Krisis politik Perak 2009

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Rampas Kuasa Tidak Sah di Sisi Undang-undang[sunting | sunting sumber]

Sebulan selepas rampasan kuasa oleh Barisan Nasional, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohammad berkata rampasan kuasa itu tidak menurut undang-undang. Beliau berkata, strategi buruk dan kecuaian dalam rampasan kuasa 5 Februari, yang diokestrasi oleh Najib Razak telah menyebabkan krisis berlaku dalam negri tersebut. Menurut beliau, seseorang Menteri Besar atau Perdana Menteri tidak boleh dijatuhkan tanpa suatu undi tidak percaya dalam mesyuarat (DUN/Parlimen) [1], [2]

Pakatan Rakyat di Perak rapuh[sunting | sunting sumber]

Selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008, kekuatan Pakatan Rakyat tidak kukuh kerana majoriti hanya 3 kerusi sahaja. PR menang 31 kerusi berbanding BN menang 28 kerusi. BN hanya perlu 2 kerusi lompat untuk berkuasa semula di Perak. Kerajaan Pakatan Rakyat hanya bertahan selama 11 bulan sahaja iaitu dari Mac 2008 hingga Februari 2009. Majoriti 3 kerusi ini sepatutnya bertahan sehingga PRU ke-13. Adun Pakatan Rakyat cuba 'dibeli' sejak malam 8 Mac 2008 lagi seperti mana akuan bersumpah Fauzi Musa.

Bilangan Adun DAP melebihi PAS dan PKR. Bilangan Adun DAP 18 orang, PKR 9 dan PAS hanya 6 orang sahaja. DAP menang di 18 kawasan majoriti bukan Melayu. PKR menang 6 kerusi kawasan majoriti bukan Melayu. PKR menang 3 kerusi di kawasan majoriti Melayu/Islam. PAS menang 6 kerusi majoriti Melayu/Islam. UMNO menang 27 kerusi di kawasan majoriti Melayu/Islam. Ini bermakna Melayu/Islam di Perak masih lagi menyokong UMNO. Kemenangan PAS dan PKR dibantu oleh gelombang 'Makhal Sakthi'. Hanya kemenangan Menteri Besar di N51 Pasir Panjang dianggap selesa. Sepatutnya UMNO boleh membentuk kerajaan tetapi UMNO tidak bertanding atas tiket parti UMNO sebaliknya atas tiket Barisan Nasional.

PAS hanya agak kuat di Parit Buntar dan Bagan Serai yang ramai Melayu/Islam. Selama, Batu Kurau, kawasan Perak Tengah dan Perak Selatan kekal milik UMNO. Parit membuat kejutan pada tahun 1999 tetapi terus kecundang dalam dua pilihan raya berikutnya, 2004 dan 2008. Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik terus kukuh bersama pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi menteri.

DAP tidak ada wakil Melayu sebagaimana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan perkenan Sultan Perak sendiri. Sepatutnya Menteri Besar Perak dilantik dari kalangan PKR kerana ada 9 kerusi. Tetapi Adun PAS dipilih kerana kredibiliti Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. [3]

Beberapa keputusan kerajaan PR dipertikaikan oleh Barisan Nasional / UMNO. Contohnya perlantikan Speaker dan Timbalan Speaker DUN Perak dari kalangan bukan Melayu. Speaker DUN Perak ialah V Sivakumar. Adun Jelapang, Hee Yit Foong dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Perak. Isu lain ialah status milik tanah di kampung baru dan kampung tersusun. Perak juga menukar kereta rasmi dari Proton Perdana kepada Toyota Camry.

Lompat melompat parti[sunting | sunting sumber]

Perubahan 16 September 2008 dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berasaskan strategi lompat parti dan tidak dianggap kesalahan moral. Beberapa wakil PR merisik hingga ke Taiwan setelah sekumpulan 49 ahli Parlimen Barisan Nasional diberi cuti 'lawatan sambil belajar' teknologi pertanian dan perindustrian di Taipei, Taiwan agar 16 September tidak menjadi kenyataan.

Jarang-jarang pilihan raya kecil dimenangi oleh pembangkang di Malaysia. Tetapi Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dalam Pilihan raya kecil Permatang Pauh 2008. Mohd Abdul Wahid Endut dari PAS menang dalam Pilihan raya kecil Kuala Terengganu 2009. Lantaran teori domino mula menjalar di kalangan Barisan Nasional / UMNO. Sedangkan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambilalih kepimpinan negara Malaysia menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2009 pada Mac 2009.

