Perang Vietnam

Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas.

Lompat ke: navigasi, gelintar
Perang Vietnam

Kampung Vietnam selepas serangan.
Tarikh 195730 April 1975
Tempat Asia Tenggara
Hasil Perjanjian perdamaian yang memaksa pengunduran Amerika Syarikat pada

Kekalahan politik bagi Amerika Syarikat.
Penyerahan oleh Vietnam Selatan
Kemenangan tentera Vietnam Utara terhadap angkatan tentera Vietnam Selatan pada 1975

Perubahan
wilayah
Penyatuan Vietnam
Pihak bersengketa
Vietnam Selatan
Amerika Syarikat
Korea Selatan
Thailand
Australia
New Zealand
Filipina
Vietnam Utara
Barisan Nasional bagi Pembebasan Vietnam
Republik Rakyat China
Kekuatan
~1,200,000 (1968) ~420,000 (1968)
Korban dan kehilangan
Kematian Vietnam Selatan: 230,000
Kecederaan Vietnam Selatan: 300,000
Kematian Amerika Syarikat: 58,209
Kecederaan Amerika Syarikat: 153,303
Bil. kematian Australia: 520
Kematian Korea Selatan: 5,000
Kecederaan Korea Selatan: 11,000
Orang awam (jumlah orang Vietnam): k.k. 2–4 juta
Kematian: 1,100,000
Kecederaan: 600,000
Kematian orang Cina: 1100
Kecederaan orang Cina: 4200
Orang awam (jumlah orang Vietnam): k.k. 2–4 juta

Perang Vietnam, ada kalinya disebut juga "Perang Indochina" ataupun "Konflik Vietnam". Dalam bahasa Vietnam, peperangan ini disebut sebagai "Perang Amerika" ataupun mengikut nama yang digunakan oleh Kerajaan Vietnam, Kháng chiến chống Mỹ (Peperangan Menentang Amerika). Peperangan ini melibatkan Republik Demokratik Vietnam (dipanggil juga Vietnam Utara) dan sekutunya menentang Republik Vietnam (ataupun Vietnam Selatan) dan sekutunyanya, khususnya Amerika Syarikat.

Ramai pemerhati Barat melihat perang ini sebagai perang proksi bagi Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Perang ini salah satu daripada beberapa konflik semasa Perang Dingin di antara Amerika Syarikat dan sekutunya menentang Kesatuan Soviet dan sekutunya. Perang seperti ini disebut sebagai perang proksi kerana Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet sendiri tidak pernah bersemuka secara terang-terang di medan pertempuran kerana khuatir akan meletuskan peperangan nuklear yang amat membinasakan.

Sekutu Vietnam Utara termasuk Barisan Pembebasan Vietnam Selatan (Vietcong), Kesatuan Soviet dan China. Vietnam Selatan dibantu Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Korea Selatan. Sekutu Vietnam Selatan menghantar bantuan tentera untuk berjuang di Vietnam. Penglibatan tentera Amerika Syarikat sebenarnya bermula sejak tahun 1959 lagi, tetapi bilangan tentera yang terlibat kecil. Askar Amerika dihantar dalam jumlah yang besar ke Vietnam Selatan mulai tahun 1965 dan hanya berundur sepenuhnya dalam tahun 1973.

Peperangan ini mengorbankan ramai penduduk awam. Peperangan tamat secara rasminya pada 30 April 1975 apabila Vietnam selatan tewas keseluruhannya.


Senarai kandungan

[sunting] Latar belakang

Vietnam dijajah oleh negeri China sejak tahun 110 S.M. sehinggalah mencapai kemerdekaan dalam tahun 938. Selepas bebas dari belenggu dan kongkongan China, Vietnam tidak henti-henti menentang keganasan oleh kuasa-kuasa luar.

Dalam abad ke-19, Vietnam menjadi wilayah jajahan Perancis. Perancis menguasai Vietnam selepas mengadakan beberapa siri peperangan kolonial di Indochina mulai tahun-tahun 1840-an hingga ke tahun-tahun 1840-an. Pengluasan pengaruh Perancis disebabkan hasrat untuk menyaingi kebangkitan Empayar British dan keperluan mendapatkan hasil mentah seperti getah dan bijih bagi maksud menggerakkan perindustrian di Perancis untuk bersaing dengan penguasaan menyeluruh oleh industri British.

Semasa pemerintahan Perancis, segolongan rakyat Vietnam dibakar semangat nationalisme dan mahukan kemerdekaan daripada penjajahan Perancis. Beberapa pemberontakan dan tentangan dibuat oleh banyak kumpulan-kumpulan nationalis, tetapi usaha mereka gagal. Dalam tahun 1919, semasa Perjanjian Versailles sedang dirundingkan, Ho Chi Minh meminta untuk bersama-sama membuat perundingan supaya boleh menghujahkan kemerdekaan untuk Vietnam. Permintaannya ditolak dan Vietnam dan seluruh takluk Indochina terus kekal sebagai tanah jajahan Perancis.

Kumpulan penentang Viet Minh akhirnya berjaya mendapat sokongan popular dan berjaya mengusir penjajah Perancis dari bumi Vietnam. Semasa Perang Dunia II, Vietnam dikuasai oleh Tentera Jepun. Kerajaan Vichy Perancis berkerjasama dengan pihak Jepun yang menghantar bala tentera ke Indo-China sebagai pasukan berkuasa di kawasan tersebut. Kerajaan Vichy Perancis menjadi kerajaan boneka kerana kuasa pemerintahan sebenarnya di tangan pihak Jepun. Pemerintah Vichy Perancis mentadbir Indochina sehingga tahun 1944 apabila Kerajaan Vichy Peranchis tumbang selepas Tentera Berikat menakluki Perancis dan Jeneral Charles de Gaulle diangkat sebagai Pemimpin Perancis.

Setelah kerajaan Vichy Perancis tumbang, pemerintah Jepun menahan Pentadbir-pentadbir Perancis dan memalukan pembesar-pembesar kolonial di khalayak ramai. Pihak Jepun kemudiannya menggalakkan kebangkitan pergerakan nasionalis di kalangan rakyat Vietnam. Pada pengakhir Perang Dunia II, Vietnam diberikan kemerdekaan oleh pihak Jepun. Ho Chí Minh kembali ke Vietnam untuk membebaskan negaranya daripada dijajah oleh kuasa asing. Dia menubuhkan pergerakan penentang, dan menerima bantuan kumpulan OSS (yang akan berubah menjadi CIA kelak).

Pada penghujung Perang Dunia II, pergerakan Viet Minh di bawah pimpinan Ho Chí Minh berjaya membebaskan Vietnam daripada belenggu penjajah, Tetapi kejayaan itu untuk masa yang singkat sahaja. Pihak Tentera Jepun telah menawan pemerintah Perancis dan memberikan Vietnam satu bentuk “kemerdekaan” sebagai sebahagian daripada rancangan Jepun "membebaskan" bumi Asia daripada penjajahan Barat. Banyak bangunan awam diserahkan kepada kumpulan-kumpulan nasionalis.

