Fernando Alonso

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Fernando Alonso
AlonsoCanada2011.jpg
Alonso di Grand Prix Kanada 2011
Lahir 29 Julai 1981 (31 tahun)
Oviedo, Asturias, Sepanyol
Kerjaya Kejuaraan Dunia Formula Satu
Kewarganegaraan Sepanyol Sepanyol
Kereta 2013 Ferrari
Kereta # 3
Perlumbaan 203 (202 permulaan)
Kejuaraan 2 (2005, 2006)
Kemenangan 32
Podium 89
Mata kerjaya 1,436
Petak pertama 22
Pusingan terpantas 19
Perlumbaan pertama Grand Prix Australia 2001
Kemenangan pertama Grand Prix Hungary 2003
Kemenangan terakhir Grand Prix Sepanyol 2013
Perlumbaan terakhir Grand Prix Sepanyol 2013
Kedudukan 2012 Ke-2 (278 mata)

Fernando Alonso Díaz (lahir 29 Julai 1981[1]) ialah seorang pemandu Formula Satu, dan merupakan Juara Dunia sebanyak dua kali yang kini memandu untuk Scuderia Ferrari.

Alonso memulakan kerjayanya dalam sukan kart dari umur 3 tahun. Beliau memenangi tiga kejuaraan kart berturut-turut di Sepanyol dari tahun 1994 hingga 1997, dan menjadi juara dunia kart pada tahun 1996. Alonso membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu pada musim 2001 bersama Minardi, dan kemudiannya menyertai Renault sebagai pemandu ujian pada tahun berikutnya. Bermula pada tahun 2003, Alonso menjadi pemandu pasukan tersebut. Pada 25 September 2005, beliau memenangi Kejuaraan Dunia Formula Satu pada usia 24 tahun dan 58 hari, dan pada masa itu beliau merupakan juara dunia yang paling muda dalam Formula Satu. Selepas mempertahankan kejuaraannya pada tahun 2006, Alonso menjadi juara dunia sebanyak dua kali yang paling muda. Beliau menyertai McLaren pada 2007 sebelum menyertai semula Renault bagi musim 2008 dan 2009, dan pada tahun 2010, beliau menyertai Scuderia Ferrari.[2][3]

Alonso digelar sebagai El Nano, iaitu nama samaran yang biasa bagi Fernando di Asturias, iaitu tempat kelahirannya. Alonso juga menjadi Duta Muhibah untuk UNICEF.[4] Alonso juga telah menjadi pemandu yang termuda untuk memenangi perlumbaan dari petak pertama dan Grand Prix, masing-masing di Grand Prix Malaysia 2003 dan Grand Prix Hungary 2003,[5][6] sebelum kedua-dua rekod tersebut telah dipecahkan oleh Sebastian Vettel di Grand Prix Itali 2008.[7]

Isi kandungan

Kerjaya Formula Satu [sunting]

Minardi (2001) [sunting]

Alonso membuat penampilan sulungnya dalam Formula Satu bersama Minardi pada tahun 2001.

Alonso menjadi pemandu ketiga termuda untuk memulakan sebuah perlumbaan dalam Formula Satu apabila beliau membuat penampilan sulungnya bersama Minardi di Grand Prix Australia. Pasukan tersebut berada dalam musim pertama mereka di bawah kawalan pemilik baru, Paul Stoddart, dan kereta terbaru mereka, PS01, tidak begitu pantas dan tidak mempunyai kebolehpercayaan yang baik. Walau bagaimanapun, prestasi Alonso pada pusingan kelayakan adalah baik, dan beliau memulakan perlumbaan di hadapan rakan sepasukan, Tarso Marques, pada perlumbaan pembuka tirai di Australia. Pada perlumbaan keempat di Imola, beliau memulakan perlumbaan di hadapan kedua-dua pemandu Benetton, dan mengulangi pencapaian ini sekali lagi pada musim ini.[8]

Prestasinya yang hebat sepanjang musim telah diberikan perhatian oleh pasukan yang lebih kompetitif. Ia telah dilaporkan pada bulan September 2001 oleh beberapa akhbar di Eropah, yang Sauber sedang mencari seorang pemandu yang akan menggantikan Kimi Räikkönen yang akan meninggalkan pasukan dengan Alonso, walaupun menghadapi persaingan untuk mendapatkan kerusi perlumbaan itu daripada Felipe Massa dan pemandu ujian Jaguar, André Lotterer.[9] Sebulan kemudian ia disahkan bahawa Massa akan mengambil tempat duduk kosong itu di Sauber bagi tahun 2002.[10]

Pada bulan September, pengurus pasukan Benetton, Flavio Briatore, telah mula merancang untuk memasukkan Alonso di Benetton. Briatore dianggap mempromosikan Alonso bagi tahun 2002, untuk menggantikan Jenson Button, tetapi sebaliknya memilih untuk mengambil Alonso sebagai pemandu ujian di Renault pada tahun 2002.[8] Pada perlumbaan penutup tirai musim ini di Suzuka, beliau mendapat tempat kesebelas, di hadapan pemandu Prost, Heinz-Harald Frentzen, pemandu BAR, Olivier Panis, di hadapan kedua-dua pemandu Arrows, dan rakan sepasukan, Alex Yoong.[8] Empat tahun kemudian, bos pasukan dari hari-harinya di Minardi, Paul Stoddart, menyifatkan perlumbaan itu sebagai "53 pusingan kelayakan".[11] Alonso gagal mendapat sebarang mata pada musim ini dan menamatkan kejuaraan tahun ini di belakang rakan sepasukan, Tarso Marques; dan keputusan terbaik Alonso adalah tempat kesepuluh di Grand Prix Jerman.

Renault (2003–2006) [sunting]

2003 [sunting]

Alonso menjadi pemandu ujian untuk Renault pada tahun 2002 (setelah Renault mengambil alih pasukan Benetton) dan melakukan 1,642 pusingan ujian pada tahun itu. Pada tahun 2003, Briatore menggugurkan Button dan menjadikan Alonso sebagai pemandu kedua, dan memandu bersama Jarno Trulli.[8] Briatore telah dikritik oleh media British setelah membuat keputusan tersebut, tetapi pengarah teknikal, Mike Gascoyne, berkata kepada F1 Racing bahawa keputusan itu adalah betul, kerana pasukan kagum dengan kerja dan bakat Alonso ketika menjadi pemandu ujian.

Alonso menjadi pemandu yang termuda untuk mendapat petak pertama dalam Formula Satu di Grand Prix Malaysia. Beliau mendapat tempat kedua di Grand Prix Sepanyol, dan kemudiannya menjadi pemandu yang termuda pada masa itu untuk memenangi sebuah perlumbaan Formula Satu, selepas memenangi Grand Prix Hungary. Beliau mendapat tempat keenam dalam kejuaraan pemandu, dengan 55 mata dan empat keputusan podium.

