Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
اونيۏرسيتي تيكنيكال مليسيا ملاك
LogoUTeM-2016.jpg
Moto "Kompetensi Teras Kegemilangan"[1]
Jenis Universiti awam
Ditubuhkan pada 1 Disember 2000
Canselor Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Haji Mohd Khalil bin Yaakob
Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin
Pelajar 11,499 (April 2018)
Lokasi Hang Tuah Jaya, Durian Tunggal, Melaka, Malaysia
Kampus Pelbagai:
Kampus Induk di Durian Tunggal
Kampus Bandar di Bandar Melaka
Kampus Teknologi di Ayer Keroh
Laman web http://www.utem.edu.my/
Universiti Teknikal Malaysia Melaka - UTeM
Universiti Teknikal Malaysia Melaka

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sebelum ini Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), merupakan sebuah universiti awam di Hang Tuah Jaya, sebuah bandar di negeri Melaka, Malaysia. Universiti ini merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam serta universiti teknikal pertama yang diwujudkan oleh kerajaan Malaysia. Institut pengajian tinggi ini dinaik taraf menjadi sebuah universiti pada 1 Februari 2007.[2] Universiti Teknikal Malaysia Melaka menawarkan program dalam bidang kejuruteraan, pengurusan teknologi dan teknologi maklumat. Ianya mempunyai tiga kampus iaitu Kampus Bandar, Kampus Induk di Durian Tunggal dan Kampus Teknologi.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ditubuhkan pada 1 Disember 2000 sebagai IPTA Teknikal pertama di Malaysia dengan nama Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM). Pada 1 Februari 2007, nama tersebut telah ditukar kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka sebagai sebuah penjenamaan semula.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Dewan[sunting | sunting sumber]

Dewan Canselor (dahulu dikenali sebagai Dewan Besar) ialah sebuah dewan bertingkat dua yang digunakan untuk majlis-majlis rasmi dan sebagai dewan peperiksaan. Dewan ini dilengkapi sebuah ruang lobi, dewan jamuan dan bilik VVIP.

Masjid[sunting | sunting sumber]

Terdapat sebuah masjid utama di UTeM iaitu Masjid Sayyidina Abu Bakar yang boleh menampung 4,000 orang jemaah. Masjid ini dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, bilik bacaan dan dewan solat utama.

Di samping masjid ini, terdapat juga surau-surau yang terletak di segenap kampus untuk kemudahan sembahyang.

Kolej kediaman[sunting | sunting sumber]

Terdapat 7 buah kolej kediaman di UTeM dengan enam buah berada di dalam kawasan Kampus Induk manakala sebuah lagi disewa daripada pihak luar. Kolej kediaman yang terletak di dalam Kampus Induk ialah Kolej Kediaman Lestari dan Kolej Kediaman Satria yang terdiri daripada lima buah blok, iaitu Tuah, Jebat, Lekir, Lekiu dan Kasturi. Manakala kolej kediaman yang disewa ialah Kolej Kediaman UTeM Sri Utama. Kolej kediaman yang berada di Kampus Induk boleh memuatkan 6,020 orang pelajar manakala Kolej Kediaman UTeM Sri Utama boleh memuatkan sebanyak 1,152 orang pelajar.

Kolej Kediaman Satria[sunting | sunting sumber]

Pada 2015, sebuah kolej kediaman baharu dibina bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.[3] Majlis perasmian pecah tanah telah dilakukan pada 2 April oleh Yang di-pertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang juga Canselor UTeM. Pembinaan kolej kediaman yang bermula pada 13 Mac[4][nota 1] ini merangkumi lima buah blok kolej kediaman pelajar 10 tingkat termasuk pejabat pentadbiran asrama; lima unit kediaman pengetua asrama; 10 unit kediaman felo; seunit kafeteria dengan muatan 1,000 orang dalam satu-satu masa; dan kemudahan ge­langgang sukan termasuk futsal, bola tampar dan bola keranjang di atas sebidang tanah seluas 7.28 hektar.[6] Kolej kediaman ini mampu menampung seramai 5,000 orang pelajar bagi menambah muatan sebuah kolej sedia ada di kampus induk yang hanya berkapasiti 1,020 orang bilamana bilangan pelajar ketika itu mencecah 11,000 orang. Pembinaan kolej kediaman ini dilaksanakan oleh Syarikat Nadi Cergas Sdn Bhd[7] di samping Syarikat Naluri Etika[8] sebagai syarikat bertujuan khas dan memakan belanja sebanyak RM 296.90 juta[9] dengan tempoh konsesi dan pajakan masing-masing selama 22.5 dan 20 tahun.[5] Kolej ini yang dinamakan Kolej Kediaman Satria telah siap dan mula beroperasi pada September 2017 sebelum dirasmikan pada 12 Mac 2018 ketika Majlis Pelancaran jalur lebar rangkaian penyelidikan dan pendidikan Malaysia (MYREN) yang dijenamakan semula sebagai MYREN-X.[10][11]

Perpustakaan[sunting | sunting sumber]

Perpustakaan Laman Hikmah merupakan perpustakaan utama UTeM yang mempunyai himpunan buku-buku, majalah dan surat khabar.

Kompleks Sukan[sunting | sunting sumber]

Kompleks Sukan yang terletak di UTeM terdiri daripada sebuah stadium, Dewan Sukan dan gimnasium luar. Selain itu, terdapat juga padang ragbi, padang bola sepak, padang hoki sintetik, padang bola lisut, lapang sasar memanah, gelanggang petanque, gelanggang tenis, gelanggang bola tampar, gelanggang futsal, gelanggang bola baling, tembok tiruan, terbang kelawar (flying fox) dan kemudahan berkayak. Terdapat 14 unit peralatan sukan untuk kegunaan pelajar dan staf di gimnasium luar.

