Badli Shah bin Alauddin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sahibus Saadah Dato'

Badli Shah bin Alauddin
Ustaz Badli Shah pada 2018.
Timbalan Mufti Pahang
Memegang jawatan
16 Februari 2023
RajaAl-Sultan Abdullah
Didahului olehDato Haji Abdul Zaki Bin Md Zain
Butiran peribadi
LahirBadli Shah bin Alauddin
(1975-01-31) 31 Januari 1975 (umur 49)
Kg. Berkat, Maran, Pahang, Malaysia
PendidikanM.Sc (Falsafah & Tamadun Islam) Univ. Malaysia Terengganu, B.A (Hons.) Tafsir al-Quran, University al-Azhar, Mesir dan Diploma Dakwah, KUSZA

Dato' Haji Badli Shah bin Haji Alauddin D.I.M.P, A.M.P, P.P.C (Tulisan Jawi: بد لي شاه بن علاءالدين lahir 31 Januari 1975) merupakan pensyarah agama Islam yang sering menyampaikan dakwah di Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan Mesir. Pada 16 Februari 2023, Dato' Badli Shah telah dilantik sebagai Sahibus Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Pahang. Beliau sebelum itu merupakan Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan. Selain itu juga, beliau sering muncul sebagai tetamu di siaran-siaran televisyen dan stesen radio utama di Malaysia dan Singapura. Terdapat juga ceramah beliau dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook dan YouTube.[1]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Badli Shah dilahirkan pada 31 Januari 1975 di Kampung Berkat, Maran, Pahang[2]. Beliau adalah anak sulung kepada pasangan Azizah binti Mohammad dan Alauddin bin Abdul Jalil. Badli Shah dibesarkan di Kuantan, Pahang, dimana beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan St. Thomas, Kuantan. Seterusnya beliau meneruskan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Agama Maran dan juga Sekolah Menengah Agama al-Ihsan di Kuantan. Selepas itu beliau menyambung pelajarannya ke Universiti Sultan Zainal Abidin (sebelum ini dikenali sebagai Kolej Agama Sultan Zainal Abidin), dimana beliau menerima diploma dalam bidang dakwah pada tahun 1997. Badli Shah mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajjah Nor Amirah binti Dato' Haji Omar dan dikurniakan 6 orang anak.

Pendidikan tinggi[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1997, Badli Shah menamatkan pengajian peringkat diplomanya dalam bidang dakwah daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (sebelum ini dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu). Selepas itu beliau memperolehi ijazah dalam bidang Usuluddin (Tafsir al-Quran) pada tahun 1999 di Universiti al-Azhar, Tanta, Mesir. Pada tahun 2012, Badli Shah berjaya memperolehi Sarjana Sains, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi dari Universiti Malaysia Terengganu. Tesis beliau bertajuk “Elemen Sistem Pertahanan Zaman Rasulullah S.A.W Dalam Dasar Pertahanan Negara”.[3]

Beliau kini sedang menyambung ijazah peringkat kedoktoran Pengajian Islam di Universiti Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah. Beliau membuat kajian berkaitan faktor-faktor yang mempengaruhi kehadiran berterusan pelajar ke Program Pengajian Agama Islam (Tafaqquh Fiddin) Negeri Pahang. Analisis dilakukan menggunakan Descriptive Statistics (termasuk penyaringan data untuk min, peratus, minimum, maksimum dan sisihan piawai) dan Statistik Inferensi (Least Square Regression) dengan menggunakan teknik Equation Modelling (SEM). Teknik SEM yang digunakan adalah berdasarkan Variance Based SEM, menggunakan perisian SmartPLS 4.0 dan IBM SPSS.

Jawatan[sunting | sunting sumber]

Rasmi[sunting | sunting sumber]

  • 16.02.2023 - kini: Timbalan Mufti Negeri Pahang
  • 01.07.2019 – 15.02.2023: Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan
  • 16.07.2014 – 01.07.2019: Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Pahang[4]
  • 27.10.2008 – 16.07.2014: Penolong Pengarah (Kanan) Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang
  • 16.03.2008 – 27.10.2008: Qadhi Daerah Temerloh
  • 01.10.2001 – 16.03.2008: Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang
  • 02.05.2001 – 01.10.2001: Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Pahang
  • 01.11.2000 – 02.05.2001: Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang.

