Charles, Putera Wales

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Charles, Putera Wales

Charles, Putera Wales (Charles Philip Arthur George Mountbatten-Windsor) (dilahirkan 14 November 1948), adalah anak sulung kepada Ratu Elizabeth II dan Putera Philip, Duke Edinburgh. Beliau adalah pewaris takhta United Kingdom dan 15 lagi negara di dalam Kerajaan Komanwel. Beliau telah memegang gelaran "Putera Wales" sejak 1958 dan digayakan dengan HRH Putera Wales, dan di Scotland, HRH Putera Charles, Duke Rothesay. Menurut perlembagaan UK, beliau berada dalam barisan pertama untuk menaiki takhta, tetapi berada di tempat ketiga dalam susunan keutamaan, selepas Ratu dan Duke Edinburgh.

Putera Charles terkenal dengan kerja-kerja kebajikannya terutama sekali dengan badan kebajikannya sendiri iaitu "The Prince's Trust". Jadual beliau dipenuhi dengan tugas-tugas diraja yang diambil alih dari kedua ibu bapanya yang semakin lanjut usia. Beliau juga terkenal dengan perkahwinannya dengan mendiang Lady Diana Spencer dan kemudiannya dengan Camilla, Duchess Cornwall.

Kelahiran[sunting | sunting sumber]

Putera Charles dilahirkan pada 14 November, 1948 di Istana Buckingham, London. Ayahnya adalah Putera Philip, Duke Edinburgh, anak sulung kepada Putera Andrew dari Greece dan Puteri Alice dari Battenberg. Pada waktu kelahirannya, ibunya adalah Puteri Elizabeth, Duchess Edinburgh, anak perempuan sulung kepada Raja George VI dan Elizabeth Bowes-Lyon. Ibunya adalah orang yang pertama dalam susunan untuk mewarisi takhta Inggeris di waktu kelahiran Charles. Charles dibaptiskan di dalam Music Room di Istana Buckingham pada 15 Disember 1948 oleh Ketua Biskop Canterbury, Dr Geoffrey Fisher. Ibu bapa pembaptisannya adalah Raja George VI, Ratu Mary, Puteri Margaret, Puteri Victoria dari Hesse dan the Rhine, David Bowes-Lyon, Lady Brabourne, Raja Haakon VII dari Norway dan Putera George dari Greece.

Di bawah surat kurnia yang dikeluarkan oleh moyang Charles, Raja George V, gelaran "Putera" dan gaya "His Royal Highness" (Yang Teramat Mulia) hanya diberikan kepada anak dan cucu raja di sebelah lelaki dan untuk anak sulung Putera Wales. Disebabkan Charles merupakan cucu raja di sebelah wanita, dia seharusnya mewarisi gelaran "Duke Edinburgh" dari bapanya dan digayakan "Earl dari Merioneth". Bagaimanapun, gelaran "Putera" dan "Puteri" dengan gaya "HRH" kini diberikan kepada semua anak-anak Ratu Elizabeth dengan surat kurnia baru yang dikeluarkan oleh George VI. Dengan cara ini anak-anak kepada waris takhta di sebelah perempuan mempunyai status diraja. Oleh itu sejak lahir, Charles dikenali sebagai Yang Teramat Mulia Putera Charles dari Edinburgh.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Pada 1952, ibunya menaiki takhta dan menjadi Ratu Elizabeth II. Putera Charles dengan segera menjadi Duke Cornwall menurut piagam dari Raja Edward III yang memberi gelaran "Duke" kepada anak sulung raja yang berdaulat. Di dalam Scottish Peerage pula, Charles diberi gelaran Duke Rothesay, Earl dari Carrick, dan Baron untuk Renfrew, Pembesar Isles, dan Putera dan Pemandu Utama Scotland (Duke of Rothesay, Earl of Carrick and Baron of Renfrew, Lord of the Isles, and Prince and Great Steward of Scotland.).

