Rosyam Nor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Datuk
Rosyam Nor
Rosyam Nor(KMBM).jpg
Rosyam dalam filem Kala Malam Bulan Mengambang (2008)
Kelahiran Mohamed Noor bin Shamsuddin
(1967-03-01) 1 Mac 1967 (umur 51)
Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, Selangor (sekarang Wilayah Persekutuan) Malaysia
Kediaman Seksyen 3 Tambahan (Bangi Perdana)
Warganegara Malaysia
Pekerjaan Pelakon, penerbit, pengacara, dan model
Tahun aktif 1986 - kini
Pasangan Runika Mohd. Yusof (berkahwin 1989)
Anak 5
Ibu bapa Shamsuddin Mohd. Yusof
Rubiah Kamarudin
Saudara Azman Nor (adik)
Faizal Hussein (sepupu)
Hussein Abu Hassan (bapa saudara)

Datuk Mohamed Nor Shamsudin[1] atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor (lahir 1 Mac 1967 bersamaan 19 Zulkaedah 1386) merupakan seorang pelakon, pengacara, penerbit dan model lelaki Malaysia.[2][3] Anugerah dan penghargaan beliau termasuk dua Festival Filem Asia Pasifik, empat Anugerah Skrin dan lima Festival Filem Malaysia. Rosyam memulakan kerjaya lakonannya pada 1986 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi watak Remy dalam filem Gila-Gila Remaja arahan bapa saudaranya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, kemudian diikuti oleh Kanta Serigala pada 1991. Beliau kemudiannya muncul dalam dua filem arahan Aziz SattarPerawan Malam (1988) dan Tak Kisahlah Beb (1989) – dan dalam beberapa filem arahan Yusof Haslam termasuk Maria Mariana II (1998) dan Gerak Khas The Movie (2001).[4]

Sebagai pengacara TV, Rosyam telah mengacarakan beberapa rancangan TV termasuk Modal Insan, Pilih Kasih dan Dai: Pendakwah Milenia dan juga menjadi model dan jurucakap bagi beberapa produk seperti Julie's dan Nona Roguy. Rosyam terkenal dengan peranannya di televisyen termasuk Kiranya Ku Tahu, Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta dan Sesuci Cinta Soffiya. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Runika Mohd Yusof dan dikurniakan lima orang anak perempuan.[5]

Rosyam merupakan penerbit dan Pengarah Urusan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang bergiat aktif menerbitkan beberapa rancangan televisyen. Melangkaui kerjaya lakonannya, beliau juga bergiat aktif dalam bidang perniagaan.[6]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan sebagai Mohamed Noor bin Shamsuddin pada 1 Mac 1967 bersamaan 19 Zulkaedah 1386 di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur (yang ketika itu merupakan sebahagian dari Selangor) dan merupakan anak keempat daripada enam beradik kepada pasangan Shamsuddin Mohd. Yusof dan Rubiah Kamarudin. Salah seorang adik beliau, Azman juga bergiat aktif dalam bidang lakonan. Beliau merupakan anak saudara kepada seniman Hussein Abu Hassan dan juga sepupu kepada Faizal Hussein. Beliau mendapat nama Rosyam hasil dari gabungan nama ibunya, Rubiah dan nama bapanya, Shamsuddin.[7]

Semasa zaman kanak-kanaknya, beliau sekeluarga tinggal di sebuah rumah setinggan, yang terletak berdekatan dengan Angkasapuri, ibu pejabat rangkaian penyiaran awam Radio Televisyen Malaysia (RTM).[8] Rumah yang didiami oleh Rosyam dan keluarganya hanyalah sekadar tempat berteduh, beliau dan adik beradik lain terpaksa menadah titisan air setiap kali hujan kerana atap rumah yang bocor.[8] Sepanjang tempoh tersebut, beliau pernah mengutip kotak untuk dijual.[8] Pada usia 13 tahun, Rosyam sudah mula bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan niat bagi mencari wang tambahan untuk menyara kehidupan seperti yang dihadapi oleh kebanyakan kanak-kanak setinggan, namun pendidikan menjadi keutamaan beliau.[8] Pada usia 18 tahun, Rosyam bertemu dengan penerbit filem, Pansha dan ditawarkan bekerja sebagai kakitangan am di Berjaya Film Productions. Semasa berkhidmat di Berjaya Film, beliau melakukan banyak tugasan sebagai kru di belakang tabir termasuk mencuci tandas.[8] Oleh kerana gaji kru belakang tabir amat kecil, Rosyam bermain kutu bersama-sama rakan sekampung dan berjaya mengumpul wang sebanyak RM8500. Beliau berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).[8]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

1980an: Pembabitan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau memulakan langkah sebagai pelakon selepas tamat menduduki SPM, dengan mengikuti Faizal Hussein dalam usaha mengejar cita-cita dalam bidang lakonan. Beliau akhirnya mendapat peranan dalam filem arahan Hussein Abu Hassan, sebagai Remy dalam filem Gila-Gila Remaja. Gaya yang dibawa olehnya serta pelakon-pelakon lain telah menjadi ikutan muda-mudi zaman itu.[9] Pada tahun 1987, Rosyam muncul pula dalam filem Sayang arahan Pansha, yang turut dibintangi oleh Amy Search dan Raja Ema. Antara 1988 dan 1989, beliau berlakon dalam dua filem arahan Aziz SattarPerawan Malam dan Filem Tak Kisahlah Beb..

1990an: Meniti kegemilangan[sunting | sunting sumber]

Setelah sekian lama berlakon sebagai watak pembantu, beliau ditawarkan untuk memegang watak utama sebagai Fatah dalam filem Suami, Isteri dan .....?, hasil arahan Pansha. Percubaan beliau dalam filem itu berhasil dan beliau akhirnya mendapat lamaran Yusof Haslam (kini Datuk), untuk membintangi sebuah filem bertajuk Maria Mariana II.

