Vietnam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Republik Sosialis Vietnam
Cộng hòa Xã hội Chủ nghĩa Việt Nam
Bendera
Moto: Độc lập – Tự do – Hạnh phúc
(Kemerdekaan, Kebebasan, Kebahagiaan)
Lagu: Tiến Quân Ca
Ibu negara Hanoi
21°2′N 105°51′E / 21.033°U 105.850°T / 21.033; 105.850
Bandar terbesar Bandar Raya Ho Chi Minh
Bahasa rasmi Bahasa Vietnam
Kerajaan Republik Sosialis1
 -  Setiausaha Agung Nguyễn Phú Trọng
 -  Presiden Trương Tấn Sang
 -  Perdana Menteri Nguyễn Tấn Dũng
Kemerdekaan
 -  Daripada China 938 
 -  Daripada Perancis 2 September 1945 
 -  Diiktiraf 1954 
 -  Perairan (%) 1.3
Populasi
 -  Julai 2005 (anggaran) 85,238,000 (13)
 -  1999 (anggaran) 76,323,173
KDNK (PPP) 2005 anggaran
 -  Jumlah $251.8 billion (36)
 -  Per kapita $3,025 (123)
HDI (2004) 0.709 (sederhana / 109)
Mata wang đồng (₫) (VND)
Zon waktu (UTC+7)
 -  Musim panas (DST)  (UTC+7)
Kod panggilan 84
Internet TLD .vn
1. Menurut nama rasmi dan Perlembagaan

Vietnam /ˌvjetˈnɶm, ˌvi:et-, -ˈna:m/ (Bahasa Vietnam: Việt Nam) , secara rasminya Republik Sosialis Vietnam (Bahasa Vietnam: Cộng hòa Xã hội Chủ nghĩa Việt Nam), ialah negara paling timur di semenanjung Indochina di Asia Tenggara, bersempadan dengan China di utara, Laos di barat laut, dan Kemboja di barat daya. Di pantai timur negara ini adalah Laut China Selatan. Dengan bilangan penduduk mencecah 87 juta, Vietnam ialah negara ke-13 teramai penduduknya di dunia. Negara ini juga tersenarai di kalangan "sebelas ekonomi yang seterusnya"; menurut perangkaan kerajaan, kadar kenaikan KDNK mencatat 8.17% pada tahun 2006, iaitu kadar pertumbuhan KDNK kedua terpantas di kalangan negara-negara Asia Timur dan yang terpantas di Asia Tenggara.

Selama beribu-ribu tahun, Vietnam sebagai sebuah negara pernah diberi pelbagai nama: Văn Lang ketika Dinasti Hùng Vương, Âu Lạc ketika Dinasti An Dương Vương, Vạn Xuân ketika Dinasti Lý Awal, Đại Cồ Việt ketika Dinasti Đinh dan Dinasti Lê Awal. Sejak tahun 1054, Vietnam digelar Đại Việt (Viet Besar). ketika Dinasti Hồ, Vietnam memakai nama Đại Ngu tetapi kemudiannya beralih ke Đại Việt semula. Pada tahun 1804, Raja Gia Long merancang untuk menggunakan nama Nam Việt untuk Vietnam tetapi Dinasti Qing di China tidak setuju, lalu menukarnya kpeada Việt Nam. Dari tahun 1839 hingga 1945, Raja Minh Mạng menamakan semula Việt Nam menjadi Đại Nam.

Nama Việt Nam pernah dipakai untuk memanggil negara ini sebelum dijadikan nama rasmi dalam "Dư địa chí" oleh Nguyễn Trãi pada tahun 1435 dan mungkin juga tahun-tahun sebelumnya. "Việt" ialah naam bagi kelompok etnik terbesar di Vietnam, iaitu Kinh (người Kinh), manakala "Nam" bermaksud Selatan yang menekankan kedaulatan Vietnam's daripada negara China (yang biasanya bergelar "negara Utara" oleh orang Vietnam).