[sunting] Ho Chi Minh Berkuasa

Tentera Perancis di Vietnam.
Tentera Perancis di Vietnam.

Di Persidangan Potsdam, pihak Berikat memutuskan Vietnam ditadbir oleh Tentera British dan China yang akan menyelia penyerahan senjata Tentera Jepun dan kepulangan mereka pulang ke Jepun. Kumpulan Viet Minh pimpinan Ho Chi Minh sebelumnya dibantu pihak Jepun di Indochina apabila para pentadbir dan pemerintah rakyat Perancis dipenjarakan. Bangunan awam juga diserahkan oleh pihak Jepun kepada kawalan oleh Viet Minh. Selepas Jepun menyerah kalah, kumpulan nasionalis Vietnam, kumpulan Komunis dan lain-lain kumpulan mengambilalih pentadbiran negeri.

Pada 2 September 1945, Ho Chi Minh mengisytiharkan penubuhan sebuah kerajaan baru Vietnam di bawah pimpinan beliau. Dalam ucapannya, beliau memetik Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat dan sebuah pancaragam memainkan lagu "The Star Spangled Banner." Ho Chi Minh yang menjadi agen Komunis Antarabangsa Ketiga sejak awal tahun 1920-an mengharapkan kerajaan Amerika Syarikat akan menyokong kerajaan baru di Vietnam, walaupun kerajaan baru itu sebuah kerajaan di bawah pengaruh Komunis. Harapan beliau Amerika Syarikat akan mengkotakan ucapan-ucapan Franklin D. Roosevelt yang menentang kolonialisme Eropah selepas Perang Dunia II. Franklin D. Roosevelt mahukan rakyat negara-negara Dunia Ketiga menentukan nasib mereka sendiri. Akhirnya, di bawah pimpinan Harry S. Truman, Amerika Syarikat menukar rentak dan tidak membantah Perancis menduduki semula tanah-tanah jajahannya, termasuk Vietnam, selepas tamat perang.

Ho Chi Minh, pemimpin Vietnam Utara.
Ho Chi Minh, pemimpin Vietnam Utara.

Kumpulan pimpinan Ho Chí Minh mengumumkan penubuhan sebuah kerajaan Vietnam, dan Maharaja Bao Dai dipaksa turun takhta. Namun demikian, kerajaan itu dapat bertahan beberapa hari sahaja. Dengan ketibaan tentera China, kerajaan pimpinan Ho Chi Minh tiada berkuasa lagi. Apabila pemerintah Perancis dibebaskan selepas Jepun menyerah diri, kuasa penjajah bertapak semula, khususnya di kawasan selatan Vietnam. Tentera Perancis mendarat semula di bahagian utara Vietnam.

Pihak mana yang berkuasa di Vietnam menjadi rumit apabila Tentera Bersekutu kembali ke Vietnam selepas bulan September 1945. Indochina dibahagikan kepada zon-zon kependudukan oleh Tentera Bitish dan Tentera China. Tentera China masuk ke kawasan Vietnam Utara selang beberapa hari selepas ucapan Ho Chi Minh mengisytiharkan kemerdekaan Vietnam. Tentera China menduduki kawasan di sebelah utara Garisan 16 darjah garis lintang (16th parallel). Pasukan Tentera British sampai dalam bulan Oktober 1945 dan menguasai kawasan-kawasan di selatan garisan lintang tersebut.

Di bahagian selatan, pihak Perancis berjaya memujuk Tentera British untuk mengembalikan kuasa kepada pihak Perancis. Pegawai-pegawai Perancis yang dibebaskan daripada penahanan Jepun dalam bulan September 1945 diambil semula sebagai pentadbir. Perancis gembira dengan Keadaan di selatan Vietnam. Di sebelah utara, kerajaan Perancis menrundingkan dengan Kerajaan Nasionalis China dan juga dengan Kumpulan Viet Minh di bawah pimpinan Ho Chi Minh. Pihak Perancis bersetuju meninggalkan Shanghai sekiranya Kerajaan Nasionalis China membenarkan Perancis menguasai semula Vietnam Utara. Ho Chi Minh dan Viet Minh bersetuju pihak Perancis kembali menduduki Hanoi sekiranya Perancis memberikan pengiktirafan kepada kemerdekaan Vietnam di dalam satu Kesatuan Perancis.

Dalam masa perundingan dijalankan, Ho Chi Minh mengambil kesempatan menghapuskan lain-lain kumpulan nasionalis Vietnam. Setelah beberapa lama berunding, tiada penyelesaian dicapai mengenai pembahagian kuasa antara Perancis dan Viet Minh. Tentera China berundur ke sempadan sendiri dan tentera Perancis masuk menguasai Hanoi. Kumpulan Viet Minh melarikan diri ke kawasan pendalaman dan pergunungan. Di sana Viet Minh menyusun satu insurgensi yang membawa kepada Perang Indochina. Perancis berperang dengan Viet Minh untuk mengembalikan penguasaan wilayah Vietnam kepada kolinialisme Perancis.

Ho Chí Minh mendapat bantuan China apabila pihak Komunis bertapak di negeri China, dan dibekalkan dengan persenjataan dan bekalan yang diperlukan oleh Ho Chi Minh untuk menjadikan pasukan gerilanya menjadi satu pasukan tentera regular.

Pasukan Viet Minh akhirnya berjaya menang besar mengalahkan tentera Perancis di pertempuran Dien Bien Phu dan pihak Perancis terpaksa merundingkan pengunduran mereka dari bumi Vietnam. Vietnam Utara yang berada di bawah Ho Chí Minh dijadikan sebuah kerajaan Komunis.

[sunting] Pembahagian Vietnam Kepada Utara dan Selatan

Viet Minh secara berperingkat bertukar menjadi satu pasukan tentera konvensional yang berkelengkapan moden. Proses perubahan ini dicepatkan apabila Republik Rakyat China berjaya mengambilalih pemerintahan negeri China. Pada mulanya Viet Minh tidak berupaya menewaskan tentera Perancis di kawasan berpenduduk di Vietnam Utara, pasukan tersebut berjaya bertapak di kawasan-kawasan yang bersempadan dengan China dan juga di kawasan pendalaman seperti di Laos. Akhirnya Viet Minh berjaya menumpaskan tentera Perancis di Dien Bien Phu, dan pihak Perancis terpaksa berundur dari Vietnam. Seluruh Indochina diberikan kemerdekaan, termasuk Laos dan Kemboja. Tetapi Vietnam dibahagikan kepada 2 bahagian berbeza, dengan garis lintang 17 darjah utara (17th parallel) sebagai garis pemisah.

Vietnam terbahagi dua – Vietnam Utara sebagai sebuah negara Komunis dipisahkan oleh sebuah kawasan bebas tentera (demilitarised zone) dengan Vietnam Selatan. Kerajaan Vietnam Selatan yang didokong oleh Amerika Syarikat, enggan mengadakan pilihanraya yang bertujuan mencantumkan semula Vietnam seperti yang dipersetujui di Persidangan Geneva 1954.

