Daerah Kecil Sadong Jaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Daerah Kecil Sadong Jaya
Map of Asajaya District, Sarawak.svg
Daerah Kecil Sadong Jaya yang terletak di Malaysia Timur
Daerah Kecil Sadong Jaya
Daerah Kecil Sadong Jaya
Koordinat: 1°31′30″N 110°41′30″E / 1.52500°N 110.69167°E / 1.52500; 110.69167Koordinat: 1°31′30″N 110°41′30″E / 1.52500°N 110.69167°E / 1.52500; 110.69167
Negara Malaysia
Negeri Sarawak
BahagianBahagian Samarahan
Kerajaan
 • Pihak berkuasa tempatanPejabat Daerah Kecil Sadong Jaya
Luas
 • Jumlah332.48 km2 (128.37 batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (MST)

Daerah Kecil Sadong Jaya ialah sebuah daerah kecil di negeri Sarawak Bumi Kenyalang, Malaysia. Ia adalah sebahagian daripada Bahagian Samarahan yang merangkumi Samarahan, Simunjan, Sebuyau, Sadong Jaya dan Asajaya.[1] Pekan pentadbiran bagi daerah kecil ini ialah Sadong Jaya. Ia juga merupakan daerah kecil yang terletak dalam pentadbiran Daerah Asajaya.[2]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama "Sadong Jaya" diambil daripada dua perkataan yang digabungkan. Sadong merujuk kepada sebatang sungai mengalir disitu yakni, Batang Sadong. Istilah jaya merujuk kepada "kejayaan".[3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebelum di bawah pentadbiran Daerah Asajaya, Sadong Jaya terletak di bawah Daerah Simunjan. Mulai 1 Januari 2002, Sadong Jaya sepenuhnya dipisahkan daripada Simunjan dan bergabung dalam Daerah Asajaya sebagai daerah kecil.[3] Daerah Kecil Sadong Jaya dihubungkan dengan jalan darat dan sungai. Jarak Sadong Jaya ke Asajaya ialah 15 kilometer (9.3 bt) dan 75 kilometer (46.6 bt) dari Kuching, ibu negeri Sarawak dengan menggunakan perkhidmatan feri.[4]

Mengikut cerita pemimpin masyarakat di Sadong Jaya, pernah berlaku peristiwa bersejarah iaitu apabila kapal Syarif Masahor dan pengikutnya telah ditenggelamkan akibat diserang oleh penjajah ketika itu, sebelum mereka melarikan diri dari Ensengei (kawasan Simunjan) ke Lingga. Peristiwa ini telah berlaku di muara Sungai Pendam.[3]

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan penduduk masih tergantung pada sektor pertanian sebagai punca pendapatan. Kegiatan pertanian berskala besar terutamanya penanaman kelapa sawit diusahakan di Sadong Jaya dengan kerjasama pihak FELCRA yang memainkan peranan utama.[3] Ladang kelapa sawit yang dibuka ini telah memberi peluang pekerjaan kapada belia dan penduduk setempat yang melibatkan penduduk di lima kawasan iaitu Kampung Sungai Buluh, Kampung Senangeh, Kampung Terasi, Sadong Jaya dan Kampung Jemukan dengan keluasan tanaman seluas 864.32 hektar (8.6 km2) dan projek penanaman ini akan diluaskan di beberapa lagi tempat akan datang.[3]

Pertukaran nama[sunting | sunting sumber]

Daerah Kecil Sadong Jaya dahulunya dikenali sebagai "Pendam" yang kini tinggal sejarah. Perkataan "pendam" itu tidak bergitu sesuai didengar di kalangan masyarakat setempat, maka pada 4 Ogos tahun 1985, Datuk Patinggi Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah mengisytiharkan bahawa nama "Pendam" ditukar kepada "Sadong Jaya". Pengisytiharan itu diumumkan beliau sendiri di Majlis Bertemu Rakyat yang bertempat di Madrasah Abdul Taib Mahmud.[3]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Daerah Kecil Sadong Jaya terletak di Batang Sadong atau Sungai Sadong. Sadong Jaya merupakan lokasi geografi yang unik kerana sentiasa terdedah kepada banjir kilat dan banjir monsun.[5] Hal ini demikian, Sadong Jaya merupakan salah satu daerah perikanan daripada 15 daerah lainnya di negeri Sarawak.[6] Ciri-ciri pandang barat fizikal yang terdapat di dalam kawasan ini ialah Batang Sadong yang mengalir keluar ke Laut China Selatan.[1]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Kawasan Sadong Jaya keseluruhannya ditadbirkan sepenuhnya oleh Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya yanh bertapak di Pekan Sadong Jaya. Daerah Kecil Sadong Jaya yang terdiri daripada pelbagai etnik seperti Melayu, Iban, Cina, Bugis, Jawa dan lain-lain. Terdapat 24 buah kampung atau rumah panjang dibawah pentadbiran kerajaan tempatan.[3] Diantaranya ialah Kampung Semera Lot, Kampung Semera Laut, Kampung Semera Hilir, Kampung Ulu Semera, Kampung Semera Cina, Kampung Jemukan, Kampung Jemukan Ulu, Kampung Pelandok Laut, Kampung Pelandok Ulu, Kampung Iboi, Kampung Iboi Ulu, Kampung Jaie, Pekan Sadong Jaya, Ulu Sadong Jaya, Sadong Jaya, Kampung Bilis, Kampung Rangawan, Kampung Tanjung Kelaso, Kampung Rangkang, Kampung Sungai Putin, Kampung Senangeh, Kampung Sungai Bundong, Kampung Sungai Buluh, Kampung Terasi Hulu dan Kampung Terasi Iban.[2]

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Sebuah sekolah di Sadong Jaya, Sekolah Kebangsaan Jemukan.

Kemudahan seperti jalan raya yang menghubungkan Sadong Jaya ke Sungai Buluh sepanjang 11.7 kilometer (7.3 bt) dengan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM 215 juta dan siap dibina dalam tahun 1999. Rangkaian jalan raya ini meliputi kawasan perkampungan seperti Sungai Bundong, Sungai Buluh, Rangawan, Senangeh, Terasi Ulu, Terasi Iban, Sungai Putin, Bilis dan Tajong Kelaso/Rangkang banyak memberi manfaat kepada semua penduduk terutama dari segi pemasaran hasil tani. Di Sadong Jaya juga terdapat perkhidmatan feri di Sungai Buluh, perkidmatan kesihatan di tiga buah cawangan klinik kesihatan di Sadong Jaya, Jemukan dan Semera dan pusat beribadah masyarakat setempat. Fungsi petempatan luar bandar ini juga sebagai pekan pendidikan yang menawarkan pendidikan sekolah rendah hingga sekolah menengah. Antara sekolah yang terdapat di Sadong Jaya ialah, Sekolah Kebangsaan Haji Bujang Rangawan Putin, Sekolah Menengah Kebangsaan Sadong Jaya, Sekolah Kebangsaan Jemukan, Sekolah Menengah Kebangsaan Sadong Hilir, Sekolah Kebangsaan Iboi, Sekolah Kebangsaan Pendam, Sekolah Kebangsaan Terasi, Sekolah Kebangsaan Haji Kelali Semera, Sekolah Kebangsaan Sungai Buluh, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Jemukan, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Semera dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Pesantren Abdul Taib Mahmud.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b M. Mohizah, S. Julia and W. K. Soh (2006). A Sarawak Gazetteer [Gazetir Sarawak] (PDF). Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia. ISBN 983-2181-86-0. OCLC 85818866. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 Julai 2011. Dicapai pada 18 Mei 2021.
  2. ^ a b "Profail Daerah Asajaya, Bahagian Samarahan, Sarawak, Malaysia". samarahan.sarawak.gov.my. Pentadbiran Bahagian Samarahan. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-05-20. Dicapai pada 19 Mei 2021.
  3. ^ a b c d e f g "Profil Pejabat Daerah Sadong | Sejarah Politik Daerah Kecil Sadong Jaya". samarahan.sarawak.gov.my. Pentadbiran Bahagian Samarahan. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-07-12. Dicapai pada 20 Mei 2021.
  4. ^ "Sejarah Pusat Internet Sadong Jaya | Daerah Kecil Sadong Jaya". sadongjaya.pjk.com.my. Pusat Internet Sadong Jaya. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Julai 2021. Dicapai pada 2 Disember 2019.
  5. ^ Wong; Swee Kiong (2021). "Sustainable Livelihood Strategies of The Riverine Communities at Sadong Jaya, Sarawak, Malaysia: Role of Capital Assets". Studies of Applied Economics 39.1. doi:10.25115/eea.v39i1.4271. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  6. ^ Ariff; Mohammad Raduan Mohd; Amaluddin Bakeri (2001). "Hubungan perdagangan sumber perikanan Sarawak-Negara Brunei Darussalam: kajian kes daerah perikanan Miri" (6). Jati-Journal of Southeast Asian Studies: 1–28. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  7. ^ Kementerian Pendidikan Malaysia (10 Julai 2020). "Senarai Sekolah Rendah dan Menengah di Malaysia". moe.gov.my. Diarkibkan daripada yang asal (XLXS) pada 10 Februari 2021.CS1 maint: date and year (link) (Data sekolah pada 30 Jun 2020).

Pautan luar[sunting | sunting sumber]