2004 [sunting]

Alonso memandu untuk Renault di Grand Prix Kanada 2004

Alonso kekal bersama Renault untuk musim 2004, dan mendapat podium di Australia, Perancis, Jerman dan Hungary. Di Indianapolis, beliau berada di tempat ketiga, namun mengalami kemalangan selepas tayar kereta Renault yang dipandunya kempis. Di Perancis, Alonso mendapat petak pertama, dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang Michael Schumacher. Menjelang akhir tahun ini, prestasi rakan sepasukan, Jarno Trulli, merosot dan beliau tidak menjadikan ketua pasukan Renault, Flavio Briatore, sebagai pengurusnya. Hubungan Trulli dengan pasukan bertambah buruk selepas beliau menandatangani perjanjian untuk memandu bersama Toyota dari tahun 2005 dan seterusnya, dan digantikan untuk tiga perlumbaan terakhir musim ini oleh bekas juara dunia, Jacques Villeneuve. Alonso mendapat tempat keempat dalam kejuaraan dengan 59 mata.

2005 [sunting]

Alonso menamatkan musim 2005 dengan memenangi Grand Prix China 2005.

Untuk musim 2005, Alonso telah disertai oleh pemandu Itali, Giancarlo Fisichella. Pada perlumbaan pembuka tirai di Australia, Alonso memulakan perlumbaan di tempat ke-13 selepas hujan melanda pada pusingan kelayakan tetapi akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.[12] Beliau memenangi dua perlumbaan seterusnya di Malaysia dan Bahrain dari petak pertama, dan memenangi perlumbaan ketiganya di Grand Prix San Marino selepas bersaing dengan Michael Schumacher.[13]

Prestasi McLaren yang meningkat menyaksikan Räikkönen memenangi perlumbaan di Sepanyol dan Monaco, manakala Alonso mendapat tempat kedua dan keempat, masing-masing. Räikkönen juga berpeluang untuk memenangi Grand Prix Eropah di Nürburgring, namun ampaian depan belah kanan keretanya patah, dan Alonso memenangi perlumbaan ini.

Alonso gagal untuk mendapat mata di Kanada dan Amerika Syarikat. Beliau terbabas di Kanada, dan di Amerika Syarikat, kesemua pasukan yang menggunakan tayar Michelin menarik diri kerana bimbang akan keselamatan tayar mereka. Alonso merampas petak pertama dan memenangi perlumbaan kelimanya di Grand Prix Perancis. Beliau mendapat petak pertama seminggu kemudian di Grand Prix British, di mana beliau mendapat tempat kedua, di belakang Juan Pablo Montoya. Pemandu McLaren, Kimi Räikkönen, mendahului Grand Prix Jerman sehinggalah keretanya mengalami kegagalan hidraulik. Alonso kemudiannya memenangi perlumbaan ini.

Alonso mendapat tempat keenam pada pusingan kelayakan di Grand Prix Hungary, tetapi menamatkan perlumbaan di tempat kesebelas selepas berlanggar dengan pemandu Toyota, Ralf Schumacher. Selepas perlumbaan ini, Alonso mendapat tempat kedua dalam tiga perlumbaan seterusnya, dan mengumpul mata kejuaraan yang penting. Räikkönen menang di Turki dan Belgium, tetapi mendapat tempat keempat di Monza selepas mengalami masalah enjin pada pusingan kelayakan.

Alonso memenangi kejuaraan tahun tersebut dengan mendapat tempat ketiga di Brazil, di mana Montoya menamatkan perlumbaan di hadapan Räikkönen. Alonso menjadi Juara Pemandu Dunia yang paling muda, pada usia 24 tahun dan 59 hari, dan memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Emerson Fittipaldi. Beliau juga menamatkan dominasi lima tahun Michael Schumacher.[14]

Mengulas mengenai kemenangan itu, beliau berkata: "Saya hanya mahu untuk mendedikasikan kejuaraan ini kepada keluarga saya, dan semua rakan-rakan rapat saya yang telah menyokong saya sepanjang kerjaya saya. Sepanyol bukanlah sebuah negara dengan budaya F1, dan kami terpaksa berjuang bersendirian, setiap langkah perjalanan, untuk membuatkan ini berlaku. Sebuah ucapan terima kasih juga diberikan kepada pasukan - merekalah yang terbaik dalam Formula Satu, dan kita telah melakukan ini bersama-sama. Ia akan mengatakan bahawa saya ialah juara dunia, tetapi kita semua adalah juara - dan mereka berhak atas kejuaraan ini".

Pada tahun 2005, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Putera Sukan Asturias.[15]

2006 [sunting]

Alonso mendapat petak pertama dan memenangi Grand Prix Monaco 2006.
Alono di Grand Prix Kanada, di mana Alonso memenangi perlumbaan keenamnya pada musim ini.

Alonso memenangi perlumbaan pembuka tirai musim 2006 di Bahrain, dengan memintas Michael Schumacher selepas keluar dari lorong pit dengan baki 18 pusingan, selepas memulakan perlumbaan di tempat keempat. Beliau memulakan perlumbaan di tempat ketujuh di Grand Prix Malaysia selepas terdapat kesilapan dengan pengisian bahan api[16][17] tetapi menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang rakan pasukan, Giancarlo Fisichella. Beliau memenangi Grand Prix Australia selepas memintas pemandu Honda, Jenson Button.

Schumacher menang di San Marino, selepas Alonso gagal memintas Michael Schumacher pada perlumbaan tersebut. Schumacher menewaskan Alonso sekali lagi di Grand Prix Eropah selepas Alonso memulakan perlumbaan di petak pertama, tetapi Alonso bangkit kembali, dan menjadi pelumba Sepanyol yang pertama yang memenangi Grand Prix Sepanyol. Alonso mendapat petak pertama di Grand Prix Monaco selepas Schumacher diberikan penalti kerana "sengaja [memberhentikan] keretanya di litar dalam beberapa minit terakhir pada sesi kelayakan", untuk menggagalkan usaha pesaingnya, termasuk Alonso, untuk menetapkan masa pusingan kelayakan yang terpantas.[18] Alonso kemudiannya memenangi perlumbaan tersebut.

Alonso menang sekali lagi di Grand Prix British dan Kanada. Beliau memenangi kedua-dua perlumbaan tersebut selepas bermula dari petak pertama. Beliau juga menjadi pemandu pertama dalam sejarah untuk menamatkan perlumbaan di tempat pertama atau kedua dalam sembilan perlumbaan pertama musim ini, dan rekod ini kemudiannya dikongsi oleh Sebastian Vettel pada tahun 2011. Schumacher bangkit kembali selepas memenangi perlumbaan di Indianapolis, dan Alonso mendapat tempat kelima. Schumacher memenangi Grand Prix Perancis, dan Alonso mendapat tempat kedua. Alonso sekali lagi gagal untuk mendapat keputusan yang baik selepas hanya mampu mendapat tempat kelima di Grand Prix Jerman.[19] Ini menyebabkan Schumacher merapatkan kedudukannya dengan Alonso dalam kejuaraan kepada 11 mata.