Di sebelah utara, wujud Republik Demokratik Vietnam di bawah Viet Minh, dan di selatan pula wujud Vietnam, sebuah kerajaan bukan Komunis di bawah Maharaja Bao Dai. Tidak lama selepas itu, Bao Dai digulingkan oleh Ngo Dinh Diem, yang kemudiannya menubuhkan Republik Vietnam atau lebih dikenali sebagai Vietnam Selatan. Seperti ditetapkan samasa Perjanjian Geneva 1954, pembahagian kepada dua bahagian ini adalah sementara sahaja, sementara menunggu keputusan satu pilihanraya untuk memilih ketua negara yang akan diadakan dalam tahun 1956.

Ngo Dinh Diem
Ngo Dinh Diem

Dalam tahun 1955, Ho Chi Minh melancarkan kempen untuk memusnahkan kumpulan anti-revolusioner di Vietnam Utara. Pemilik tanah dan lain-lain anti-revolusioner ditahan dan dibunuh. Bilangan mereka yang dibunuh dianggarkan oleh Stanley Karnow seramai 6,000 orang. Manakala, R.J. Rummel pula menganggarkan kematian seramai 200,000 orang.

Melihat dasar kerajaan Vietnam Utara ini, kerajaan Ngo Dinh Diem enggan merundingkan pilihan raya yang ditetapkan, dan keputusan ini disokong oleh Amerika Syarikat yang risaukan kemenangan puak Komunis. Ngo Dinh Diem juga mempersoalkan kewibawaan pilihan raya yang dikendalikan oleh pihak Vietnam Utara. Kerajaan Ngo Dinh Diem tidak menandatangani Perjanjian Geneva, ianya ditandatangani oleh bekas maharaja Bao Dai. Dengan itu, Ngo Dinh Diem merasakan tiada salah jika kerajaannya tidak menurut peruntukan Perjanjian tersebut.

Pihak Komunis memang bersiap sedia untuk menyerang Vietnam Selatan, sejak sebelum Perjanjian Geneva ditandatangani. Persiapan ini dibuat sekiranya penyatuan tidak dapat dicapai melalui kemenangan dalam pilihanraya. Ho Chi Minh memerintahkan beribu-ribu orang agen Komunis untuk menyusup masuk ke Vietnam Selatan, dan menyediakan tempat tersembunyi untuk simpanan senjata.

Dalam musim panas 1955, Ngo Dinh Diem melancarkan kempen mengecam Komunis, bila mana anasir Komunis dan anasir-anasir anti kerajaan telah ditahan ataupun dibunuh. Dalam masa ini, penghijrahan besar-besaran berlaku. Dianggarkan 100,000 orang berhijrah daripada kawasan selatan ke Vietnam Utara, dan lebih 1 juta berhijrah dari Vietnam Utara ke selatan. Dalam bulan Januari 1959, Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Vietnam meluluskan resolusi sulit memberikan kuasa untuk perjuangan bersenjata di Vietnam Selatan.

Ho Chi Minh menerima hantaran senjata dan peralatan lain daripada Kesatuan Soviet dan China melalui Pelabuhan Haiphong. Peralatan dan senjata ini kemudiannya dihantar melalui Laluan Truong Son (dipanggil Laluan Ho Chi Minh oleh pihak Amerika Syarikat) kepada NLF and Viet Cong di Vietnam Selatan. Laluan Truong Son ini melalui negara jiran Laos dan Kemboja, dan berakhir kira-kira 50 km di luar Saigon. Ini merumitkan keadaan, dan Amerika Syarikat tertekan kerana tidak dapat menyerang laluan ini tanpa memasuki ataupun menakluki kawasan negara-negara tersebut. Dalam masa yang sama, Laos dan Kemboja sendiri menghadapi pemberontakan oleh kumpulan-kumpulan Komunis di negara mereka. Di Laos, kumpulan Pathet Lao dipengaruhi dan dilengkapkan oleh Vietnam Utara. Kemboja secara rahsia membenarkan kawasannya digunakan oleh Vietnam Utara untuk penghantaran bekalan kepada pemberontak di Vietnam Selatan.

Apabila tentangan kepada pemerintahan Ngo Dinh Diem semakin kuat dan terbuka, Vietnam Utara mencetuskan satu insurgensi di Vetnam Selatan. Barisan Pembebasan Kebangsaan (National Liberation Front) diuruskan, dibaiyai dan diberikan perbekalan oleh Vietnam Utara. Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan Republik Rakyat China semakin terlibat.

Insurgensi Secara Terbuka

Dalam bulan Disember 1960, dengan arahan diberikan dari Hanoi, anasir Komunis di Vietnam selatan menubuhkan Barisan Pembebasan Kebangsaan NLF untuk menggulingkan kerajaan Vietnam Selatan. Barisan Pembebasan Kebangsaan terdiri daripada dua kumpulan berbeza (i) para intelek Vietnam Selatan, seperti Truong Nhu Tang, yang menentang kerajaan pimpinan Ngo Dinh Diem dan (ii) anasir Komunis seperti Nguyen Thi Binh, yang terus tinggal di Vietnam Selatan selepas pembahagian Vietnam dan penghijrahan beramai-ramai tahun 1954 dan dibantu oleh anasir Komunis yang dihantar ke selatan oleh Viet Minh. Tentera Vietnam Utara menguasai sebahagian besar wilayah timur negara [[Laos] dan membekalkan NLF dengan senjata melalui Laluan Ho Chi Minh.

Pada mulanya, kerajaan Presiden diem menunjukkan keupayaan menangani insurgensi dengan bantuan penasihat-penasihat tentera Amerika Syarikat. Dalam tahun 1962, Vietnam Selatan seakan-akan sedang menang dalam perjuangan menentang insurgensi. Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat mendapat laporan positif daripada Gen. Paul D. Harkins, pegawai pemerintah Ketumbukan Bantuan ketenteraan (Military Assistance Command, Vietnam) ataupun MACV. President John F. Kennedy menambah bilangan "penasihat" Amerika Syarikat dengan harapan tentera Amerika dapat mengalahkan insurgensi seperti yang berjaya dicapai oleh pasukan keselamatan Tentera British di Malaya semasa Darurat.

Pertempuran Di Ap Bac

Ap bac : CH-21 dan Huey terhempas di sawah padi
Ap bac : CH-21 dan Huey terhempas di sawah padi

Pada 2 Januari, 1963 pertempuran besar-besaran yang pertama berlaku di Ap Bac di antara pasukan ARVN (Tentera darat Republik Vietnam) seramai 1,400 orang anggota dan pasukan Komunis Vietnam Selatan seramai 350 orang. Tentera ARVN mengalami kekalahan teruk dan mengalami 83 anggota terkorban dan 108 orang lain cedera sementara pihak tentera Komunis berjaya melepaskan diri dengan hanya 18 orang anggota terkorban.

