Bukit Lanjan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Bukit Lanjan ialah sebuah petempatan orang asli Temuan di Selangor, Malaysia. Kampung ini mendapat namanya apabila sekumpulan orang asli Temuan yang pertama sekali tiba, dan ternampak seekor harimau mencakar tanah bukit. Dalam bahasa Temuan, "lanjan" bermakna "mencakar". Oleh itu, mereka menamakan tempat ini sebagai "Bukit Lanjan".

Orang asli Temuan di Bukit Lanjan sekarang tinggal di kampung yang amat berbeza daripada kehidupan mereka dahulu. Mereka tidak lagi berpindah randah, memburu, mengutip buah-buahan, mengail, atau mencari hasil hutan untuk menyara kehidupan. Disebabkan usaha kerajaan Malaysia, perkampungan mereka telah dibangunkan menjadi Desa Temuan yang merupakan sebahagian daripada kawasan perbandaran baru yang dikenali sebagai Damansara Perdana. Mereka mempunyai dan mendiami rumah baru dengan keluasan 7,000 kaki persegi.

Terdapat sebanyak 120 keluarga yang tinggal di Desa Temuan. Disini dibina sebuah muzium dan sekolah untuk mereka. Mereka kini bekerja sebagai pegawai di sektor kerajaan serta swasta dan antara mereka, terdapat juga yang menjadi pegawai profesional dan ahli perniagaan. Mereka menganuti agama Islam, Kristian dan terdapat yang masih mengamalkan kepercayaan animisme.