Tidak semena-mena Datuk Nasarudin Hashim, Adun Bota, Perak mengumumkan beliau menyertai PKR. Ramai pemimpin UMNO Perak mengecam tindakan beliau dan ada yang memujuk agar beliau kembali kepada UMNO. Segala masalah UMNO dan rasa terkilan kerana disingkirkan dari jawatan pengerusi Felcra dan lain-lain diselesaikan secara muhibah. Mantan Menteri Besar Perak Datuk Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali berasa bertanggungjawab dan meletakkan jawatan pengerusi perhubungan UMNO Perak.

Tindakan drastik diambil oleh beberapa pihak untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO. Strategi spontan ialah Jamaluddin Mohd Radzi (PKR) dan Mohd Osman Mohd Jailu dilompatkan dari PKR sungguhpun membawa imej terpalit. Kemudian Adun DAP dari Jelapang, Hee Yit Fong turut menjadi Adun Bebas. Dr Mahathir Mohamad bimbang kemasukan mereka tidak akan menjernihkan keadaan malah menambah imej rasuah dalam UMNO. Perbicaraan di mahkamah pada 10 Februari 2009 berhubung kes rasuah dan seks mereka pasti menambah skeptikal masyarakat.

Surat perletakan jawatan tanpa tarikh diterima oleh Speaker DUN Perak dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya. Sepatutnya dua pilihan raya kecil Behrang dan Changkat Jering diadakan kerana surat itu ditandatangani pada Mac 2008 tanpa paksaan. Tetapi pengerusi baru SPR meragui kredibiliti surat itu kerana ahli ADUN tersebut menafikan mereka ingin meletak jawatan dengan itu bertentangan kepentingan awam sebagaimana kes lampau.

Pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak[sunting | sunting sumber]

Pilihan raya Negeri Perak 2009 hampir diadakan secara mengejut setelah Menteri Besar Perak, Datuk Muhammad Nizar Jamaluddin mengumumkan Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan. Peristiwa penuh dramatik ini berikutan ada ura-ura Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan sidang tergempar di Putrajaya pada jam 4.00 petang. Sebelum ini sidang media pada jam 3.05 petang, Menteri Besar Perak hanya dihadiri 27 daripada 59 ADUN sahaja.Antara ADUN Pakatan Rakyat yang tidak hadir termasuklah Datuk Nasharudin Hashim, Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu. Menteri Besar akan menemui Sultan Perak pada jam 4.00 bagi memaklumkan keputusan kerajaan negeri tersebut. Sultan Azlan Shah dikatakan berada di Kuala Lumpur tetapi sebenarnya berada di Istana Kinta di Jalan Harimau, Ipoh, Perak. Sejak 2008, banyak acara istana, Raja Nazrin memainkan peranan.

Sultan Azlan Shah menangguhkan keputusan membubarkan DUN Perak sehingga esoknya. Najib Tun Razak selaku pengerusi perhubungan UMNO Perak yang baru turut menghadap Sultan Perak di Istana Kinta. Selaku mantan Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan memanggil 31 Adun (saksi) yang memihak kepada BN untuk memastikan ketulenan perpaduan BN.

Penubuhan kerajaan BN di Perak[sunting | sunting sumber]

Pada jam 5.40 petang hari Rabu, 4 Februari 2009, Barisan Nasional menubuhkan kerajaan negeri secepat mungkin setelah mendapat 4 orang ADUN daripada PKR dan DAP termasuk ADUN Bota yang kembali kepada UMNO, melompat kepada Barisan Nasional dan menyatakan ketidakpercayaan kepada kerajaan negeri ketika itu. Najib Tun Razak mengumumkan perkara tersebut di Putrajaya. Semua ADUN Barisan Nasional negeri Perak turut serta dalam sidang media itu.

Hasilnya pada 5 Februari 2009, Sultan Perak akur dengan majoriti 27 Adun UMNO, 1 Adun MCA dan 3 Bebas. Oleh itu pembubaran DUN Perak tidak perlu. Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin bersama barisan exco hendaklah meletakkan jawatan. Nama Adun Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dilihat lebih wibawa menjadi Menteri Besar Perak. Turut disebut termasuklah ADUN Manong, Datuk Ramly Zahary yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Perak, ADUN Sungai Manik yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan serta ADUN Kota Tampan, Datuk Shaarani Mohamad. Majlis rasmi perlantikan Dr Zambry sebagai Menteri Besar Perak ke-11 akan diadakan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Perak pada 6 Februari.

Bantahan Pakatan Rakyat[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Rusuhan Masjid Ubudiah

Pada 5 Februari 2009, semua pemimpin Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman menteri besar di Ipoh, Perak dan membuat keputusan terbaik buat PR. Mohammad Nizar mengumumkan tidak dapat mematuhi kehendak Sultan Perak kerana keputusan mahkamah diperlukan. Kira-kira 5000 penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Ipoh dan dikawal oleh Unit Amal PAS.

