Pergi ke kandungan

Grehaun Hungary

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Greyhound Hungary)
Grehaun Hungary
Nama lainGreyhound Hungary
Negara asalHungary
Trait
Tinggi Jantan 65–70 cm (26–28 in)
Betina 62–67 cm (24–26 in)
Bulu licin, padat
Warna mana-mana, kecuali hitam dan sawo matang, biru dan triwarna
Saiz perinduk 6–10 ekor anak anjing
Jangka hayat 12–14 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Grehaun Hungary atau greyhound Hungary[a] ialah satu baka anjing. Ia merupakan sejenis anjing pemburu penglihatan yang berasal dari Hungary dan wilayah yang pernah dimiliki oleh Empayar Austria-Hungary (seperti Transilvania). Ia digunakan untuk perburuan dan coursing dan juga dibela sebagai pendamping.

Perihal[sunting | sunting sumber]

Grehaun Hungary ialah anjing pemburu penglihatan dengan pendirian anggun namun lasak. Walaupun ia mempunyai keserupaan dengan grehaun Inggeris, terdapat sebilangan perbezaan ketara dari segi pengakuran antara kedua-dua baka. Grehaun Hungary bertubuh lebih panjang daripada ketinggiannya dan mempunyai struktur tulang lebih berat daripada grehaun Inggeris. Kepalanya lebih berbentuk baji dengan otot rahang besar dan muncung lebih pendek, yang memberinya penampilan kurang halus daripada kebanyakan grehaun. Ia juga mempunyai kulit jauh lebih tebal dengan lapis bulu pendek, padat, dan licin yang lebih panjang sedikit semasa musim sejuk. Oleh itu, ia merupakan anjing sangat tahan lasak dan dapat mentoleransi suhu lebih rendah dengan lebih baik daripada sesetengah anjing pemburu penglihatan berlapis bulu pendek lain. Ia mempunyai telinga berbentuk mawar yang terangkat kira-kira separuh jalan dan mata berbentuk bujur dengan ekspresi yang kelihatan pintar dan lemah lembut. Ia berukuran seberat 49–68 paun (22–31 kg) dengan ketinggian 25–27 inci (64–69 cm) pada paras bahu. Ia terdapat dengan pelbagai warna.[1] Jumlah "kegrehaunan" pada grehaun Hungary ialah titik kontroversi dalam kalangan pembiak baka dan penggemar Eropah. Isu ini berkisar sekitar hakikat bahawa grehaun Inggeris dibiakbakakan dengan grehaun Hungary pada abad ke-19 dan awal abad ke-20. Sesetengah orang lebih memilih variasi "gaya lama" bagi grehaun Hungary dengan bingkai dan perototan teguh, manakala sesetengah orang lebih memilih anjing lebih "mirip grehaun" dengan bingkai lebih ringan dan lebih kelajuan.[2]

Bingkai tegap grehaun Hungary menjadikannya sesuai untuk permainan coursing di atas rupa bumi lasak. Memandangkan pengakurannya, grehaun Hungary tidak sepantas grehaun dalam larian pecut pendek, tetapi memiliki daya ketahanan dan stamina lebih tinggi, yang menjadikannya lebih sesuai untuk larian jarak lebih jauh untuk jangka masa lebih lama. Pada zaman dahulu, anjing ini dijangkakan menjejak dengan tuannya yang berkuda.

Grehaun Hungary mempunyai purata jangka hayat sebanyak 12–14 tahun.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Baka ini penyayang dan jinak. Ia kurang mungkin menggigit atau membengkeng dengan orang, walaupun ia mempunyai naluri penjagaan lebih kuat daripada sesetengah baka anjing pemburu penglihatan lain. Ia biasanya berkelakuan baik di sekeliling kanak-kanak dan juga dengan anjing lain. Ia agak menyendiri tetapi tidak patut terlebih malu. Ia cerdas, mudah dilatih, dan setia. Seperti semua anjing, sosialisasi awal ialah kemestian.

