Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian
Sebahagian daripada siri tentang
Sejarah Malaysia
Kemerdekaan Malaya dan proklamasi penggabungan Borneo Utara dan Sarawak bagi membentuk Malaysia.
 
Portal Malaysia

Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu merupakan peristiwa pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Pemilihan tarikh

Tarikh ini dipilih dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda UMNO Tun Sardon Jubir dan timbalannya Haji Ahmad Badawi (bapa Perdana Menteri Malaysia ke-5) di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1956. Mufti Pulau Pinang, Haji Abdullah Fahim turut ikut serta dalam perbincangan tersebut.[1]

Pengisytiharan

30 Ogos: Malam Merdeka

Pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman

Sebelum pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu dibuat, pada 30 Ogos 1957 pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, telah diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack seiring lagu kebangsaan British[2] menandakan berakhirnya penjajahan British di Tanah Melayu; Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan berganti oleh anggota Angkatan Laut Tanah Melayu sambil disaksikan sendiri Tunku Abdul Rahman menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara dunia.[3][2] Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan

31 Ogos: Upacara Pengisytiharan

Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu. Sebanyak 20,000 orang mengisi lapangan Stadium tersebut.[4]

Hujan lebat yang turun sejak 3 pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.

Pada pukul 8, para media telah diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.

Antara kumpulan pengunjung yang tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap (dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru, merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.

Kemudian, tetamu-tetamu kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti ketika beliau menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu (berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Putera Henry, Duke Gloucester masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.

Adikung Duke membawa watikah perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray. Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan negara ini.

Kemudian, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain atas pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks "Pemasyhuran Kemerdekaan".

Pengisytiharan itu disambut dengan laungan "merdeka" sebanyak 7 kali sebagai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu dengan seruan azan oleh Hassan Azhari sebagai simbolik keberadaan Islam sebagai agama rasmi negara Tanah Melayu baru terlahir,[4] serta tembakan meriam seratus satu das.

Dengan bunyi nobat nafiri, Yang di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester berangkat pergi dari pentas diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald MacGillivray. Kemudian, doa selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan. Dengan pengisytiharan itu, maka berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu Elizabeth II ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah meninggalkan negara ini dan pulang ke England.

Tetamu kehormat

Apabila Tanah Melayu meraikan Hari Kemerdekaannya yang pertama, hotel-hotel baru didirikan di serata Kuala Lumpur untuk menampung kedatangan pihak barisan perwakilan asing delegasi yang dari luar bakal datang setelah dijemput oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menyaksikan hari bersejarah tersebut.

Barisan pertama perwakilan asing ke Tanah Melayu ialah:

Ketika mendarat di Lapangan Terbang Sungai Besi, tetamu kehormat telah disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald Charles MacGillivray dan Lady MacGillivray, Yang di-Pertuan Agong Tanah Melayu yang pertama, Tuanku Abdul Rahman diiringi Raja Permaisuri Agong dan Perdana Menteri Tanah Melayu yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

Kandungan Pemasyhuran Kemerdekaan

Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan (Pemasyhuran) Kemerdekaan

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 telah ditulis dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu yang ditulis dalam Jawi dan bahasa Inggeris.

Versi Rumi Bahasa Melayu

Pemasyhuran kemerdekaan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani, segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa dan selawat dan salam ke atas sekalian Rasul-Nya.


Bahawasanya kerana telah tibalah masanya bagi umat Persekutuan Tanah Melayu ini mencapai taraf suatu bangsa yang merdeka lagi berdaulat sama setimpal kedudukannya dengan segala bangsa seluruh dunia.


Dan bahawasanya kerana dengan perjanjian yang disebut namanya Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang diperbuat antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, maka, telah dipersetujui bahawa Negeri-negeri Melayu, iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Perak serta negeri yang dahulunya dinamakan Negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, mulai 31 hari bulan Ogos tahun 1957, hendaklah menjadi sebuah Persekutuan baharu bagi negeri-negeri yang bernama Persekutuan Tanah Melayu.


Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak dalam perjanjian tersebut, iaitu Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa kedaulatan baginda ke atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.