Charles kini menjadi pewaris takhta yang dipegang ibunya. Beliau menghadiri upacara pertabalan ibunya di Westminster Abbey bersama nendanya, Ratu Elizabeth,dan ibu saudaranya, Puteri Margaret.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Sekolah[sunting | sunting sumber]

Seperti anak-anak kerabat diraja yang lain, seorang pengasuh telah dilantik untuk mendidik Charles. Beliau telah diasuh oleh Catherine Peebles yang telah mendidiknya dari usia 5 hingga 8 tahun. Pada 1955, Istana Buckingham telah melakukan suatu perkara yang tidak pernah dilakukan kepada seorang pewaris takhta, iaitu menghantar Charles untuk dididik di sekolah dan tidak lagi di rumah seperti kelazimannya. Charles telah menghadiri sekolah Hill House School di barat London dan kemudiannya di Sekolah Persediaan Cheam di Berkshire, di mana Duke Edinburgh juga pernah dididik.

Charles menamatkan pendidikannya di Gordonstoun, sebuah sekolah berasrama peribadi yang terletak di timur laut Scotland. Telah dilaporkan bahawa Charles benci dengan masanya di sini kerana kerap menjadi sasaran untuk dibuli. Kini, Charles tidak menghantar kedua anaknya ke Gordonstoun tetapi di Kolej Eton.

Pada 1966, Charles telah berada selama dua penggal di menghadiri selama dua penggal di Sekolah Menengah Geelong di Victoria, Australia di mana beliau telah melawati Papua New Guinea dengan tutornya, Michael Collins Persse. Sekembalinya ke Gordonstoun beliau mengikut jejak ayahnya dengan menjadi ketua pelajar. Beliau meninggalkan Gordonstoun dengan dua A- levels dalam mata pelajaran sejarah dan bahasa Perancis.

Universiti[sunting | sunting sumber]

Menurut tradisi, waris kepada takhta akan berkhidmat dalam angkatan tentera selepas tamat sekolah. Bagaimanapun, Charles telah mengubah perkara ini dengan melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti di Kolej Triniti, Cambridge di mana beliau mempelajari antropologi dan kaji purba, dan kemudiannya sejarah. Charles berjaya meraih ijazah kelas kedua. Charles adalah anggota pertama keluarga diraja British yang menerima ijazah dari universiti. Beliau juga telah menghadiri Universiti Kolej Wales, Aberystwyth, dengan tujuan untuk mempelajari bahasa Wales, menjadi putera Inggeris pertama untuk membuat demikian.

Putera Wales[sunting | sunting sumber]

Ratu Elizabeth secara rasmi mengangkat Charles sebaga Putera Wales dengan memahkotakannya Mahkota Putera Wales

Ratu Elizabeth II dengan secara rasmi mengangkat anaknya sebagai Putera Wales dan Earl Chester pada 1958 walaupun upacara pengurniaan tidak mengambil tempat sehingga 1 Julai 1969. Ia merupakan sebuah upacara istiadat yang dilangsungkan di Istana Caernarfon di utara Wales, tempat di mana gelaran "Putera Wales" diciptakan pada kurun ke-13. Dulunya, upacara pengurniaan dilangsungkan di berbagai tempat termasuk Istana Westminster, tempat duduk Parlimen dan Pekan Wales. Swansea, dikurniakan status 'bandar' untuk menandakan peristiwa ini.

Istiadat pengurniaan juga telah membangkitkan permusuhan di kalangan nasionalis Wales dan mereka mengancam untuk melakukan keganasan dan pengeboman semasa upacara tersebut, walaupun ancaman ini lebih berkait dengan kempen mereka untuk memerdekakan Wales dan juga hak lebih besar untuk bahasa Wales. Dua anggota kumpulan nasionalis, Mudiad Amddiffyn Cymru telah cuba untuk melancarkan bom sehari sebelum upacara pengurniaan, tetapi mati akibat percubaan mereka.