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Sejarah Vietnam

Politik[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Politik Vietnam

Republik Sosialis Vietnam ialah sebuah negeri satu parti. Satu perlembagaan negara baru diluluskan pada April 1992, menggantikan versi lama yang digubal pada tahun 1975. Peranan pusar Parti Komunis ditegaskan semula dalam semua alat-alat kerajaan, politik dan masyarakat. hanya pertubuhan politik yang bergabung dengan atau didukung oleh Parti Komunis dibenarkan untuk bertanding dalam pilihanraya. Ini termasuklah Barisan Tanahair Vietnam, para buruh dan parti-parti kesatuan sekerja. Walaupun negara masih secara rasminya komited kepada sosialisme sebagai fahaman penentuannya, namun kepentingan fahaman ini banyak berkurangan sejak 1990-an. Presiden Vietnam ialah ketua negara dan ketua panglima tentera Vietnam pada nama sahaja, serta mengerusi Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara. Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung ialah ketua kerajaan mengetuai sebuah majlis menteri-menteri yang terdiri daripada 3 timbalan perdana menteri dan ketua-ketua 26 kementerian dan suruhanjaya.

Perhimpunan Kebangsaan Vietnam ialah badan perundangan tunggal dalam kerajaan yang terdiri daripada 498 orang ahli dan berpangkat lebih tinggi berbanding cabang eksekutif dan kehakiman. ahli majlis menteri-menteri dilantik daripada Perhimpunan Kebangsaan. Mahkamah Rakyat Agung Vietnam, iaitu mahkamah rayuan tertinggi dalam negara, juga bertanggungjawab terhadap Perhimpunan Kebangsaan. Di bawah Mahkamah Rakyat Agung terdirinya mahkamah perbandaran peringkat wilayah dan mahkamah tempatan. Mahkamah tentera juga merupakan sebahagian cabang kehakiman yang berkuasa dengan bidang kuasa khusus dalam hal-ehwal keselamatan negara. Semua alat-alat kerajaan Vietnam dikawal oleh Parti Komunis. Kebanyakan lantikan kerajaan merupakan ahli-ahli parti. Setiausaha Agung Parti Komunis barangkalinya merupakan salah seorang ketua politik terpenting dalam negara, dengan peranan mengawal organisasi kebangsaan negara dan perlantikan negeri, serta juga menggubal dasar.

Tentera Rakyat Vietnam ialah nama rasmi bagi tiga perkhidmatan tentera di Vietnam, yang didirikan berasaskan Tentera Pembebasan Rakyat China. Tentera Rakyat terbahagi kepada Angkatan Darat Rakyat Vietnam (termasuk Angkatan Barisan Belakang Strategik dan Angkatan Pertahanan Sempadan), Tentera Laut Rakyat Vietnam, Tentera Udara Rakyat Vietnam dan pengawal pantai. Di sepanjang sejarah moden Vietnam, Tentera Rakyat banyak terlibat dalam tenaga kerja Vietnam untuk mengembangkan ekonomi Vietnam, dengan tujuan menyelaraskan pertahanan negara dengan ekonomi. Tentera Rakyat terlibat dalam bidang-bidang seperti perindustrian, pertanian, perhutanan, perikanan dan telekomunikasi. Jumlah kekuatan tentera Vietnam menghampiri 500,000 orang askar. Kerajaan juga mengadakan dan mengekalkan tentera awam wilayah dan angkatan polis. Peranan tentera dalam kehidupan rakyat banyak berkurangan sejak 1980-an.