Pertempuran Ap Bac dalam tahun 1963 menunjukkan peningkatan insurgensi di Vietnam Selatan kesan daripada perolehan anggota, senjata dan bekalan daripada Vietnam Utara. Pemberontakan kini dibuat secara terang-terangan. Presiden Ngo Dinh Diem kian dibenci oleh rakyat kerana kerajaannya menganjurkan nepotisme dan korupsi. Kerajaan Presiden Ngo Dinh Diem juga berat sebelah kepada minoriti beragama Kristian dengan membelakangkan kumpulan majoriti yang beragama Buddha. Kerajaan Amerika Syarikat mulai yakin bahawa Presiden Diem tidak akan berupaya menewaskan Vietnam Utara. Bahkan Amerika Syarikat mengesyaki Presiden Ngo Dinh Diem akan membuat perjanjian dengan Vietnam Utara.

Putera Sihanouk dan Pakatannya

Dalam tahun 1965, Putera Sihanouk dari Kemboja membuat pakatan dengan China dan Vietnam Utara membolehkan tentera Vietnam Utaramenubuhkan pengkalan tentera yang tetap di Kemboja. Vietnam Utara dan China juga boleh menggunakan Pelabuhan di Sihanoukville untuk hantaran senjata dan perbekalan tentera. Dalam tahun 1970, Putera Sihanouk digulingkan oleh Perdana Menteri Lon Nol dan laluan melalui Sihanoukville tidak lagi dibenarkan. Dalam masa itu, Laluan Ho Chi Minh telah dibangunkan dan kini boleh mengendalikan lori dan trak tentera. Laluan Ho Chi Minh menjadi nadi penting bagi NLF di Vietnam Selatan dan menjadi sasaran serangan udara oleh Tentera Udara Amerika Syarikat

[sunting] Prinsip Perjuangan

Kerajaan Vietnam Selatan dan sekutunya terdiri dari negara-negara Barat mencerminkan konflik ini sebagai penggunaan kuasa tentera sebagai cara untuk mengubah suasana politik melalui tentangan prinsip Komunisme bagi membolehkan mereka menyekat pengluasan pengaruh Komunisme oleh Soviet Union dan China di Asia Tenggara. Ini mencorakkan bentuk penentangan kuasa besar di masa-masa akan datang.

Kerajaan Vietnam Utara melihat peperangan ini sebagai satu perjuangan untuk menyatukan semula negara Vietnam di bawah pimpinan sebuah negara sosialis dan untuk menghalau pencoroboh asing – sebagai ikutan kepada penentangan mereka terhadap penjajahan Perancis.

[sunting] Campur Tangan Amerika

[sunting] Penglibatan Amerika Semasa Presiden Harry S Truman

Semasa Perang Dunia II, Office of Strategic Services atau OSS (kini CIA) memberikan bantuan ketenteraan kepada Ho Chi Minh. Selepas tamat Perang Dunia II, Amerika Syarikat melihat Viet Minh dengan kesangsian, kerana pegangan Komunisme Viet Minh. Walaupun demikian, pegawai-pegawai OSS masih ditugaskan untuk tujuan penyelarasan dengan Viet Minh. OSS memberikan bantuan kepada Viet Minh untuk menguruskan penghantaran pulang anggota tentera Amerika yang telah menjadi tawanan perang Jepun dan ditahan di Vietnam. Pada 26 September 1945, Lt. Col. A. Peter Dewey [1] seorang pegawai OSS ditembak mati oleh Viet Minh, menjadikan beliau anggota tentera pertama terbunuh di Vietnam.

Dengan tercetusnya Perang Korea, Presiden Harry S. Truman meningkatkan bantuan ketenteraan kepada kerajaan Perancis untuk memungkinkan kemenangan Perancis mengatasi pemberontakan oleh Viet Minh. Harry S. Truman mengumumkan "acceleration in the furnishing of military assistance to the forces of France and the Associated States in Indochina…" dan menghantar 123 orang pegawai tentera ke Vietnam untuk membantu Perancis di dalam peranan bukan tempur. Dalam tahun 1951, Presiden Harry S. Truman membuat sumbangan $150 juta untuk membantu membiayai kos perang Perancis di Vietnam.

[sunting] Penglibatan Amerika Semasa Presiden Dwight D. Eisenhower 1953–1961

Presiden Dwight D. Eisenhower menggunakan kuasa dan prestij Tentera Amerika Syarikat untuk membantu penubuhan sebuah kerajaan bukan Komunis di Vietnam Selatan. Pentadbiran Eisenhower amat risau akan kejayaan pihak Komunis bertapak dan meluaskan pengaruhnya di Asia Tenggara. Amerika Syarikat mengalami 142,000 orang anggota tentera terbunuh di Korea dalam usaha membantutkan kemaraan Komunisme di Semenanjung Korea. Di Malaya, Pentadbiran Eisenhower melihat Tentera British dan anak-anak watan Malaya bergelut menentang pemberontakan oleh Parti Komunis Malaya. Amerika Syarikat melihat ini sebagai sebahagian daripada rancangan besar Komunisme untuk bertapak dan menular ke seluruh pelosok dunia.

Pentadbiran Eisenhower tidak mahukan pengorbanan besar di Korea akan menjadi sia-sia sekiranya Komunisme berjaya bertapak di Asia Tenggara. Tetapi Pentadbiran Eisenhower menghadapi kesukaran mendapatkan sokongan ramai untuk melibatkan diri dalam satu lagi peperangan selepas Perang Korea. Dwight D. Eisenhower menggunakan pasukan-pasukan kecil "penasihat tentera" dipanggil Kumpulan Bantuan Penasihat Tentera (Military Assistance Advisory Group) ataupun MAAG ke Vietnam Selatan untuk membantu Vietnam Selatan menentang kemaraan Komunisme.

Pada 1 November 1955, Dwight D. Eisenhower menghantar kumpulan pertama MAAG ke Vietnam Selatan untuk memberikan latihan kepada Tentera Vietnam Selatan (ARVN). Ini merupakan permulaan pembabitan rasmi Amerika Syarikat di dalam perang Vietnam. Pada 8 Julai, 1958, Charles Ovnand and Dale R. Buis menjadi anggota MAAG pertama terbunuh semasa bertugas di Vietnam. [2] [3]

[sunting] John F. Kennedy - Perkembangan Dasar Kawalan

Dalam bulan Jun 1961, John F. Kennedy bertemu Nikita Khrushchev di Vienna, Austria. Mereka bercanggah pendapat dalam perkara-perkara dasar berkaitan isu-isu Amerika-Soviet. Perjumpaan itu menyakinkan Presiden John F. Kennedy dan para analisis seperti John Kennan bahawa Asia Tenggara akan menjadi medan di mana Soviet Union akan menguji keazaman Amerika Syarikat menguatkuasakan dasar mengawal pengaruh Komunis (containment policy) yang dimulakan oleh Pentadbiran Truman dan dikuatkan oleh kebuntuan penguasaan Komunis semasa Perang Korea.