Dan bahawasanya kerana telah bersetuju pula antara kedua-dua pihak yang tersebut, iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948, dan segala perjanjian yang lain yang ada sekarang antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja ataupun salah seorang daripada baginda itu sebelum tarikh yang tersebut hendaklah dibatalkan mulai daripada tarikh itu, dan semua kuat kuasa dan hak Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen ataupun Parlimen Negeri United Kingdom dalam Negeri-Negeri Selat ataupun Persekutuan Tanah Melayu seluruhannya adalah tamat dengan sendirinya.


Dan bahawasanya kerana Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Parlimen Negeri United Kingdom dan Majlis-Majlis Undangan Persekutuan dan Negeri-Negeri Melayu telah meluluskannya, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 itu berjalan kuat kuasanya.


Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.


Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.


Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang diadakan oleh Majlis Undangan Persekutuan yang tersebut itu telah diluluskan oleh suatu undang-undang yang diadakah oleh Majlis Undangan Persekutuan serta dengan undang-undang yang diadakan oleh negeri-negeri Melayu dan dengan ketetapan-ketetapan dalam Majlis Undangan Negeri Melaka dan Pulau Pinang, dengan demikian Perlembagaan itu telah berjalan kuat kuasanya pada 31 hari bulan Ogos tahun 1957.


Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai Tiga Puluh Satu hari bulan Ogos Tahun Seribu Sembilan Ratus Lima Puluh Tujuh, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.

Versi Jawi (ejaan asal)

ڤمشهوران کمرديکاءن

دڠن نام الله يڠمها موره لاݢي مڠسيهاني⹁ سݢل ڤوجي باݢي الله يڠمها برکواس دان صلواة دان سلام کاءتس سکلين رسولڽ.


بهواسڽ اوله کران تله تيباله ماسڽ باݢي اومةڤرسکتوان تانه ملايو اين منچاڤي طرف سواة بڠسا يڠمرديکا لاݢي بردولة سام ستيمبل کدودقکنڽ دڠن سݢل بڠسا دسلوره دنيا.


دان بهواسڽ اوله کران دڠن ڤرجنجين يڠدسبوة نماڽ ڤرجنجين ڤرسکتوان تانه ملايو تاهون 1957 يڠدڤربواة دانتارا دولي يڠمها مليا بݢيندا کوءين دڠن دولي٢ يڠ مها مليا راج٢ نݢري ملايو مک تله دڤرستوجوءي بهاوا نݢري٢ ملايو ياءيت جوهر⹁ ڤهڠ⹁ نݢري سمبيلن⹁ سلاڠور⹁ قدح⹁ ڤرليس⹁ کلنتن⹁ ترڠݢانو⹁ دان ڤيرق سرة نݢري يڠدهولوڽ دنماکن نݢري سلت ياءيت ملاک دان ڤولو ڤينڠ مولاءي درڤد 31 هاريبولن اوݢس‌ة تاهون 1957⹁ هندقله منجادي سبواه ڤرسکتوان بهارو باݢي نݢري٢ يڠ برنام ڤرسکتوان تانه ملايو.


دان بهواسڽ اوله کران تله برستوجو ڤول دانتارا کدوا٢ ڤيهق دالم ڤرجنجين يڠترسبوة ياءيت ملاک دان ڤولو ڤينڠ هندقله درڤد تاريخ يڠترسبوة ايت تمت درڤد منجادي سبهاݢين درڤد ججاهن تعلوق بݢيندا کوءين دان دولي يڠمها مليا بݢيندا کوءين تيدق لاݢي برحق منجالنکن اڤ٢ جوا کدولاتن بݢيندا داءتس کدوا٢ بواه نݢري يڠترسبوة ايت.


دان بهواسڽ اوله کران تله برستوجو ڤول دانتارا کدوا٢ ڤيهق يڠترسبوة ياءيت ڤرجنجين ڤرسکتوان تانه ملايو تاهون 1948⹁ ايت سبلوم تاريخ يڠترسبوة هندقله دبطلکن مولاءي درڤد تاريخ ايت⹁ دان سموا قواتکواس٢ دان حق٢ دولي يڠمها مليا بݢيندا کوءين اتو ڤون ڤرليمن‌ة نݢري يونيتيد کيڠدم دالم نݢري٢ سلت يڠترسبوة ايت اتو ڤون يڠبرهوبڠ دڠنڽ اتو نݢري٢ ملايو اتو ڤون ڤرسکتوان تانه ملايو سلورهڽ اداله تمت دڠن سنديريڽ.