Alonso diberikan penalti selepas menyebabkan sebuah pelanggaran pada sesi latihan bebas di Grand Prix Hungary dan menyebabkan beliau memulakan perlumbaan di tempat ke-15.[20] Schumacher memulakan perlumbaan di tempat kesebelas selepas menerima penalti yang sama.[21] Alonso hampir memenangi perlumbaan ini, selepas memintas beberapa pemandu, termasuk Schumacher, tetapi terbabas daripada perlumbaan apabila nat roda keretanya jatuh selepas perhentian pit. Schumacher mendapat satu mata selepas Robert Kubica disingkirkan selepas perlumbaan.[22]

Beliau mendapat tempat kedua di Turki, manakala Schumacher mendapat tempat ketiga. Di Grand Prix Itali, beliau mendapat tempat kelima pada pusingan kelayakan, namun diberikan penalti kerana menghalang pemandu Ferrari Felipe Massa,[23] dan memulakan perlumbaan di tempat kesepuluh.[24] Dalam perlumbaan, beliau beraksi dengan baik dan berada di tempat ketiga sebelum kegagalan enjin memaksanya untuk bersara. Schumacher memenangi Grand Prix ini dan berada dua mata di belakang Alonso dalam kejuaraan pemandu.

Pada perlumbaan berikutnya di China, Alonso mendapat petak pertama pada pusingan kelayakan yang dilanda hujan tetapi menamatkan perlumbaan di tempat kedua, di belakang Schumacher. Selepas perlumbaan ini, Alonso dan Schumacher terikat dengan mata yang sama dalam kejuaraan pemandu. Di Grand Prix Jepun, kedua-dua pemandu Ferrari, Schumacher dan Massa, memulakan perlumbaan di petak hadapan. Alonso dan Fisichella pula memulakan perlumbaan di tempat kelima dan keenam masing-masing. Namun begitu, Alonso memenangi perlumbaan selepas masalah enjin memaksa Schumacher bersara. Ia memberikan Alonso kelebihan sepuluh mata kepada Schumacher, dan hanya memerlukan satu mata sahaja pada perlumbaan penutup tirai untuk mempertahankan kejuaraannya. Alonso mendapat tempat kedua di Grand Prix Brazil pada 22 Oktober, dan berjaya mempertahankan kejuaraannya. Dengan Schumacher mendapat tempat keempat, perbezaan mata terakhir adalah 13 mata. Alonso menjadi juara dunia berganda termuda dalam sejarah sukan itu. Renault juga memenangi Kejuaraan Pengeluar dengan perbezaan 5 mata ke atas Ferrari.

McLaren (2007) [sunting]

Alonso di Grand Prix Malaysia 2007, di mana beliau memenangi perlumbaan pertamanya untuk McLaren
Alonso mendapat tempat kedua di Grand Prix British 2007, di belakang pemenang, Kimi Räikkönen.

Pada 19 Disember 2005, Alonso mengumumkan bahawa beliau akan menyertai McLaren bagi tahun 2007.[25] Kontraknya bersama Renault telah ditetapkan untuk berakhir pada 31 Disember 2006. Walau bagaimanapun, pada 15 Disember 2006, Alonso telah dibenarkan oleh Flavio Briatore dan Renault F1 untuk menguji selama sehari bersama McLaren di Jerez. Beliau memandu kereta MP4-21 yang tidak diletakkan apa-apa pelekat dan memakai topi keledar dan pakaian putih, serta melengkapkan 95 pusingan.[26] Lewis Hamilton telah dipilih sebagai rakan pasukan Alonso untuk musim ini. McLaren telah dilaporkan membayar Alonso sebanyak £ 20 juta (kira-kira $ 39 juta sekitar tahun 2007) pada musim 2007. Alonso memulakan kerjayanya bersama McLaren pada 15 Januari 2007, di jalan Valencia.

Pada 8 April 2007, pada perlumbaan keduanya untuk pasukan, Alonso memenangi perlumbaan pertamanya untuk McLaren, dan pasukan memenangi perlumbaan pertama mereka sejak tahun 2005, dengan mendahului majoriti pusingan di Grand Prix Malaysia. Seminggu kemudian di Sakhir, beliau mendapat tempat kelima, di belakang rakan sepasukan rookie beliau yang mendapat podium. Pada perlumbaan keempat musim ini di Sepanyol, iaitu perlumbaan tanah airnya, Alonso bermula di tempat kedua, tetapi berlanggar dengan Felipe Massa pada pusingan pertama, dan menyebabkan sedikit kerosakan kepada kereta dan menjatuhkannya ke tempat keempat, sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Pada 27 Mei, Alonso memenangi perlumbaan keduanya untuk McLaren di Grand Prix Monaco, dengan mendapat petak pertama, pusingan terpantas. Di Nürburgring, beliau memenangi perlumbaan ketiganya pada musim ini dalam perlumbaan dramatik yang terjejas oleh hujan, dengan memintas Massa untuk mendahului perlumbaan dengan baki empat pusingan. Selepas kontroversi di Grand Prix Hungary, hubungan antara Alonso dan pasukannya merosot. Ia telah dilaporkan dalam media bahawa beliau tidak lagi bercakap dengan Hamilton,[27] dan ia telah menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin akan meninggalkan McLaren pada akhir musim ini.[28] Pada 7 Ogos 2007, The Times melaporkan bahawa McLaren akan membenarkan Alonso meninggalkan pasukan itu pada akhir musim ini jika beliau mahu, dua tahun lebih awal daripada tarikh asal kontraknya.[29] Alonso kemudiannya mendapat tempat ketiga dalam kejuaraan pemandu, berkongsi mata dengan rakan sepasukan, Hamilton, dan hanya satu mata di belakang Juara Dunia, Kimi Räikkönen (1-2-3 yang terdekat dalam sejarah Kejuaraan Pemandu Dunia).

Sebagai sebahagian daripada kontroversi pengintipan antara McLaren dan Ferrari, McLaren didapati bersalah kerana melanggar peraturan sukan FIA Perkara 151C, namun tidak dihukum kerana kekurangan bukti. Walau bagaimanapun, berikutan pengambilalihan bukti baru oleh FIA, satu perbicaraan telah diadakan pada 13 September. Bukti baru terdiri sebahagian besarnya daripada e-mel antara Alonso dan pemandu ujian, Pedro de la Rosa.[30] Berikutan laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Sukan Permotoran Sedunia FIA, pendengaran menyatakan bahawa Alonso dan de la Rosa telah memperoleh dan menggunakan data dan maklumat stategi teknikal Ferrari dari jurutera atasan McLaren, Mike Coughlan, melalui pekerja Ferrari, Nigel Stepney, termasuk semasa sesi ujian. Kedua-dua pemandu terselamat daripada dihukum kerana memberikan bukti.

