) dengan matlamat mengembangkan pelbagai ilmu amali sains kejuruteraan dan seni bina Islam. Program Kejuruteraan Elektronik dan Program Seni Bina merupakan dua kursus yang menjadi tunjang dalam meluaskan pengetahuan dan kemahiran reka bentuk kreatif, imaginatif, etika kemanusiaan dan kebolehupayaan teknikal. 

Masa hadapan[sunting | sunting sumber]

Kampus USIM, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan

Selain itu, USIM juga memberikan tumpuan utama kepada pengajian peringkat siswazah. Adalah dirancangkan 40 peratus daripada enrolmen pelajarnya ialah calon-calon pascasiswazah. Ini bermakna selain daripada tanggungjawab mendidik, USIM juga menjadi institusi penyelidikan yang utama sebagai teras pengukuhan bidang pengajiannya.

Perkembangan infrastruktur teknologi, komunikasi dan maklumat[sunting | sunting sumber]

Sejak 2008, USIM telah mula menggunakan sistem pengurusan pembelajaran yang diberi nama myLMS.[1]

Selaras dengan misi penubuhan Unit Teknologi Maklumat di USIM, infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menyokong segala aktiviti P&P dan menyediakan sistem penyampaian kepada bahagian pentadbiran USIM secara optimum dan kos efektif. Pada awal penubuhan, USIM memulakan operasi pentadbiran dengan meminjam dua unit komputer peribadi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tujuan penyediaan kemudahan ICT. Pada tahun yang sama, kerajaan membekalkan 65 unit komputer peribadi kepada USIM bagi menyokong operasi pentadbiran dan 35 unit komputer peribadi bagi tujuan P&P. 

Dalam usaha menambah baik sistem pengurusan ICT, USIM memeterai Perjanjian Perkongsian Pintar dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 22 Syaaban 1425 H (6 Oktober 2004 EM). Perjanjian ini bertujuan membangunkan Sistem Maklumat Universiti (SMU) di USIM. Hasil daripada perjanjian ini, Unit Teknologi Maklumat memperkemas sistem penyampaian universiti dan membangunkan lapan sistem iaitu Sistem Maklumat Pengurusan Pelajar (Al-Aliyah, Al-Uliyah), Sistem Maklumat Pengurusan Staf (Al-Munazzim), Sistem Kewangan Universiti (Al-Maaliyah), Sistem Pengurusan Penyelidikan (Al-Bahthiyyah), Sistem Pengurusan Akademik (e-Akademik), Sistem Pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) (Al-Thullabiyah), Sistem Portal (e-Wadi) yang berasaskan pangkalan data Sybase dan sistem myAKRAB (my Automated Kiosk Readable Accesible Biometric). 

Bermula 1425 H (2005 EM), fasa pembangunan infrastruktur ICT dibangunkan selaras dengan Pelan Induk ICT Kampus Tetap yang dirancang dan diluluskan. Pada 1427 H (2007 EM), Unit Teknologi Maklumat dinaik taraf kepada PPITM. Pusat ini menguruskan pengurusan

ilmu dan teknologi pengajaran seperti e-pembelajaran, pusat pengumpulan ilmu yang menyokong kepada teknologi P&P dan penyelidikan. Namun, pada 1431 H (2010 EM), USIM memberi penjenamaan baharu kepada PPITM dengan menukar nama kepada Pusat Teknologi Maklumat (PTM).

ICT USIM mula menunjukkan kematangan dalam pembangunan sistem aplikasi apabila mula memberanikan diri menyokong sistem utama yang diperoleh daripada perkongsian pintar yang dibangunkan secara dalaman dengan menggunakan teknologi berasaskan web. Pada ketika itu, USIM menyahut cabaran pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang menggalakkan penggunaan sumber terbuka secara percuma bagi tujuan penjimatan dan ketidakbergantungan agensi kepada pihak pembekal. Pihak ICT USIM melaksanakan beberapa inovasi dalam P&P daripada 1420-1436 H (2000-2015 EM). Antara perubahan yang dilaksanakan ialah mewujudkan makmal komputer, e-pembelajaran, persidangan video, perisian Microsoft Office 365, Skype untuk Perniagaan, Massive Open Online Courses (MOOC) dan infrastruktur desktop secara maya. 

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohamed Amin Embi; Mohd Najib Adun, ed. (2010). e-Pembelajaran di IPTA Malaysia. Selangor: Pusat Pembangunan Akademik UKM. m/s. 27–28. ISBN 978-967-5878-21-3. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]