دان بهواسڽ اوله کران دولي يڠمها مليا بݢيندا کوءين⹁ دولي٢ يڠمها مليا راج٢ ملايو⹁ ڤرليمن‌ة نݢري يونيتيد کيڠدم دان مجلس٢ اوندڠن ڤرسکتوان دان نݢري٢ ملايو تله ملولوسکن ڤرجنجين ڤرسکتوان تانه ملايو تاهون 1957 ايت برجالن قواتکواسڽ.


دان بهواسڽ اوله کران سبواه ڤرلمبݢاءن باݢي کراجاءن ڤرسکتوان تانه ملايو تله دتنتوکن منجادي سواة قانون يڠ معتمد باݢيڽ.


دان بهواسڽ اوله کران ڤرلمبݢاءن ڤرسکتوان يڠ ترسبوة ايت مک اد دسدياکن شرط انتوق منجاݢ کسلامتن حق٢ دان کاءوتماءن دولي٢ يڠمها مليا راج٢ سرة حق٢ اساسي دان کبيباسن سکلين رعية دان انتوق مماجوکن ڤرسکتوان تانه ملايو دڠن امان دان دامي سرة تراتور سباݢي سبواه کراجاءن يڠ ممڤوڽاءي راج يڠبرڤرلمبݢاءن يڠبرداسرکن ديموقراسي چارا برڤرليمن‌ة.


دان بهواسڽ اوله کران ڤرلمبݢاءن ڤرسکتوان يڠ ترسبوة ايت تله دلولوسکن اوله سواة اوندڠ٢ يڠداداکن اوله مجلس اوندڠن ڤرسکتوان تله برجالن قواتکواسڽ ڤد 31 هاريبولن اوݢس‌ة تاهون 1957.


مک دڠن نام الله يڠمها موره لاݢي مها مڠسيهاني⹁ ساي تڠکو عبدالرحمن ڤترا ابن المرحوم سلطان عبدالحميد حاليم شاه⹁ ڤردان منتري باݢي ڤرسکتوان تانه ملايو⹁ دڠن ڤرستوجوان دان ڤرکنن دولي٢ يڠمها مليا راج٢ نݢري٢ ملايو دڠن اين ممشهور دان ⹁ماءشتهارکن باݢي ڤيهق اومة ڤرسکتوان تانه ملايو بهوا مولاءي درڤد تيݢ ڤوله ساتو هاريبولن اوݢس‌ة تاهون سريبو سمبيلن راتوس ليم ڤوله توجه مک ڤرسکتوان تانه ملايو يڠ مڠندوڠي ددالمڽ نݢري٢ جوهر⹁ ڤهڠ⹁ نݢري سمبيلن⹁ سلاڠور⹁ قدح⹁ ڤرليس⹁ کلنتن⹁ ترڠݢانو⹁ ڤيرق⹁ ملاک دان ڤولو ڤينڠ دڠن ليمڤه رحمة الله سبحانه وتعالى اکن ککل منجادي سبواه نݢارا ديموقراسي يڠ مرديکا دان بردولة سرة برداسرکن کڤد کبيباسن دان کعديلن دان سنتياس منجاݢ دان مڠاوتماکن کسجهتراءن دان کسنتوساءن رعيتڽ دان مڠکلکن کاءمانن دانتارا سݢل بڠسا.

Rujukan

  1. ^ Bernama (Januari 2007). "Celebrating 50 years of independence".
  2. ^ a b "Detik Jam Tengah Malam Di Padang Kelab Selangor". National Archive of Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 October 2011. Dicapai pada 24 April 2011.
  3. ^ "1957: Malaya celebrates independence". BBC. 31 August 1957. Dicapai pada 24 April 2011.
  4. ^ a b "Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu". National Archives of Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 October 2011. Dicapai pada 24 April 2011.

Lihat juga

Pautan luar