Beberapa laman web dan SMS menyeru orang ramai pergi ke Ipoh untuk memberi sokongan kepada Mohammad Nizar.

Selepas Solat Jumaat, 6 Februari 2009, kira-kira 1000 orang mengadakan demonstrasi jalanan di perkarangan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan. Masjid ini kira-kira 1 km dari Istana Iskandariah tempat berlangsungnya majlis perlantikan menteri besar yang baru, Datuk Dr Zamry Abdul Kadir. Beberapa penyokong PAS baring di atas jalan raya, membaling batu dan menyekat kenderaan orang kenamaan dari memasuki istana. Kereta rasmi Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dikerumuni orang ramai, terkena balingan batu dan cermin sisi pecah. Jam 3.00 FRU terpaksa melepaskan puluhan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai yang menjerit-jerit ras tidak puas hati. Kerajaan Pakatan Rakyat ditegakkan melalui 3 juta undi di Perak dan diperkukuh dengan 1 ADUN lompat parti tetapi kini ditumbangkan akibat 3 ADUN lompat dan lompat semula parti. Dari sudut agama, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menyatakan tunjuk perasaan, maki hamun dan merosakkan harta benda, bukan budaya Melayu dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Karpal saman Sultan Perak[sunting | sunting sumber]

Selaku peguam kanan, saman akan difailkan oleh Karpal Singh dan Mohammad Nizar Jamaluddin terhadap Sultan Perak kerana tindakan ini dianggap tidak mengikut Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Saman akan difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari Selasa, 10 Februari 2009 kerana perlantikan Zambry Abdul Kadir tidak sah, wujud 2 menteri besar dalam satu masa dan menimbulkan krisis Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Sultan Azlan Shah diberi kuasa melalui Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan haruslah juga mematuhinya.[4]

Orang Melayu tidak rela Sultan mereka disaman-saman. Kuasa raja telah diturunkan pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia.Terbaru ,Sultan Jaafar menerima nasib disaman, dimalukan dan diminta membayar hutang pada tahun 2008. Baginda pernah menjadi Yang DiPertuan Agung menjadi mangsa 'perubahan 1993' yang dibawa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu. Dr Mahathir sendiri akur dengan perubahan 'Melayu moden'. Perhitungan sepatunya ialah proses undi tidak percaya terhadap Datuk Mohammad Nizar di DUN Perak. [5].

Pada 8 Februari 2009, UMNO Ampang mengadakan demonstrasi membantah tindakan Karpal Singh. Melaka yang tidak beraja , penyokong UMNO Melaka turut memnbantah tindakan celupar Karpal Singh. Ketua Pemuda UMNO Perak dan lain-,lain di Perak memfailkan saman terhadap Karpal Singh di Ipoh. Pemuda MCA Perak diketuai Mah Han Soon turut mengemukakan fail saman di balai polis Ipoh.

Karpal Singh kecewa dengan pemulauan pemimpin Pakatan Rakyat dan DAP sendiri . Beliau membidas Anwar Ibrahim yang menguar-uarkan lompat parti.Akibatnya berbalik kepada PR dan Perak dirampas semula oleh BN . Karpal Singh selaku Pengerusi DAP 'dipencilkan' oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.Perjuangannya menentang Hudud anjuran PAS tidak disokong. [6]

Pilihan raya kecil Bukit Gantang[sunting | sunting sumber]

Kematian ahli Parlimen Bukit Gantang , Roslan Shaharum menyebabkan SPR terpaksa mengadakan pilihan raya kecil pada 7 April 2009. Pilihan raya ini serentak dengan di Bukit Selambau, Kedah.Penamaan calon diadakan pada 29 Mac 2009. Nik Abdul Aziz Nik Mat beranggapan keputusan SPR ini dipengaruhi oleh UMNO yang akan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO 2009 pada 16-28 Mac 2009.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak[sunting | sunting sumber]

