Anjing pemburu bejar Westfalia
Nama lain | Anjing pemburu bejar Westfalen Dachsbracke Westfalia Dachsbracke Westfalen Anjing pemburu Westfalia Anjing pemburu Westfalen | |||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Negara asal | Jerman | |||||||
| ||||||||
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing pemburu bejar Westfalia, anjing pemburu bejar Westfalen, dachsbracke Westfalia, atau dachsbracke Westfalen[a] ialah satu baka anjing pemburu bau kecil bertungkai pendek yang berasal dari Westfalia, sebuah wilayah di Jerman. Anjing pemburu bejar Westfalia digunakan di Sweden untuk mengembangkan drever.
Penampilan
[sunting | sunting sumber]Anjing pemburu bejar Westfalia atau dachsbracke Westfalia (Dachsbracke dalam bahasa Jerman memaksudkan "anjing pemburu bejar") ialah versi kecil bertungkai pendek bagi anjing pemburu Jerman dan sangat serupa dari segi saiz dan penampilan dengan drever, yang 2 cm (0.79 in) lebih pendek (drever pertama kali didaftarkan di Sweden pada tahun 1910 sebagai westfälische Dachsbracke; namanya diubah pada tahun 1947).[1]
Anjing pemburu bejar Westfalia berdiri setinggi 30–38 cm (12–15 in) pada paras kelasa. Ia memiliki telinga layu sederhana panjang, tungkai pendek, dan ekor panjang yang terletak tinggi dan terangkat. Lapis bulunya memiliki bulu singkat, biasanya triwarna (antara merah dengan kuning dengan pelana hitam), dengan tanda-tanda putih yang disebut tanda bracke - muncung putih, dada putih, tungkai putih, kolar putih, dan hujung ekor putih, serta takik putih di kepala. Dadanya lebih sempit daripada dada dachshund, dan tungkainya pula lebih panjang.[2][3]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Anjing pemburu bejar Westfalia pertama kali diperihalkan sebagai keragaman bagi anjing pemburu Jerman pada tahun 1886. Ia diiktiraf oleh Verband für das Deutsche Hundewesen (Kelab Kenel Jerman) pada tahun 1935 dengan nama modennya, dan oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa sebagai baka nombor 100 dalam Kumpulan 6 (Anjing Pemburu Bau), Seksyen 1.3 (Hound Bersaiz Kecil).[2][3] Anjing pemburu bejar Westfalia ialah baka leluhur bagi anjing pemburu bau Sweden, drever. Antara banyak kelab kenel utama di dunia berbahasa Inggeris, hanya United Kennel Club di Amerika Syarikat mengiktiraf anjing pemburu bejar Westfalia, dalam kumpulan anjing pemburu baunya. Anjing pemburu bejar Westfalia juga mungkin diiktiraf oleh mana-mana pejabat pendaftaran kecil, kumpulan baka jarang, kelab perburuan, dan perniagaan pendaftaran anjing Internet di bawah nama aslinya atau keragaman namanya. Kegunaan perburuan anjing pemburu bejar Westfalia telah diatasi oleh drever, dan anjing pemburu Westfalia jarang lagi terlihat malah di tanah airnya; para pembeli bagi anjing yang dipamerkan sebagai anjing pemburu bejar Westfalia patut menyelidik latar belakang anjing berkenaan, terutamanya jika ia berdaftar dengan mana-mana kelab kecil yang mensyaratkan sedikit pendokumenan atau tidak mensyaratkan pendokumenan langsung sebelum menerima anjing atau perinduk untuk pendaftaran.
Nama dan etimologi
[sunting | sunting sumber]Dachs ialah kata Jerman untuk bejar dan merupakan istilah yang digunakan pada nama baka untuk anjing pemburu bertungkai pendek. Nama Dachsbracke mungkin mencerminkan bahawa anjing yang disebut dachsbracke dibiakbakakan untuk mengecil melalui pembiakbakaan silang antara Bracke bertungkai panjang dengan dachshund.[4] Dahulunya, istilah Bracke digunakan dalam bahasa Jerman untuk memaksudkan anjing pemburu bau. Brack ialah kata usang bahasa Jerman Hilir untuk rawang pinggir laut yang secara berkala ditenggelami oleh pusuan ribut dengan air masin (berkaitan dengan kata Inggeris brackish, "payau").[5] Di Eropah, anjing pemburu bau biasanya terbahagi kepada anjing pemburu berlari (kawanan bebas berlari, yang sama ada menggiring buruan kembali kepada pemburu, atau pemburu ikut sekali dengan anjing yang berlari, atau pemburu menunggu sehingga lolongan anjing menyampaikan pesanan bahawa buruan telah ditemukan dan ditahan, dan kemudian menuju ke tempat berkenaan) atau anjing pemburu bercawak (yang mengikuti buruan atau menjejak buruan tercedera atau mati sementara dicawak oleh pemburu). Bracke biasanya digunakan sebagai anjing pemburu berlari, dalam kawanan, untuk memburu arnab atau rubah dalam jenis perburuan yang dipanggil Brackade. Dachsbracke digunakan untuk perburuan pada hari ini terutamanya di Skandinavia dan rantau Alp.
Anjing pemburu Jerman ialah lagi satu baka Bracke, yang pertama berdaftar sebagai baka tersendiri, pada tahun 1900. Anjing pemburu bejar Alp berasal dari Tirol di Austria. Drever pula juga dipanggil dachsbracke Sweden.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ Jawi: انجيڠ ڤمبورو بيجر ويستفاليا; انجيڠ ڤمبورو بيجر ويستفالن; دکسبراکى ويستفاليا; دکسبراکى ويستفالن ; Jerman: westfälische Dachsbracke ; bahasa Inggeris: Westphalian dachsbracke
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Rogers Clark, Anne; Brace, Andrew H., penyunting (10 November 1995). The International Encyclopedia of Dogs [Ensiklopedia Antarabangsa tentang Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Renée Sporre-Willes. (ed. ke-1 Amerika). New York, New York, Amerika Syarikat: Howell Book House. m/s. 209. ISBN 9780876056240. OCLC 32697706.
- ^ a b "FCI - Standard Nr. 100 WESTFÄLISCHE DACHSBRACKE" [Piawaian FCI No. 100 Anjing Pemburu Bejar Westfalia] (pdf) (dalam bahasa Jerman). Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 2 Ogos 1994. Dicapai pada 22 Disember 2023.
- ^ a b "FCI-Standard N° 100 WESTPHÄLISCHE DACHSBRACKE (Westphalian Dachsbracke)" [Piawaian FCI No. 100 Anjing Pemburu Bejar Westfalia] (pdf) (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Seidler, Chris. Thuin, Belgium: Persekutuan Kinologi Antarabangsa. 6 Mei 1997. Dicapai pada 22 Disember 2023.
- ^ "Deutscher Bracken Club e.V. - Historie" [Deutscher Bracken Club - Sejarah] (dalam bahasa Jerman). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Julai 2009. Dicapai pada 22 Disember 2023.
- ^ Schwarze Brack (dalam bahasa Jerman)