Beliau mula menonjolkan bakat besarnya menerusi filem Lenjan, arahan Ismail Yaacob. Menerusi watak Zarin, beliau berjaya menaikkan nama negara dan dirinya ke peringkat Asia dengan kejayaan menggondol anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-43, di Bangkok. Kejayaan beliau telah mendapat perhatian ramai pihak setelah sekian lama Faizal Hussein mendahuluinya dari segi populariti.[10] Fariza Saidin dari Utusan Malaysia berkata: "Rosyam (Nor) telah berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang pelakon versatil jauh berbeza dari filem-filem lakonannya terdahulu...".[11]

2000an: Puncak populariti[sunting | sunting sumber]

Pada 2001, Rosyam memegang watak Castello, seorang ketua samseng yang terbabit dalam pengedaran dadah VCD haram dalam Gerak Khas The Movie arahan Yusof Haslam.[12] Beliau merupakan salah seorang pelakon utama drama Kiranya Ku Tahu yang turut dibintangi oleh Haliza Misbun, Eja, Kartina Aziz, Azizah Mahzan dan Betty Banafe yang mengisahkan mengisahkan pemuda yang lupa diri apabila mendapat pekerjaan yang baik di luar negara.[13] Rosyam menjayakan watak sebagai Shahrol dalam filem aksi KL Menjerit arahan Badaruddin "Bade" Azmi, yang ditayangkan pada 24 Januari 2002. Filem ini menandakan kerjasama sulung Rosyam dan Bade, ia turut dibintangi oleh Nisdawati, Faizal Hussein, dan ramai lagi. Ia menjadi satu-satunya filem lakonan Rosyam bagi tahun 2002.[14][15]

Rosyam membuat kemunculan khas dalam filem aksi komedi penyiasatan MX3 arahan Yusof Kelana lakonan Saiful Apek, Faizal Hussein dan Zul Yahya, yang ditayangkan pada 25 November 2003.[16] Beliau membuat penampilan pada permulaan dan penghujung filem ini, dengan membawakan watak Castella dan Castello.[17] Pada tahun 2004, Rosyam berlakon dalam filem drama percintaan Berlari Ke Langit, bersama Fasha Sandha dan Siti Elizad,[18] yang mana beliau memegang watak sebagai Indra, sementara Elizad memegang watak sebagai Zulhijjah, kekasih Indra. Rosyam dipetik sebagai berkata: "Watak Indra dalam filem itu adalah watak yang paling berat dan mencabar pernah saya lakonkan sepanjang karier saya sebagai pelakon."[19] Pada 2005, Rosyam memegang tiga watak utama sekaligus—iaitu Rosli (peniaga), Legau (pelumba kereta jalanan) dan Nala (ketua samseng) dalam filem Gangster arahan Bade Hj. Azmi. Nama watak Legau sebenarnya ialah nama panggilan untuk Rosyam di kalangan ahli keluarganya.[20] Beliau kembali menjayakan peranan asalnya sebagai Shahrol dalam prekuel filem KL Menjerit, KL Menjerit 1 yang ditayangkan pada 8 September 2005, juga dibintangi oleh Que Haidar dan Erra Fazira.[21]

Kembali meneruskan kerjasama bersama Bade Hj. Azmi, Rosyam kembali menjayakan peranannya sebagai Castello dalam filem Castello yang ditayangkan pada 9 Januari 2006.[22][23] Filem ini turut dibintangi oleh Erra Fazira dan Liyana Jasmay dan menerima tajaan daripada Biskut Julie’s yang turut mengeluarkan produk biskut Julie’s Castello bagi mempromosikan filem ini.[24]

Pada 2006 juga, syarikat penerbitannya, Suhan Movies & Trading menerbitkan siri drama kepolisan CID 3278 yang dibintangi oleh Faizal Yusof, Along Eyzendy dan Salina Saibi yang memulakan siaran di TV9 pada 5 Ogos 2006 dan diterbitkan sebanyak dua musim dan 52 episod. Pada tahun berikutnya, beliau meneruskan rentetan kerjasama bersama Bade Hj. Azmi menerusi drama arahan Bade, Dinasti Bilut yang dibintangi oleh Eja dan Rosyam sendiri yang turut berkhidmat sebagai penerbit. Barisan pelakon terdiri daripada Sahronizam Noor, Bienda, Sabrina Hassan, Jins Shamsuddin, Jalaluddin Hassan dan Aida Radzwill. Kos pembikinan drama ini melebihi RM1.5 juta, menjadikan Dinasti Bilut drama paling termahal terbitan Suhan Movies.[25] Ia mengisahkan tentang kisah suka duka Danial, seorang petugas di Felda dalam merealisasikan impian negara. Danial merupakan cucu kepada seorang peneroka Felda terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang berlaku sama ada di peringkat global mahupun nasional.[26][27]

Rosyam memegang watak sebagai Hisyam dalam filem drama aksi Anak Halal arahan Osman Ali lakonan Farid Kamil, Maya Karin dan Fasha Sandha yang ditayangkan pada 13 Disember 2007.[28] Filem ini mengisahkan tentang seorang penjenayah, Hisyam yang sedang diburu polis atas kesalahan jenayahnya. Dalam kekalutan untuk menyelamatkan diri dan nyawa anaknya.[29]

Pada 10 Januari 2008, Rosyam menjayakan watak sebagai Salleh dalam filem komedi neo-noir arahan Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang yang mengisahkan tentang misteri kehilangan pemuda di pekan Senduduk Rimbun pada setiap kali purnama menjelang.[30] Filem ini turut dibintangi oleh Farid Kamil dan Umie Aida; Persembahan beliau dalam filem ini melayakkan Rosyam memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 dan Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2008.[31]