Ikhtisas[sunting | sunting sumber]

  • 01.01.2024 – 31.12.2025: Ahli Jawatankuasa Adat Resam Melayu Pahang
  • 01.01.2024 – 31.12.2025: Ahli Jawatankuasa Kajian Makanan dan Barang Gunaan Orang Islam Negeri Pahang
  • 2023 – 2024: Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Panel Semakan khutbah Negeri Pahang
  • 2023 – 2024: Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Pahang
  • 2023 – 2024: Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang
  • 16.05.2016 – kini: Pengarang Kehormat, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Pahang[5][6]
  • 06.07.2018 – kini: Ahli Lembaga Koperasi Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Pahang Berhad

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Pengucapan awam[sunting | sunting sumber]

Sehingga kini, Badli Shah telah menjadi pensyarah di masjid, dewan seminar, universiti dan tempat-tempat awam di Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Mesir. Badli Shah pernah menjadi pensyarah di beberapa buah masjid seperti Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Masjid Jamek Sultan Ibrahim di Muar, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Abidin dan Masjid Kristal di Kuala Terengganu, Masjid Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Masjid ar-Rahimiah di Klang, Masjid Zahir di Alor Setar dan Masjid Sultan di Singapura.

Banyak keratan ceramah beliau menjadi tular dan disebarkan menerusi media sosial yang lain. Antara yang paling diingati adalah petikan ceramah beliau yang disampaikan pada 27 Oktober 2014 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing. Beliau telah menceritakan berkenaan rahsia simbol jata negeri Johor yang memaparkan dua ekor harimau bernama Dengkis and Tepok, yang mana menurut lagenda adalah harimau penjaga negeri Johor. Audio ceramah tersebut telah tular pada bulan Mac 2015 dan kini telah ditonton lebih dari 111,635 kali.[7]

Penampilan di radio[sunting | sunting sumber]

Badli Shah di konti Pahang FM pada 19 Mei 2008

Badli Shah memulakan kariernya sebagai penyampai radio pada 3 November 2000, menerusi stesen radio Pahang FM 104.1 FM yang berpangkalan di Kuantan, Pahang. Selanjutnya Badli Shah sering muncul menerusi rancangan keagamaan di radio Nasional FM, Radio Klasik, Terengganu FM, Kelantan FM, Perak FM, Johor FM, Best FM, Fuyoo FM dan Warna FM Singapura 94.2FM (94.2FM). Penampilannya di IKIM fm 91.5 MHz menerusi rancangan Motivasi Pagi mencetuskan fenomena baharu. Rancangan motivasi yang bersiaran selama 10 minit ini memulakan siarannya pada bulan April 2014, dan bersiaran dari hari Isnin – Jumaat dari jam 7.30 pagi – 7.40 pagi. Atas sambutan yang menggalakkan, pihak Institut Kefahaman Islam Malaysia pada tahun 31 Disember 2016 telah menerbitkan program ini dalam bentuk Kompilasi Digital.[8][9] Pada tahun 2017, Institut Kefahaman Islam Malaysia dengan kerjasama Galeri Ilmu Sendirian Berhad telah menerbitkan sebuah buku yang memuatkan rakaman audio program Motivasi Pagi dan diberi judul "Segelas Air Segenggam Kopi"[10][11]

Penampilan di televisyen[sunting | sunting sumber]

Badli Shah sering ke udara di beberapa stesen televisyen seperti TV1, TV3, TV9, TV al-Hijrah, Astro Oasis dan Astro Maya. Karier beliau sebagai penyampai televisyen bermula pada Disember 2001 sebagai penyampai dalam rancangan Muhasabah Diri yang bersiaran pada waktu tengah malam di TV1. Selepas itu, beliau diberi peluang menjadi tetamu dalam rancangan Forum Perdana Ehwal Islam TV1 yang bersiaran di Bentong, Pahang pada 28 Mac 2002 bersempena dengan pilihanraya kecil DUN Ketari 2002.