Pada 2 November 2007, selepas setahun yang dipenuhi dengan cabaran bersama McLaren, ia telah diumumkan bahawa McLaren dan Alonso telah mencapai persetujuan untuk menamatkan kontrak dan bahawa beliau akan bebas untuk menyertai mana-mana pasukan bagi tahun 2008 tanpa membayar apa-apa pampasan kepada McLaren[31]

Renault (2008–2009) [sunting]

2008 [sunting]

Alonso mencuba jentera Renault R28 pada bulan Januari 2008
Alonso di Grand Prix Singapura 2008, di mana beliau menang selepas bermula di tempat ke-15.
Alonso meraikan kemenangannya di Grand Prix Jepun 2008, di mana beliau memenangi perlumbaan terakhirnya untuk Renault.

Alonso telah dikaitkan dengan beberapa pasukan untuk musim 2008 selepas berpisah dengan McLaren. Renault, Red Bull, Toyota dan Honda telah dicadangkan di dalam media. Ketua pasukan Renault, Flavio Briatore, menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan Alonso kembali kepada pasukan Perancis tersebut. Pada 10 Disember 2007, Alonso menandatangani kontrak dua tahun untuk memandu bersama Renault, dan beliau memandu bersama pemandu Brazil, Nelson Piquet, Jr. untuk sekitar £25 juta.[32][33]

Pada kedua-dua perlumbaan pertama musim 2008, Renault tidak berdaya saing seperti sebelum ini. Alonso mendapat tempat keempat dan kelapan di Australia dan Malaysia masing-masing, dan ia menimbulkan khabar angin bahawa Alonso akan meninggalkan Renault kerana kecewa dengan Renault dan akan menyertai BMW Sauber, Honda atau Toyota. Bos BMW, Mario Theissen, berminat untuk mendapatkan Alonso untuk menggantikan Nick Heidfeld untuk membantu pasukan memenangi perlumbaan pertama mereka. Khabar angin di Honda bermula apabila Alonso berkata dalam sebuah wawancara bahawa beliau merasakan ada sesuatu tentang Honda dan beliau mahu memandu untuk mereka pada tahun 2009 dan beralih kepada Ferrari pada tahun 2010. Toyota berkata mereka tidak sabar-sabar untuk menjadikan Alonso sebagai pemandu pertama mereka. Tetapi pasukan yang mungkin disertai oleh Alonso adalah Ferrari, di mana beliau mungkin akan menggantikan Felipe Massa di Ferrari pada tahun 2009, terutamanya dalam kepercayaan umum bahawa terdapat "fasal keluar" dalam kontrak Fernando Alonso dengan Renault yang akan memberikannya kebebasan untuk menyertai pasukan lain untuk musim yang akan datang. Walau bagaimanapun presiden Ferrari, Luca Cordero di Montezemolo menyatakan bahawa tempat Massa dalam pasukan selamat dan akan kekal begitu sehingga kontraknya pada tahun 2010.[34] Räikkönen juga diberikan lanjutan kontrak dua tahun, dan akan terus menjadi rakan sepasukan Massa sehingga akhir tahun 2010,[35] dan kedua-dua berita tersebut telah menutup pintu pintu kepada Alonso untuk menyertai Ferrari. Pada tahun 2008, Alonso menafikan khabar angin "fasal keluar".

Di Grand Prix Bahrain, Lewis Hamilton merempuh ke belakang Alonso, dan merosakkan sayap belakang kereta pemandu Sepanyol itu, serta kon hidung Hamilton sendiri. Steward tidak berusaha untuk menyiasat kejadian itu tetapi pengkritik mendakwa yang Alonso sengaja menekan brek keretanya (atau tidak melajukan kereta seperti yang dijangkakan) di hadapan Hamilton, dan menyebabkan Hamilton merempuh Alonso.[36] Data telemetri dari kereta Alonso membuktikan tuduhan-tuduhan tersebut adalah salah.[37] Hamilton sendiri menyatakan, "Saya berada di belakang Alonso, dan saya berpindah ke sebelah kanan, dan beliau berpindah ke sebelah kanan dan itu sahajalah - saya rasa ia satu insiden perlumbaan".[38] McLaren kemudiannya mendedahkan bahawa sayap depan Hamilton, yang telah rosak apabila beliau berlanggar dengan Alonso pada awal perlumbaan, telah patah beberapa saat sebelum kejadian tersebut berlaku, dan ia dikenal pasti sebagai punca kemalangan. Alonso memulakan Grand Prix Sepanyol dengan peluang yang cerah, dengan memulakan perlumbaan di barisan hadapan, di tempat kedua, di belakang Kimi Räikkönen. Alonso berada di tempat kelima apabila enjin keretanya meledak pada pusingan ke-35. Beliau memuji pasukannya selepas mendapat tempat keenam di Grand Prix Turki, kerana beliau berada di belakang kereta BMW yang lebih berdaya saing pada akhirnya, dan mengatakan bahawa keputusan tersebut "mengesahkan kemajuan yang telah kita capai, dan terima kasih kepada kerja keras semua orang di dalam pasukan".

Alonso gagal untuk mendapat mata pada dua perlumbaan setersnya, dengan mendapat tempat kesepuluh di Grand Prix Monaco, selepas berlanggar dengan Nick Heidfeld dan bersara di Grand Prix Kanada selepas terhempas ke dinding pada pusingan ke-45, selepas memulakan perlumbaan di tempat keempat. Di Perancis, Alonso memulakan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang kedua-dua pemandu Ferrari, selepas dibantu oleh penalti yang berikan kepada Lewis Hamilton kerana menyebabkan kemalangan di lorong pit di Kanada. Walau bagaimanapun, beliau menamatkan perlumbaan di belakang rakan sepasukan, Piquet, Jr. di tempat kelapan.

Alonso mendapat tempat keenam di Silverstone, selepas memulakan perlumbaan di tempat yang sama. Walaupun mendapat tempat kelima pada pusingan kelayakan di Grand Prix Jerman, beliau menamatkan perlumbaan di tempat kesebelas selepas berlanggar dengan pemandu Williams, Nico Rosberg. Di Grand Prix Hungary, beliau mendapat tempat keempat selepas memulakan perlumbaan di tempat ketujuh.

Di Grand Prix Eropah, Alonso beraksi dengan kukuh dalam ketiga-tiga sesi latihan dan pusingan kelayakan bahagian pertama. Walau bagaimanapun, beliau gagal untuk membuat melepasi pusingan kelayakan bahagian kedua, dan memulakan perlumbaan di tempat ke-12. Pada pusingan pembukaan, Alonso telah dilanggar oleh Kazuki Nakajima, dan terpaksa bersara daripada perlumbaan. Di Belgium, Alonso memasuki pit untuk bertukar kepada tayar cuaca hujan dengan baki satu pusingan, dan akhirnya memintas Kubica dan Sebastian Vettel pada selekoh terakhir untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat. Di Grand Prix Itali, Alonso mendapat tempat keempat sekali lagi, dan Renault menyamakan kedudukan mereka bersama Toyota dalam kejuaraan pengeluar.