Wilayah dan daerah[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Wilayah di Vietnam
Rencana utama: Daerah di Vietnam

Geografi dan iklim[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Geografi Vietnam

Vietnam terbentang kira-kira 331,688 km² (128,066 batu persegi) keluasannya (tidak termasuk pulau-pulau Hoang Sa dan Truong Sa). Perimeter negara di sepanjang sempadan antarabanganya ialah 4,639 km (2,883 batu). Topografinya terdiri daripada bukit-bukau dan gunung-ganang yang padat dengan hutan, manakala tanah rata meliputi tidak lebih 20% seluruh kawasan negara. 40% kawasan Vietnam diduduki gunung, 40% diduduki bukit yang lebih kecil dan 42% ditumbuhi hutan hujan tropika. Bahagian utara negara banyak terdiri daripada tanah tinggi dan Delta Sungai Merah. Phan Xi Păng yang terletak di wilayah Lào Cai, ialah gunung tertinggi di Vietnam pada ketinggian 3,143 m (10,312 kaki). Bahagian selatan pula terdiri daripada tanah pamah pantai, puncak-puncak Banjaran Annamite, hutan yang berleluasa, dan tanah yang kurang subur. Tanah tinggi yang terdiri daripada lima bidang penara agak rata bertanah basalt ini, meliputi 16% daripada seluruh tanah suai tani dan 22% daripada tanah hutannya.

Delta Sungai Merah (atau Sông Hồng), sebuah kawasan rata berbentuk segi tiga yang meliputi 3,000 km², sungguhpun lebih kecil namun lebih pesat dimajukan dan lebih padat pendudukannya berbanding Delta Sungai Mekong. Delta yang pernah menjadi serokan Teluk Tonkin ini sudah dipenuhi oleh mendapan aluvium besar-besaran dari sungai-sungai selama beribu-ribu tahun, dan memanjang semeter ke arah Teluk setiap tahun. Delta Mekong yang meliputi kira-kira 40,000 km², ialah dataran rendah yang ketinggiannya tidak melebihi tiga meter atas paras laut di mana-mana titik dan banyak disilang oleh terusan dan sungai yang berselirat. Cabang-cabang dan cawang-cawang Sungai Mekong banyak membawa endapan sehingga delta ini bertambah 60 hingga 80 meter panjangnya ke laut setiap tahun.

Vietnam mengalami iklim monsun tropika, dengan kelembapan purata 84% sepanjang tahun. Bagaimanapun, oleh sebab perbezaan dalam latitud dan kepelbagaian muka bumi topografi yang ketara, maka iklim banyak berbeza dari tempat ke setempat. Ketika musim dingin atau musim kering, iaitu kira-kira dari bulan November hingga April, angin-angin monsun lazimnya bertiup dari timur laut sepanjang pantai China dan merentasi Teluk Tonkin, lalu banyak mengumpul lembapan; kesannya, musim sejuk di kebanyakan tempat-tempat di negara agak kering berbanding msuim panas atau hujan. Suhu purata tahunan lazimnya lebih tinggi dalam kawasan dataran berbanding di kawasan gunung dan penara.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Ekonomi Vietnam

Perang Vietnam telah memusnahkan kebanyakan ekonomi Vietnam. setelah merampas kuasa, Kerajaan memperkenalkan ekonomi terancang untuk negara. Pengkolektifan ladang-ladang, kilang-kilang dan modal ekonomi dilaksana, dan berjuta-juta rakyat diberi kerja di bawah rancangan kerajaan. Selama berdekad-dekad, ekonomi Vietnam diselubungi ketidakcekapan dan rasuah dalam rancangan negeri, mutu rendah dan kurang pengeluaran serta sekatan terhadap kegiatan ekonomi dan perdagangan. Ekonomi Vietnam juga dikenakan larangan perdagangan oleh Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah selepas Perang Vietnam. Kemudiannya, rakan-rakan dagang blok-blok Komunis mula menghakis. Pada tahun 1986, Kongres Parti Keenam memperkenalkan pembaharuan ekonomi penting dengan unsur-unsur ekonomi pasaran sebagai sebahagian pakej pembaharuan ekonomi meluas iaitu "đổi mới" (Pengubahsuaian). Pemilikan swasta digalakkan dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pertanian. Vietnam mencapai sekitar pertumbuhan KDNK setahun sekitar 8% dari tahun 1990 hingga 1997 dan berterusan pada sekitar 7% dari tahun 2000 hingga 2005, menjadikannya ekonomi kedua paling pesat bertumbuh di dunia. Serentak dengan ini, pelaburan asing bertumbuh tiga kali ganda dan simpanan tempatan pula lima kali ganda. Industri pembuatan, teknologi maklumat dan teknologi tinggi membentuk sebahagian besar dan berkembang pantas dalam ekonomi negara. Sungguhpun masih agak baru menceburi bidang penghasilan minyak, namun pada masa kini Vietnam sudah menjadi pengeluar minyak ketiga terbesar di Asia Tenggara dengan keluaran 400,000 tong sehari. Vietnam ialah antara ekonomi paling terbuka di Asia: perdagangan dua hala bersamaan dengan kira-kira 160% KDNK, lebih dua kali ganda nisbah untuk China dan lebih empat kali nisbah untuk India.[1]

