Parti Kebangsaan Melayu Malaya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari PKMM)
Jump to navigation Jump to search
Parti Kebangsaan Melayu Malaya
Malay Nationalist Party
ڤرتي كبڠسأن ملايو ملايا
PKMM
PengasasMokhtaruddin Lasso
Yang Dipertua Agong PertamaMokhtaruddin Lasso (m. 1945)
Yang Dipertua Agong KeduaDr. Burhanuddin Helmi (m. 1946)
Yang Dipertua Agong KetigaIshak Haji Muhammad (m. 1947)
SloganMERDEKA
Diasaskan17 Oktober 1945
Dibubarkan18 Jun 1948
Ibu pejabatJalan Batu, Kuala Lumpur
Sayap beliaAngkatan Pemuda Insaf (API)
Sayap wanitaAngkatan Wanita Sedar (AWAS)
Keahlian  (1947)53,380
IdeologiNasionalisme
Warna rasmiMerah & Putih


Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) (Jawi: ڤرتي كبڠسأن ملايو ملايا, bahasa Inggeris: Malay Nationalist Party) yang juga dikenali Parti Nasionalis Melayu (PNM) telah ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 [1] di Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Parti ini merupakan parti politik Melayu yang pertama ditubuhkan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. [2]

Matlamat utama penubuhan PKMM ialah untuk menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan semula Inggeris setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. PKMM juga berusaha mengatasi masalah orang Melayu di segi pelajaran, sosial dan ekonomi serta kebebasan mencetak dan bersuara. [3]

Pada 30 November 1945, PKMM telah mengeluarkan lapan resolusi yang dianggap oleh pihak kerajaan British sebagai diinspirasikan oleh rancangan 'Sembilan Perkara' Parti Komunis Malaya.

PKMM juga dikatakan condong kepada komunisme kerana Mokhtaruddin Lasso pejuang anti-Jepun yang dilantik sebagai Yang Dipertua Agong nya yang pertama merupakan pelarian politik dari Indonesia yang begitu terpengaruh oleh idea-idea Parti Nasional Indonesia pimpinan Sukarno dan Hatta. [4] Mokhtaruddin juga dikatakan menjadi agen Tan Malaka, yang juga seorang tokoh Parti Komunis Indonesia.

Sejarah Awal[sunting | sunting sumber]

Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Kongres Pertama[sunting | sunting sumber]

Pada kongres kali pertama PKMM 1945 di Dewan Bandaran Ipoh, ahli-ahli PKMM secara sebulat suara telah bersetuju dengan beberapa usul dan ketetapan:

  1. Bersetuju menerima MERDEKA sebagai slogan parti.
  2. MERAH-PUTIH sebagai lambang parti.
  3. INDONESIA RAYA sebagai lagu parti.

Kongres juga telah bersetuju dengan pelantikan yang berikut:

Pertukaran pucuk pimpinan[sunting | sunting sumber]

Beberapa hari selepas kongresnya yang pertama, Mokhtaruddin Lasso sekali lagi menghilangkan diri. Mokhtaruddin tanpa memaklumkan kepada pucuk pimpinan PKMM dipercayai telah pulang ke Indonesia dan ada juga mengatakan beliau telah ditangkap dan dibunuh. [6] [7]

Dr Burhanuddin Helmi terpaksa mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Yang Dipertua Agong yang kedua. Dr Burhanuddin telah membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan Kesatuan Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utama PKMM. Pada dasarnya perjuangan PKMM adalah didorong oleh keazaman untuk mendapatkan kemerdekaan penuh dari Britain. PKMM lebih cenderung bagi Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Sebulan selepas kelahirannya, PKMM telah berjaya menubuhkan beberapa cawangan di beberapa buah negeri iaitu di Pulau Pinang, Perlis, Selangor, Melaka dan Singapura. PKMM menyebarkan pengaruhnya melalui akhbar-akhbar hariannya iaitu Suara Rakyat, Pelita Malaya dan Semboyan Baharu dan terbitan bulanan iaitu majalah Berjuang dan Voice of the People.

PKMM mempunyai sayap pemuda dan wanita dalam organisasinya iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang dipimpin oleh Ahmad Boestamam, dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang dipimpin oleh Khadijah Ali. Bagaimanapun Ahmad Boestamam telah dapat merenggangkan API dari PKMM di bawah Mokhtaruddin Lasso serta pengaruh kuncu-kuncu komunisnya dan mengeluarkan manifesto yang berasingan dari PKMM.

PKMM menyertai UMNO[sunting | sunting sumber]

Apabila UMNO ditubuhkan, PKMM telah menyertainya bersama badan-badan Melayu yang lain, tetapi selepas itu telah keluar darinya apabila tidak setuju dengan pemasukan simbol keris dalam bendera UMNO dan tidak puas hati dengan sistem satu badan (tidak mengira saiz) satu undi dalamnya.

Akhirnya, badan-badan yang 'berhaluan kiri' (menentang Inggeris) meninggalkan UMNO dan UMNO tinggal 'berhaluan kanan', yang lebih mesra Inggeris.

Dalam bulan Disember 1947, PKMM bertukar lagi pucuk pimpinan dan kali ini disandang oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) sebagai Yang Dipertua Agongya yang ketiga. Dengan pertukaran pucuk pimpinan itu PKMM tidak lagi condong kepada komunisme sebaliknya lebih bersifat nasionalisme yang berjuang bersungguh-sungguh untuk kemerdekaan.

Penubuhan PUTERA[sunting | sunting sumber]

PKMM juga telah menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) iaitu gabungan parti-parti politik radikal Melayu dan kemudian bergabung pula dengan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaya (AMCJA) yang bertujuan menentang kandungan Perjanjian Persekutuan 1948 bagi penubuhan Persekutuan Tanah Melayu.

PKMM diharamkan British[sunting | sunting sumber]

Bagi mengekang PKMM yang semakin mendapat sambutan rakyat ketika itu, pihak kolonial Inggeris telah melabel perjuangan PKMM dan parti-parti haluan kiri lain sebagai 'berbau' komunis. Berikutan daripada itu beberapa orang pemimpinnya telah ditangkap serta dipenjarakan. Akhirnya pada 18 Jun 1948, darurat telah diisytiharkan. [8] PKMM serta beberapa parti anti-penjajah yang lain telah diharamkan pihak berkuasa British dengan persetujuan Dato' Onn Jaafar, Yang Dipertua UMNO ketika itu.

Sumber[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Maymon Ariff, 'UMNO Semasa Beribu Pejabat di Perak (1946 - 1949)', UKM, KL 1974, hal. 27.
  2. ^ Berita Minggu, 27 Jun 1971, hal. 11 - 12
  3. ^ Maymon Ariff, op cit hal. 27.
  4. ^ Ahmad Boestamam 'Merintis Jalan Ke Punchak', Penerbitan Pustaka Kejora, 1972.
  5. ^ Ahmad Boestamam 'Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya' PEMBELA ISLAM YANG PALING TENANG, Penerbitan Pustaka Kejora 1972. hal 1-4
  6. ^ Ahmad Boestamam 'Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya' PEMBELA ISLAM YANG PALING TENANG, Penerbitan Pustaka Kejora 1972. hal 8-9
  7. ^ KAUM MURBA INDONESIA KEMERDEKAAN, KEBUDAYAAN DAN KEBAHAGIAN BAGI SEMUA RAKYAT DI DUNIA, MOKHTARUDDIN LASSO Alias MUKHTAR GEZAR SUTAN INDRA LASSO, 23rd June 2019.
  8. ^ Merdeka: Kenapa pejuang bukan Umno disisih?