Alonso mendapat podium dan memenangi perlumbaan pertamanya pada musim ini dengan memenangi Grand Prix Singapura. Selepas beraksi dengan kukuh pada sesi latihan, masalah tekanan bahan api pada pusingan kelayakan bahagian kedua menyebabkan Alonso memulakan perlumbaan di tempat ke-15. Dalam perlumbaan, beliau memulakan perlumbaan dengan menggunakan tayar sebatian lembut, dan keretanya diisi dengan bahan api yang sedikit. Alonso memasuki pit selepas beliau sedar strategi ini tidak akan berjaya. Walau bagaimanapun, rakan sepasukan, Piquet, terbabas dan menyebabkan kereta keselamatan dikeluarkan. Apabila pelumba-pelumba yang berada di hadapan memasuki pit selepas lorong pit dibuka semula, mereka menyertai semula di belakang pelumba-pelumba yang telah berhenti. Ini menyebabkan Alonso berada di tempat keenam teratas, dan akhirnya memenangi perlumbaan, dan ia merupakan kemenangan ke-20 dan podium ke-50 dalam kerjayanya. Pada bulan September 2009, selepas digugurkan oleh Renault, Piquet berkata, kemalangan itu disengajakan dan telah diminta oleh Flavio Briatore dan Pat Symonds. Alonso diisytiharkan tidak bersalah oleh siasatan FIA berikutnya.

Di Grand Prix Jepun, beliau memulakan perlumbaan di tempat keempat.[39] Dengan menggunakan strategi dua perhentian pit, Alonso memenangi perlumbaan keduanya berturut-turut, di hadapan Kubica dan Räikkönen. Pada dua perlumbaan terakhir pada musim ini di China dan Brazil, Alonso mendapat tempat keempat dan kedua masing-masing. Dalam lapan perlumbaan terakhir musim ini, Alonso mendapat 48 mata, iaitu lebih daripada mana-mana pemandu yang lain (dalam tempoh yang sama, Massa mendapat 43 mata dan Hamilton mendapat 40 mata). Beliau menamatkan musim di tangga kelima dalam kejuaraan dengan 61 mata, dan membantu Renault menadat tempat keempat dalam kedudukan pengeluar dengan 80 mata, di hadapan pasukan yang mendapat tempat kelima, Toyota.

Pada 5 November, Flavio Briatore mengesahkan bahawa Renault telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak dua tahun Alonso yang asal, dan ia menamatkan spekulasi mengenai Alonso menyertai Ferrari dan kontrak "fasal keluar" Renault.

2009 [sunting]

Renault R29 yang baru tidak memenuhi jangkaan Alonso pada awal tahun ini, selepas ia beraksi dengan baik dalam ujian musim sejuk, walaupun pada hakikatnya tiada masalah kebolehpercayaan yang besar mengenai kereta tersebut. Untuk tahun kedua berturut-turut, Nelson Piquet, Jr. menjadi rakan sepasukannya.

Di Grand Prix Australia, beliau mengelakkan diri daripada terlibat dalam kemalangan pada pusingan pertama dan mendapat manfaat daripada kereta keselamatan pada saat-saat akhir, berikutan perlanggaran Robert Kubica dan Sebastian Vettel, dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kelima. Walaupun gembira dengan mendapat mata, beliau "kecewa" dengan cara sistem KERS keretanya berfungsi semasa perlumbaan. Beliau gagal mendapat mata di Malaysia (kesebelas) dan China (kesembilan, selepas memulakan perlumbaan di tempat kedua), serta menamatkan kedua-dua perlumbaan lebih daripada satu minit di belakang pemenang.

Alonso mendapat tempat ketujuh di Grand Prix Jerman 2009.

Beliau mendapat tempat kelapan di Grand Prix Bahrain, walaupun bergelut dengan botol minuman yang pecah semasa perlumbaan, yang menyebabkan beliau rebah semasa ditemu bual selepas perlumbaan. Di Sepanyol, beliau mendapat tempat kelima, selepas memintas Felipe Massa pada pusingan terakhir. Di Monaco, Alonso mendapat manfaat selepas Heikki Kovalainen dan Sebastian Vettel bersara, dan mendapat tempat ketujuh, setelah memulakan perlumbaan di tempat kesembilan.

Alonso mendapat tempat kelima di Grand Prix Itali 2009.

Beliau gagal untuk mendapat sebarang mata di Turki, selepas mendapat kesepuluh, manakala di Britain, beliau jatuh beberapa tempat pada awal perlumbaan, dan akhirnya menamatkan perlumbaan dua tempat di belakang rakan sepasukan, Piquet. Di Nurburgring, Alonso jatuh beberapa tempat pada selekoh pertama, dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, dan mengejar kedua-dua pemandu Brawn, Jenson Button dan Rubens Barrichello, pada saat-saat akhir. Alonso juga menetapkan masa pusingan terpantas pada perlumbaan ini.

Alonso di Singapura, di mana beliau mendapat podium tunggal Renault pada tahun tersebut.

Di Hungary, beliau mendapat petak pertama yang terakhirnya untuk Renault pada musim ini (selepas menggunakan bahan api yang sedikit), namun krew pitnya tidak memasang tayar keretanya dengan betul ketika keretanya diservis di pit. Selepas menggantikan tayar tersebut, Alonso bersara selepas mengalami masalah pam bahan api. Di Valencia, beliau mendapat tempat keenam, namun masa pusingan perlumbaan Alonso adalah lebih perlahan daripada rakan sepasukannya yang baru, Romain Grosjean, yang menggantikan Piquet yang dipecat.

Alonso terpaksa bersara di Belgium selepas hampir mengalami kejadian tayar yang sama di Hungary, namun kali ini tayarnya rosak selepas berlanggar dengan pemandu Force India, Adrian Sutil, pada pusingan pertama. Renault memilih untuk membawa Alonso ke pit dan bersara untuk mengelakkan kejadian di Hungary berulang lagi. Di Monza, Alonso mendapat tempat kelima, dan memintas pemandu McLaren, Heikki Kovalainen, dalam perlumbaan, walaupun sekali lagi mengadu tentang sistem KERS keretanya, terutama selepas memulakan perlumbaan dengan teruk.

Beliau kemudiannya mendapat tempat ketiga di Singapura. Walau bagaimanapun, ini adalah satu-satunya keputusan podium untuk Renault pada tahun 2009, setahun selepas peristiwa Crashgate. Secara berkontroversi, Alonso memdedikasikan podium tersebut kepada bekas ketua pasukan Renault, Flavio Briatore, dengan berkata "beliau adalah sebahagian daripada kejayaan kami hari ini".[40]

Di Jepun, beliau diberikan penalti lima petak kedudukan kerana gagal untuk memperlahankan keretanya di bawah keadaan bendera kuning selepas Sébastien Buemi terbabas. Kereta R29 mengecewakan Alonso sekali lagi, apabila beliau hanya mampu untuk mendapat tempat kesepuluh selepas memulakan perlumbaan di tempat ke-16, walaupun kereta keselamatan dikeluarkan pada saat-saat akhir selepas Jaime Alguersuari terbabas. Di Brazil, beliau bersara pada pusingan pertama selepas Adrian Sutil dan Jarno Trulli berlanggar, dan Alonso kemudiannya berlanggar dengan Sutil, dan memaksa beliau untuk bersara.

