Dato' Undang Luak Johol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Dato' Undang Luak
Johol, Negeri Sembilan
Wilayah/Negeri
Coat of arms of Negeri Sembilan.svg
Penjawat kini
Yang Teramat Mulia
Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan
Dato' Muhammad Abdullah

sejak 2016
Butiran
Raja pertamaDato' Putri Kanun Siti Awan [Setiawan I]
Pembentukan1723

Dato' Undang Luak Johol merupakan pemerintah Luak Johol dan Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan. Luak Johol merupakan salah satu daripada luak yang membentuk Negeri Sembilan.

Gelaran bagi Dato' Undang Luak Johol ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan. Gelaran itu mula digunakan oleh Dato' Undang Luak Johol yang pertama iaitu seorang wanita bergelar Puteri Kanun atau Puteri Sitiawan yang memerintah sejak 1723.

Kedudukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Dato' Undang Luak Johol diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160, Perkara 181 dan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan Malaysia serta Perkara 28 dan Perkara 34 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagai pemerintah (ruler) Luak Johol dan Raja bagi Negeri Sembilan bersama dengan Yang di-Pertuan Besar, Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin.

Akta Tafsiran 1948 & 1967 juga mendefinisikan Dato' Undang Luak Johol sebagai Pihak Berkuasa Negeri, khususnya di jajahan takluk Luak Johol dalam Negeri Sembilan yang meliputi Johol, Gemencheh, Gemas, Pasir Besar, Air Kuning Selatan, Kepis, Dangi, Selaru dan Palong. Dato' Undang Luak Johol adalah juga ketua agama Islam bagi Luak Johol.

Dato' Undang Luak Johol juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Rembau, Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau mempunyai kuasa prerogatif memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada masa sama, Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu dan Dato' Undang Luak Rembau juga mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang didapati melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Dato' Undang Luak Johol bersama Dato' Undang Luak Sungei Ujong, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu dan,
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain,
  • pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Johol[sunting | sunting sumber]

Penggiliran jawatan Dato' Undang Luak Johol adalah mengikut penggiliran daripada Suku Biduanda Waris Johol (Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit) dan Waris Gemencheh. Institusi pemerintahan Luak Johol juga mempunyai perjawatan iaitu Timbalan Undang Luak Johol yang bergelar Yang Mulia Dato Baginda Luak Johol (dahulu Dato Baginda Tan Mas).

Timbalan Undang Luak Johol akan menjadi Dato' Undang Luak Johol secara automatik sekiranya penyandang terdahulu mangkat. Dato Baginda juga adalah ‘haluan sembah’ bagi Dato’ Undang Luak Johol kerana mempunyai kuasa untuk mewakili Dato' Undang Luak Johol dalam pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan mengundi secara proksi.

Jawatan Dato' Undang Luak Johol dan Dato' Baginda Luak Johol diisi berdasarkan giliran bagi Waris Johol dan Waris Gemencheh. Sekiranya Dato' Undang dilantik daripada Waris Johol, maka jawatan Dato Baginda akan diisi oleh Waris Gemencheh dan seterusnya. Kedua-dua jawatan tersebut tidak disandang oleh waris yang sama.

Bagaimanapun, sejak 2016, keputusan dibuat secara sebulat suara oleh pembesar-pembesar Luak Johol dan Suku Biduanda Waris Johol bahawa giliran menyandang Dato' Undang Luak Johol dan Dato Baginda Luak Johol dilakukan antara Suku Biduanda Waris Johol di-Baruh & Waris Johol di-Bukit sahaja.

Pemilihan Dato' Undang Luak Johol dibuat oleh Dato’ Jenang dan Buapak Yang Enam. Dato’ Jenang adalah Kepala Waris Biduanda dan Kepala Buapak Biduanda Yang Enam. Dato' Undang Luak Johol sekarang ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato' Haji Muhammad bin Haji Abdullah, Undang Luak Johol ke-15.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Johol dibantu oleh pembesar-pembesar Luak Johol iaitu Lembaga Tiang Balai, Orang Besar Balai dan Buapak Yang Enam. Berikut adalah pembesar-pembesar Luak Johol:-

  • Lembaga Yang Empat (Dato’-Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Johol)

1) Dato’ Raja Balang (Suku Raja Balang)

2) Dato’ Andika (Suku Seri Melenggang)

3) Dato’ Raja Senara (Suku Mungkal)

4) Dato’ Baginda Raja (Suku Tiga Batu)

  • Orang Besar Balai Undang Luak Johol

1) Dato’ Jenang (Suku Biduanda)

2) Dato’ Gempa (Suku Gempa)

3) Dato’ Menteri (Suku Menteri)

4) Dato’ Panglima Hitam (Suku Raja Balang)

5) Dato’ Panglima Putih (Suku Seri Melenggang)

  • Buapak Yang Enam

1) Dato’ Nenggarang (Suku Nenggarang) - Ketua Buapak Yang Enam

2) Dato’ Paduka Kebangsa (Suku Kebangsa)

3) Dato’ Seribu Garang (Suku Sa-ibu)

4) Dato’ Serumpun (Suku Sarumpun)

5) Dato’ Baginda Melana (Suku Baginda Melano)

6) Dato’ Paduka Raja Lela (Suku Jelelo)

Senarai Dato' Undang Luak Johol[sunting | sunting sumber]

Senarai Dato' Undang Luak Johol
No Nama Waris Tempoh Pemerintahan
1 Dato' Putri Kanun Siti Awan [Setiawan I] Johol 1723 - 1747
2 Dato' Rambut Panjang Johol 1747 - 1760
3 Dato' Putri Setiawan II Johol 1760 - 1790
4 Dato' Rambutan Jantan Johol 1790 - 1810
5 Dato' Nuri Johol 1810 - 1820
6 Dato' Abu Bakar Gubah Johol 1820 - 1840
7 Dato' Wan Saeto Rubah [Wan Eta] Johol (Bukit) 1840 - 1900
8 Dato' Wan Omar bin Wan Hassan Gemencheh 1901 - 1918
9 Dato' Kamat bin Haji Sulaiman Johol (Baruh) 1918 - 1947
10 Dato' 'Abdu'l Manap bin Tolok Gemencheh 1947 - 1973
11 Dato' Haji 'Abdu'l Majid bin 'Abdu'l Wahid Johol (Bukit) 1973 - 1985
12 Dato' Haji 'Abdu'l Rahman bin Mat Som Gemencheh 1985 - 1988
13 Dato' 'Abdu'l bin 'Ali Johol (Baruh) 1988 - 2007
14 Dato' Muhammad Jan Abdul Ghani Gemencheh 2007 - 2016
15 Dato' Muhammad Abdullah Johol (Bukit) 2016 - kini

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
  • Perlembagaan Persekutuan
  • Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959
  • Akta Tafsiran 1948 & 1967