Grehaun Hungary sangat mudah menyesuaikan diri dan dapat tinggal dengan selesa di pangsapuri serta di kenel luar selagi dibekali senaman dan interaksi manusia mencukupi. Jika dibela di dalam, ia sangat mudah untuk dilatih dalam hal buang air dan merupakan anjing peliharaan rumah hebat. Pada siang hari, ia meluangkan sebahagian besar masa untuk tidur, tetapi ia sama sekali bukan pemalas dan memerlukan senaman harian untuk kekal cergas dan gembira. Sesi berjalan panjang, larian bebas, dan ligasan di sebelah basikal merupakan cara terbaik untuk menyenamkan grehaun Hungary kerana ia biasanya tidak terlalu berminat untuk mengejar bola seperti baka lain.

Walaupun ia dapat hidup dengan damai dengan kucing dan haiwan kecil lain di dalam rumah, ada kepentingan untuk mengingati warisan coursing-nya. Ia merupakan anjing coursing cemerlang dan masih digunakan untuk tujuan sedemikian di Hungary. Oleh itu, ia cenderung untuk mengejar apa-apa yang menyerupai mangsa. Walau bagaimanapun, dengan pengenalan dan pengawasan wajar, ia dapat hidup bersama dengan baik dengan kucing dan anjing kecil.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing ini barang kali menemani orang Magyar ke Lembangan Karpatos dan Transilvania pada abad ke-10. Tradisi berbunyi bahawa grehaun Hungary pertama kali tiba di Hungary timur laut dan di Alföld Raya (Dataran Hungary) lebih kurang seribu tahun lalu. Bukti arkeologi terawal untuk grehaun Hungary telah ditemukan di Pergunungan Karpatos di sepanjang sempadan utara dan timur Hungary. Buat masa ini, tidak ada pengetahuan sama ada grehaun Hungary wujud sebelum orang Magyar mencapai Lembangan Karpatos.[2]

Walaupun ia telah hidup di serata Alföld Raya, ia mempunyai sejarah perburuan kuat di tiga buah kaunti Szabolcs-Szatmár-Bereg, Hajdú-Bihar, dan Somogy. Pengakuran grehaun Hungary kekal sama dari Zaman Pertengahan hingga Zaman Moden sehingga pengenalan grehaun Inggeris pada abad ke-19.[2]

Grehaun Hungary dibiakbakakan untuk perlumbaan jarak jauh: menghantar kelinci atau rusa yang ditembak oleh penunggang kuda di padang terbuka atau di kawasan hutan terbuka. Orang Hungary mendakwa bahawa grehaun Hungary dijangkakan berlari di samping pemburu sepanjang jarak 30 kilometer (19 bt) hingga 50 kilometer (31 bt) sehari. Melalui kebanyakan sejarah Hungary, grehaun Hungary tidak terbatas kepada kebangsawanan, walaupun grehaun Hungary yang dimiliki oleh kebangsawanan adalah jauh lebih besar daripada yang lain. "Grehaun Hungary yang dimiliki oleh para petani dikenali sebagai grehaun ladang atau hanya sebagai penangkap kelinci. Versi lebih kecil bagi grehaun Hungary ini kini pupus."[2]

Kegunaan moden[sunting | sunting sumber]

Di samping peranan sebagai haiwan pendamping bagus, penampilan anggun dan lapis bulu basuh pakai pada grehaun Hungary menjadikannya sangat sesuai untuk penunjukan pengakuran. Walaupun jarang di luar Eropah, sebilangan kecil grehaun Hungary tinggal di Amerika Syarikat. Pemilik grehaun Hungary di Amerika Utara mempunyai kesempatan untuk menunjukkan anjing mereka dalam acara pengakuran United Kennel Club, North American Kennel Club/Rarities, American Rare Breed Association, dan International All Breed Canine Association. Sebagai tambahan, grehaun Hungary layak untuk bertanding dalam acara perlumbaan amatur LGRA dan NOTRA dan acara lure coursing ASFA.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: ݢريهاءون هڠݢري; Hungary: magyar agár; bahasa Inggeris: Hungarian greyhound; Hungarian agár

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Piawaian Baka FCI (Inggeris)
  2. ^ a b c d NAMAA Breed History (Inggeris) Diarkibkan 5 September 2008 di Wayback Machine

Pautan luar[sunting | sunting sumber]