Rosyam muncul bersama penyanyi Fauziah Latiff sebagai bintang utama dalam siri televisyen Gelora Di Hati Sara yang mana beliau memegang watak Asrul dan berkhidmat sebagai penerbit bersama isterinya, Runika Mohd Yusof. Ia berkisahkan kisah cinta dan kekeluargaan yang menuntut pengorbanan wanita dalam mengecap kebahagiaan dalam rumahtangganya. Siri ini memulakan tayangan perdana di Slot Astaka TV1 bermula 20 November 2008.[32][33]

Dalam tahun 2009, Rosyam tidak berlakon filem, sebaliknya bergiat aktif di belakang tabir. Beliau menerbitkan rancangan pencarian bakat baharu bidang lakonan, Pilih Kasih yang bertujuan melahirkan pelapis baharu dalam bidang lakonan baik televisyen, filem, teater dan monolog.[34]

2010an: Kesinambungan kejayaan[sunting | sunting sumber]

Memegang watak sebagai Kublai Khan dalam Estet

Meneruskan rentetan kerjasama bersama Mamat Khalid, Rosyam menjayakan peranan Kublai Khan dalam filem drama perpaduan, Estet yang bertemakan 1Malaysia. Ia menjadi satu-satunya filem lakonan beliau dalam tahun 2010.[35]

Pada tahun berikutnya, Rosyam menjayakan peranan utama bersama Johan Raja Lawak dan Scha Al-Yahya dalam filem aksi sukan, Libas, arahan Jurey Latiff Rosli. Beliau memegang watak sebagai Adnan Saladin, seorang legenda sepak takraw negara. Ketika filem ini diterbitkan, Rosyam mengalami kecederaan semasa melakukan babak aksi dalam filem ini.[36] Rosyam berkata: "Setelah 20 tahun berlakon filem, ini merupakan filem pertama yang memerlukan saya bermain dengan imaginasi untuk membayangkan kedudukan bola yang diwujudkan dengan menggunakan CGI."[37] Beliau telah mendapat kecederaan di bahu[38] dan menyebabkan beliau terpaksa mencari lapan tukang urut untuk memulihkan kecederaannya. Beliau berbuat demikian kerana ingin mengelak daripada melakukan pembedahan. Namun begitu, usaha itu tidak berhasil dan akhirnya membawa beliau pergi ke hospital untuk menjalani rawatan dengan lebih lanjut.[39]

Pada 5 Februari 2012, rancangan pencarian bakat baharu bidang lakonan terbitan Rosyam, Pilih Kasih diteruskan untuk musim ketiga dengan penyertaan dari 16 peserta dari pelbagai latar belakang.[40] Dengan menobatkan pesertanya, Reen Rahim sebagai juara untuk musim ketiga,[41] pada April tahun sama, Rosyam mengumumkan musim ketiga merupakan yang terakhir.[42]

Bekerja di bawah arahan Syamsul Yusof, Rosyam memegang watak Tailong, ketua samseng dan sindiket dadah dalam KL Gangster 2, prekuel dari filem pertama yang ditayangkan pada 2011. Rosyam pada mulanya ingin berlakon dalam KL Gangster, namun menarik diri akibat kekangan jadual kerjanya.[43] Untuk menghidupkan watak Tailong, Rosyam mempelajari pergerakan dan sikap seperti reptilia seperti buaya, cicak dan ular. "Dia seperti reptilia, cara dia melihat orang, cara dia bergerak."[44]

Pada 2013 juga, Rosyam digandingkan bersama pelakon Nad Zainal menerusi telefilem Mawar Putih Tanda Perpisahan yang mana Rosyam dan isteri, Runika Mohd Yusof berkhidmat sebagai penerbit. Ia mengisahkan tentang Sudin yang berkahwin dengan Dahlia yang telah kehilangan suaminya yang terkandas di laut. Telefilem ini memulakan tayangan perdana di Astro Box Office Tayangan Hebat sepanjang Mei 2013,[45] ia memenangi Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2013.[46][47]

Pada 9 Januari 2014, beliau meneruskan kerjasama dengan Silver Chung menerusi filem aksi jenayah Balistik yang mana beliau menulis skrip, mengolah cerita asal dan berkhidmat sebagai penerbit bersama Adrian Teh. Rosyam menjayakan watak sebagai Saga, seorang pembunuh upahan yang terlibat dengan kongsi gelap.[48][49][50]

Pada April 2016, Rosyam menerbitkan buku autobiografinya, Impian Jutawan Budak Setinggan yang diterbitkan oleh Suhan Publications, anak syarikat Suhan Movies & Trading. Buku autobiografi ini mengisahkan kesulitan yang dihadapi oleh Rosyam sehingga berjaya. Sebanyak 40% kisah kehidupan peribadinya dimuatkan dalam buku ini.[51][52][53][54] Pada Mac 2017, syarikatnya, Suhan Movies & Trading bekerjasama dengan SME Corp menerbitkan sebuah drama mini 12 episod bertajuk Chor & Chah yang bertujuan bagi membantu golongan usahawan baru sebagai alat bantuan yang mana ia memberikan maklumat menarik mengenai perniagaan. Ia dibintangi oleh dua bekas bintang Hero Remaja 2011/12 Saharul Ridzwan dan Hafreez Adam serta dibantu oleh Ummi Nazeera, dan memulakan siaran di platform media sosial.[55]

