Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS)
Lencana SERATAS

Lencana SERATAS

Alamat Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, Peti Surat 79,34000 Taiping, Perak Darul Ridzuan, Malaysia
Telefon 605-8083020
Faksimili 605-8062576
Laman Web www.seratas.edu.my
Alamat Emel seratas6050@yahoo.com
Klasifikasi Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Kerajaan
Moto "Proaktif Inovatif Efektif"
Slogan
Kod Sekolah AEA6050
Pengetua Puan Hajah Noriza bt Dato’ Sulaiman
Penolong Kanan Akademik
Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar
Penolong Kanan Kokurikulum
Tahun dirasmikan 1 Januari 1982
Fail:Istiadat Seratas.png
Istiadat Perasmian oleh Almarhum Sultan Idris

Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah atau SERATAS merupakan sekolah berasrama penuh yang terletak 3km dari Bandar Taiping dan terletak di kaki Bukit Larut, Perak. Sekolah ini merangkumi kawasan seluas 51.9 ekar dan diasaskan pada 1 Januari 1982 di bawah Rancangan Malaysia Ketiga. Sekolah ini dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Perak, dan dirasmikan oleh Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar Shah Kaddasallah pada 3 Oktober 1983. Sekolah ini juga pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Taiping, SEMESTA.

Nama sekolah secara rasminya ditukarkan kepada Sekolah Raja Tun Azlan Shah atau SERATAS pada 21 Februari 1987 oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Paduka Seri Sultan Azlan Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusof Izzuddin Ghafrullahu-Lahu Shah.


Sejarah Awal

Fail:Penamaan Seratas.png
Perasmian nama baru sekolah oleh Sultan Azlan Shah

Urus setia awal yang yang menguruskan pembinaan sekolah ini terletak di Pejabat Pendidikan Daerah Taiping. Apabila pembinaan telah siap dilakukan pada 14 Julai 1982, urus setia telah dipindahkan ke bangunan baru. Bangunan lain termasuklah Dewan Kuliah, Balai Islam, Balai Pameran, Astaka dan Bangunan Kejuruteraan telah dibina kemudian.

Kumpulan staf pertama melaporkan diri untuk bekerja pada 16 April 1982. Kumpulan pelajar pertama didaftarkan pada 14 Ogos 1982. Terdapat 6 buah kelas pada mulanya bagi Tingkatan 1, 6 kelas bagi Tingkatan Empat dan 4 kelas bagi Tingkatan Enam Bawah. Kelas matrikulasi bagi Universiti Sains Malaysia bermula pada 11 Jun 1984 dengan jumlah keseluruhan pelajar seramai 144 orang.

Kini, sekolah ini hanya menyediakan tempat bagi Tingkatan 1 hingga 5.


Sambutan Jubli Perak

Pada 18 Ogos 2007, Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah akan meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Sehubungan itu, pihak sekolah telah menganjurkan satu Majlis Sambutan Jubli Perak SERATAS yang bertempat di Dewan Besar SERATAS. Majlis itu bakal dihadiri oleh Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, Menteri Besar Perak, YAB Datuk Mohd Tajol Rosli dan Sultan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Paduka Seri Sultan Azlan Shah Ibni Al-Marhum Sultan Yusof Izzuddin Ghafrullahu-Lahu Shah, serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

Majlis itu akan memperingati perjalanan sekolah selama suku abad di samping memberikan penghargaan kepada pelajar yang berjaya pada tahun 2006. Turut bakal menghadiri acara tersebut adalah bekas pelajar atau alumni sekolah yang telah lama ditubuhkan untuk kebajikan bekas pelajar SERATAS.

