Ineh
Ineh | |
---|---|
![]() Lokasi Luak Ineh di Negeri Sembilan | |
Negara | ![]() |
Negeri | ![]() |
Institusi adat | Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan |
Pentadbiran | |
• Penghulu Luak Ineh | YM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Walad Kuala Dioh, Dato’ Mohammad Ariff bin Sidek |
Ineh (sebutan dalam loghat tempatan: Ineh, Jawi: اينه) (sebelum ini dengan nama Inas[1]) ialah sebuah luak yang terletak di antara daerah Kuala Pilah dan daerah Rembau. Ia merupakan salah satu daripada lima Luak Tanah Mengandung yang mengelilingi wilayah diraja Seri Menanti dan bernaung di bawah Yamtuan Besar.
Penamaan
[sunting | sunting sumber]Ineh berasal daripada perkataan jernih (sebutan dalam loghat tempatan: Joghoneh, Jawi: جرنيه), iaitu mengambil sempena kejernihan air sungai dan air terjun yang ada dalam luak ini.[1]
Semasa penggabungan sembilan negeri-negeri kecil untuk membentuk Negeri Sembilan, kawasan Ineh dikenali sebagai Jelai, bersempena dengan nama sebatang sungai utama yang merentangi luak ini. Penduduk asalnya pula terdiri daripada perantau dari Minangkabau di Sumatera Barat yang telah meneroka tanah, bermastautin serta berkahwin dengan orang asal di daerah ini.[2]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Mengikut kisah lagenda yang disampaikan turun-temurun, kononnya sebelum kampung Ineh ini diteroka, sekitar kawasan ini dikuasai oleh Maharaja Jin yang bernama Maharaja Joing, yang beristanakan di Mahligai Lubuk Bunga sekarang ini.
Hulubalang Bendahara Sekudai bernama Tuk Sabun di Sungai Keruh telah mempengaruhi Maharaja Joing untuk dikahwinkan dengan Puteri Kanun yang duduk dipuncak gunung hulu Sungai Jerneh (sekarang dikenali sebagai Jeram Angin). Maka dengan helah Tuk Sabun dengan Puteri Kanun Maharaja Joing dapat dipenjarakan dibawah Mahligai Lubuk Bunga.
Semenjak itu lembah Sungai Jerneh telah boleh diteroka untuk dijadikan tempat penempatan dan sebagai tempat bercucuk tanam terutamanya sawah padi. Oleh kerana subur dan makmurnya kawasan ini maka ramailah orang datang membuka tempat kediaman dan berkampung halaman. Kerana air sungainya yang sangat bersih dan jernih maka kawasan yang baru diteroka ini dinamakan Air Jerneh, yang akhirnya dipendekkan menjadi Ineh dalam sebutan loghat tempatan dan ditulis dalam bahasa persuratan dan pemetaan moden sebagai Inas [3] kekal hingga digunakan kembali sebagai Ineh bermula November 2023[1].
Pada kurun ke-18, Luak Ineh merupakan sebuah Luak yang berasingan dan bersendirian serta berkuasa penuh dibawah ketuanya Penghulu Embun Seri seorang wanita bertaraf "Bergajah Tunggal".
Ineh juga pernah dikenali dengan nama Jelai serta diakui kekuasaannya oleh oleh Sultan Johor sebagai Luak yang berdaulat pada tahun 1760. Pada masa itu Penghulu Luak Ineh bernama Bayan telah dikurniakan cop mohor kekuasaannya bergelar Dato' Johan Pahlawan, Lela Perkasa Walad Kuala Dioh S.H.1218 berkuasa dalam Luaknya.
Pada tahun 1773 satu persetujuan telah dibuat untuk menjemput Raja Melewar di Pagar Ruyung untuk ditabalkan sebagai raja di Negeri Sembilan. Penghulu Bayan telah meletakan sepenuh kepercayaan dan mewakilkan kuasanya kepada Undang Johol Datuk Setiawan II sebagai menandakan Penghulu Luak Ineh juga menyertai persetujuan menjemput anak Raja dari Pagar Ruyung itu.
Datuk-Datuk Lembaga Luak Ineh kurang senang dan tidak bersetuju atas langkah yang diambil oleh Penghulu Bayan, mereka menganggap itu sebagai penyerahan kuasa kepada Datuk Setiawan II, tetapi kedudukan Penghulu Bayan yang kukuh maka beliau tidak dapat dipecat.
