Geografi Negeri Sembilan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Negeri Sembilan merupakan negeri pantai barat yang terletak di wilayah selatan Semenanjung Malaysia. Negeri ini bersempadan dengan Selangor di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Melaka serta Johor di sebelah selatan. Bandaraya Seremban, iaitu ibu negeri Negeri Sembilan, terletak cuma 60 km dari Kuala Lumpur dan kira-kira 40 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Negeri Sembilan, bersama-sama dengan tujuh daerahnya (Seremban, Port Dickson, Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, dan Jempol) meliputi keluasan 6,645 km persegi atau 664,591 hektar. Kawasan ini terdiri daripada lembah-lembah dan dataran yang begitu indah mata memandang dalam dakapan alunan bukit-bukau dan pergunungan disebabkan oleh kerana lokasinya terletak di unjuran penghujung selatan Banjaran Titiwangsa, dengan Gunung Besar Hantu (1,462 m) sebagai kemuncak tertinggi. Banjaran Titiwangsa juga bertindak sebagai sempadan semula jadi antara Negeri Sembilan barat (Port Dickson, Seremban dan Rembau) dan Negeri Sembilan timur (Kuala Pilah, Jempol, Tampin, dan Jelebu). Dari banjaran itu juga terbitnya dua batang sungai utama di negeri tersebut, iaitu Sungai Linggi dan Sungai Muar yang menjadi sumber air utama oleh keseluruhan penduduk.

Negeri Sembilan mempunyai jumlah penduduk seramai kira-kira 1,199,974 orang (bancian penduduk tahun 2020). Dari jumlah ini, 56% terdiri daripada orang Melayu, 29.7% kaum Cina, 16.4% India dan 1.4% lain-lain. Purata kepadatan penduduk ialah 109 orang setiap kilometer persegi.