TV1[sunting | sunting sumber]

Selepas siaran Forum Perdana Ehwal Islam di Bentong, Badli Shah sering diundang bersiaran secara rakaman atau secara langsung. Pada 30 September 2010, Badli Shah diundang untuk bersiaran menerusi rancangan Forum Perdana Ehwal Islam TV1 di Istana Negara lama bersama dengan panelis Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Forum bertajuk "1Malaysia 1Ummah" diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-13, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Sultanah Nur Zahirah.[12]

Semasa era pemerintahan Almarhum Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, beliau diundang untuk bersiaran menerusi rancangan Forum Perdana Ehwal Islam TV1 sebanyak 3 kali di Istana Negara yang baru di jalan Duta. Pada 19 Julai 2012, beliau diundang bersama Datuk Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail dalam forum bertajuk “Marhaban Ya Ramadan”.[13][14]

Kemudian pada 6 Jun 2013, beliau diundang bersama Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail, Dato’ Mohd. Kazim Elias al-Hafiz dan Don Danial bin Don Biyajid menyampaikan tajuk “Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Mendaulatkan Institusi Diraja”.[15]

Pada 12 Jun 2014, beliau sekali lagi diundang ke Istana Negara bersiaran secara langsung bersama Dato’ Mohd. Kazim Elias al-Hafiz dan Datuk Dr. Norhafizah binti Musa membawakan tajuk “Inspirasi Amirul Mukminin”.[16][17]

Semasa era pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Badli Shah sekali lagi diundang ke Istana Negara pada 14 September 2017 untuk bersiaran menerusi rancangan Forum Perdana Ehwal Islam TV1 bersama dengan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Dato’ Mohd. Kazim Elias al-Hafiz membawakan tajuk “Payung Negara”.[18] Pada 13 September 2018, beliau sekali lagi diundang ke Istana Negara bersiaran secara langsung bersama Dato' Dr. Mohd. Izhar Ariff bin Mohd. Kashim dan Ustaz Roslan bin Mohamed membawakan tajuk “Keagungan al-Fateh[19]

Selain Forum Perdana Ehwal Islam, Badli Shah juga terlibat menjadi tetamu dalam rancangan "Salam Baitullah",[20] Al-Bayan dan Ad-Deen. Pada 15 Februari 2010, beliau diundang menjadi juri tetap rancangan realiti Adik-Adikku Musim pertama dan seterusnya pada 15 Mac 2011 sekali lagi dipilih sebagai juri tetap untuk musim kedua.[21][22]

TV3 dan TV9[sunting | sunting sumber]

Rakaman Halaqah TV9 di Kompleks Piramid Giza, Mesir pada 4 Jun 2005

Selain di TV1, Badli Shah juga sering muncul menjadi tetamu di beberapa rancangan lain di TV3 dan TV9 seperti rancangan “Al-Kuliyyah”, “Bismillah”, “Al-Hidayah”, “Motivasi Pagi”, juri jemputan “Da'i: Pendakwah Milenia”,[23][24]Keluarga di 9”, “Tanyalah Ustaz” dan “Semanis Kurma”. Pada 28 Disember 2006, beliau diundang sebagai juri rancangan televisyen realitiCari Menantu Musim Pertama” bersama dengan Dr. Nik Salida Suhaila binti Nik Saleh dan Dato’ Yusof bin Hussain. Selain itu, beliau turut diundang menjadi pengacara tetap rancangan “Muqaddimah” (program motivasi pagi) yang bersiaran mulai tahun 2009 – Disember 2010. Selain mengacarakan rancangan “Muqaddimah”, Badli juga mengacarakan rancangan mingguan bertajuk “Halaqah: Akar Tradisi Ilmu” dan “Halaqah: Sentuhan Kalbu” yang bersiaran mulai 25 Jun 2009 – 13 Disember 2013.