Thích Quảng Ðức membakar dirinya hidup-hidup sebagai membantah Perang Vietnam. Menurut David Halberstam, "Semasa dia terbakar dia langsung tidak bergerak, tidak mengeluarkan bunyi"
Thích Quảng Ðức membakar dirinya hidup-hidup sebagai membantah Perang Vietnam. Menurut David Halberstam, "Semasa dia terbakar dia langsung tidak bergerak, tidak mengeluarkan bunyi"

John F. Kennedy berminat dengan konsep penggunaan Pasukan Khas untuk operasi tindakan cegah insurgensi (counterinsurgency). John F. Kennedy melihat kejayaan Tentera British menangani Darurat di Malaya sebagai satu pencontoh cara mana insurgensi dapat ditewaskan. Pasukan Special Forces Tentera Amerika ditubuhkan sebagai pasukan gerila yang menjalankan peperangan bukan konvesional di belakang barisan musuh di Eropah, John F. Kennedy percaya pasukan Green Berets boleh memberikan kesan besar menjalankan peperangan kecil-kecilan (dipanggil “brush fire” oleh Pentadbiran Kennedy) di Vietnam.

Dalam bulan Mei, 1961John F. Kennedy menghantar 400 orang anggota Green Beret ke Vietnam Selatan sebagai "Penasihat Khas" untuk melatih ARVN. John F. Kennedy juga membenarkan juruterbang Amerika syarikat membuat penerbangan tempur sambil berpura-pura melakukan misi latihan penerbangan. Pada 20 Januari 1961 Presiden Perancis, Charles de Gaulle memberitahu Presiden John F. Kennedy "I predict you will sink step by step into a bottomless quagmire, however much you spend in men and money". [4] [5]

John F. Kennedy menghadapi krisis besar dalam tiga bahagian ketika itu, (i) kegagalan operasi Bay of Pigs di Cuba (ii) pemisahan Berlin dengan pembinaan Tembok Berlin (iii) penyelesaian secara rundingan di antara Kerajaan pro-Barat di Laos dengan kumpulan Komunis Pathet Lao di Laos. John F. Kennedy takutkan kegagalan Amerika Syarikat mengawal pengluasan pengaruh Komunis di Indochina akan melumpuhkan kredibiliti Amerika Syarikat. John F. Kennedy berazam untuk berpatah arang menghalang kemenangan pihak Komunis di Vietnam. Kata John F. Kennedy, “Now we have a problem in making our power credible and Vietnam looks like the place”. [6]

Pentadbiran Kennedy semakin hampa dengan Presiden Ngo Dinh Diem. Dalam tahun 1963, tindakan keras ke atas sami-sami Buddha yang membantah tindakan kerajaannya mencetuskan peristiwa di mana sami-sami membakar diri mereka hidup-hidup di hadapan pemberita-pemberita antarabangsa. Peristiwa yang mendapat liputan meluas adalah peristiwa membakar diri hidup-hidup oleh Thích Quảng Ðức untuk membantah kekejaman tindakan Presiden Ngo Dinh Diem ke atas kumpulan sami Buddha. Anasir-anasir Komunis mengambil kesempatan untuk menabur fitnah dan dakyah untuk membangkitkan kemarahan penganut fahaman Buddha dan mencetus ketidakstabilan sosial.

Pentadbiran Kennedy cuba memberi tekanan kepada Ngo Dinh Diem dengan meminta Pegawai-pegawai ARVN bertindak menentang tindakan melampau ke atas pembantah Buddha tetapi tidak mendapat sokongan. Ngo Dinh Diem juga keras hati dan tidak selalunya mahu menerima “nasihat” oleh pegawai Tentera Amerika, sebaliknya membuat keputusan sendiri.

Dalam bulan November 1963, kedutaan Amerika Syarikat di Saigon memberikan petanda kepada pengkomplot bahawa Amerika Syarikat tidak ada halangan untuk menggulingkan Ngo Dinh Diem daripada berkuasa. Presiden Ngo Dinh Diem digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera dan dihukum bunuh. Keadaan keselamatan menjadi huru hara dan Vietnam Utara mengambil kesempatan untuk menguatkan kedudukan konco dan anasirnya di Vietnam Selatan.

Vietnam Selatan seterusnya melalui satu tempoh ketidakstabilan, dengan pemerintahan tentera yang saling berganti. Amerika Syarikat semakin runsingkan keadaan dan meningkatkan bilangan anggota penasihat tenteranya di Vietnam. Secara perlahan, Amerika Syarikat ditarik masuk ke dalam kemelut perang di Vietnam. Tujuh kerajaan mengambil kuasa dalam tahun 1964. Dalam tempoh 16 Ogos hingga 3 September sahaja, kerajaan bertukar sebanyak 3 kali. Peralihan ini hanya menguatkan pergerakan Vietcong dan anasir Viet Minh. Mereka menggunakan sepenuhnya kekosongan kuasa ini untuk menguatkan kedudukan mereka dan mengumpulkan lagi bekalan senjata dan peralatan lain.

[sunting] Lyndon B. Johnson Dan Peningkatan Penyertaan Amerika Syarikat

Dalam bulan Jun, 1964 Presiden Lyndon B. Johnson melantik Jeneral William Westmoreland menggantikan Paul D. Harkins sebagai Pemerintah MAAG di Vietnam. Di bawah pimpinan Westmoreland, bilangan anggota Tentera Amerika meningkat dari 16,000 orang anggota dalam tahun 1964 kepada lebih 500,000 orang selepas Serangan Tet dalam tahun 1968. Peningkatan dibuat secara berperingkat oleh Westmoreland. Peningkatan pertama berlaku pada 27 Julai, 1964, apabila 5,000 orang penasihat tentera dikerah ke Vietnam, menjadikan jumlah anggota seramai 21,000 kesemua.

Insiden Teluk Tonkin

Gambar Foto diambil Dari USS Maddox Semasa Serangan oleh 3 Buah bot Penyerang Torpedo Vietnam Utara
Gambar Foto diambil Dari USS Maddox Semasa Serangan oleh 3 Buah bot Penyerang Torpedo Vietnam Utara

Peningkatan mendadak berlaku selepas Insiden Teluk Tonkin pada tarikh-tarikh 2 Ogos 1964 hingga 4 Ogos [1964]]. Dalam insiden ini Presiden Johnson mendakwa kapal pemusnah USS Maddox dan USS C. Turner Joy dari Pasukan Petugas Tentera Laut Amerika telah diserang oleh bot penyerang pembawa torpedo milik Vietnam Utara. Sebelum itu, tidak ada sengketa secara berdepan di antara Amerika Syarikat dan Vietnam Utara. Kesahihan dakwaan serangan ini menjadi bahan perdebatan sehingga kini. (Laporan yang disebarkan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan (National Security Agency) dalam tahun 2005 menunjukkan tidak ada serangan dibuat pada 4 Ogos 1964 seperti yang didakwa Johnson)

Ekoran dari serangan ini, Senat Amerika Syarikat meluluskan Resolusi Teluk Tonkin pada 7 Ogos 1964, yang memberikan sokongan dan kuasa meluas kepada Presiden Johnson untuk membantu mana-mana kerajaan Asia Tenggara yang diancam oleh penggulingan Komunis. Resolusi ini memberikan mandat kepada Presiden Johnson untuk meningkatkan penglibatan Amerika Syarikat di Vietnam, “mengikut ketetapan yang dibuat oleh Presiden”, tetapi dengan tidak mengisytiharkan keadaan perang. Resolusi ini diluluskan sebulat suara oleh Dewan Perwakilan (House of Representatives) dan di Kongres, hanya 2 bantahan diterima dari Wayne Morse (Oregon) dan Ernest Gruening (Alaska). Morse menyatakan bahawa sejarah akan menunjukkan bahawa beliau dan Gruening bertindak untuk mempertahankan kepentingan rakyat Amerika.

