Undang Luak Sungai Ujong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Dato' Undang Luak
Sungei Ujong, Negeri Sembilan
Wilayah/Negeri
Coat of arms of Negeri Sembilan.svg
Penjawat kini
Yang Teramat Mulia
Dato' Klana Petra
Dato' Haji Mubarak bin Dohak

sejak 1993
Butiran
Raja pertamaDato' Kelambu Muhammad Tumbu bin Dato' Bendahara Skudai.
Pembentukan1700-an

Dato' Undang Luak Sungei Ujong adalah Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan dan pemerintah luak Sungei Ujong. Luak Sungei Ujong merupakan salah satu daripada luak yang membentuk Negeri Sembilan[1] dan merupakan Dato' Undang yang paling senior serta mempunyai kuasa veto dalam hal Undang Yang Empat.

Gelaran bagi jawatan ini ialah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato' Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong. Dato' Undang Luak Sungei Ujong mula menggunakan gelaran itu selepas memperoleh cop mohor kebesaran dan perakuan kedaulatan daripada Sultan Johor pada 1760.[1][2]

Sejarah Luak Sungei Ujong[sunting | sunting sumber]

Sebelum 1760, Dato' Undang Luak Sungei Ujong menggunakan gelaran Dato' Penghulu Menteri, iaitu gelaran yang diwarisi sejak kedatangan Parameswara ke Sungei Ujong sebelum pengasasan Kesultanan Melayu Melaka.

Mengikut Sejarah Melayu, ketika Sultan Muzaffar Shah memerintah Melaka (1445-1458) Sungei Ujong adalah di bawah pegangan Bendahara Paduka Raja Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477), Dato Penghulu Menteri di Sungai Ujong dicatatkan bernama Tun Tuakal.

Bagaimanapun, Tun Tuakal dihukum bunuh oleh Sultan Mansur Shah dan sejak itu Sungei Ujong diperintah oleh Seri Nara Diraja Tun Ali dan keturunan beliau sehingga hari ini.

Riwayat Sungei Ujong dan catatan Belanda merekodkan pada sekitar 1640-an, Bendahara Kesultanan Johor Lama, Tun Jenal yang bergelar Bendahara Skudai (keturunan Seri Nara Diraja Tun Ali) menetap di Sungei Ujong dan berkahwin dengan ketua tempatan, iaitu seorang wanita dikenali Batin Sibu Jaya.

Perkahwinan itu melahirkan Dato Kelambu (Muhammad Tumbu) , To' Musang, Dato' Semerga dan To' Seri Mani. Dato Kelambu dan To' Musang mewarisi pemerintahan Sungei Ujong daripada Tun Jenal selaku Dato Penghulu Menteri Sungei Ujong dan berkuasa di darat.

Manakala Dato Semerga mewarisi pegangan Tun Jenal yang meliputi laluan air (sungai) dan kawasan pantai di Luak Sungei Ujong. Keturunan Dato Semerga kemudian diiktiraf oleh Sultan Johor sebagai Dato' Shahbandar Sungei Ujong sejak 1715.

Keturunan Dato Kelambu (Muhammad Tumbu) dan To' Musang dikenali sebagai Waris Klana dan kekal memerintah Luak Sungei Ujong sebagai Dato Penghulu Menteri sehingga 1760, apabila Dato Bador mula menggunakan gelaran Dato' Klana Petra selepas memperoleh cop mohor kebesaran dan perakuan kedaulatan sebagai pemerintah Luak Sungei Ujong daripada Sultan Johor.

Telaga Undang Sungei Ujong adalah seperti Parlimen / Dewan Undangan Negeri untuk Luak Sungei Ujong. Telapak Telaga Undang Sungei Ujong adalah terletak di Batu 9, Kampung Telaga Undang, Pantai, Seremban, Negeri Sembilan.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Sungei Ujong[sunting | sunting sumber]

Dato' Undang Luak Sungei Ujong dipilih daripada Waris di-Darat iaitu Suku Biduanda Waris Klana yang mendiami mukim Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. Suku Biduanda Waris Klana terdiri daripada Waris Klana di-Hulu (mendiami Kampung Telaga Undang Pantai) dan Waris Klana di-Hilir (mendiami Kampung Setul Pantai).

Waris Klana di-Hulu diketuai oleh Dato' Lembaga bergelar Dato Johan, manakala Waris Klana di-Hilir diketuai Dato Maharaja Lela yang juga dibantu buapak Waris Klana di-Hilir bergelar Dato Lela Bangsa.

Pemerintahan Dato' Undang Luak Sungei Ujong Dibahagi kepada Dua iaiatu Lembaga Tiang Balai dan Lembaga Waris Klana. Lembaga Tiang Balai dianggotai oleh:

  1. Dato Andulika Mendulika (Tua Lembaga Tiang Balai)
  2. Dato Maharaja Diraja
  3. Dato Akhiruzzaman Rantau
  4. Dato Dagang Paroi
  5. Dato Amar Setia Anak Undang
  6. Dato Penghulu Muda Labu

Lembaga Waris Klana dianggotai oleh:

  1. Dato Johan
  2. Dato Maharaja Lela

Segala urusan adat istiadat dan hal ehwal Balai Undang Luak Sungei Ujong pula diketuai oleh Dato Andulika Mendulika yang berperanan sebagai perdana menteri kepada Dato' Undang Luak Sungei Ujong.