TV al-Hijrah[sunting | sunting sumber]

Penglibatan beliau dengan TV al-Hijrah bermula pada 28 September 2010 apabila ditawarkan menjadi penyampai dalam rancangan “Muhasabah Diri” sebanyak 5 episod. Selepas itu pada 18 Mei 2011, Badli Shah ditawarkan menjadi pengacara oleh TV al-Hijrah menerusi rancangan “Madrasah Syariah” yang bersiaran sehingga 27 Julai 2011. Pada 5 Jun 2013, Badli Shah ditawarkan pula sebanyak 26 episod menjadi pengacara rancangan “Cinta Ilmu: Fiqh dan Syariah Musim ke-3”. Mulai 24 Oktober 2013, beliau mengacarakan pula siaran “Cinta Ilmu: Akidah dan Falsafah Musim ke-4” dan segmen “Tanda-Tanda Kiamat” mendapat sambutan yang baik ketika itu. Beliau menggunakan kitab اشراط السّاعة karangan Dr. Yusuf ibn Abdullah ibn Yusuf al-Wabil.[25] Pada bulan Ogos 2015, beliau meneruskan program “Cinta Ilmu: Akidah dan Falsafah” dengan mengajar pula kitab “Biografi Malaikat” karangan Rachmat Ramadhana al-Banjari. Selepas itu pada bulan Januari 2016 beliau menyambung pula kitab “Tanda-Tanda Orang Munafik Dalam Al-Quran”, tulisan Dr. Muhammad Yusuf Abdou bin Hussin. Selepas 26 episod, pada bulan Jun 2016, beliau menyambung pula mengajar kitab “Dosa-Dosa Besar” (The Book of Major Sins) tulisan Imam az-Zahabi dan ditahqiq oleh Abu Hafs, Sayyid ibn Ibrahim ibn Sadiq ibn Imran.[26] Selepas tamat 36 episod, rancangan ini ditamatkan siarannya pada bulan Jun 2016. Selain itu, Badli Shah turut diundang dalam rancangan “Al-Cuit Sikit” yang dihoskan oleh Dato’ Afdlin Shauki. Program 13 episod ini memulakan siarannya pada 9 Jun 2013.[27]

Astro Oasis dan Astro Maya[sunting | sunting sumber]

Rakaman Tazkirah Malam Jumaat Astro Oasis bersama Dato' Kazim dan Amin Idris pada 4 April 2018

Pada bulan Jun 2016, Astro Oasis telah mengundang Badli Shah mengendalikan 13 episod program bertajuk “Tafsir Mimpi” yang dihoskan bersama Nabil Ahmad. Pada bulan Oktober 2017, Astro Oasis mengumumkan bahawa Badli Shah akan dilantik sebagai Pengetua rancangan realiti “Pencetus Ummah Musim ke-4” bermula dari Oktober – November 2017.[28][29] Beliau sekali lagi berkolaborasi bersama Dato’ Afdlin Shauki dalam rancangan “Al-Faham Ke Idoq” yang bersiaran pada 7 Mac 2017. Selain itu juga, beliau sering diundang menerusi rancangan “Tazkirah Malam Jumaat”.[30]

Penerbitan terpilih[sunting | sunting sumber]

  • Rasulullah S.A.W, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2001) cetakan kedua tahun 2010
  • Kewajipan Mentaati Pemimpin, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2003)
  • Persada Hadis Pilihan, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2005)[31]
  • Islam Hadhari: Kekuatan Pertahanan, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2005)
  • Al-Quran Daripada Perspektif Golongan Orientalis: Satu Analisa dan Perbandingan, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2006)[32]
  • Junjungan Mulia S.A.W: Daripada Perspektif Agama Lain, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2006)[33]
  • Konsep Cegah Rintang (Deterrence) Pertahanan Negara, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2006)
  • Metodologi Tafsir al-Quran, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2007)[34]
  • Islam Disebarkan Dengan Mata Pedang: Menangkis Fitnah Terhadap Junjungan Mulia S.A.W, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2007)[35]
  • Islam dan Pemerintahan, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2008)
  • Pengurusan Ketenteraan Zaman Rasulullah S.A.W. dan Perbandingannya Dengan Dasar Pertahanan Negara, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2008)[36]
  • Pemurnian Sejarah: Umur Saidatina ‘Aishah Sewaktu Bernikah Dengan Rasulullah S.A.W, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2009)[37]
  • Hijrah dan Transformasi Ekonomi: Meninjau Sistem Pengurusan Kewangan Pentadbiran Rasulullah S.A.W di Madinah, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2010)
  • Pentadbiran Awam Di Bawah Pimpinan Rasulullah S.A.W, terbitan Jabatan Agama Islam Pahang (2011)
  • Seni Dalam Berdakwah, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. (2017)[38]
  • Segelas Air Segenggam Kopi, terbitan Galeri Ilmu (2017)[39]

