Anugerah Juara Lagu ke-25

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Anugerah Juara Lagu 2010)
Jump to navigation Jump to search
Anugerah Juara Lagu ke-25
TV3
Tarikh 9 Januari 2011
Tempat Stadium Putra Bukit Jalil
Pengacara Faizal Ismail
Cheryl Samad
Ally Iskandar
Tempoh 3 jam
Juara Lagu "Tolong Ingatkan Aku"
nyanyian Ana Raffali
(gubahan: Ana Raffali/
lirik: Ana Raffali)
 < 2009 Anugerah Juara Lagu 2011 > 

Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) ialah konsert dan majlis penghargaan tahunan bagi karya muzik Malaysia yang diperkumandangkan dalam carta Muzik Muzik TV3 musim 2010. Dengan membawa konsep pentas Pemetaan Muzik (Music Mapping)[1], acara ini dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 9 Januari 2011. Sebanyak 14 lagu merebut gelaran Juara Lagu 2010.

Anugerah Juara Lagu ke-25 dijuarai oleh Ana Raffali selaku penggubah lagu dan penyanyi "Tolong Ingatkan Aku".

Am[sunting | sunting sumber]

Seperti biasa, 30 buah lagu yang meraih markah tertinggi dalam carta Muzik-Muzik 25 sepanjang tahun 2010 dilayakkan ke Separuh Akhir untuk dinilai semula untuk mencari 14 buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu. Inilah kali kedua lagu-lagu terlibat tidak dibahagikan kepada kategori setelah pengkategorian dimansuhkan pada musim 2009 gara-gara kelesuan kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.

Memandangkan ini merupakan kali ke-25 penganjuran AJL, TV3 menerbitkan rancangan khas yang bertajuk Revolusi Anugerah Juara Lagu 25 yang menyatukan semula para seniman yang lagunya pernah menjuarai AJL sepanjang sejarah penganjurannya, untuk berkongsi pengalaman dan rahsia kecemerlangan masing-masing. Rancangan istimewa ini terbahagi kepada empat bahagian yang disiarkan pada 4, 11, 18 Disember 2010, dan 1 Januari 2011.[2]

Seperti tahun sebelumnya juga, Faizal Ismail, Cheryl Samad dan Ally Iskandar menyandang semula tugas sebagai pengacara AJL25. AJL25 dipersembahkan dengan tema "Pemetaan Muzik", yang mana tempat acaranya berubah wajah dengan sebuah pentas gah yang julung kali menggunakan teknologi terkini yang dilengkapi dengan diod pemancar cahaya (LED) sebagai lambang penonjolan perkembangan industri muzik tempatan.[3] Pengkarya yang merangkul gelaran Juara Lagu 2010 menerima hadiah wang tunai sebanyak RM35,000; naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM15,000 dan RM12,000; dan pemenang anugerah khas Vokal dan Persembahan Terbaik masing-masing meraih RM10,000.[4]

Muzik-Muzik Separuh Akhir[sunting | sunting sumber]

Konsert Muzik-Muzik Separuh Akhir disiarkan pada tiga malam Isnin berturut-turut pada 8, 15 dan 22 November 2010, jam 10 malam, bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Shah Alam.

Lihat di sini untuk senarai lengkap penyertaan Separuh Akhir Muzik Muzik 25,

Anugerah Juara Lagu[sunting | sunting sumber]

Majlis Anugerah Juara Lagu ke-25 berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 9 Januari 2011, siaran langsung bermula pada 9 malam di TV3 dan Hot FM. Upacara membuka tirai dengan tiga persembahan Juara Lagu yang lalu, iaitu Francesca Peter yang menyanyikan lagu "Sekadar di Pinggiran" (Juara Lagu pertama pada tahun 1985), disusuli oleh Nash dengan "Pada Syurga di Wajahmu" (Juara Kategori Balada pertama: 1992), Tanya Sama Itu Hud Hud (Juara Kategori Pop Rock pertama: 1994) dan "Ghazal untuk Rabiah" (Juara Kategori Etnik Kreatif pertama: 1997) oleh M. Nasir.

Barisan juri untuk AJL25 terdiri daripada Amy Search, Habsah Hassan, Andy Flop Poppy, Pacai, Acis dan M. Nasir sebagai ketua. Persembahan diiringi oleh sebuah orkestra pimpinan Ramli MS.

Kesemua 14 lagu finalis dijayakan oleh kehadiran penuh penyanyi/kumpulan asal masing-masing, mengikut urutan berikut:

  1. "Cinta Sempurna" – Yuna (lagu/lirik: Yuna)
  2. "Berlari" – Tomok (lagu: Tomok & Shazee Ishak/lirik: Tomok)
  3. "Pelita" – A.P.I (lagu/lirik: Loque)
  4. "Kebahagiaan dalam Perpisahan" – Shahir (lagu/lirik: Edry Abdul Halim)
  5. "Drama King" – Meet Uncle Hussain menampilkan Black Hanafiah (lagu: Taja/lirik: Tun Teja)
  6. "Noktah Cinta" – Hafiz (lagu: Ajai/lirik: Syeikh Qalam)
  7. "Tolong Ingatkan Aku" – Ana Raffali (lagu/lirik: Ana Raffali)
  8. "Selamat Malam" – Faizal Tahir (lagu: Audi Mok/lirik: Faizal Tahir)
  9. "Ku Ada Kamu" – Adira (lagu/lirik: Edry Abdul Halim)
  10. "Extravaganza" – Bunkface (lagu: Sam Baharom/lirik: Bunkface)
  11. "Sofea Jane" – Black Hanafiah (lagu: Sham Kamikaze & Iswandy/lirik: Farril)
  12. "Hanyut" – Faizal Tahir (lagu: Audi Mok dan Faizal Tahir/lirik: Faizal Tahir)
  13. "Jahat" – Stacy (lagu/lirik: Edry Abdul Halim)
  14. "Mencari Konklusi" – Hujan (lagu/lirik: Noh Hujan)

Sebelum keputusan diumumkan, upacara diserikan dengan persembahan istimewa dari Datuk Sharifah Aini ("Kau Tinggi di Awan Biru", "Oh di Mana"), Ziana Zain ("Anggapanmu", "Madah Berhelah") dan Siti Nurhaliza ("Balqis", "Nirmala", "Cindai").

Keputusan[sunting | sunting sumber]

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, Ahmad Izham Omar diberi penghormatan untuk menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh AGB Nielsen, siaran langsung Anugerah Juara Lagu ke-25 berjaya meraih jumlah penontonan sebanyak 4.2 juta orang (21.4 TVR) atau 64% dari jam 9 hingga 12 malam, dengan puncak penontonannya menghampiri lima juta orang.[5] Malahan pula, dicatatkan bahawa sejumlah 83,764 pengguna unik telah menyaksikan pancaran video secara langsung di laman web rasmi AJL25, termasuklah acara karpet merah, babak sebalik tabir dan upacara itu sendiri; 20% daripadanya dijejaki datangnya dari pelayar web di luar negara.[5]

Akan tetapi, penobatan lagu "Tolong Ingatkan Aku" sebagai Juara Lagu menjadi titik tengah pertikaian yang hebat, dan boleh disifatkan sebagai satu kejutan hebat dalam sejarah penganjuran AJL kerana lagu berkenaan tidak dijangka sekali akan dinobatkan sebagai juara. Mengikut laporan, kemenangan Ana Raffali ini tidak disenangi sesetengah orang awam apabila sesetengah penonton di tempat acara mengebu beliau atau terus mengangkat kaki sebaik sahaja mendengari keputusannya diumumkan.[6] Apabila ditanya mengenai kontroversi ini, M. Nasir mempertahankan keputusan yang dibuat oleh pihak juri atas sebab bahawa "Tolong Ingatkan Aku" bersifat peribadi, ringkas dan ada rasa yang ingin disampaikan penggubah (yang juga si penyanyi lagu itu) sampai kepada para pendengar, justeru "lagu ini berjaya memikat hati juri kerana ia mempunyai elemen pembaharuan."[6] Tambahnya lagi, lagu itu mempunyai lirik yang penuh makna dan dihasilkan dengan penuh kejujuran. "Lirik dan melodinya amat ringkas, namun penuh kejujuran berbanding dari yang lain. Mungkin lagu ini tidak popular tetapi ia ada kekuatan yang melayakkannya untuk menang."[6]

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, seorang ahli juri, Azmeer mengatakan bahawa dia sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu. “Secara jujurnya saya tidak bersetuju dengan kemenangan itu. Siapakah artis yang saya rasa layak menjadi pemenang biarlah saya rahsiakan dulu buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.[7] Seorang lagi ahli panel, Amy Search, menjelaskan bahawa dia hanya terlibat menilai dari aspek vokal, tetapi dirinya turut terkejut dengan keputusan itu kerana dia lebih mengharapkan penyanyi Yuna yang membawa lagu "Cinta Sempurna" diangkat sebagai juara dengan alasan lagu berkenaan menusuk hati.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Music Mapping Konsep Pentas AJL 25, gua.com.my, 16 Disember 2010. Dicapai pada 2 Januari 2011.
  2. ^ http://melayukini.co.cc/merai-kegemilangan-25-tahun, Melayukini, 3 Disember 2010. Dicapai pada 2 Januari 2011.
  3. ^ 13 kamera untuk AJL25, Berita Harian, 20 Disember 2010. Dicapai pada 2 Januari 2011.
  4. ^ Music Mapping tema AJL25, Berita Harian, 19 Disember 2010. Dicapai pada 2 Januari 2011.
  5. ^ a b AJL25 Cecah Rekod Hampir 5 Juta Penonton!, gua.com.my, 12 Januari 2011. Dicapai pada 12 Januari 2011.
  6. ^ a b c Kenapa Ana Raffali?, Berita Harian, 11 Januari 2011. Dicapai pada 12 Januari 2011.
  7. ^ a b Juri AJL25 Bertelagah? Azmeer Kurang Setuju Keputusan M.Nasir, mStar Online, 11 Januari 2011. Dicapai pada 12 Januari 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]