Pada lewat 1970-an, Putera Charles menjadi anggota diraja pertama selepas Raja George I untuk menghadiri sebuah mesyuarat Kabinet atas undangan Perdana Menteri Parti Buruh pada masa itu, James Callaghan supaya dia dapat mengetahui akan tugas seharian kerajaannya.

Pada awal 1980-an, Charles telah meluahkan keinginannya untuk menjadi Gabernor-Jeneral Australia. Namun pada masa ini, pandangan rakyat Australia adalah hanya orang Australia sahaja yang seharusnya layak dijadikan Gabernor-Jeneral dan oleh itu hasrat Charles tidak kesampaian. [1].

Kisah percintaan[sunting | sunting sumber]

Kisah percintaan Charles sering menjadi topik spekulasi dan buah mulut orang ramai. Beliau sering dikaitkan dengan beberapa orang wanita termasuk Georgiana Russell (anak perempuan Duta Britain ke Sepanyol), Lady Jane Wellesley (anak perempuan kepada Duke ke-8 Wellington), Davina Sheffield, model Penthouse Fiona Watson, pelakon Susan George, Lady Sarah Spencer (kakak kepada Lady Diana Spencer), Lady Tryon (isteri kepada Baron Tryon ke-3), dan Jane Wad (janda). Tetapi, tiada dari mereka yang dianggap layak untuk berkahwin dengannya.

Putera Wales di muka depan majalah Time pada 1978

Sebagai pewaris takhta, Charles mesti memilih seorang wanita yang dara dan juga anggota agama Protestan Gereja England dan juga mempunyai salasilah keluarga yang baik. Dilaporkan bahawa isterinya yang kedua Camilla yang telah menolong Charles memilih Lady Diana Spencer, gadis 19 tahun, anak kepada Earl Spencer yang ke-8 dan bekerja sebagai penolong tajaka, sebagai calon isteri. Istana Buckingham mengumumkan pertunangan Charles dan Diana pada 24 Februari 1981.

Perkahwinan pertama[sunting | sunting sumber]

Pada 29 Julai 1981, Putera Charles dan Lady Diana dikahwinkan di Katedral St. Paul di hadapan 3,500 tetamu jemputan dan disaksikan sekitar 750 juta orang di seluruh dunia. Semua raja-raja dan ketua negara Eropah telah hadir dalam upacara ini kecuali Perdana Menteri Greece, Constantine Karamanlis, yang terkilan kerana kad jemputan yang diterimanya menunjukkan Constantine II, sebagai raja Greece. Perkara ini dianggap cuba melawan perlembagaan Greece kerana negara itu kini ditadbir sebagai sebuah republik. Presiden Ireland Utara, Patrick Hillery juga dinasihatkan oleh perdana menterinya, Charles Haughey supaya tidak menghadiri majlis tersebut kerana peranan Britain di Ireland Utara.

Disebabkan perkahwinannya dengan pewaris takhta, Lady Diana kini menerima gelaran "Puteri Wales" dengan gaya, "Her Royal Highness" (Yang Teramat Mulia). Dia sering dikenali rakyat Britain sebagai Princess Diana, walaupun gelaran rasminya hingga penceraian ialah, " Her Royal Highness The Princess of Wales" (Yang Teramat Mulia, Puteri Wales). Pasangan itu mendiami sebuah rumah di Highgrove, dekat Tetbury di Gloucestershire dan di Istana Kensington. Hampir serta merta, Diana menjadi bintang tarikan, dikejar oleh paparazzi, dengan setiap langkahnya (termasuk setiap perubahan fesyen rambutnya) diikuti dengan teliti oleh berjuta orang.