Di Abu Dhabi, beliau mendapat tempat ke-14, selepas memulakan perlumbaan di tempat ke-16. Selepas perlumbaan, beliau memberikan penghormatan kepada Renault, dan berkata bahawa beliau mahu "mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan untuk segala-galanya yang telah kita capai bersama-sama", dan mahu menumpukan perhatian kepada zaman positifnya bersama Renault, termasuk memenangi kejuaraan tahun 2005 dan 2006. Beliau mendapat tempat kesembilan dalam kejuaraan pemandu, dan menyumbangkan kesemua 26 mata Renault pada musim ini. Hasilnya, Renault hanya mendapat tempat kelapan dalam kejuaraan pengeluar, di hadapan kedua-dua pasukan Force India dan Toro Rosso.

Ferrari (2010–kini) [sunting]

2010 [sunting]

Alonso pada perlumbaan pertamanya bersama Ferrari di Grand Prix Bahrain 2010, di mana beliau menang di hadapan rakan sepasukan, Massa.

Setelah berspekulasi,[41] pada 30 September 2009, Alonso telah disahkan sebagai penganti Kimi Räikkönen di pasukan Ferrari, dan menjadi rakan sepasukan Felipe Massa,[42] dan keputusan ini dikenali sebagai "rahsia F1 yang paling buruk disimpan".[43] Beliau menandatangani kontrak tiga tahun (2010-2012),[44]. Walaupun kontrak tersebut dikatakan telah ditandatangani seawal bulan Julai 2008,[43] Alonso mengesahkan bahawa beliau mempunyai perjanjian musim panas 2009 dengan Ferrari untuk permulaan musim 2011, yang kemudiannya telah ditukar kepada musin 2010.[45] Ferrari dan Räikkönen, yang digantikan oleh Alonso, telah bersetuju untuk menamatkan kontrak mereka setahun lebih awal.[44][46] Walaupun ia telah melaporkan bahawa kontrak Alonso bernilai sebanyak €25 juta setiap musim,[47] Ferrari mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat keraguan mengenai jumlah gaji yang ditawarkan, dengan menyatakan bahawa "jumlah berikut benar-benar tiada kaitan dengan realiti."[48] Ferrari juga menimbulkan keraguan mengenai "kedatangan juruteknik" dengan Alonso.[48]

Pada perlumbaan pembuka tirai di Bahrain, Alonso memulakan perlumbaan di tempat ketiga, di belakang rakan sepasukan, Massa, dan pemandu yang mendapat petak pertama, Sebastian Vettel. Pada permulaan, Alonso memintas Massa, dan pendahulu perlumbaan, Vettel, mengalami masalah enjin dan jatuh ke tempat keempat dan Alonso memenangi perlumbaan ini, dan menjadi orang kelima untuk menang pada kemunculan pertama mereka untuk Ferrari selepas Juan Manuel Fangio pada tahun 1956, Mario Andretti pada tahun 1971, Nigel Mansell pada tahun 1989, dan Kimi Räikkönen pada tahun 2007. Rakan sepasukan, Massa, mendapat tempat kedua, manakala bekas rakan sepasukan Alonso, Lewis Hamilton, mendapat tempat ketiga.[49]

2012 [sunting]

Alonso meraikan kemenangannya di Grand Prix Malaysia.

Setelah menandatangani kontrak lanjutan pada tahun 2011, Alonso kekal bersama Ferrari bagi musim 2012. Pada pusingan kelayakan untuk Grand Prix Australia, Alonso mendapat tempat ke-12 selepas berputar di batu kerikil pada Q2. Beliau pulih dalam perlumbaan untuk mendapat tempat kelima. Pada perlumbaan seterusnya di Malaysia, Alonso mendapat tempat kesembilan pada pusingan kelayakan. Walau bagaimanapun, dalam perlumbaan, yang bermula dalam keadaan hujan, Alonso beraksi dengan cemerlang dan menerajui perlumbaan pada pusingan ke-16. Alonso memenangi perlumbaan ini dengan jurang dua saat di belakang pemandu Sauber, Sergio Pérez. Alonso mendapat tempat ketiga di Grand Prix Monaco, dan memimpin Kejuaraan Pemandu Dunia dengan 76 mata, dan tiga mata di hadapan juara bertahan, Sebastian Vettel. Walau bagaimanapun, selepas mendapat tempat kelima di Grand Prix Kanada, Alonso jatuh ke tangga kedua dalam kejuaraan pemandu, di belakang Lewis Hamilton, yang mendahului kejuaraan dengan Sebastian Vettel di tangga ketiga.

Alonso kembali mendahului kejuaraan di Grand Prix Eropah, setelah bermula dari tempat kesebelas dan beraksi dengan cemerlang untuk memenangi perlumbaan selepas kedua-dua Vettel dan Hamilton bersara. Pada pusingan seterusnya di Silverstone, Alonso mendapat petak pertama Ferrari yang pertama sejak tahun 2010, tepi pemandu Red Bull, Mark Webber, memenangi perlumbaan tersebut. Beliau sekali lagi bermula dari petak pertama di Grand Prix Jerman, dan memenangi perlumbaan tersebut.[50] Di Grand Prix Belgium, Alonso terlibat dalam kemalangan pada selekoh pertama perlumbaan bersama empat pemandu lain, dan bersara dari perlumbaan tersebut. Di Grand Prix Jepun, Alonso dilanggar dari belakang pada selekoh pertama dan bersara. Alonso sekali lagi kehilangan peluangnya untuk memenangi kejuaraan pemandu kepada Sebastian Vettel pada perlumbaan terakhir. Alonso menamatkan musim dengan 278 mata, dengan tiga mata di belakang Vettel.

Rekod perlumbaan [sunting]

Ringkasan kerjaya [sunting]

Musim Siri Pasukan Perlumbaan Kemenangan P/Pertama P/Terpantas Podium Mata Kedudukan
1999 Euro Open by Nissan Campos Motorsport 15 6 6 5 8 164 Pertama
2000 International Formula 3000 Team Astromega 9 1 1 2 2 17 Ke-4
2001 Formula Satu European Minardi F1 Team 17 0 0 0 0 0 Ke-23
2002 Formula Satu Mild Seven Renault F1 Team Pemandu ujian
2003 Formula Satu Mild Seven Renault F1 Team 16 1 2 1 4 55 Ke-6
2004 Formula Satu Mild Seven Renault F1 Team 18 0 1 0 4 59 Ke-4
2005 Formula Satu Mild Seven Renault F1 Team 19 7 6 2 15 133 Pertama
2006 Formula Satu Mild Seven Renault F1 Team 18 7 6 5 14 134 Pertama
2007 Formula Satu Vodafone McLaren Mercedes 17 4 2 3 12 109 Ke-3
2008 Formula Satu ING Renault F1 Team 18 2 0 0 3 61 Ke-5
2009 Formula Satu ING Renault F1 Team 17 0 1 2 1 26 Ke-9
2010 Formula Satu Scuderia Ferrari Marlboro 19 5 2 5 10 252 Ke-2
2011 Formula Satu Scuderia Ferrari 19 1 0 1 10 257 Ke-4
2012 Formula Satu Scuderia Ferrari 20 3 2 0 13 278 Ke-2
2013 Formula Satu Scuderia Ferrari 5 2 0 0 3 72* Ke-3*

* Musim sedang dijalankan.