Presiden Johnson dalam ucapan di televisyen membahaskan bahawa cabaran yang dihadapi di Asia Tenggara sama seperti cabaran di Greece, Turki, Berlin, Korea, Lubnan dan Cuba. Pada 28 November, 1964 Majlis Keselamatan Kebangsaan di anggotai oleh Robert McNamara, Dean Rusk, dan Maxwell D. Taylor membuat cadangan saranan supaya peningkatan dibuat saranan kepada Presiden Johnson menggunakan pelan 2 peringkat bagi peningkatan campurtangan Amerika Syarikat di Vietnam. Dengan peningkatan pembabitan Amerika Syarikat di Vietnam, mengikut komitmen di bawah Perjanian SEATO, Australia dan New Zealand bersetuju menyumbang anggota tentera dan bahan peperangan kepada usaha ketenteraan di Vietnam.

Australia memperkenalkan kerahan tentera akhir tahun 1964, melibatkan mereka yang berumur 20 tahun untuk mendaftar. Pemilihan akan dibuat melalui cabutan di bawah Skim Khidmat Negara (National Service Scheme). Pemilihan akan dibuat setiap 3 hingga 6 bulan dan mereka yang dilahirkan pada tarikh loteri tersebut perlu menghadiri pemeriksaan fizikal dan psikologi. Mereka yang lulus pemeriksaan akan dihantar ke Vietnam untuk berkhidmat selama 2 tahun.

Memilih Strategi

Sepanjang musim gugur dan musim sejuk tahun 1964, Pentadbiran Johnson membahaskan strategi terbaik untuk memerangi pengaruh komunis di Vietnam. Majlis Ketua-Ketua Turus Angkatan Tentera mahu meningkatkan penggunaan pesawat Tentera Udara Amerika di Vietnam Utara untuk membantu penstabilan kerajaan di Vietnam Selatan. Penganalisis awam di Pentagon mahukan kekerasan dikenakan secara berperingkat menggunakan pengeboman yang terpilih yang terhad. Penolong Setiausaha Negara George Ball tidak bersetuju dan menuduh dasar oleh Pentadbiran Johnson terlampau menekan dan hanya memberikan pulangan yang tidak berbaloi.

Pesawat C-7 Caribou Tentera Amerika di Pengkalan Pleiku
Pesawat C-7 Caribou Tentera Amerika di Pengkalan Pleiku

Selepas Insiden Teluk Tonkin, Johnson mengumumkan bahawa Amerika tidak mahukan perang yang lebih meluas. Vietnam Utara pula mula menghantar anggota-angota terlatih dari Tentera Rakyat Vietnam (PAVN) ke Vietnam Selatan. Mereka menyelaras pergerakan dengan Vietcong. Pada 7 Februari, 1965, mereka melancarkan serangan ke atas sebuah pengkalan helikopter Amerika di Pleiku dan mengakibatkan 8 anggota tentera terbunuh, 126 orang cedera dan 10 buah helikopter musnah. Pada 10 Februari 1965, mereka membuat serangan lain ke atas kediaman tentera amerika di Qui Nhon, dan berjaya membunuh 23 orang tentera Amerika dan mencederakan 21 orang yang lain. Serangan ini dibuat semasa lawatan Aleksey Kosygin, Perdana Menteri Soviet Union ke Hanoi untuk berusaha memujuk Vietnam ke meja perundingan. Aleksey Kosygin menghentikan usaha damainya selepas serangan tersebut dan sebaliknya menjanjikan kepada Vietnam Utara bantuan tentera tanpa bersyarat.

Selepas serangan ini, Johnson mengarahkan serangan balas dengan pengeboman dari udara dilancarkan. Penasihat Presiden Johnson, khususnya McGeorge Bundy dan Robert McNamara percaya pentingnya dilancarkan serangan udara yang intensif ke atas Vietnam Utara untuk menunjukkan balasan bakal diterima sekiranya Vietnam Utara menyokong NLF. Operasi Flaming Dart merupakan kali pertama serangan udara ke atas Vietnam Utara dilakukan sebagai balasan kepada serangan ke atas pengkalan Amerika di selatan. Serangan juga dimulakan ke atas sasaran Vietcong and PAVN di Vietnam Selatan. Tentera Amerika juga melengkapkan pengkalan Da Nang dengan misil darat ke udara jenis Hawk sebagai langkah berwaspada seandainya Hanoi hendak melancarkan serangan udara ke atas pengkalan tersebut. Melihat perkembangan ini, Soviet Union membekalkan misil Da Nang jenis SAM-2 dan SAM-3 ke Vietnam Utara.

Pada 2 Mac 1965, Johnson memberi kelulusan untuk memulakan serangan berterusan ke atas Vietnam Utara. Oleh kerana pasukan ARVN dianggap terlalu lemah untuk memberikan perlindungan, anggota pasukan tempur Amerika diperlukan untuk mengadakan kawalan keselamatan di pengkalan-pengkalan udara yang digunakan tentera Amerika. Pada 8 Mac, 1965, kumpulan pertama terdiri dari 3,500 orang anggota Merin dari Rejimen ke-9 Kor Merin mendarat di Da Nang. Pada akhir bulan April, mereka diikuti oleh 56,000 anggota tentera tambahan. Pada akhir bulan Jun, tambahan tentera meningkat kepada 74,000 orang.

Peningkatan Bilangan Tentera Amerika

Pada permulaan bulan Mac 1965, bilangan tentera Amerika di Vietnam berjumlah 25,000 orang penasihat tentera. Pendaratan oleh Rejimen ke-9 Kor Marin Amerika di Da Nang pada 8 Mac, 1965 merupakan titik tolak peningkatan campur tangan tentera Amerika di Vietnam. Peperangan udara juga ditingkatkan. Pada 24 Julai 1965, 4 buah pesawat MCDonnell Douglas F-4C Phantom II yang mengiringi misi pengeboman di Kang Chi diserang oleh misil darat ke udara Vietnam Utara. Ini merupakan pertama kali pesawat udara Amerika diserang. Sebuah pesawat ditembak jatuh. Empat hari kemudian Presiden Johnson mengarahkan supaya bilangan tentera Amerika ditingkatkan kepada 125,000. Pada 29 Julai, 1965, 4,000 anggota dari Divisyen Ke-101 (Airborne) mendarat di Vietnam melalui Pelabuhan Teluk Cam Ranh.