Putera dan Puteri Wales meninggalkan Katedral St. Paul menuju ke Istana Buckingham selepas upacara perkahwinan mereka. Sumber: Arkib BBCNews

Bagaimanapun, perkahwinan mereka menghadapi berbagai masalah. Pengkritik-pengkritik Diana mengatakan bahawa beliau adalah tidak stabil dan bertabiat, satu demi satu dia telah mememcat setiap kakitangan Putera Wales dan juga tidak bersemuka dengan kawan-kawan dan ahli keluarganaya termasuk ibunya, bapanya, abangnya, Duchess York dan juga penyanyi Elton John. Ramai daripada kakitangannya sendiri telah dilaporkan meletakkan jawatan akibat perangainya. Putera Charles juga telah dipersalahkan kerana hubungan sulitnya dengan Camilla Parker-Bowles, sering menjadi tuan rumah kepada pesta malam di Highgrove dengan Camilla sebagai hosnya dan sering menganggap Diana sebagai tidak setarafnya. Dalam tempoh lima tahun, perkahwinan yang ramai menganggap seperti sebuah cerita peri, kini berada di pinggir kemusnahan. Yang ironiknya, putera dan puteri Wales mempunyai latar belakang yang agak sama, keduanya mengalami zaman kanak-kanak yang penuh dengan masalah, keduanya mengambil peranan mereka di khalayak ramai dengan serius dan keduanya memang terkenal dengan kerja kebajikan masing-masing (Diana sering dikenali dengan kerjanya dalam menolong pesakit AIDS manakala Charles terkenal dengan badan kebajikannya, "The Prince's Trust").

Kedua-duanya kemudian mengaku mempunyai hubungan luar nikah iaitu Charles dengan Camilla Parker-Bowles dan Diana dengan James Hewitt, seorang pegawai tentera. Walaupun Charles dan Diana secara rasmi masih merupakan sebuah pasangan, mereka tidak lagi tinggal bersama-sama: Charles tinggal di Highgrove dan Diana di Istana Kensington. Pihak media sering memperbesar-besarkan perpisahan mereka yang agak lama dan juga ketidak selesaan masing-masing apabila berada bersama-sama. Sehingga 1992, sudah jelas bahawa perkahwinan mereka hanya kekal di nama sahaja. Pasangan itu berpisah secara rasmi dengan golongan media mengambil pihak untuk melaporkan pandangan masing-masing. (lihat: Peperangan Waleses).

Perkahwinan Putera dan Puteri Wales berakhir dalam perceraian pada 28 Ogos 1996. Perkahwinan ini telah menghasilkan dua orang anak, Putera William dari Wales dan Putera Henry dari Wales.

Kematian Diana, Puteri Wales[sunting | sunting sumber]

Diana, Puteri Wales telah terbunuh dalam satu kemalangan semasa berada di dalam keretanya yang sedang dikejar oleh paparazzi pada 1997 di Paris. Putera Charles dipuji kerana pengendaliannya selepas kematian Diana, khususnya perkara mengenai protokol-protokol istana. Sebagai contoh, Diana kini bukan lagi anggota keluarga diraja dan oleh itu, upacara perkebumian bukan tanggungjawab keluarga diraja tetapi keluarga Diana sendiri. Charles tidak mengendahkan perkara tersebut dan telah terbang ke Paris untuk mengiringi jenazah bekas isterinya dan membawanya pulang ke Britain. Charles juga mendesak pihak istana untuk memberikan Diana sebuah upacara pengkebumian diraja. Dengan itu, sebuah upacara rasmi yang istimewa telah diciptakan untuk Diana atas permintaan Charles.

Hubungannya dengan Camilla Parker Bowles[sunting | sunting sumber]

Dalam sebuah temu bual di televisyen pada 1994, Charles mengaku bahawa hubungan luar nikahnya dengan seorang yang tidak disebut menjadi lebih erat apabila "sudah jelas bahawa perkahwinannya dengan Diana tampak berakhir". Ia kemudian disahkan bahawa orang yang dimaksudkan ialah Camilla lantas mengakhiri beberapa tahun spekulasi dari media. Sebenarnya pada 1993, tabloid-tabloid Britain berjaya mendapat rakaman perbualan telefon bimbit pada 1989 di antara Charles dan Camilla di mana Charles menyatakan kesesalannya kerana Camilla terpaksa menanggung malu disebabkan hubungan mereka.