Apabila Penghulu Bayan meninggal dunia, perbalahan orang-orang Ineh tercetus kerana hendak memilh pengantinya. Perbalahan ini berlarutan dan tidak dapat kata sepakat. Maka dalam perbalahan ini Datuk Rambutan Jantan, Undang Johol ke IV menyalurkan pengaruhnya dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan perbalahan itu. Cadangan itu telah diterima oleh orang-orang Ineh bahawa Datuk Rambutan Jantan Undang Johol juga berkuasa di Ineh sebagai Penghulu Luak Ineh pada masa itu.
Namun selepas Datuk Rambutan Jantan digantikan oleh Datuk Nuri sebagai Undang Johol merangkap Datuk Penghulu Luak Ineh, barulah dapat dilantik Penghulu Luak Ineh dari waris Ineh iaitu Penghulu Mantik.
Semenjak itu kekuasaan yang ada Penghulu Embun Seri dahulu tidak ada lagi pada Penghulu Mantik dan taraf Penghulu Luak Ineh serta Luaknya dimasukan dibawah kekuasaan Lengkungan Tanah Mengandung, bagaimanapun kekuasaan dan pentadbiran Datuk Penghulu Luak Ineh dapat mengekalkan kedudukannya hingga ke hari ini bersama Datuk Lembaganya dengan menerima Lemak Tanah atau Political Pensions dari pihak kerajaan.
Pentadbiran
[sunting | sunting sumber]Luak Ineh diketuai oleh Datuk Penghulu Luak iaitu sebagai ketua adat yang tertinggi di dalam luaknya. Pada masa dahulu disebut juga Undang kerana kekuasaannya dalam Luaknya sama seperti Undang, tetapi kerana ganjaran berupa elaun yang diterima dari kerajaan agak rendah, maka masyarakat setempat memandang beliau tidak sama seperti Undang.[perlu rujukan]
Gelaran bagi Datuk Penghulu Luak Ineh ialah 'Dato' Johan Pahlawan, Lela Perkasa Walad Kuala Dioh' seperti terakam dalam cop mohor yang diakui oleh Sultan Johor pada tahun 1760 yang masih tersimpan oleh sesiapa penyandang Datuk Penghulu Luak Ineh .[4] [5]
Susun tadbir Luak Ineh diketuai oleh Datuk Penghulu mentadbir Luak, Datuk Lembaga mentadbir Suku, Buapak mentadbir anak buahnya, Juak-juak hulubalang mentadbirkan keamanan dan pegawai masjid mentadbirkan yang bersangkut paut dengan hal ehwal agama Islam. Berikut adalah susun tadbir dalam Luak Ineh yang diguna hingga sekarang.
Penghulu
- Y.M Datuk Penghulu dari Biduanda Waris
- Y.M Datuk Bentara Jantan dari Biduanda Waris
- Y.M Datuk Bentara Betina dari Biduanda Waris.
Datuk Lembaga
- Y.M Datuk Menteri dari Biduanda Punggur
- Y.M Datuk Setia Raja dari Biduanda Chenerung.
- Y.M Datuk Baginda Maharaja dari Seri Lemak.
- Y.M Datuk Andila dari Seri Melenggang.
- Y.M Datuk Baginda Raja dari Biduanda Buah Petai.
- Y.M Datuk Bangsa Balang dari Tiga Nenek atau Tiga Batu
Juak-juak Hulubalang
- Y.M Datuk Panglima Puteh dari Seri Melenggang.
- Y.M Datuk Panglima Hitam dari Biduanda Chenerung.
- Memperang Kanan dari Seri Melenggang.
- Memperang Kiri dari Tiga Nenek atau Tiga Batu.
- Mengarang dari Biduanda Kabung
- Meleman dari Biduanda Chenerung.
- Mendalan dari Biduanda Kebangsa.
- Mengkakap I dari Seri Lemak.
- Mengkakap II dari Biduanda Betawi.
- Mawan dari Biduanda Punggur.
- Pawang Luak bagi yang berkebolehan.
- Bidan Luak bagi yang berkebolehan.
Buapak atau ketua suku
- Datuk Paduka pahlawan dari Biduanda Kabung.