Operasi “Starlite” yang dilancarkan pada 18 Ogos 1965 adalah pertempuran pertama melibatkan pasukan tempur darat Amerika dan melibatkan 5,500 anggota Marin berjaya memusnahkan kubu Viet Cong di daerah Quảng Ngãi. Selepas pertempuran ini Viet Cong mengelakkan daripada bertempur mengikut cara yang dikehendaki oleh Tentera Amerika.

Vietnam Utara menghantar pasukan tentera mereka (PAVN) ke Vietnam Selatan untuk melancarkan serangan gerila dan konvensional. Mereka berharap dapat mengikis sedikit demi sedikit kekuatan ARVN dan akhirnya menghapuskan ARVN. Sebilangan pemimpin Vietnam Utara hendak melancarkan serangan besar-besaran di Tanah Tinggi Vietnam (central Highlands) menggunakan PAVN untuk memecahkan Vietnam Selatan menjadi dua bahagian.

Pertempuran Lembah Ia Drang

Tetapi kuasa tembak yang ditunjukkan oleh pasukan Amerika semasa Pertempuran Lembah Ia Drang (lihat filem “We Were Soldiers”) menyebabkan PAVN mengalami kerugian besar. Selepas itu PAVN tidak lagi mencabar tentera Amerika dalam peperangan konvesional di mana tentera Amerika dapat menggunakan taktik perang dan kuasa tembak mereka yang jauh lebih baik daripada apa yang boleh digunakan oleh PAVN di Vietnam Selatan.

Pertempuran di Lembah Ia Drang melibatkan Divisyen Kavalri Udara memaparkan pertama kalinya pertemuan di antara formasi tentera Amerika dengan unit pasukan regular PAVN. Batalion Pertama, Rejimen ke-7 Kavalri (Bn 1/7) di bawah pimpinan Lt. Kolonel Hal Moore menggunakan pergerakan dengan helikopter, bantuan pengeboman dari udara dan bantuan tembakan artileri medan dengan berkesan untuk menyerang dan menewaskan Rejimen ke-33, ke-66 dan ke-320 PAVN. [7] Selepas 3 hari bertempur, Bn 1/7 Kavalri mengalami 79 anggota terbunuh dan 121 cedera, tetapi berjaya memaksa Divisyen PAVN tersebut berundur kerana mengalami jumlah korban yang terlalu tinggi.

PAVN mempelajari bahawa kuasa tembakan artileri Amerika boleh diatasi dengan membuat tempur berhampiran kedudukan tentera Amerika supaya mereka tidak dapat memanggil bantuan artileri kerana mungkin terkena kedudukan sendiri. Keberkesanan taktik ini dilihat pada keesokan harinya apabila PAVN menggunakan taktik untuk membuat serang hendap menewaskan Bn 2/7 Kavalri di LZ Albany, dan pada 17 November 1965. Dalam pertempuran itu, tentera Amerika mengalami 155 terbunuh and 126 cedera, jumlah paling ramai terbunuh dalam sesuatu hari di sepanjang Perang Vietnam.

Pertempuran di Lembah Ia Drang penting kerana memberikan manfaat pengajaran kepada PAVN; walaupun mengalami jumlah korban yang tinggi, mereka mempelajari cara mana mengatasi kelebihan kuasa tembakan yang ada di tangan pasukan tentera Amerika. Lt. Kolonel Hal Moore sendiri berpendapat bahawa pertempuran itu berkeputusan seri. [8] Selepas Pertempuran di Lembah Ia Drang, PAVN tidak lagi mencabar pasukan Amerika dalam pertempuran terbuka. Selepas Ia Drang

Selepas Pertempuran di Lembah Ia Drang, Pentagon amat merasa yakin bahawa kuasa tembakan tentera Amerika lebih baik daripada PAVN. Mereka mengumumkan penggunaan operasi besar-besaran berkesan menewaskan Viet Cong dan PAVN. Untuk maksud ini, Pentagon meminta pertambahan anggota tentera dari 120,000 kepada 400,000 orang. Pada akhir tahun 1965, bilangan tentera Amerika di Vietnam mencecah 184,000 orang.

Dalam bulan Februari 1966, Jeneral William Westmoreland bertemu Presiden Johnson di Hawaii. Westmoreland bertegas bahawa kehadiran tentera Amerika telah berjaya menghalang kejatuhan kerajaan Vietnam Selatan. Westmoreland meminta penghantaran lebih ramai anggota tentera untuk membolehkannya menyerang dan seterusnya menghapuskan ancaman Komunis ke atas Vietnam Selatan.

Westmoreland mendakwa dengan tambah anggota tentera, beliau akan dapat, awal tahun 1967, mempastikan titik lintas di mana jumlah korban Viet Cong dan PAVN terlalu berat dan tidak boleh digantikan. Dengan itu, kemenangan boleh menjadi kenyataan. Presiden Johnson yakin dengan dakwaan Westmoreland dan memberikan kuasa supaya bilangan tentera Amerika di Vietnam ditambah kepada 429,000 orang menjelang Ogos 1966. Peningkatan mendadak bilangan tentera penempur Amerika membolehkan Westmoreland menjalankan operasi “cari dan musnah” mengikut strategi pelumpuhan yang menekankan kematian ramai anggota musuh supaya mematahkan semangat juang Viet Cong dan PAVN.

Operasi Rolling Thunder (1965–1968)

Rolling Thunder adalah siri misi pengeboman yang berterusan ke atas sasaran-sasaran di Vietnam Utara, dan dilaksanakan oleh unit-unit Tentera Udara Amerika dan Tentera Laut Amerika. Tujuan misi pengeboman ini adalah untuk (a) mematahkan semangat juang rakyat Vietnam Utara, (b) memusnahkan pusat-pusat industri di Vietnam Utara, (c) memusnahkan sistem pertahanan udara Vietnam utara, khususnya sistem misil darat ke udara di sekitar Hanoi, dan (d) untuk menyekat pergerakan anggota dan bekalan di Laluan Ho Chi Minh.

Tetapi Pentadbiran Johnson menghadkan kawasan operasi pesawat pengebom yang ditugaskan. Umpamanya, Pelabuhan Haiphong dan kawasan sempadan China tidak dibenarkan diserang, walaupun kawasan tersebut merupakan pintu masuk bekalan ketenteraan ke Vietnam. Kawasan tertentu seperti Dewan Perwakilan di Hanoi juga tidak dibenarkan diserang. Kawasan Awam juga dikecualikan daripada serangan. Vietnam Utara menggunakan kesempatan menempatkan bekalan tentera di kawasan awam dan kawasan yang dikenalpasti tidak boleh diserang oleh Tentera Udara Amerika untuk dijadikan tempat simpanan bekalan dan tempat penempatan kelengkapan tentera. Umpamanya, meriam anti kapal terbang diletakkan di kawasan sekolah kerana tidak mungkin diserang oleh Tentera Udara Amerika.