Lencana

Lencana SERATAS
  • Kereta api – Landasan kereta api pertama dibina di Malaysia adalah di Taiping, Bandar di mana terletaknya sekolah ini.
  • Tabung uji, bikar dan gear – Sains dan teknologi adalah asas sistem pendidikan di Seratas.
  • Buku – Buku yang terbuka menunjukkan idea yang pendidikan itu adalah satu proses yang berterusan.
  • Cincin – Semangat kesukanan dan setiakawan tertanam dalam jiwa warga Seratas.
  • Warna
Kuning — melambangkan kesetiaan pada raja sebagai sifat utama negara kita
Biru — melambangkan harmoni
Hitam — melambangkan ketegasan
  • Cogan kata

"Berdisiplin, Berilmu, Berbakti"

Lagu sekolah

Sekolah Raja Tun Azlan Shah
Sekolah ku yang tercinta
Mencapai cita mulia
Berbakti pada negara
Berdisplin, Berilmu, Berbakti
Bersopan santun budi mulia
Belajar dan berusaha
Itulah pegangan kami
Kepada mu oh tuhanku
Penuhi hasrat yang satu
Moga maju sekolah ini
Gagah berdiri kekal abadi
Sekolah Raja Tun Azlan Shah
Sekolah ku yang tercinta
Mencapai cita mulia
Berbakti pada negara

Kemudahan dan Kelengkapan

Kemudahan Asas

Bangunan Pembelajaran dan Pentadbiran Sekolah ini mempunyai 3 blok utama yang mengandungi pejabat pentadbiran, bilik guru, makmal sains dan bahasa, pusat sumber, bilik darjah, dan tandas. Blok X, Y dan Z ini mempunyai 3 tingkat dan penghubung dari satu blok ke blok yang lain.

Terdapa juga bangunan kejuruteraan yang terdiri daripada studio AutoCAD dan bengkel bagi pelajar aliran sains dan teknik mempelajari mata pelajaran kejuruteraan. Terdapat juga blok bagi bengkel kemahiran hidup bagi pelajar menengah rendah mempelajari mata pelajaran Kemahiran Hidup.

Asrama SERATAS adalah sebuah sekolah berasrama penuh iaitu pelajar dikehendaki tinggal di asrama yang disediakan. Sekolah ini mempunyai 6 blok asrama iaitu 4 blok asrama lelaki dan 2 blok asrama perempuan. Blok tersebut dinamakan Blok A, B, C dan D bagi lelaki dan Blok E serta F bagi perempuan. Blok-blok ini pernah dinamakan sempena nama tokoh islam seperti Ibnu Sina dan Siti Aisyah. Kini, asrama dibahagikan mengikut empat rumah sukan iaitu rumah Rajawali (Biru), Enggang (Hijau), Helang (Kuning), dan Garuda (Merah).

Asrama ini boleh menempatkan 750 orang pelajar dan 6 unit keluarga bagi warden. Terdapat juga bilik rekreasi, bilik sakit, klinik pergigian, dan bilik belajar. Semua pelajar terikat dengan peraturan 'Arahan Tatatertib Sekolah' yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua aktiviti pelajar dikawal oleh pihak pentadbiran sekolah.

Dewan Makan dan Kantin Dewan makan sekolah ini terletak di antara asrama lelaki dan perempuan yang mengadap ke Astroturf dan membelakangkan kaki bukit larut. Dewan makan akan digunakan bagi sarapan pagi, makan tengah hari, makan petang, makan malam dan makan lewat malam bagi hari persekolahan dan bagi waktu cuti. Dewan makan ini juga boleh menampung palajar seramai 750 orang pada satu-satu masa sekiranya terdapat majlis rasmi.

Kantin pula terletak di bangunan akademik yang terletak bersebelahan dewan besar.

Dewan Besar Dewan Besar SERATAS menjadi kegunaan rasmi sekolah seperti perhimpunan rasmi, sambutan rasmi (seperti kemerdekaan atau maulud nabi), kegiatan pelajar dan peperiksaan umum (PMR dan SPM). Dewan ini mampu menempatkan 800 pelajar bersama guru dan kakitangan untuk satu-satu masa. Dewan ini juga turut boleh digunakan oleh orang luar atas kebenaran pihak sekolah.