Pada 17 Februari 2009, Zambry Abdul Kadir memberi keterangan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berhubung kenyataannya terhadap Speaker DUN Perak, V. Sivakumar. Wartawan akhbar The Star dan Sin Chew Daily turut dipanggil memberi keterangan. Siasatan itu mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak. Zambry dan exco barunya dianggap menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan. Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Datuk Hasbullah Osman (Temenggor- BN), Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham). Katanya , perletakan jawatan Hee Yit Fong berasaskan Artikel XXXV Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Suruhanjaya Pilihan Raya dimaklumkan untuk mengadakan pilihan raya kecil Jelapang dalam tempoh 60 hari sebagaimana Artikel XXXVI (5) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Jamaluddin dan Mohd Osman Jailu tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN Perak akan datang kerana kerajaan negeri Perak tidak mengiktiraf mereka.[7] [8] [9] Bagaimanapun keputusan itu dianggap UMNO sebagai tidak sah kerana diputuskan oleh V. Sivakumar secara bersendirian tanpa merujuk kepada Dewan bagi membuat keputusan. Selain itu ia juga dianggap membelakangi kuasa Sultan bagi melantik Menteri Besar dan juga bersifat sub judice disebabkan perkara itu telahpun diajukan oleh Nizar ke mahkamah. [10]

Pokok Demokrasi[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Pokok Demokrasi

Pada 3 Mac, sebanyak 27 anggota Dewan Undangan Negeri Perak dari Pakatan Rakyat mendapati mereka dilarang masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk menghadiri persidangan tergempar, maka mereka terpaksa mengadakan "persidangan" tersebut di bawah sebatang pokok kira-kira 100 meter di luar bangunan DUN, untuk meluluskan tiga usul iaitu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.[11] ADUN Chenderiang, Dr Mah Hang Soon menyifatkan tindakan yang dilakukan Speaker V. Sivakumar itu telah melanggar titah Sultan Perak dan menuduh Sivakumar tidak tahu undang-undang dan membuat keputusan tanpa rujuk kepada Sultan.[12] Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menyifatkan perhimpunan di bawah pokok ini sebagai "sesuatu yang amat memalukan dan mencalar imej negara di mata dunia."[13] Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa perhimpunan di bawah pokok tersebut adalah tidak sah, dan mengeluarkan perintah menahan Sivakumar dari mengadakan persidangan tanpa keizinan baginda. Walau bagaimanapun, Nizar menegaskan bahawa tiada mana-mana mahkamah di negeri yang boleh mencabar Speaker.[14]

Kekecohan DUN 7 Mei[sunting | sunting sumber]

Persidangan pertama semenjak rampasan kuasa sepatutnya dirasmikan pada 7 Mei 2009 tetapi diganggu kekecohan, apabila Speaker V. Sivakumar enggan memulakan persidangan selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga ahli Bebas tidak meninggalkan Dewan dengan alasan keanggotaan mereka telah digantung, tetapi arahan Speaker langsung tidak diendahkan. Zambry kemudian berdiri dan membuat usul memecat Sivakumar selaku Speaker, dan ini disokong 27 ahli BN dan tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan. Bagaimanapun Sivakumar berkata, beliau menolak usul itu dan menjelaskan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dan sekali lagi disokong ahli BN dan tiga ahli Bebas. Sivakumar mengarahkan Bentara Dewan supaya membawa keluar 10 ahli itu, tetapi Zambry berkata, Sivakumar kini telah dipecat.[15]

Zambry kemudian mengusulkan supaya bekas ADUN Sungkai, Datuk R Ganesan, dilantik sebagai Speaker yang baru dan ini disokong ahli BN dan Bebas. Ganesan kemudian meneruskan persidangan di kalangan penyokong BN dengan menerima empat lagi usul iaitu usul pelantikan anggota baru bagi tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap; Jawatankuasa Hak dan Kebebasan; dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri serta usul membatalkan persidangan DUN Perak 'di bawah pokok' yang dipengerusikan oleh Sivakumar dan kumpulan yang diketuai Mohammad Nizar pada 3 Mac lalu.[15]

Pada 2.41 petang hari itu[16], Sivakumar diheret oleh kumpulan polis dari dalam dewan ke satu tempat yang tidak didedahkan pada petang ini. Sementara itu, Datuk R Ganesan, speaker baru lantikan BN, memulakan persidangan dewan dengan meminta seorang pegawai DUN membacakan doa. Beliau juga mengarah keluar dua ADUN Pakatan, iaitu Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) dan Chang Lih Kang (PKR-Teja) - tetapi mereka enggan berbuat demikian. Speaker itu menangguhkan dewan bagi menunggu keberangkatan tiba Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.[17]

Pada 3.15 petang, Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah akhirnya berangkat ke dalam dewan untuk majlis rasmi pembukaan persidangan DUN, kemudian bertitah kepada Datuk Seri Nizar dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), sebelum berucap selama setengah jam, menyentuh isu ekonomi, agama dan wabak selesema A(H1N1).[16][18]

Keputusan mahkamah Nizar lawan Zambry[sunting | sunting sumber]