Projek penggambaran filem tamil dari India lakonan Rajinikanth berjudul Kabali merupakan filem yang akan membawa karier Rosyam Nor ke tahap antarabangsa kerana berlakon dalam watak sampingan dan ditayangkan pada 21 Julai 2016.[56][57][58][59] Nizam Bakeri dari Astro Awani berkata: "Dalam Kabali, menurut anggaran saya, jumlah dialog Rosyam Nor jika dijumlahkan tidak sampai pun 30 baris. Kebanyakan babak hanya menampilkan Rosyam dengan wajah penuh amarah sebagai anggota kumpulan samseng Geng 43, di belakang ketua kumpulan Tony Lee."[60] Ditanya mengenai lakonannya dalam Kabali, Rosyam berkata: "Saya tidak malu berlakon Kabali".[61]

Rosyam kembali ke pangkuan Skop Productions apabila beliau menjayakan watak sebagai ASP Roslan dalam filem aksi jenayah, KL Special Force arahan Syafiq Yusof.[62] Bagi menjayakan wataknya, Rosyam dipaksa terjun dari tingkat tujuh bangunan. Walaupun pada mulanya beliau menolak untuk berbuat demikian, akhirnya beliau berjaya melakukannya atas permintaan Syafiq.[63] Beliau turut mengakui kejayaan KL Special Force ialah hasil kerja keras barisan pelakon dan tenaga kerja penerbitan.[64][65]

Selepas KL Special Force, beliau muncul pula dalam filem biopik mengenai pemain badminton negara, Lee Chong Wei yang ditayangkan pada 15 Mac; Rosyam memegang watak sebagai Misbun Sidek, bekas jaguh badminton negara dan jurulatih kebangsaan.[66][67]

Cabang perniagaan[sunting | sunting sumber]

Beliau juga dikenali sebagai seorang petani yang berjaya hasil penglibatannya dalam projek tanaman nangka madu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang pada tahun 2010. Projek ini diusahakan atas nama syarikatnya iaitu Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd.[68] Pada Jun 2018, Rosyam melibatkan diri dalam sektor perniagaan runcit dengan membuka kedai serbanekanya yang dikenali sebagai ST Rosyam Mart yang bertujuan bagi mengurangkan beban rakyat.[69] Pasar raya berkeluasan 13 lot unit kedai yang terletak di Setiawangsa itu turut menjanjikan suasana se­perti berada di dalam sebuah pasar raya mewah tetapi harga barangan ditawarkan mampu milik.[70] Majlis pelancaran pasar raya ini dijangka akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri.[71]

Pada April 2017, Rosyam bersama model terkenal, Tinie dilantik sebagai jurucakap produk minyak argan, Luxone Argan Oil yang diusahakan oleh pelakon-pengarah Syafiq Yusof.[72] Beliau juga pernah membuka sebuah pusat penjagaan kesihatan menggunakan namanya pada 2003, Rosyam juga telah melabur di ladang herba di Kampung Paya Rumput di Masjid Tanah, Melaka yang dikenali sebagai Taman Impian Herba dan Jati.[73]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Rosyam berkahwin dengan Runika Mohd Yusoff pada 1989 dan dikurniakan lima anak yang kesemuanya perempuan, iaitu Arniesha Azureen (lahir 1990), Nur Anis (lahir 1993), Nurlisa (lahir 1997), Syadira (lahir 2002) dan Zarith Maryam (lahir 2003).[74] Bapanya, Shamsuddin Yusof meninggal dunia akibat sakit tua pada 2008.

Anak sulungnya, Arniesha Azureen berkahwin dengan Mohd Hafiz Mohd Said pada 19 Mei 2013.[75][76][77] Sekitar Disember 2014, Rosyam meluahkan kekecewaannya di laman Twitter mengenai sebuah kedai permainan terkemuka yang didakwa meminta anak perempuannya membuka tudung sebagai syarat untuk bekerja.[78][79] Rosyam dan isteri Runika dikurniakan cucu sulung bernama Hanan Adraa bin Mohd Hafiz yang dilahirkan pada Januari 2014.[80][81][82]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Kunci
Filem dan drama yang belum dikeluarkan Menunjukkan filem/drama yang belum dikeluarkan

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Pengarah Catatan
1986 Gila-Gila Remaja Remy Hussein Abu Hassan
1987 Sayang Hussein Pansha
1988 Perawan Malam Ali Datuk Aziz Sattar
1989 Tak Kisahlah Beb! Zahar
1991 Boss Konco Z. Lokman
Kanta Serigala Zarul Hussein Abu Hassan
1995 Jimi Asmara Dzul Fakar Erma Fatima
1996 Suami, Isteri dan .....? Fatah Pansha
1998 Maria Mariana II Remy Datuk Yusof Haslam
Lenjan Zarin Ismail Yaacob
1999 Nafas Cinta Sham Jailani Ghani
Bara Carlos Datuk Yusof Haslam
2001 Gerak Khas The Movie Castello
Spinning Gasing Zainal Teck Tan
2002 KL Menjerit Shahrol Mohamad Bade Hj. Azmi
2003 Laila Isabella Azam Rashid Sibir
Janji Diana Haikal Datuk Yusof Haslam
MX3 Castello/Castella Yusof Kelana Penampilan khas
2004 Bisikan Remaja Komando Razak Panshah
Pontianak Harum Sundal Malam Asmadi Marsani Datin Paduka Shuhaimi Baba
Berlari Ke Langit Indra Che Muda Bade Hj. Azmi
2005 Gangster Rosli/Legau/Nala
Senario XX Dirinya sendiri Aziz M. Osman Beliau menggunakan suara Mazlan Ahmad. Undangan khas.
KL Menjerit 1 Shahrol Bade Hj. Azmi
Pontianak Harum Sundal Malam II Asmadi Marsani Shuhaimi Baba
2006 Castello Castello Bade Hj. Azmi
Bilut Yazid
2007 Syaitan Muslim
Anak Halal Hisham Osman Ali
2008 Kala Malam Bulan Mengambang Salleh Mamat Khalid
Apa Kata Hati Pengacara Saw Teong Hin Beliau menjadi pengacara program televisyen Modal Insan.
2010 Estet Kublai Khan Mamat Khalid
2011 Libas Adnan Saladin Jurey Latiff Rosli
2013 KL Gangster 2 Tailong Syamsul Yusof
2014 Balistik Saga Silver Chung
Ah Beng: Mission Impossible Silver Chung Artis jemputan
Laga Inspektor Jefri Ismail Yaacob
2015 Isyarat Cinta Bade Hj. Azmi Penerbit
Chowrasta Pak Ngah Don Dato' Prof Madya A. Razak Mohaideen
2016 Mat Moto Shahrol Pekin Ibrahim Penampilan Khas
Kabali Adikong Tony Lee Pa. Rajinth Filem Tamil, watak sampingan
2017 Rempit Sampai Langit Silver Chung Penerbit
2018 KL Special Force ASP Roslan Syafiq Yusof
Lee Chong Wei: Rise Of The Legend Misbun Sidek Teng Bee
Motif Filem dan drama yang belum dikeluarkan Nadiah Hamzah Pos produksi
2019 Misteri Dilaila Filem dan drama yang belum dikeluarkan Syafiq Yusof Pos produksi
Proksi Filem dan drama yang belum dikeluarkan Remy Zulkarnain Azhar Pos produksi
Operasi X Filem dan drama yang belum dikeluarkan Sandosh Kesawan Pos produksi

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Program Peranan Saluran TV
2006 - 10 Fenomena Seni Hos TV1
2007 Modal Insan Hos Astro Prima
2009-11 Pilih Kasih Pengacara TV1
2014 - 15 Dai - Pendakwah Milenia Musim 2 - 3 Hos - bersama Zainal Ariffin Ismail TV3
2015 Pelamin Fantasia Juri tetap Astro Ria
2016 - 17 Dai - Pendakwah Nusantara Musim 4 - 5 Hos - bersama Zainal Ariffin Ismail TV3
2017 Maharaja Lawak Mega 2017 Juri tetap Astro Mustika HD

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
2001 - 02 Kiranya Aku Tahu Azeem TV3
2004 Rindu Semakin Jauh Hakim TV3 Juga sebagai penerbit
2004 - 05 Masih Ada Cinta Zahrul TV3 Penerbit
2005 - 06 Biarku Sentuh Cintamu Danish TV3 Penerbit
2006 CID 3278 TV9 Penerbit
2007 Sesuci Cinta Sofiyya Johan TV3 Penerbit
Dinasti Bilut Danial TV1 Penerbit
2009 Rozanna Fareez TV3 Penerbit
2010 Isabella Nazman Astro Prima Penerbit
Nigina Iskandar TV3 Penerbit
2010 - 11 Gelora Di Hati Sara Season 1 & 2 Asrul TV2 Penerbit
2010 - 12 Trilogi Cinta Season 1 & 2 Razif TV1 Penerbit
2011 Cinta Elysa TV3 Penerbit

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV Catatan
1995 Tuminah
Popular Ke?
2000 Playboy Pencen Terus ke video
2002 Pondok Buruk Yusof Astro Ria
Nurfitri Penerbit
Rumah Ditengah Sawah Khalid TV3 Penerbit
2003 Che Mat Che Mat TV3
Sekeras Kerikil Busu - Roslan TV3 Penerbit
Pondok Buruk 2 Yusof Astro Ria
2004 Dendam Membara Astro Ria
2006 Daun Ketupat Kering Along TV2 Penerbit
2007 Lahad Amir TV2
2008 Mengejar Sinar TV3 Penerbit
Takdir Sedang Berbisik TV3 Penerbit
2009 Salam Terakhir Nazman TV3 Penerbit
Kaki TV1 Penerbit
2010 Cinta Selat Tebrau Penerbit
Sutera Di Sebalik Wajah Sufian TV3 Penerbit
2013 Mawar Putih Tanda Perpisahan Sudin Astro Box Office Movies Tayangan Hebat Penerbit
2014 Perjalanan Ramli TV3 Penerbit
Kata Samseng Mokhsin TV2
2016 Terputusnya Sebuah Doa Qabil Astro Ria Penerbit

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • Shamsuddin, Mohd Nor (2016). Impian Jutawan Budak Setinggan. Suhan Publications. ISBN 9789671405505

Aktivisme[sunting | sunting sumber]

Pada 2010, Rosyam mendermakan sebanyak RM6, 000 bagi membantu 100 anak angkat dengan setiap seorang menerima sekurang-kurangnya RM60 sebulan sebagai bantuan persekolahan melalui dana Yayasan Pelajaran Mara (YPM). Beliau dipetik sebagai berkata: "Dalam hidup ini, kita perlu belajar berkongsi apa yang kita ada dan dengan cara itu, hidup kita pula akan dipermudahkan”.[83]

Sejak 2017, Rosyam merupakan duta bagi program #Quran Hour. Bagi mempromosikan kempen ini, beliau bersama 14 individu lain mendaki kira-kira 2,200 anak tangga Menara Kuala Lumpur pada 21 Ogos.[84][85]

Pada 3 Jun 2018, selaku duta World #QuranHour, Rosyam bersama-sama pelakon Norman Hakim, menyertai bersama 1,200 penunggang motosikal bagi menjayakan konvoi Ride for World #QuranHour yang bermula di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum berakhir di Shah Alam, Selangor. Ia merupakan acara simbolik bagi membina momentum ke kemuncak program World #QuranHour yang diraikan pada 7 Jun.[86][87]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Festival Filem Asia Pasifik
Tahun Anugerah Karya tercalon Kategori Keputusan
1999 Festival Filem Asia Pasifik ke-44 Lenjan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Menang
2006 Festival Filem Asia Pasifik ke-51 Bilut Pelakon Filem Lelaki Terbaik Menang
Festival Filem Malaysia
Tahun Anugerah Karya tercalon Kategori Keputusan
1999 Festival Filem Malaysia ke-14 Bara Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Menang
2003 Festival Filem Malaysia ke-16 KL Menjerit Pelakon Lelaki Terbaik Menang
2004 Festival Filem Malaysia ke-17 Pontianak Harum Sundal Malam Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Menang
2008 Festival Filem Malaysia ke-21 Kala Malam Bulan Mengambang Pelakon Lelaki Terbaik Menang
2013 Festival Filem Malaysia ke-26 KL Gangster 2 Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Dicalonkan
Anugerah Skrin
Tahun Anugerah Karya tercalon Kategori Keputusan
1999 Anugerah Skrin 1999 Lenjan Pelakon Pembantu Terbaik Menang
2003 Anugerah Skrin 2003 KL Menjerit Pelakon Filem Lelaki Terbaik Menang
2004 Anugerah Skrin 2004 N/A Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Menang
2008 Anugerah Skrin 2008 N/A Pelakon Lelaki Terbaik Menang
Anugerah Bintang Popular Berita Harian
1998 Anugerah Bintang-Bintang Popular 1997/98 N/A Pelakon Filem Lelaki Popular Menang
1999 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1998/99 N/A Pelakon Filem Lelaki Popular Menang
1999 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1998/99 N/A Pelakon Filem Lelaki Popular Menang
2002 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2002 N/A Pelakon Drama TV Lelaki Popular Menang
N/A Pelakon Filem Lelaki Popular Menang
N/A Bintang Paling Popular Menang
2003 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 N/A Pelakon Filem Lelaki Popular Menang
2005 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 N/A Pelakon TV Lelaki Popular Menang
2006 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 N/A Pelakon TV Lelaki Popular Menang
2007 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 N/A Pelakon TV Lelaki Popular Menang
2008 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 N/A Pelakon TV Lelaki Popular Menang
2009 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 N/A Pelakon TV Lelaki Popular Menang
Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan
Tahun Anugerah Karya tercalon Kategori Keputusan
2000 Anugerah PPMH 2000 N/A Pelakon Drama TV Sensasi Menang
Anugerah Seri Angkasa
Tahun Anugerah Karya tercalon Kategori Keputusan
2000 Anugerah Sri Angkasa 2000 N/A Pelakon Lelaki TV Terbaik Menang

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Rosyam Nor syukur dapat gelaran Datuk.
  2. ^ Rosyam... tidak popular sekelip mata Utusan Malaysia (22 November 2001). Dicapai pada 5 Jun 2010.
  3. ^ http://spostenterprise.blogspot.com/2011/08/kenali-lebih-dekat-rosyam-nor.html
  4. ^ Variety international film guide. Andre Deutsch. 2005. m/s. 213–4. 
  5. ^ Aqmar Mustaza (28 Oktober 2013). "Rosyam Nor: Dua tahun saya tak dipandang". Sinar Harian. Dicapai 29 Jun 2018. 
  6. ^ Ahmad Rabiul Zulkifli (3 Disember 2014). "Rosyam tak lokek ilmu". Harian Metro. Dicapai 29 Jun 2018. 
  7. ^ Angelin Yeoh (12 Mac 2018). "'KL Special Force' star Datuk Rosyam Nor names his Top 5 movie roles". Star2. Dicapai 29 Jun 2018. 
  8. ^ a b c d e f Syed Mussaddad Syed Mahdi (12 Mac 2018). "Budak setinggan terbang tinggi". Utusan Malaysia. Dicapai 17 April 2016. 
  9. ^ http://www.astro.com.my/terranova/dual-audio/rosyam
  10. ^ A. Wahab Hamzah (3 Julai 1998). Lenjan filem saspens yang menarik Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 Februari 2010.
  11. ^ Fariza Saidin (5 Julai 1998). Lenjan filem saspens menghiburkan Utusan Malaysia. Dicapai pada 3 Februari 2010.
  12. ^ "Gerak Khas The Movie - tampilkan lapan pelakon ternama". Utusan Malaysia. 25 Februari 2001. Dicapai 22 Disember 2011. 
  13. ^ "Kuiz menerusi slot Identiti". Utusan Malaysia. 8 Ogos 2002. Dicapai 15 Julai 2010. 
  14. ^ "KL Menjerit - Judul yang membara". Utusan Malaysia. 1 Februari 2002. Dicapai 15 Julai 2010. 
  15. ^ Ziema, Dalilah Ibrahim (20 April 2003). "KL Menjerit grabs host of awards". The Star Online. Dicapai 15 Julai 2010. 
  16. ^ "Sembilan hari tayangan - Mampukah MX3 balik modal?". Utusan Malaysia. 3 November 2003. Dicapai 3 Februari 2018. 
  17. ^ "MX3 masuk panggung 25 November", Utusan Malaysia, 22 November 2003.
  18. ^ A. Wahab Hamzah (6 Julai 2004). "Berlari ke Langit - Judul yang puitis dan menarik". Utusan Malaysia. Dicapai 8 November 2008. 
  19. ^ Abdil Aziz Itar (23 Jun 2004). "Rosyam dan Fasha - Watak dalam BKL paling mencabar". Utusan Malaysia. Dicapai 8 November 2008. 
  20. ^ "Gangster - Keras, pantas dan menghiburkan". Utusan Malaysia. 18 Januari 2005. Dicapai 29 Mei 2018. 
  21. ^ Muzlina Abu Bakar (23 April 2004). "KL Menjerit 1 - Menongkah arus penerbitan filem". Utusan Malaysia. Dicapai 29 Mei 2018. 
  22. ^ "Rosyam to produce his first movie", The Star, 26 February 2004, by Zieman
  23. ^ "Rosyam Nor answers age-old question", The Sun Daily, 17 December 2013, by Bissme S.
  24. ^ "Julie's - Selamatkan Castello", Utusan Malaysia, 08 May 2005, by Khadijah Ibrahim. (in Malay)
  25. ^ Rosyam Nor (3 November 2007). "Saya bukan perampas - Rosyam Nor". Utusan Malaysia. Dicapai 22 Disember 2011. 
  26. ^ "Drama Dinasti Bilut di RTM1 mulai Isnin ini". Utusan Malaysia. 27 Oktober 2007. Dicapai 22 Disember 2011. 
  27. ^ "Rosyam ‘didera’ pastikan drama Dinasti Bilut berjaya", Berita Harian, 13 Ogos 2007.
  28. ^ Wanda Idris (17 Julai 2006). Anak Halal papar gejala sosial masyarakat Utusan Malaysia. Dicapai pada 18 Mac 2014.
  29. ^ Siti Azira Abdul Aziz (11 Disember 2007). Watak antagonis lebih menonjol dalam "Anak Halal" mSTAR Online. Dicapai pada 18 Mac 2014.
  30. ^ Budiey (7 Januari 2008). "Sinopsis Kala Malam Bulan Mengambang Arahan Mamat Khalid". Sensasi Selebriti. Dicapai 4 Jun 2018. 
  31. ^ "Kala Malam Bulan Mengambang wins five awards". The Star (Malaysia). 10 Ogos 2008. Dicapai 29 Mei 2018. 
  32. ^ Budiey (11 November 2008). "Fauziah Latiff dan Rosyam Nor dalam Gelora di Hati Sara". Sensasi Selebriti. Dicapai 28 Jun 2018. 
  33. ^ Budiey (11 Mei 2008). "Drama Gelora di Hati Sara lakonan Rosyam Nor dan Fauziah Latiff". Sensasi Selebriti. Dicapai 28 Jun 2018. 
  34. ^ Rosyam: Pemilihan 20 finalis PILIH KASIH telus mStar Online (25 Mei 2009). Dicapai pada 23 April 2011.
  35. ^ Abdul Aziz Itar (31 Julai 2009). "Estet mahu tarik peminat filem Tamil". Utusan Malaysia. Dicapai 5 Julai 2010. 
  36. ^ Budiey (22 Ogos 2009). "Sinopsis & Jalan Cerita Filem Libas". Sensasi Selebriti. Dicapai 22 Disember 2011. 
  37. ^ "Teknik CGI uji kehebatan filem Libas". mStar Online. 3 Oktober 2011. Dicapai 22 Disember 2011. 
  38. ^ http://www.ohbulan.com/tulang-bahu-rosyam-nor-patah-kerana-filem-libas/
  39. ^ Filem Libas Buat Rosyam Nor Cacat Patah Tulang Bahu Mohd Rohaidad (26 September 2011). Dicapai pada 6 Jun 2012.
  40. ^ "Pilih Kasih musim ketiga bermula". Utusan Malaysia. 5 Februari 2012. Dicapai 4 Jun 2013. 
  41. ^ Farabi Sheikh Said Al-Jabri (23 April 2012). Reen Rahim juara Pilih Kasih musim ketiga Utusan Malaysia. Diperoleh pada 23 April 2014.
  42. ^ Feride Hikmet Atak (26 Januari 2012). ‘Pilih Kasih 3’ program realiti terakhir mStar Online. Dicapai pada 1 Februari 2012.
  43. ^ "Rosyam menonjol, Soffi seimbang". Kosmo!. 30 September 2013. Dicapai 18 Oktober 2013. 
  44. ^ "Studying reptiles to play villain in 'KL Gangster 2'". The Star (Malaysia). 8 Oktober 2013. Dicapai 18 Oktober 2013. 
  45. ^ "Tuah 'Mawar Putih Tanda Perpisahan'". Sinar Harian. 1 Disember 2013. Dicapai 12 Jun 2014. 
  46. ^ Mohd Al Qayum Azizi (30 November 2013). "'Mawar Putih Tanda Perpisahan' & 'KIL' ungguli ASK 2013". Utusan Malaysia. Dicapai 12 Jun 2014. 
  47. ^ Roni Hidayat Ridwan (30 November 2013). "'Mawar Putih Tanda Perpisahan' Drama Terbaik ASK 2013". Kosmo!. Dicapai 12 Jun 2014. 
  48. ^ Wanda Idris (17 Mac 2013). "Kepantasan Balistik". Utusan Malaysia. Dicapai 19 April 2014. 
  49. ^ Melati Pusaka (25 Januari 2014). "Balistik kisah hidup polis". Free Malaysia Today. Dicapai 19 April 2014. Filem ini mendapat sambutan hangat daripada penonton walaupun ketika ini berlakunya kemerosotan hasil kutipan filem-filem tempatan. 
  50. ^ Farahanim Rahim (12 Julai 2012). "Demi Balistk, Rosyam sanggup berjudi RM3 juta". Malaysia Digest. Dicapai 1 Julai 2014. 
  51. ^ "Rosyam Nor Kongsi Kisah Impian Jutawan Budak Setinggan". My News Hub. 13 April 2016. Dicapai 2 June 2016. 
  52. ^ "Rosyam Nor lancar autobiografi". Harian Metro. 1 Mei 2016. Dicapai 2 June 2016. 
  53. ^ "Buku biografi rahsia kejayaan Rosyam Nor dilancar". Utusan Malaysia. 13 April 2016. Dicapai 2 June 2016. 
  54. ^ Jemang Rahman (13 April 2016). "Pakai Kain Guni, Antara Kisah Miskin Rosyam Dibukukan". mStar Online. Dicapai 2 June 2016. 
  55. ^ Feride Hikmet Atak (13 Mac 2017). "Rosyam Nor terbit siri mini bantu usahawan". Berita Harian. Dicapai 1 Julai 2017. 
  56. ^ "Rajinikanth's 'Kabali' has many feats before the release; know all records it shattered". Dicapai 18 June 2016. 
  57. ^ "Rajinikanth's Kabali to be released in Malay". 22 May 2016. Dicapai 18 June 2016 – melalui The Hindu. 
  58. ^ "Kabali Tamil movie to be dubbed in Malay". chennaivision. chennaivision. Dicapai 2 June 2016. 
  59. ^ "Rosyam Nor sekadar pegang watak tempelan?". Utusan Malaysia. 24 Julai 2016. Dicapai 26 Julai 2016. 
  60. ^ Nizam Bakeri (31 Julai 2016). "Kabali dibikin kurang teliti, pelakon tempatan sekadar umpan". Astro Awani. Dicapai 1 Ogos 2016. 
  61. ^ Elfaraei Sapi (27 Julai 2016). ""Saya Tidak Malu Berlakon Kabali" - Rosyam Nor". Rojak Daily. Dicapai 1 Ogos 2016. 
  62. ^ Elrafaei Sapi (16 Ogos 2016). "KL Special Force Filem Aksi Setanding Hollywood". Rojak Daily. Dicapai 7 Februari 2018. 
  63. ^ Aqmar Mustaza (14 Mac 2018). "Rosyam Nor dipaksa terjun dari tingkat tujuh". Sinar Harian. Dicapai 30 Mac 2018. 
  64. ^ Muhamad Fairoz Azizan (12 Mac 2018). "Kejayaan KL Special Force hasil kerja keras produksi". Berita Harian. Dicapai 13 Mac 2018. 
  65. ^ ""Kerja Keras Produksi Punca KL Special Force Berjaya"". My News Hub. 13 Mac 2018. Dicapai 24 Mac 2018. 
  66. ^ Bissme S. (7 Mac 2018). "A life in film". The Sun, Malaysia. Dicapai 29 Mei 2018. 
  67. ^ Dennis Chua (29 April 2017). "Actor, producer Rosyam may play as Misbun in badminton champ's biopic". New Straits Times. Dicapai 4 Jun 2018. 
  68. ^ M. Feisal Norawi (2011-11-23). "Rosyam labur hampir RM1j". Sinar Harian. Dicapai 2013-04-12. 
  69. ^ "ST Rosyam Mart kurangkan beban rakyat". Utusan Malaysia. 3 Jun 2018. Dicapai 6 Jun 2018. 
  70. ^ "Rosyam Nor perluas jenama diri sendiri menerusi bisnes pasaraya". Astro Awani. 3 Jun 2018. Dicapai 6 Jun 2018. 
  71. ^ "Rosyam buka pasar raya sendiri, ST Rosyam Mart". My News Hub. 16 Julai 2017. Dicapai 6 Jun 2018. 
  72. ^ "Datuk Rosyam Nor dilantik sebagai duta Luxone Argan Oil". 123mamanet. 29 April 2017. Dicapai 21 Jun 2017. 
  73. ^ Zieman (7 July 2003). "Actor Rosyam opens healthcare centre". The Star (Malaysia). Dicapai 29 Jun 2010. 
  74. ^ "Kenapa Rosyam sorok isteri?". Utusan Malaysia. 19 Oktober 2008. Dicapai 21 Jun 2018. 
  75. ^ Tangisan Rosyam Nor dan isteri di majlis pernikahan anak Kezoom (20 Mei 2013). Dicapai pada 28 Jun 2013.
  76. ^ "Anak Rosyam Nor kahwin", Berita Harian, 19 Mei 2013.
  77. ^ "Actor Rosyam Nor’s daughter get married", The Malay Mail, 19 May 2013.
  78. ^ Kedai minta anak Rosyam Nor buka tudung dikecam Malaysiakini (21 Disember 2014). Diperoleh pada 28 Jun 2015.
  79. ^ Ana Ghoib (22 Disember 2014). Kedai minta anak Rosyam Nor buka tudung dikecam MRM Malaysian Review. Dicapai pada 28 Jun 2015.
  80. ^ Norhayati Nordin (25 Oktober 2015). Rosyam bahagia ada cucu Harian Metro. Dicapai pada 2 Julai 2018.
  81. ^ Hanan Adraa cucu sulung Rosyam Nor Media Hiburan (17 Februari 2014). Dicapai pada 2 Julai 2018.
  82. ^ Tahniah, Datuk Rosyam Nor Timang Cucu Pertama 1Malaysia News (7 Februari 2014). Diperoleh pada 2 Julai 2014.
  83. ^ Rosyam Nor derma RM6000 sebulan untuk bantu anak angkat Rotikaya (28 Disember 2010). Diperoleh pada 28 Jun 2011.
  84. ^ Norrasyidah Arshad (9 Ogos 2017). "#QuranHour: Rosyam Nor daki tangga Menara KL". Berita Harian. Dicapai 21 Jun 2018. 
  85. ^ Haryani Ngah (21 Ogos 2017). "Rosyam Nor sempurna misi tawan Menara KL promosi #QuranHour". Berita Harian. Dicapai 21 Jun 2018. 
  86. ^ "Rosyam Nor, Norman Hakim sertai konvoi World #Quran Hour". Berita Harian. 3 Jun 2018. Dicapai 21 Jun 2018. 
  87. ^ "Rosyam Nor, Norman Hakim join 1,200 motorcyclists in World #QuranHour convoy [NSTTV]". New Straits Times. 3 Jun 2018. Dicapai 12 Julai 2018. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]