Keputusan lengkap Formula Satu [sunting]

(kunci)

Tebal - Petak pertama
Condong - Pusingan terpantas

Musim Pasukan Casis Enjin 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 WDC Mata
2001 European Minardi F1 Team Minardi PS01 European (Cosworth) 3.0 V10 AUS
12
MAL
13
BRA
Ret
SMR
Ret
ESP
13
AUT
Ret
MON
Ret
CAN
Ret
EUR
14
FRA
17
GBR
16
GER
10
HUN
Ret
BEL
Ret
ITA
13
USA
Ret
JPN
11
Ke-23 0
2003 Mild Seven Renault F1 Team Renault R23 Renault RS23 3.0 V10 AUS
7
MAL
3
BRA
3
SMR
6
ESP
2
AUT
Ret
MON
5
CAN
4
EUR
4
FRA
Ret
GBR
Ret
GER
4
HUN
1
ITA
8
USA
Ret
JPN
Ret
Ke-6 55
2004 Mild Seven Renault F1 Team Renault R24 Renault RS24 3.0 V10 AUS
3
MAL
7
BHR
6
SMR
4
ESP
4
MON
Ret
EUR
5
CAN
Ret
USA
Ret
FRA
2
GBR
10
GER
3
HUN
3
BEL
Ret
ITA
Ret
CHN
4
JPN
5
BRA
4
Ke-4 59
2005 Mild Seven Renault F1 Team Renault R25 Renault RS25 3.0 V10 AUS
3
MAL
1
BHR
1
SMR
1
ESP
2
MON
4
EUR
1
CAN
Ret
USA
DNS
FRA
1
GBR
2
GER
1
HUN
11
TUR
2
ITA
2
BEL
2
BRA
3
JPN
3
CHN
1
Pertama 133
2006 Mild Seven Renault F1 Team Renault R26 Renault RS26 2.4 V8 BHR
1
MAL
2
AUS
1
SMR
2
EUR
2
ESP
1
MON
1
GBR
1
CAN
1
USA
5
FRA
2
GER
5
HUN
Ret
TUR
2
ITA
Ret
CHN
2
JPN
1
BRA
2
Pertama 134
2007 Vodafone McLaren Mercedes McLaren MP4-22 Mercedes FO 108T 2.4 V8 AUS
2
MAL
1
BHR
5
ESP
3
MON
1
CAN
7
USA
2
FRA
7
GBR
2
EUR
1
TUR
4
TUR
3
ITA
1
BEL
3
JPN
Ret
CHN
2
BRA
3
Ke-3 109
2008 ING Renault F1 Team Renault R28 Renault RS27 2.4 V8 AUS
4
MAL
8
BHR
10
ESP
Ret
TUR
6
MON
10
CAN
Ret
FRA
8
GBR
6
GER
11
HUN
4
EUR
Ret
BEL
4
ITA
4
SIN
1
JPN
1
CHN
4
BRA
2
Ke-5 61
2009 ING Renault F1 Team Renault R29 Renault RS27 2.4 V8 AUS
5
MAL
11
CHN
9
BHR
8
ESP
5
MON
7
TUR
10
GBR
14
GER
7
HUN
Ret
EUR
6
BEL
Ret
ITA
5
Ke-9 26
Renault F1 Team SIN
3
JPN
10
BRA
Ret
ABU
14
2010 Scuderia Ferrari Marlboro Ferrari F10 Ferrari 056 2.4 V8 BHR
1
AUS
4
MAL
13
CHN
4
ESP
2
MON
6
TUR
8
CAN
3
EUR
8
GBR
14
GER
1
HUN
2
BEL
Ret
ITA
1
SIN
1
JPN
3
KOR
1
BRA
3
ABU
7
Ke-2 252
2011 Scuderia Ferrari Ferrari 150° Italia Ferrari 056 2.4 V8 AUS
4
MAL
6
CHN
7
TUR
3
ESP
5
MON
2
CAN
Ret
EUR
2
GBR
1
GER
2
HUN
3
BEL
4
ITA
3
SIN
4
JPN
2
KOR
5
IND
3
ABU
2
BRA
4
Ke-4 257
2012 Scuderia Ferrari Ferrari F2012 Ferrari 056 2.4 V8 AUS
5
MAL
1
CHN
9
BHR
7
ESP
2
MON
3
CAN
5
EUR
1
GBR
2
GER
1
HUN
5
BEL
Ret
ITA
3
SIN
3
JPN
Ret
KOR
3
IND
2
ABU
2
USA
3
BRA
2
Ke-2 278
2013 Scuderia Ferrari Ferrari F138 Ferrari 056 V8 AUS
2
MAL
Ret
CHN
1
BHR
8
ESP
1
MON
CAN
GBR
GER
HUN
BEL
ITA
SIN
KOR
JPN
IND
ABU
USA
BRA
Ke-3* 72*

Tidak menamatkan perlumbaan, namun diklasifikasikan kerana melengkapkan lebih daripada 90% jarak perlumbaan.
* Musim sedang dijalankan.

Rujukan [sunting]