Surau Surau SERATAS adalah kemudahan bagi pelajar Islam untuk menunaikan solat berjemaah memandangkan pelajarnya dipupuk untuk menunaikan solat fardu berjemaah setiap waktu. Surau ini dibina pada 19 April 1989. Terdapat juga aktiviti keagamaan lain yang dilakukan di surau seperti marhaban dan tilawah al-Quran. Bahagian belakang luar surau turut digunakan bagi aktiviti memasak dan korban.

Fail:Bangunan Seratas.jpg
Bangunan akademik SERATAS

Kemudahan Lain

Pusat Sumber Pusat Sumber menyediakan pelbagai bahan rujukan dan kemudahan kepada pelajar dan staf sekolah. Terdapat lebih dari 27,000 buah buku didapati di situ untuk kegunaan pengunjung. Terdapat juga koleksi pita video dan alat bantuan pengajaran dan pembelajaran bagi kemudahan pelajar dan guru. Selain pusat sumber, terdapat juga bilik seminar dan bilik audio visual yang menjadi sebagai sebahagian daripada kemudahan Pusat Sumber tersebut.

Pusat Komputer Pusat ini menyediakan perkhidmatan komputer untuk kegunaan pentadbiran, staf akademik dan juga pelajar sekolah. Para guru juga digalakkan menggunakan komputer sebagai kaedah pengajaran dalam merealisasikan sekolah bestari dan juga untuk kajian R&D.

Makmal Bahasa Makmal ini digunakan untuk mengajar bahasa di sekolah ini terutama Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Bahasa Perancis, Bahasa Arab dan Bahasa Jepun. Makmal bahasa ini turut boleh digunakan bagi tujuan perjumpaan persatuan ko-kurikulum bagi aktiviti mereka dari semasa ke semasa.

Koperasi Sekolah Koperasi ini dibuka pada 18 April 1984 dan menyediakan perkhidmatan seperti kedai runcit koperasi, bank koperasi dan pemborong.

Semua pelajar adalah ahli koperasi sekolah dengan harapan dapat menanamkan sikap berjimat cermat dan kerjasama selain menguruskan urus niaga dengan sendiri. Dividen tahunan akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi.

Kemudahan Sukan Seratas turut mempunyai pelbagai kemudahan sukan seperti Astroturf, gimnasium, astaka, padang, gelanggang bola keranjang dan bola tampar, dan dewan besar (gelanggang badminton).

Pengangkutan Pengangkutan disediakan di sekolah ini dengan satu bas mini dan 3 bas untuk kemudahan pelajar dan rombongan sekolah ke luar sekolah.

Tempat Tinggal Guru dan Pekerja Sekolah ini turut menyediakan kuarters bagi guru dan pekerja untuk memudahkan mereka berulang alik ke sekolah. Sekolah ini juga menyediakan rumah bagi pengetua dan penolong kanan.

Pengetua

  1. Tuan Haji Yahya bin Haji
  2. Tuan Haji Khairuddin bin Haji Arshad
  3. Tuan Haji Zainodin bin Haji Abdul Kadir
  4. Encik Dawa bin Abdullah
  5. Tuan Haji Halim bin Haji Abdul Aziz
  6. Tuan Haji Ahmad Arbi bin Hamzah
  7. Tuan Haji Muhamat Roli bin Haji Hasan
  8. Encik Arif bin Ramli
  9. Tuan Haji Jamaludin bin Yusof
  10. Puan Rahimah bt Sura
  11. Puan Hajah Noriza bt Dato’ Sulaiman

Majalah sekolah

Majalah sekolah SERATAS (atau SEMESTA sebelum 1987) merupakan majalah terbitan SERATAS yang diuruskan oleh lembaga Sidang Redaksi (SIDRED) yang dianggotai oleh sepasukan pelajar dan guru yang menjadi tulang belakang kepada penerbitan majalah ini. Majalah ini mengumpulkan koleksi gambar dan rencana peristiwa tahunan sekolah serta turut menyiarkan karya-karya pelajar. Turut disertakan gambar barisan warga SERATAS untuk dijadikan kenangan bagi setiap tahun terutama bagi pelajar yang bakal menjadi lepasan sekolah.

Lihat juga

Pautan luar