Anugerah dan penghargaan[sunting | sunting sumber]

  • - Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Keempat Ahli Mahkota Pahang (A.M.P.): 2008
  • - Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P.) yang membawa gelaran Dato': 2014
  • - Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Persekutuan): 2017
  • Anugerah Belia Negara Negeri Pahang: 2014

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ https://www.youtube.com/results?search_query=badli+shah+alauddin
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-23. Dicapai pada 2018-04-22.
  3. ^ https://teganukita.blogspot.my/2012/11/penceramah-bebas-terima-ijazah-di-umt.html
  4. ^ http://jaip.pahang.gov.my/index.php/new1/pegawai-pegawai-kanan
  5. ^ http://www.psm.org.my/
  6. ^ http://pancapersada.blogspot.my/2016/05/pimpinan-persatuan-sejarah-pahang.html
  7. ^ https://www.youtube.com/watch?v=YcrHZwYxq0M
  8. ^ http://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2016/12/31/motivasi-pagi-dato-ustaz-badli-shah-alaudin-kompilasi-digital/
  9. ^ https://www.ikimniaga.my/product/motivasi-pagi-dato/
  10. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-10. Dicapai pada 2021-09-23.
  11. ^ https://books.google.com.my/books/about/Segelas_air_segenggam_kopi.html?id=fGyxswEACAAJ&redir_esc=y
  12. ^ http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2010/09/29/agong-berkenan-hadiri-forum-perdana-di-istana-negara/
  13. ^ http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2012/07/19/agong-dan-permaisuri-berangkat-ke-forum-perdana-diraja/
  14. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-29. Dicapai pada 2018-04-28.
  15. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-28. Dicapai pada 2018-04-28.
  16. ^ https://www.nst.com.my/news/2015/09/king-queen-attend-royal-forum-conjuction-birthday-celebration
  17. ^ http://www.sinarharian.com.my/nasional/agong-berangkat-ke-forum-perdana-diraja-1.289559
  18. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-28. Dicapai pada 2018-04-28.
  19. ^ https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/473334/agong-berangkat-ke-forum-perdana-diraja
  20. ^ https://www.rtm.gov.my/images/stories/article/Salam%20Baitullah%202016/Salam%20Baitullah%202016.pdf
  21. ^ http://www.budiey.com/peringkat-akhir-program-realiti-adik-adikku/
  22. ^ https://issuu.com/dr_usops/docs/buletin_jakim_april.final_web_
  23. ^ http://www.budiey.com/dai-hamidah-juara-dai-pendakwah-milenia-musim-ke3/
  24. ^ http://galaksi-media.com/semasa-4-juta-tonton-pentas-akhir-dai-musim-ketiga/
  25. ^ https://alhijrahmedia.com/category/santapanrohani/cintailmu/tanda-tandakiamat/
  26. ^ https://alhijrahmedia.com/category/santapanrohani/cintailmu/akidahdanfalsafah/
  27. ^ http://www.sinarharian.com.my/sinar-tv/afdlin-terbit-rancangan-bicara-islamik-1.164200
  28. ^ https://www.hmetro.com.my/node/173800
  29. ^ http://www.sinarharian.com.my/hiburan/pencetus-ummah-antara-dakwah-populariti-1.576794
  30. ^ http://whatson.astro.com.my/search/?q=tazkirah-malam-jumaat
  31. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:448110&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  32. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:480988&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  33. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:468106&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  34. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:586403&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  35. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:498705&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  36. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:549103&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  37. ^ http://opac.pnm.gov.my/lib/item?id=chamo:565016&fromLocationLink=false&theme=PNM2
  38. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-04-22. Dicapai pada 2018-04-22.
  39. ^ http://www.ikim.gov.my/new-wp/index.php/2016/12/31/motivasi-pagi-dato-ustaz-badli-shah-alaudin-kompilasi-digital/

Pautan luar[sunting | sunting sumber]