Selepas Charles bercerai dengan Diana, hubungan beliau dengan Camilla Parker Bowles menjadi lebih terbuka dan Camilla seolah-olah isterinya yang tidak rasmi. Bagaimanapun, dengan kematian Diana pada 1997, kemunculan Camilla di pandangan awam dihentikan buat sementara. Bagaimanapun pada 1999, selepas sebuah pesta meraikan hari jadi ke-50 kakak Camilla, Annabel Elliott. Charles dan Camilla dilihat difotografikan bersama di khalayak ramai. Ramai yang menganggap bahawa ini merupakan sebuah tanda bahawa perhubungan mereka sudah menjadi "rasmi". Dalam satu lagi usaha yang dilakukan supaya dia diterima oleh rakyat Britain, Camilla telah bertemu dengan Ratu Elizabeth pada Jun 2000. Akhirnya pada 2003, Camilla berpindah ke kediaman Charles di Highgrove dan Clarence House.

Perkahwinan mereka kekal ekslusif disebabkan isu-isu utama yang memerlukan resolusi dan penerimaan. Sebagai Gabenor Tertinggi Gereja England pada masa hadapan, isu Charles mengahwini Camilla dilihat sebagai sebuah kontroversi yang besar oleh beberapa pihak. Kedua-dua Charles dan Camilla telah bercerai dengan pasangan masing-masing tetapi kerana bekas suami Carmilla masih hidup, perkahwinannya dengan Charles mungkin dibelenggu masalah. Namun lama-kelamaan, pendapat rakyat dan Gereja England berubah kepada pendapat bahawa perkahwinan cara sivil boleh diterima oleh semua.

Perkahwinan kedua[sunting | sunting sumber]

Pada 10 Februari 2005, telah diumumkan oleh Clarence House [2] bahawa Putera Charles dan Camilla Parker Bowles akan berkahwin pada 8 April pada tahun yang sama, dalam satu majlis sivil di Istana Windsor diikuti dengan sebuah upacara kebaktian di Chapel St. George di perkarangan istana. Namun lokasinya bertukar ke Guildhall, Windsor kerana keluarga diraja risau jika Istana Windsor digunakan untuk majlis mereka, maka mereka juga harus membuka istana tersebut untuk perkahwinan orang lain menurut undang-undang. Pada hari Isnin, 4 April, telah diumumkan bahawa majlis perkahwinan mereka akan terlewat sehari ke 9 April untuk memberi peluang kepada Putera Charles untuk menghadiri upacara perkebumian Paus John Paul II di Rom.

Diumumkan juga bahawa selepas perkahwinan, Camilla Parker Bowles, sebagai isteri kepada Putera Wales, akan mendapat gelaran Duchess Cornwall dengan gaya, Her Royal Highness (Yang Teramat Mulia). Apabila Putera Charles menjadi raja kelak, Camilla akan dikenali sebagai, Her Royal Highness, The Princess Consort. Gelaran ini dikatakan berdasarkan gelaran yang diberikan oleh Ratu Victoria kepada suaminya, Putera Albert yang digelar Prince Consort.

Putera Wales dan Duchess Cornwall telah berada di Scotland bagi merayakan ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama.

Kediaman rasmi[sunting | sunting sumber]

Kediaman rasmi Putera Wales di London adalah Clarence House, rumah yang pernah didiami oleh Ratu Elizabeth, Ibu Ratu. Bangunan dari kurun ke-18 ini telah menjalani pemulihan dan pengubahsuaian supaya ia dapat digunakan oleh Charles, isterinya, dan kakitangan mereka. Kediaman rasmi Charles yang dulu di sebuah pangsapuri di Istana St. James. Beliau juga mempunyai sebuah estet swasta, Highgrove di Gloucestershire dan di Scotland beliau menggunakan estet Birkhall berdekatan Istana Balmoral yang dulunya dimiliki oleh Ratu Elizabeth, Ibu Ratu.