Stadium yang disediakan dilengkapi dengan sebidang padang bola sepak dengan tempat duduk yang mampu menampung seramai 500 orang penonton. Sebuah trek sintetik berlorong lapan yang berukuran 400 meter mengelilingi padang tersebut.

Di dalam Dewan Sukan pula disediakan gelanggang badminton, gelanggang bola jaring, gelanggang bola keranjang, gelanggang sepak takraw dan gimnasium.

Kampus[sunting | sunting sumber]

UTeM terletak di negeri Melaka yang diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO di dalam kawasan seluas 766 ekar yang lengkap dengan semua kemudahan dan dikelilingi kehijauan alam sekitar.

Akademik[sunting | sunting sumber]

Fakulti, Institut & Pusat Akademik

  • Fakulti Kejuruteraan Elektronik Dan Kejuruteraan Komputer
  • Fakulti Kejuruteraan Elektrik
  • Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
  • Fakulti Kejuruteraan Pembuatan
  • Fakulti Teknologi Maklumat Dan Komunikasi
  • Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Teknousahawan
  • Fakulti Teknologi Kejuruteraan
  • Pusat Bahasa Dan Pembangunan Insan
  • Institut Pengurusan Teknologi Dan Keusahawanan

Teknologi pendidikan[sunting | sunting sumber]

Sejak 2009, UTeM telah mula menggunakan sistem pengurusan pembelajaran sumber terbuka berasaskan teknologi Claroline yang diberi nama SPeL.[12]

Matlamat pendidikan[sunting | sunting sumber]

  • Mengendalikan program akademik dan profesional berlandaskan kepada keperluan industri;
  • Melahirkan graduan dengan pengetahuan relevan, kompetensi dalam kemahiran teknikal, kemahiran insaniah dan peka kepada tanggungjawab sosial;
  • Menyemai dikalangan graduan kaedah saintifik, berfikiran kritikal, kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan;
  • Menggalakkan pembangunan penyelidikan dan aktiviti dengan kerjasama industri demi menjana kemakmuran negara;
  • Melengkapkan graduan dengan nilai-nilai kepimpinan, komunikasi dan pembelajaran berterusan;
  • Melahirkan graduan berkemahiran teknousahawan dan pengurusan;
  • Melahirkan graduan yang menghargai sastera dan budaya serta menyedari kepentingan budaya hidup sihat.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Laporan rasmi UTeM menyatakan tarikh permulaan adalah pada 16 Mac[5]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ [1]
  2. ^ "UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka - Fast Facts". Tapak rasmi UTeM (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Mei 2018. Dicapai 21 Mei 2018. 
  3. ^ "UTeM bina kolej kediaman baharu untuk 5,000 pelajar" (PDF). Melaka Hari Ini. Ayer Keroh, Melaka: MHI Sdn. Bhd. (diterbitkan 26 Mac 2015). 25 Mac 2015. m/s. 4. Dicapai 20 April 2018 – melalui mhi.com.my. 
  4. ^ Shazzuan Shah Mohd. Saleh (2 April 2015). "Mohd. Khalil rasmi Pecah Tanah Asrama UTeM" (PDF). Melaka Hari Ini. Ayer Keroh, Melaka: MHI Sdn. Bhd. (diterbitkan 3 April 2015). m/s. 3. Dicapai 20 April 2018 – melalui mhi.com.my. 
  5. ^ a b (PDF) Laporan Tahunan 2015 (Laporan). UTeM. 2015. m/s 100. ISBN 977-0-1273-0400-8. http://www.utem.edu.my/download/laporan/Laporan2015.pdf#page=101. Diperolehi 20 April 2018.
  6. ^ Norliza Mohamad Zakaria (3 April 2015). "Asrama RM180j bagi 5,000 pelajar Utem". Utusan Online. Gambar oleh Nursuraya Zulkifli. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2018. Dicapai 20 April 2018. 
  7. ^ Zulfatria Abdullah (2 April 2015). Fazidah Ithnin, penyunting. "Kolej Kediaman Pelajar UTeM bakal Beri Keselesaan" (PDF). Berita@UTeM. Jurufoto: Mohd Farid Supangi (edisi Mac-Raya 2015). UTeM (diterbitkan 3 April 2015). m/s. 16. Dicapai 20 April 2018. 
  8. ^ Bernama (2 April 2015). "Utem bina asrama tampung 5,000 pelajar". Sinar Online. Foto oleh Bernama. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2018. Dicapai 20 April 2018. 
  9. ^ "Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) | Nadi Cergas Sdn Bhd". Nadi Cergas Sdn Bhd. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2018. Dicapai 20 April 2018. 
  10. ^ "Pelancaran Kampus Pintar UTeM 12 Mac". Melaka Hari Ini. Ayer Keroh, Melaka: MHI Sdn. Bhd. 8 Mac 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2018. Dicapai 20 April 2018 – melalui gallery.utem.edu.my. 
  11. ^ Harith Nizar (12 Mac 2018). "Kampus pintar buka lembaran baharu di universiti awam". Utusan Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 April 2018. Dicapai 20 April 2018. 
  12. ^ Mohamed Amin Embi; Mohd Najib Adun, para penyunting (2010). e-Pembelajaran di IPTA Malaysia. Selangor: Pusat Pembangunan Akademik UKM. m/s. 27–28. ISBN 978-967-5878-21-3. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]