Pada 11 Mei 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu. Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.[19] Abdul Aziz menjelaskan bahawa tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar yang boleh menyebabkan beliau hilang kepercayaan majoriti ADUN mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tambahan pula pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara yang sama.[19]

Pada hari kemudiannya, Nizar akhirnya melaporkan diri untuk bertugas selaku Menteri Besar Perak.[20] Bagaimanapun, jawatan beliau ditarik balik secara tiba-tiba apabila hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali meluluskan penangguhan pelaksanaan keputusan kepada Zambry, sekaligus sini menetapkan 21 Mei bagi mendengar rayuan Zambry dan permohonan Nizar.[21]Pada 22 Mei, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar hujah-hujah mereka memutuskan Zambry sebagai menteri besar Perak yang sah, sekaligus membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Nizar, atas hujah bahawa "bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN."[22] Pada 19 Jun, Nizar memohon rayuan agar keputusan Mahkamah Rayuan itu dibatalkan.[23]

Pada 5 November 2009, sebuah panel lima hakim, iaitu Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria dan Hakim-Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong bersidang di Mahkamah Persekutuan untuk mendengar hujah daripada tiga pihak, iaitu Nizar, Peguam Negara Abdul Gani Patail dan peguam Datuk Cecil Abraham, kemudian menangguhkan keputusannya[24] hingga ke tahun seterusnya. Pada waktu pagi 9 Februari 2010, diumumkan bahawa Mahkamah Persekutuan yang diwakili oleh panel lima hakim yang sama, bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Zambry ialah Menteri Besar Perak yang sewajarnya.[25]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=print&sid=18345
  2. ^ [1].
  3. ^ Kerajaan PR Perak akan Tumbang
  4. ^ Lompat parti:Karpal Singh lepas bom…minta Anwar letak jawatan
  5. ^ Dr M: MB harus dibenar panggil mesyuarat DUN
  6. ^ [Sidang akhbar Karpal Singh dalam Berita Utama TV3 8 Februari 2009]
  7. ^ Kerajaan Perak Tidak Iktiraf Adun Behrang Dan Changkat Jering
  8. ^ MB Perak Enggan Nyata Keputusan Sultan Perak
  9. ^ Zambry Beri Keterangan Kepada Jawatankuasa DUN Perak
  10. ^ Suspension a mockery of the system, say BN reps.
  11. ^ "'Persidangan DUN Perak' Di Bawah Pokok Lulus Tiga Usul". Bernama. 2009-03-03. Dicapai 2009-03-06. 
  12. ^ "BN Perak tuduh sidang DUN tak sah, baca dulu ulasan Dr Aziz Bari". Perak Express. Dicapai 2009-03-06. 
  13. ^ "Sidang Dun Bawah Pokok: Negara Ditertawakan". Bernama. 2009-03-03. Dicapai 2009-03-06. 
  14. ^ Teoh, Shannon (2009-03-04). "Nizar maintains 'tree assembly' is valid". The Malaysian Insider. Dicapai 2009-03-06. 
  15. ^ a b "DUN Perak kecoh, perasmian tertangguh". 2009-05-07. Dicapai 2009-05-08.  Parameter |publihser= tidak diketahui diabaikan (guna |publisher=) (bantuan)
  16. ^ a b "6 jam kecoh, DUN Perak rasmi dibuka". Malaysiakini. 2009-05-07. Dicapai 2009-05-08. 
  17. ^ "Speaker DUN Perak diseret keluar". Malaysiakini. 2009-05-07. Dicapai 2009-05-08. 
  18. ^ "Raja Nazrin ends speech, assembly adjourns". The Malaysian Insider. 2009-05-07. Dicapai 2009-05-08. 
  19. ^ a b "Hakim: Nizar MB Perak yang sah". Malaysiakini. 2009-05-11. Dicapai 2009-05-12. 
  20. ^ Teoh, Shannon (2009-05-12). "Nizar reports for work". The Malaysian Insider. Dicapai 2009-05-12. 
  21. ^ "Rayuan Zambry Dan Permohonan Nizar Didengar Khamis". Bernama. 2009-05-15. Dicapai 2009-05-22. 
  22. ^ "Hakim: Zambry MB sah Perak". Malaysiakini. 2009-05-22. Dicapai 2009-05-22. 
  23. ^ "Nizar files appeal against declaration of Zambry as MB". The Star. 20 Jun 2009. Dicapai 9 Feb 2010. 
  24. ^ "Federal Court defers judgment on Perak crisis". Bernama. 5 Nov 2009. Dicapai 9 Feb 2010. 
  25. ^ "MB Perak: Zambry dari BN sah, kekal". The Malaysian Insider. 9 Feb 2010. Dicapai 9 Feb 2010.