Dato Laksamana Orang Kaya Luak Sungei Ujong berperanan menjaga adat istiadat yang melibatkan juak hulu balang Sungei Ujong tetapi juak-juak hulubalang ini sebenarnya adalah buapak-buapak dikawasan masing-masing yang diketuai oleh Yang Mulia Dato Johan yang mempunyai juak hulubalang terbesar.

Dato Johan merupakan Tua Waris Klana Perut Hulu yang merupakan jawatan yang paling kiri disebelah YTM Dato' Klana Petra.

Bagi menyelesaikan permasalahan adat di Sungei Ujong, Ibu Soko Telaga Undang (adalah perjawatan disandang salah seorang Ibu Soko Waris Klana di-Hulu) berperanan sebagai penimbang tara dalam kalangan pembesar adat Luak Sungei Ujong bagi mendapatkan keputusan kehakiman sebelum dipersembahkan terhadap Dato' Undang Luak Sungei Ujong untuk memperoleh perkenan.

Kedudukan dalam perlembagaan[sunting | sunting sumber]

Mengikut Perkara 15 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Dato' Undang Luak Sungei Ujong perlu berunding dengan Dato' Shahbandar Sungei Ujong yang mengetuai Waris di-Ayer Sungei Ujong berhubung hal pemerintahan di luak berkenaan.

Akta Tafsiran 1948 & 1967 mendefinisikan Dato' Undang Luak Sungei Ujong sebagai Pihak Berkuasa Negeri bagi Negeri Sembilan, terutamanya di Luak Sungei Ujong yang meliputi daerah Seremban dan daerah Port Dickson. Dato' Undang Luak Sungei Ujong adalah ketua agama bagi Luak Sungei Ujong.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong bersama Dato' Shahbandar Sungei Ujong mempunyai kuasa persetujuan terhadap pelantikan Dato Muda Linggi dalam kalangan anak Waris Linggi bagi mengetuai Luak Linggi.

Kedudukan Dato' Undang Luak Sungei Ujong diiktiraf menerusi Perkara 71 (2), Perkara 160 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 sebagai pemerintah Luak Sungei Ujong dan Raja bagi Negeri Sembilan bersama dengan Yang di-Pertuan Besar, Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol dan Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong juga adalah anggota Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan bersama Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau, Tengku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti dan Dato' Shahbandar Sungei Ujong, yang mana ia dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong bertanggungjawab mengumumkan keputusan muafakat Undang Yang Empat dalam pelantikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu dan menabalkan baginda naik takhta Kerajaan Negeri Sembilan mengikut Perkara 7 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Ia adalah kerana secara adatnya, Dato' Undang Luak Sungei Ujong dianggap sebagai 'Imam Undang Yang Empat'.

Dato' Undang Luak Sungei Ujong bersama Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau mempunyai kuasa prerogatif mengikut Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 untuk menggantung tugas atau melucutkan kedudukan, menarik segala kuasa serta keistimewaan Yang di-Pertuan Besar, sekiranya penyandang melanggar hukum Syarak, didapati bersalah atas kesalahan jenayah, tidak siuman, mengingkari Undang-Undang Tubuh negeri atau dirasakan tidak lagi layak menjadi Yang di-Pertuan Besar.

Peranan utama lain bagi Dato' Undang Luak Sungei Ujong bersama Dato' Undang Luak Jelebu, Dato' Undang Luak Johol, Dato' Undang Luak Rembau serta Tengku Besar Tampin adalah mempunyai kuasa persetujuan berhubung:-

  • pelantikan Menteri Besar,
  • menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri,
  • pengurniaan darjah kebesaran negeri,
  • hal ehwal agama Islam dan adat Melayu,
  • kedudukan tanah adat dan rizab Melayu.
  • kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain dan,
  • pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Senarai Dato' Undang Luak Sungei Ujong[sunting | sunting sumber]

Senarai Dato' Undang Luak Sungei Ujong
No Nama Waris Tempoh Takhta
1 Dato' Kelambu (Muhammad Tumbu) bin Dato' Bendahara Skudai. Hulu N/A
2 Dato' Musang bin Dato' Bendahara Skudai Hilir N/A
3 Dato' Selat bin Dato' Musang Hilir N/A
4 Dato' Penghulu Kadim bin Dato' Selat Hilir N/A
5 Dato' Penghulu Pandak bin Dato' Selat Hilir N/A
6 Dato' Penghulu Chantek (Dato' Penghulu Rumah Gadong) bin Dato' Selat Hilir N/A
7 Dato' Bador bin Dato' Penghulu Chantek Hulu 1760 - 1780
8 Dato' Leha Hulu 1780 - 1800
9 Dato' Bahi bin Mohd Salleh Hilir 1800 - 1824
10 Dato' Kawal bin Dato' Shahbandar Megat Hulu 1824 - 1850
11 Dato' Sending bin Dato' Shahbandar Megat Hulu 1850 - 1873
12 Tunku Syed Abdul Rahman bin Syed Ahmad al-Qadri Hilir 1873 - 1881
13 Dato' Muhammad Yusuf bin Hashim Hilir 1881 - 1889
14 Dato' Ma'amor bin Dato Menteri Kasim Hulu 1889 - 1945
15 Dato' Muhammad Kasim bin Dato' Andika Haji Abdul Rashid Hilir 1945 - 1983
16 Dato' Haji Mubarak bin Dohak Hulu 1993 - kini

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Rosiswandy bin Mohd Salleh. "Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan" (PDF). Jabatan Muzium Malaysia. Diarkib (PDF) daripada yang asal pada 30 Disember 2020. Dicapai pada 22 Januari 2021.
  2. ^ "Sungai Ujong". Royalark.