Kehebatan serangan ditingkatkan hanya secara beransur-ansur, tetapi pada kecepatan yang terlalu lembab sehingga membolehkan Vietnam Utara menyesuaikan diri dan taktik peperangan mereka sejajar dengan peningkatan misi pengeboman.

Pada 31 Mac, 1968 selepas Serangan Tet, Rolling Thunder dihadkan kawasan serangannya untuk menggalakkan Vietnam Utara mengadakan perundingan damai. Misi pengeboman digantung sepenuhnya pada 31 Oktober 1968 sejurus sebelum Pemilihan Presiden Amerika Syarikat 1968.

Kejayaan Tentera Amerika

Dalam bulan Januari 1966, Divisyen Pertama Kavalri berjaya membunuh 1,342 orang gerila Viet Cong dalam Ops Masher/White Wing di wilayah Binh Dinh. Gerakan ini berterusan sehingga bulan Oktober dan seramai 1,000 orang gerila Viet Cong terbunuh. Di sebelah utara Vietnam Selatan, PAVN masuk ke wilayah Quang Tri. Oleh kerana bimbangkan serangan PAVN ke atas kota Quang Tri, pasukan Marin Amerika melancarkan Ops Hastings, yang berjaya memaksa PAVN berundur semula ke kawasan bebas tentera (DMZ). Operasi cari dan musnah dilakukan oleh tentera Amerika, dan ARVN ditugaskan untuk membuat kerja-kerja pendamaian (pacification)

Pada 12 Oktober, 1967, Setiausaha Negara Amerika Dean Rusk mengumumkan bahawa cadangan perdamaian dengan Vietnam Utara sia-sia kerana keengganan Vietnam Utara untuk duduk di meja rundingan. Vietnam Utara berkeras supaya Amerika Syarikat terlebih dahulu menjatuhkan kerajaan Vietnam Selatan dan seterusnya meninggalkan Vietnam. Pada 17 November, 1967, selepas terlebih dahulu meminta pandangan daripada kumpulan “Wise Men”, Presiden Johnson mengumumkan bahawa Amerika sedang mencapai kemajuan dalam Perang Vietnam. Jeneral Westmoreland mengesahkan pada 21 November bahawa “Amerika sedang menang”.

Pengepungan Khe Sanh

Pergerakan PAVN dibolehkan kerana pergerakan bebas kumpulan perbekalan di sepanjang Laluan Ho Chi Minh. Khe Sanh pada mulanya diasaskan dalam tahun 1962 oleh satu kumpulan Green Beret dalam bulan Julai 1962. Dalam tahun 1964, pasukan Marin mula menghantar unit-unit ke Khe Sanh dan menjalankan operasi di kawasan sekitar. Dalam bulan Oktober 1964, kumpulan Striker (orang asli Montagnard yang diupah oleh Green Beret) mengesahkan pergerakan tentera PAVN di Laluan Ho Chi Minh, bukti kukuh pertama bahawa Vietnam Utara menyusup anggota ke Vietnam Selatan melalui Laluan Ho Chi Minh.

Dalam bulan September 1966, Pasukan Marin mengambil alih sepenuhnya pengkalan tempur Khe Sanh, dengan dilengkapkan dengan landasan terbang membolehkan pesawat pengangkut mendarat. Pengkalan tempur di Khe Sanh boleh mengancam Laluan Ho Chi Minh. Pengukuhan pengkalan Khe Sanh adalah untuk menarik PAVN menyerang pengkalan tersebut, membolehkan tentera Amerika menggunakan kesemua sumber perang untuk menewaskan PAVN. Pengkalan itu juga digunakan sebagai tempat pelancaran serangan ke atas Laluan Ho Chi Minh. Laluan ho Chi Minh juga dipasangkan dengan pengimbas elektronik yang membolehkan Amerika mengesan pergerakan di sepanjang Laluan Ho Chi Minh.

Pada kepimpinan Vietnam Utara, Khe Sanh adalah satu ancaman yang perlu diketepikan. Mereka melihat kebarangkalian untuk mengulangi kejayaan mereka di Dien Bien Phu semasa Perang Indochina Pertama untuk mengalahkan dengan teruk tentera Amerika. Selama beberapa bulan, pasukan Marin dan PAVN mengatur unit-unit mereka di sekitar Khe Sanh. Pada 21 Januari 1968, PAVN memulakan serangan besarnya yang pertama. Serangan demi serangan PAVN dapat dipatahkan dengan PAVN mengalami kerugian besar. PAVN juga diserang dengan hujan bom daripada pesawat pengebom B-52, bantuan udara terdekat oleh jet penyerang dan juga oleh bedilan artileri . Apabila Pengepungan Khe Sanh tamat dalam April 1968, 8,000 anggita PAVN terbunuh dan ramai yang lain cedera. Khe Sanh masih kukuh dan PAVN tidak dapat memutuskan perbekalan senjata dan bekalan ke Khe Sanh. Pengepungan Khe Sanh tamat apabila Divisyen Kavalri Udara melancarkan Ops Pegasus.

Berbeza dengan Dien Bien Phu, Amerika berupaya meneruskan pembekalan Khe Sanh kerana boleh menggunakan banyak pengangkut seperti C-119 Flying Boxcar, C-123 Provider, C-7 Caribou dan pesawat C-130 Hercules. Amerika juga mempunyai bilangan helikopter yang banyak dari jenis CH-47 Chinook dan helikopter UH-1 Huey. Pengepungan Khe Sanh memaksa AVN mengalihkan sumber daripada Serangan Tet dan mengurangkan kesan serangan tersebut.

Signifikan Pengepungan Khe Sanh

Pengepungan Khe Sanh dianggap satu kemenangan psikologi bagi tentera Amerika. Walaupun dikaitkan dengan kebarangkalian berulangnya situasi seperti Dien Bien Phu, Khe Sanh akhirnya menghampakan PAVN kerana hanya 2 rejimen Marin terkepung di Khe Sanh. Tidak seperti Dien Bien Phu, garison Marin di Khe Sanh secara berterusan dibekalkan oleh pesawat pengangkut Tentera Udara Amerika dan helikopter tentera darat dan Marin. Di saat genting apabila tembakan meriam anti kapal terbang begitu banyak, perbekalan masih boleh dibuat oleh Tentera Udara Amerika menggunakan hantaran payung terjun menggunakan sistem LAPES (Low Altitude Extraction System).

Tentera Amerika mengalami 400 orang terbunuh dan 1,800 yang lain cedera. Di Amerika Syarikat, Water Cronkite menyifatkan Khe Sanh sebagai satu kekecewaan besar, dan membalikkan pendapat ram