  1. "Fernando Alonso". NNDB. Soylent Communications. http://www.nndb.com/people/985/000044853/. Capaian 18 Mei 2013. 
  2. "Alonso joined Ferrari for three years", Institute for the Office The Indonesian National News, Reuters, 30 September 2009. Dicapai pada 1 Oktober 2009. 
  3. "Official --- Fernando Alonso Joins Ferrari for 2010". Motor Authority. 30 September 2009. http://www.motorauthority.com/blog/1035972_official-fernando-alonso-joins-ferrari-for-2010. Capaian 18 Mei 2013. 
  4. "La Nueva España :: Galería". La Nueva España. 2006. http://mas.lne.es/galeria/galeria.php?foto=2958. Capaian 18 Mei 2013. 
  5. "The Hungarian Grand Prix 2003", Hungaroring Info, 24 Ogos 2003. Dicapai pada 2008-12-13. 
  6. ".motoring.co.za /index.php?fSectionId=756&fArticleId=2453770 Alonso gets pole in Malaysia", Motoring.co.za, 22 Mac 2003. Dicapai pada 18 Mei 2013. 
  7. "tough Sebastian Vettel at Monza", detiksport, 14 September 2008. Dicapai pada 18 Mei 2013. 
  8. 8.0 8.1 8.2 8.3 "Who's Who: Fernando Alonso". F1Fanatic.co.uk. 2006. http://www.f1fanatic.co.uk/f1-information/whos-who/whos-who-a/fernando-alonso/. Capaian 18 Mei 2013. 
  9. "Sauber chasing Alonso", GrandPrix.com, 11 September 2001. Dicapai pada 18 Mei 2013. 
  10. "Sauber confirms Massa", GrandPrix.com, 12 Oktober 2001. Dicapai pada 18 Mei 2013. 
  11. Cooper, Steve (September 2007). "The hunter becomes the haunted". Autosport 189 (10): 39. 
  12. Baynes, Dan (6 Mac 2005). "Fisichella Wins Season-Opening Australian Grand Prix". Bloomberg. http://www.bloomberg.com/apps/news?pid=newsarchive&sid=a_juAe0EWxH0&refer=australia. Capaian 18 Mei 2013. 
  13. Associated Press (8 Mei 2005). "Raikkonen denies Alonso at Spanish GP". NBC Sports (NBC). http://nbcsports.msnbc.com/id/7780420/. Capaian 18 Mei 2013. 
  14. "Brazilian GP – Sunday – Race Report". GrandPrix. 26 September 2005. http://www.grandprix.com/race/r748racereport.html. Capaian 18 Mei 2013. 
  15. "Fernando Alonso". The Price of Asturias Foundation. 2005. http://www.fundacionprincipedeasturias.org/ing/04/premiados/trayectorias/trayectoria805.html. Capaian 18 Mei 2013. 
  16. "Qualifying – selected driver quotes", formula1.com, Formula One Administration, 18 Mac 2006. Dicapai pada 19 Mei 2013. 
  17. "Malaysian Grand Prix – selected driver quotes", formula1.com, Formula One Administration, 19 Mac 2006. Dicapai pada 19 Mei 2013. 
  18. "Schumacher is stripped of pole", formula1.com, Formula One Administration, 27 Mei 2006. Dicapai pada 19 Mei 2013. 
  19. "Renault on the ropes after Hockenheim?", formula1.com, Formula One Administration, 30 Julai 2006. Dicapai pada 19 Mei 2013. 
  20. "Alonso receives qualifying penalties", formula1.com, Formula Administration, 4 Ogos 2006. Dicapai pada 19 Mei 2013. 
  21. "Räikkonen steals pole in Hungary". The Official Formula 1 Website. 2006. Diarkibkan dari yang asal on 19 Mei 2013. http://web.archive.org/web/20070115015849/http://www.formula1.com/race/news/4768/763.html. Capaian 19 Mei 2013. 
  22. "Hungarian Grand Prix 2006 review". F1Fanatic.co.uk. 6 Ogos 2006. http://www.f1fanatic.co.uk/2006/08/06/hungarian-grand-prix-2006-review/. Capaian 19 Mei 2013. 
  23. "Fuming Alonso says F1 is no longer a sport", GPUpdate.net, 10 September 2006. Dicapai pada 20 Mei 2013. 
  24. "Alonso punished for blocking Massa", formula1.com, Formula One Administration, 9 September 2006. Dicapai pada 10 Mei 2013. 
  25. "Alonso in shock move to McLaren", formula1.com, Kumpulan Formula Satu, 19 Disember 2005. Dicapai pada 31 Oktober 2010. 
  26. "Jerez day four – Hamilton on form in Spain", formula1.com, Kumpulan Formula Satu, 18 Disember 2006. Dicapai pada 20 Mei 2013. 
  27. Knutson, Dan. "Alonso-Hamilton feud bubbled to surface, but is it over?", ESPN, 10 Ogos 2007. Dicapai pada 20 Mei 2013. 
  28. "Alonso's future at McLaren in doubt", autosport.com, 6 Ogos 2007. Dicapai pada 20 Mei 2013. 
  29. Gorman, Edward. "McLaren may lose Alonso if he cannot work with Hamilton", The Times, Times Newspapers, 7 Ogos 2007. Dicapai pada 20 Mei 2013. 
  30. "Letter confirms drivers had new evidence", autosport.com, 7 September 2007. Dicapai pada 7 September 2007. 
  31. "Alonso Press Release", Vodafone McLaren Mercedes, 2 November 2007. Dicapai pada 2 November 2007. 
  32. Fernando Alonso to re-sign for Renault www.telegraph.co.uk. Diambil 20 Mei 2013
  33. "Renault confirms 2008 driver line-up: Alonso and Piquet", gpupdate.net, GPUpdate, 10 Disember 2007. Dicapai pada 20 Mei 2013. 
  34. Lostia, Michele. "Di Montezemolo says Massa was his choice", Autosport.com, 24 Oktober 2007. Dicapai pada 30 September 2009. 
  35. "Ferrari confirm Raikkonen to end of 2010". Formula1.com. 12 September 2008. Diarkibkan dari yang asal on 22 June 2009. http://www.formula1.com/news/headlines/2008/9/8365.html. Capaian 14 September 2008. 
  36. "Massa wins as Ferrari dominates in desert". ITV. 6 April 2008. http://www.itv-f1.com/news_article.aspx?id=42246. Capaian 21 Mei 2013. 
  37. "Renault rubbish 'brake test' suggestions", Autosport, 6 April 2008. Dicapai pada 21 Mei 2013. 
  38. "Bahrain Grand Prix – selected driver quotes". Formula1.com. 6 April 2008. http://www.formula1.com/news/headlines/2008/4/7608.html. Capaian 21 Mei 2013. 
  39. Japanese Grand Prix BBC Sport. Diambil 21 Mei 2013.
  40. Collantine, Keith. "Alonso praises Briatore after podium", F1 Fanatic, Keith Collantine, 27 September 2009. Dicapai pada 9 May 2010. 
  41. "Hamilton eyes Alonso-Ferrari F1 challenge", Orange Uganda, Orange, 10 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  42. Beer, Matt. "Ferrari confirms three-year Alonso deal", Autosport.com, 30 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  43. 43.0 43.1 Benson, Andrew. "Ferrari confirm capture of Alonso", BBC Sport, 30 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  44. 44.0 44.1 "Press Release", Scuderia Ferrari, Ferrari, 30 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  45. "Fernando Alonso to Ferrari.com: "Very happy and very proud"", Scuderia Ferrari, Ferrari, 30 September 2009. Dicapai pada 22 Jun 2013. 
  46. "Domenicali: "Alonso, the right choice for the future"", Scuderia Ferrari, Ferrari, 30 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  47. "Alonso 'to sign five-year F1 deal with Ferrari", 29 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  48. 48.0 48.1 "Gold rush", Scuderia Ferrari, Ferrari, 30 September 2009. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  49. Benson, Andrew. "Fernando Alonso leads Ferrari one-two in Bahrain", BBC Sport, BBC, 14 Mac 2010. Dicapai pada 22 Mei 2013. 
  50. "Alonso menang di Hockenheim", Formula1.com, Kumpulan Formula Satu, 22 Julai 2012. Dicapai pada 20 Disember 2012. 

Pautan luar [sunting]

Wikiquote-logo.svg
Wikiquote mempunyai koleksi petikan mengenai: