Didi & Friends

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Didi & Friends
Pencipta
  • Sinan Ismail
  • Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian
Dimiliki olehDigital Durian
Filem dan televisyen
FilemKonsert Hora Horey Didi & Friends
Siri animasiCerita-cerita Didi & Friends
Laman web rasmi
https://www.didiandfriends.com

Didi & Friends merupakan sebuah francais media belajar sambil berhibur bagi kanak-kanak prasekolah yang dicipta oleh syarikat Digital Durian. Berkisarkan sekawan tiga ekor ayam serama muda yang bernama Didi, Jojo dan Nana serta kawan-kawan haiwan antropomorfik yang menyanyikan lagu kanak-kanak antara lainnya, francais ini bermula dalam bentuk sebuah saluran YouTube yang menyiarkan video animasi lagu kanak-kanak sejak 15 Mei 2014,[1] kemudian berkembang menjadi siri animasi televisyen, siri filem, siri buku dan pelbagai barang dagangan. Didi & Friends juga merupakan antara salah satu animasi buatan Malaysia yang terbaik di Malaysia.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Digital Durian ditubuhkan oleh Sinan Ismail dan Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian pada tahun 2008 dan tertumpu kepada membuat perkhidmatan multimedia antara perniagaan seperti kandungan e-learning, video multimedia, animasi 3D untuk industri korporat dan sebagainya.[2] Pada tahun 2009, Digital Durian kembali kepada matlamat asalnya apabila mereka menyertai MSC Malaysia Intellectual Property Creators Challenge(IPCC) selama 2 tahun berturut-turut dan memohon geran kerajaan pada tahun 2011 tetapi ditolak. Akhirnya, pada tahun 2012, mereka mengemukakan idea Didi & Friends di IPCC lalu meraih dana RM50 000.[3]

Kejayaan ini telah mendorong Digital Durian untuk menyiapkan sebuah cerita pilot 11 minit mengenai Didi & Friends yang bertemakan eksplorasi sains. Namun, Digital Durian mendapati peluang mereka terhad untuk memasarkan bahan kanak-kanak prasekolah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pada masa yang sama, Sinan juga mendapati bahawa kurangnya lagu kanak-kanak berbahasa Malaysia yang berkualiti dalam YouTube, maka masalah-masalah ini mendorong beliau untuk mengalihkan fokus Didi & Friends kepada lagu prasekolah berbahasa Malaysia dan menubuhkan Didi & Friends dalam bentuk saluran YouTube.[3]

Didi & Friends akhirnya diperkenalkan buat julung kalinya dalam bentuk saluran YouTube yang menyiarkan video muzik animasi lagu kanak-kanak pada 15 Mei 2014.[1] Walaupun purata video muzik tersebut hanya disiarkan dalam dua minit sahaja, video muzik tersebut bukan sahaja mempersembahkan lagu kanak-kanak rakyat Malaysia, tetapi juga lagu kanak-kanak berbahasa asing yang diterjemahkan dan dilokalisasikan ke dalam bahasa Malaysia seperti Bingo dan Pak Atan Ada Ladang(Old McDonald Had a Farm). Francais Didi & Friends juga mempunyai sedikit video muzik lagu kanak-kanak berbahasa Mandarin, Inggeris dan Thai. Terdapat juga saluran video muzik Didi & Friends yang berasingan dalam bahasa Indonesia. Video-video muzik Didi & Friends juga telah dibawa masuk ke Astro Ceria mulai 8 Disember 2015.[4]

Pada tahun 2017, francais Didi & Friends mengorak langkah baharu melalui kerjasama dengan pihak Astro, mengeluarkan siri episod yang lebih panjang, iaitu Cerita-Cerita Didi & Friends yang bermula dengan pratayang di pawagam TGV Cinemas, disusuli dengan siaran perdana di Astro Ceria mulai 14 Ogos 2017.[5]

Pada tahun 2018, sejarah telah dicipta apabila filem pawagam pertama francais tersebut, iaitu filem animasi muzikal Konsert Hora Horey Didi & Friends dikeluarkan pada 10 Mac 2018 bersempena dengan cuti sekolah di pawagam-pawagam seluruh Malaysia dengan penampilan istimewa Dato' Sri Siti Nurhaliza.[6]

Watak[sunting | sunting sumber]

Watak utama[sunting | sunting sumber]

  • Didi: Watak utama bagi keseluruhan francais. Didi merupakan seekor ayam serama jantan yang berbulu kuning, memakai baju biru dan topi besbol merah berbibir biru yang tertulis nama Didi.
  • Jojo: Sahabat Didi. Jojo merupakan seekor ayam serama jantan yang berbulu putih, memakai baju hijau muda dan cermin mata ungu bertepi cerancang.
  • Nana: Sahabat Didi. Nana merupakan seekor ayam serama betina yang berbulu kuning air, memakai gaun merah jambu dan reben kepala merah muda.

Watak sampingan[sunting | sunting sumber]

  • Pak Atan: Seekor orang utan. Pak Atan telah diperkenalkan dalam video muzik "Pak Atan Ada Ladang"[7] Pada mulanya, Pak Atan berbulu perang pucat dan tidak memakai sebarang pakaian, kemudian beliau telah diolah semula kepada berbulu coklat kemerahan, memakai topi, baju berwarna firus dan seluar panjang biru tua.
  • Bingo: Seekor kucing kelabu. Bingo telah diperkenalkan dalam video muzik "Bingo".[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Didi & Friends - Lagu Kanak Kanak". Dicapai pada 2018-03-20.
  2. ^ Ikhwan Nazri (2016-01-23). "Bersama Digital Durian – Pembangun Siri Animasi Didi & Friends". Amanz.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-15. Dicapai pada 2018-03-20.
  3. ^ a b Calyn YAP. "Digital Durian champions local cartoon content". Focus Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-03-13. Dicapai pada 2018-03-20.
  4. ^ Promo Astro Ceria - Didi & Friends - Hokey Pokey. Dicapai pada 2018-03-20.
  5. ^ "Cerita-Cerita Didi & Friends disiarkan bermula 14 Ogos ini". Astro Awani. 2017-07-27. Dicapai pada 2018-03-20.
  6. ^ Rahimah Abdullah (2018-03-10). "Konsert 'Hora Horey Didi & Friends' di pawagam bermula 10 Mac". Astro Awani. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2018. Dicapai pada 2018-03-20.
  7. ^ Lagu Kanak Kanak - Pak Atan Ada Ladang - Didi & Friends. Dicapai pada 2018-03-20.
  8. ^ Lagu Kanak Kanak - BINGO - Didi & Friends. Dicapai pada 2018-03-20.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]