Penginapan rasmi putera-putera Wales yang lampau adalah di Marlborough House tetapi ia tidak digunakan lagi. Marlborough House telah diberikan kepada Sekretariat Komanwel oleh Ratu Elizabeth II untuk kegunaan mereka selepas kematian Queen Mary, balu kepada Raja George V pada 1953, yang juga merupakan penghuni terakhir rumah tersebut.

Gelaran utama yang digunakan[sunting | sunting sumber]

Jata peribadi Putera Charles

Sejak kelahirannya hingga ibu beliau menjadi Ratu pada 1952, Charles dikenali sebagai:

  • His Royal Highness Prince Charles of Edinburgh
    Yang Teramat Mulia Putera Charles dari Edinburgh

Sejak penabalan ibunya hingga 1958, beliau dikenali sebagai:

  • His Royal Highness The Duke of Cornwall (di luar Scotland)
    Yang Teramat Mulia Duke Cornwall
  • His Royal Highness The Prince Charles, Duke of Rothesay (dalam Scotland)
    Yang Teramat Mulia Putera Charles, Duke Rothesay

Sejak 1958, beliau dikenali sebagai:

  • His Royal Highness The Prince of Wales (di luar Scotland)
    Yang Teramat Mulia, Putera Wales
  • His Royal Highness The Prince Charles, Duke of Rothesay (dalam Scotland)
    Yang Teramat Mulia Putera Charles, Duke Rothesay

Gelaran penuhnya (jarang digunakan):

His Royal Highness The Prince Charles Philip Arthur George, Prince of Wales, Duke of Cornwall and Earl of Chester, Duke of Rothesay, Earl of Carrick, Baron of Renfrew, Lord of the Isles, Prince and Great Steward of Scotland, Knight Companion of the Most Noble Order of the Garter, Knight of the Most Ancient and Most Noble Order of the Thistle, Great Master and First and Principal Knight Grand Cross of the Most Honourable Order of the Bath, Member of the Order of Merit, Knight of the Order of Australia, Companion of the Queen's Service Order, Member of Her Majesty's Most Honourable Privy Council, Aide-de-Camp to Her Majesty.

Dengan kemangkatan Elizabeth II, andainya Putera Charles mahu menyimpan namanya, beliau akan dikenali sebagai Raja Charles III apabila menaiki takhta. Namun, Putera Charles mengatakan bahawa beliau tidak begitu suka dengan nama "Charles" kerana kaitannya dengan kejadian-kejadian buruk dalam sejarah diraja Britain. Contohnya, peristiwa Charles I yang telah dipancung akibat Perang Saudara Inggeris pada permulaan pentadbiran Britain yang singkat sebagai sebuah republik oleh Oliver Cromwell. Anak Charles I, Charles II dibuang negeri selama 18 tahun dan pulang ke England pada 1660 dan mendapat gelaran "Raja yang Ria" disebabkan ramai perempuan-perempuan simpanannya. Nama "Charles" juga sering dikaitkan dengan Bonnie Putera Charlie, seorang bangsawan dari Scotland yang ingin mengambil takhta Inggeris dan memerintah sebagai Charles III. Langkah Putera Charles untuk tidak menggunakan namanya apabila ditabal kelak bukanlah perkara yang tidak pernah berlaku. Contohnya, tiga daripada enam raja Britain pada masa lampau telah memilih nama yang lain daripada nama lahir mereka. Dilaporkan bahawa nama yang mungkin dipilih oleh Charles kelak adalah "George VII" bagi memperingati mendiang datuknya.[3].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • (Inggeris) Dimbleby, Jonathan. The Prince of Wales: A Biography. ISBN 0-316-91016-3
  • (Inggeris) Paget, Gerald. The Lineage and Ancestry of H.R.H. Prince Charles, Prince of Wales. 2v. Edinburgh: Charles Skilton, 1977.
  • (Inggeris) Pierce, Andrew & Gibb, Frances (Feb. 14, 2005). "Camilla might still become Queen". The Times.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]