- Datuk Paduka Kebangsa dari Biduanda Gating.
- Datuk Amar Penghulu dari Biduanda Betawi.
- Datuk Jelela dari Seri Melenggang
- Datuk Lela Raja dari Biduanda Punggur.
- Datuk Nara Sakti dari Biduanda Chenerung.
- Datuk Nara Kaya dari Tiga Nenek atau Tiga Batu.
- Datuk Amar Pahlawan dari Seri Lemak.
- Datuk Paduka Jelela dari Biduanda Buah Petai.
Tempat menarik
[sunting | sunting sumber]Makam Tengkis (Senduk Emas)
[sunting | sunting sumber]Makam bersejarah ini terletak terletak di Kampung Sompoi Dingkir. Tengkis atau lebih dikenali sebagai Senduk Emas, mempunyai kaitan erat dengan sejarah Luak Ineh dan sejarah pembentukan Negeri Sembilan itu sendiri. Beliau dikatakan antara orang yang pertama memeluk agama Islam dan mengembangkannya di Luak Ineh pada waktu itu.
Perkahwinan beliau dengan Baginda Maharaja Khatib Akhir Haji Salleh, dikurniakan seorang anak lelaki bernama Naam yang menjadi Penghulu pertama di Seri Menanti. Anak perempuan Penghulu Naam bernama Cik Seni berkahwin dengan Raja Melewar yang merupakan raja pertama memerintah Seri Menanti.
Dalam erti kata lain, Tengkis atau Senduk Emas adalah bonda kepada Penghulu Naam dan nenek kepada Cik Seni yang berkahwin dengan Raja Melewar.
Jeram Papan
[sunting | sunting sumber]Merupakan kawasan perkelahan dan perkhemahan yang terletak 7 km dari Kampung Batu, Rembau ke Ineh atau 12 km dari Kuala Johol ke kampung Batu.
Pada masa dahulu sebelum kawasan ini dijadikan tempat beriadah adalah tempat tentera menjalani latihan. Kini kawasan ini telah disediakan kemudahan asas seperti bilik air, surau dan gerai jualan.
Lubuk Bunga
[sunting | sunting sumber]Terletak di kampung Dingkir antara kawasan yang popular di Ineh. Meskipun jauh sedikit dari jalan utama tetapi tidak menghalang kepada pengunjung yang berminat untuk berkelah atau berkhemah, mungkin kerana suasana yang tenang dan airnya yang jernih. Jarak antara jeram Papan ke Lubuk Bunga lebih kurang 8 km.
Pada masa dahulu Lubuk Bunga ini adalah kawasan empangan kecil bagi mengalirkan air kesawah seluruh kampung Ineh, tetapi kini tidak lagi digunakan oleh kerana tanaman padi yang terakhir dibuat tahun 1990. Selepas itu kebanyakan tanah sawah dijadikan kebun sayur dan ada yang membina rumah. Lubuk bunga ini juga terkenal dengan lagenda penubuhan kampung Ineh.
Jeram Angin
[sunting | sunting sumber]Kawasan yang sesuai untuk mencuba aktiviti yang lebih mencabar seperti 'river tracking'.
Lubuk Salor, Ulu Ineh
[sunting | sunting sumber]Merupakan salah satu destinasi lawatan pengunjung ke Luak Ineh untuk berkelah dan bermandi manda dengan kadar bayaran yang telah ditetapkan.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b c HAMZAH, NOR AINNA (2023-11-23). "Penduduk gembira Inas ditukar Ineh". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2023-11-23.
- ^ Azzal Abu Talib, Sistem Bersuku Masyarakat Adat Perpatih Di Negeri Sembilan, Kajian Kes Luak Inas Diarkibkan 2016-03-05 di Wayback Machine Jabatan Persuratan Melayu Fakulti Kemasyarakatan dan Kemanusian UKM, 1992/93
- ^ Dato' Alias Bin Iban (Dato' Bentara Jantan Luak Inas) Sejarah Ringkas Luak Inas[pautan mati kekal]
- ^ Zainal Leman, Kampung Inas Info
- ^ "Cara orang Negeri Sembilan memilih Penghulu Luak". Berita Harian. 26 Jun 2023. Dicapai pada 15 Mei 2024.