Vietnam masih merupakan negara yang agak miskin dengan KDNK sebanyak US$280.2 juta pada pariti kuasa beli (anggaran, 2006, Sumber: unit Economist Intelligence), iaitu ~US$3,300 per kapita (US$726 pada kadar tukaran pasaran). Kadar inflasi dianggarkan pada 7.5% setahun pada tahun 2006. Kuasa perbelanjaan awam dilihat banyak bertambah. Kemiskinan tegar, iaitu satu peratusan penduduk yang menyara hidup dengan cuma kurang $1 sehari, turut banyak menurun dan kini lebih kecil berbanding kadar yang serupa di China, India, dan Filipina. Sebagai kesan beberapa langkah pembaharuan tanah, Vietnam kini merupakan pengeluar kacang gajus terbesar dengan satu pertiga keluaran dunia serta pengeksport beras kedua terbesar di dunia selepas Thailand. Vietnam mengalami peratusan kegunaan tanah tertinggi untuk tanaman kekal, iaitu 6.93%, di kalangan negara-negara rantau Subkawasan Mekong Raya. Selain beras, hasil eksport penting yang lain termasuk kopi, teh, getah, dan hasil perikanan. Bagaimanapun, bahagian pertanian dalam keluaran ekonomi makin berkurangan, iaitu merosot sebagai bahagian GDP dari 42% pada tahun 1989 kepada 20% pada tahun 2006, kerana pertumbuhan pengeluaran dalam sektor-sektor lain dalam ekonomi. Menurut CIA World Fact Book, kadar pengangguran di Vietnam antara yang terendah di dunia iaitu pada 2%, hanya mengekori Azerbaijan, Cuba, Iceland, Andorra dan Liechtenstein. Antara langkah-langkah lain yang diambil dalam proses peralihan kepada ekonomi pasaran, pada bulan Julai 2006 Vietnam mengemaskini perundangan harta inteleknya agar mematuhi TRIPS. Vietnam diterima masuk ke dalam WTO pada 7 November 2006. Rakan dagang utama Vietnam termasuk Jepun, Australia, negara-negara ASEAN, A.S. dan negara Eropah Barat.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Demografi Vietnam

Budaya[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Kebudayaan Vietnam

Bahasa Vietnam merupakan bahasa lisan dan bertulis.

Budaya Vietnam banyak dipengaruhi jirannya China. Oleh sebab kaitan Vietnam dengan selatan China sepanjang zaman, salah satu daripada ciri-ciri budaya Vietnam ialah tugas kewangan. Pendidikan dan kebaikan diri dihargai tinggi. Mengikut sejarah, lulus dalam peperiksaan Mandarin diraja pernah menjadi satu-satunya cara bagi orang Vietnam untuk memajukan diri mereka secara sosial.

Ketika zaman sosialis, kehidupan kebudayaan Vietnam banyak dipengaruhi oleh media yang dikawal kerajaan dan pengaruh kebudayaan rancangan sosialis. Selama berdekad-dekad, pengaruh budaya luar dihindari dan penekanan diberi kepada penghargaan dan perkongsian budaya negara komunis seperti Kesatuan Soviet, China, Cuba dan lain-lain. Sejak 1990-an, Vietnam melihatkan dirinya lebih terdedah kepada budaya dan media Asia Tenggara, Eropah dan Amerika.

Dewan Opera Hanoi ialah satu contoh seni bina Kolonial Perancis di Vietnam.

Salah sejenis pakaian tradisional Vietnam yang terlaris ialah " Áo Dài" yang dipakai untuk peristiwa khas seperti perkahwinan atau pesta. Áo dài berwarna putih dijadikan pakaian seragam yang diwajibkan untuk pelajar perempuan di kebanyakan sekolah tinggi di Vietnam. Áo Dài dahulunya dipakai oleh kedua-dua jantina tetapi kini hanya dipakai oleh perempuan, kecuali untuk peristiwa kebudayaan tradisional penting yang tertentu di mana ada lelaki yang memakainya.

Masakan Vietnam kurang berminyak dan banyak bersayur. Hidangan-hidangan utama banyak berdasarkan nasi, kicap, dan sos ikan. Rasa-rasa makanan ini biasanya manis (gula), pedas (lada serrano), masam (limau), nuoc mam (sos ikan), dan diperisakan lagi oleh beraneka pudina dan selasih.

Muzik Vietnam menampakkan sedikit perbezaan antara tiga rantau: Bắc (Utara), Trung (Tengah), dan Nam (Selatan). Muzik klasik Utara adalah yang tertua di Vietnam dan lebih bersifat formal. Muzik klasik Vietnam boleh dikatakan berasal daripada serangan Mongol, apabila orang Vietnam menawan sekumpulan opera China. Muzik klasik Tengah menunjukkan pengaruh budaya Champa dengan melodinya yang melankolik. Muzik selatan pula menghasilkan sifat laissez-faire yang bertenaga.

Bola sepak ialah sukan paling popular di Vietnam. Selain itu, badminton, tenis, ping pong, dan catur juga tidak kurang popular di kalangan rakyat. Bola tampar, khususnya yang bola tampar wanita, turut disaksikan ramai orang Vietnam. Masyarakat ekspatriat Vietnam membentuk sebahagian penting dalam kehidupan kebudayaan Vietnam dengan memperkenalkan sukan, filem, muzik dan kegiatan kebudayaan Barat yang lain kepada negara. Vietnam juga merumahkan sebuah industri perfileman yang kecil.

Di kalangan pelbagai majlis tradisional Vietnam, perkahwinan tradisional Vietnam adalah antara yang terpenting. Meskipun mengalami pembaratan, kebanyakan adat lama dalam perkahwinan Vietnam masih dirai oleh orang Vietnam di dalam dan luar negeri, dengan sering menggabungkan unsur timur dan barat.

LIhat juga senarai pesta di Vietnam.

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Pelancongan di Vietnam

Bilangan pengunjung ke Vietnam untuk tujuan pelancongan dan percutian naik mendadak sepanjang sepulu tahun dahulu. Lebih kurang 3.56 juta tetamu luar melawat Vietnam pada tahun 2006, iaitu peningkatan sebanyak 3.7% daripada tahun 2005. Negara ini sedang melaburkan modal kepada kawasan pantai yang sudahun popular kerana pantai dan pelancongan botnya. Kakitangan hotel dan pemandu pelancong di kawasan-kawasan ini cukup fasih berbahasa Inggeris.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Vietnam Vrooooom: Asia's second-fastest-growing economy takes the global stage. - CNN Money

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 21°2° N 105°51° ERalat ungkapan: Aksara tanda baca "�" tidak dikenali