Kemangkatan dan pemakaman Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kemangkatan dan pemakaman Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
کمڠکتن دان ڤمقامن المرحوم سلطان عبد الحليم معظم شاه
Half-mast for Late Sultan Abdul Halim.jpg
Bendera Kedah dikibar separuh tiang di hadapan Masjid Zahir.
Tarikh 11 September 2017 (kemangkatan)
12 September 2017 (pemakaman)
Lokasi Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah Darul Aman
Hadirin Kerabat Diraja Kesultanan Negeri Kedah Darul Aman

Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah telah mangkat pada usia 89 tahun (1927-2017) pada 11 September 2017M bersamaan 20 Zulhijjah 1438H pada jam 2.30 petang waktu tempatan di Istana Anak Bukit.[1] Negeri Kedah Darul Aman dan Jajahan Takluknya berkabung dalam tempoh tujuh hari bermula setelah kemangkatan Almarhum. Jenazah Almarhum disemayamkan di Makam Diraja Langgar. Berita kemangkatan Sultan Kedah hanya diketahui melalui media sosial sekitar 3.30 petang Isnin dengan tiadanya sumber rasmi.[2] Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada sidang berita khas di Wisma Darul Aman pada waktu petang 11 September 2017.[3]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Baginda memerintah sebagai Sultan Kedah selama 59 tahun dan menjadikan baginda sebagai pemerintah diraja kedua paling lama memerintah ketika hidup di dunia di belakang Ratu England Ratu Elizabeth II.[4] Baginda juga telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dua kali sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 dan ke-14.[5] Majlis rasmi terakhir Almarhum Sultan Abdul Halim adalah bersama dengan warga Keriang Hill Resorts untuk santapan teh pada 1 Ogos 2017 yang lalu.[6] Titah terakhir baginda pula ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 pada 14 Ogos 2017 tentang adab ketika menggunakan laman sosial.[7] Sepanjang hayat baginda, ahli kaum kerabat yang telah mangkat sebelum kemangkatan baginda ialah permaisuri baginda, Almarhumah Sultanah Tunku Hajah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman, paduka kekanda baginda Almarhumah Tunku Hamidah Almarhum Sultan Badlishah, paduka adinda baginda Almarhum Tunku Abdul Malik ibni Sultan Badlishah dan adinda ipar baginda Almarhumah Tunku Hajah Raudzah Almarhum Sultan Hisamuddin Alam.

Perkabungan[sunting | sunting sumber]

Negeri Kedah Darul Aman akan berkabung pada saat kemangkatan Almarhum sehinggalah 17 September 2017 selama tujuh hari.[8] Tempoh perkabungan atas kemangkatan Almarhum untuk seluruh Negeri Kedah Darul Aman adalah selama tujuh hari dari 11 September 2017 sehingga 17 September 2017. Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan. Hari pelepasan khas atas pemergian Almarhum diisytiharkan untuk seluruh Negeri Kedah Darul Aman pada 12 September 2017 kecuali calon peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 dan guru yang terlibat dengan peperiksaan awam kebangsaan ini.[9] Rakyat jelata berpakaian serba hitam manakala ahli kerabat diraja memakai persalinan putih dalam isitiadat pemakaman baginda. Rancangan televisyen tempatan Malaysia menyampaikan berita kemangkatan baginda dengan berpakaian tradisional Melayu hitam dan bacaan al-Fatihah sering dimainkan. Bendera negeri dan bendera persekutuan akan dikibar separuh tiang selama tiga hari semenjak kemangkatan Almarhum sehinggalah 13 September 2017 selama tiga hari.[10] Bendera negeri Perak juga akan dikibarkan separuh tiang sehinggalah selesainya istiadat pemakaman Almarhum Sultan Abdul Halim atas titah Sultan Nazrin.[11] Bendera Negeri Johor Darul Takzim dan bendera daerahnya juga dikibar separuh tiang untuk menghormati kemangkatan baginda sehinggalah tamat pemakaman baginda.[12] Di seluruh Malaysia, Jalur Gemilang akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula pada hari kemangkatan baginda sehinggalah hari Rabu 13 September 2017.[13] Di Selangor, semua bendera dikibar separuh tiang di seluruh negeri Selangor atas titah Sultan Selangor selama dua hari dari 12 September hingga 13 September.[14] Bendera Pulau Pinang juga dikibar selama dua hari bermula pada hari kemangkatan Almarhum.[15] Buku takziah juga dibuka di beberapa kedutaan Malaysia di negara-negara asing seperti yang di Dubai.[16]

Istiadat pemakaman[sunting | sunting sumber]

Keranda Almarhum Sultan Abdul Halim diliputi panji diraja dan disemayamkan di Balai Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit untuk penghormatan terakhir.

Istana Anak Bukit dipenuhi dengan alunan ayat suci al-Quran atas kemangkatan baginda.[17] Tepat jam 7 pagi, sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan sebagai pemakluman kemangkatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.[18] Pada jam 8 pagi, istiadat bersiram jenazah baginda dan seterusnya diikuti istiadat mengkafan dan menabur cendana di Balai Penghadapan Lama.[19] Jenazah Almarhum disembahyangkan di Balai Penghadapan Lama Istana Anak Bukit pada jam 10.30 pagi dan diimamkan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadhil Awang serta disertai 22 pelajar Maahad Tahfiz Al Wustha dari Guar Chempedak. Keranda yang membawa jenazah Almarhum selamat berangkat tiba di Balai Penghadapan Baru dan disemayamkan di Istana Anak Bukit pada hari Selasa 12 September 2017 jam 10.35 pagi.[20] Penghormatan terakhir bagi orang awam pada jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.[21] Jenazah Almarhum disemayamkan di Dewan Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit, Alor Setar bagi maksud penghormatan terakhir.[22] Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada kerabat diraja dan rakyat hadir pada istiadat pemakaman itu untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum. Pada jam 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang pula, orang-orang kenamaan pula memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum. Kira-kira 10,000 orang telah memberi penghormatan terakahir kepada Almarhum Tuanku.

Pedati yang membawa keranda jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim menuju ke Makam Diraja Langgar.

Kemudian, jenazah baginda diiringi menggunakan pedati dengan kelajuan 30km sejam yang ditarik dengan kenderaan khas sejauh 12.4 kilometer perjalanan pada jam 2.30 petang.[23] Jenazah Almarhum diiringi ke Makam Diraja melaui jalan-jalan Lebuhraya Darul Aman, Jalan Tun Razak, Jalan Langgar dan terus ke Makam Diraja Langgar.[24] Dalam pengisytiharan keputusan majlis mesyuarat mengangkat raja, Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.[25] 89 das ditembakkan menanda umur baginda bermula apabila keranda baginda dikeluarkan daripada Istana Anak Bukit dan das yang ke-89 pula ditembak apabila baginda selamat berangkat tiba di Makam Diraja Langgar dengan menggunakan 11 laras meriam yang dikendalikan oleh 41 Bateri Artileri Istiadat Rejimen Artileri Diraja yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh.[26] Pedati ini ditemani empat pawai (kerabat) di sebelah kiri dan kanan. Pedati yang membawa jenazah Almarhum juga turut dinaiki empat pembawa payung dan tiga pembawa bintang. Terdapat juga pedati nobat mengiringi sekali yang membawa barisan 13 alim ulama diketuai Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim dan Mufti Kedah, Datuk Syeikd Fadzil Awang.[27] Antara yang berada di atas pedati nobat ialah Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang juga Ketua Istiadat, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah. Kedua-dua pedati didahului pembawa cogan alam dan cogan agama, serta 44 pembawa tunggul, serta masing-masing 12 pembawa tombak, lembing dan pedang serta lapan pembawa bintang. Terdahulu di pekarangan Istana Anak Bukit, rombongan pedati turut melalui kawalan kehormat diraja membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang berpangkalan di Kem Tok Jalai.[28] Turut mengiringi jenazah ialah Sultanah Haminah Hamidun, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang baharu dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-29 dan kerabat diraja.[29] Sepanjang perjalanan itu, lagu negeri Kedah, Allah Selamatkan Sultan Mahkota, dimainkan dengan tempo yang paling perlahan oleh pancaragam tentera.[30]

Jenazah Almarhum berangkat tiba di Makam Diraja Langgar pada jam 4 petang.[31] Almarhum kemudiannya dimakamkan di kedudukan tengah di antara makam permaisuri baginda iaitu Almarhumah Sultanah Bahiyah dan adinda baginda, Almarhum Tunku Annuar Sultan Badlishah di Makam Diraja Langgar pada hari Selasa pada 5.15 petang.[32] Seterusnya bacaan talkin dibacakan oleh Mufti Negeri Kedah dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu manakala bacaan tahlil pula diketuai Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim Sebaik istiadat pemakaman selesai kira-kira pukul 4.45 petang.[33] Setelah bacaan talkin dibacakan, istiadat menyiram air mawar ke atas pusara Almarhum Sultan Abdul Halim dikendalikan oleh permaisuri baginda, Sultanah Haminah Hamidun, adinda baginda, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan paduka puteri baginda, Tunku Intan Shafinaz.[34] Pada malamnya selepas solat isyak, satu majlis tahlil untuk Almarhum Sultan Kedah diadakan di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit dan majlis tahlil ini diadakan selama tujuh malam berturut-turut bermula dengan malam berkenaan.[35] Satu majlis tahlil sempena 40 hari kemangkatan Almarhum telah dihadiri kira-kira 500 orang termasuk keberangkatan kaum kerabat diraja Kedah dan kehadiran para pembesar Kedah di Istana Anak Bukit bermula dengan solat maghrib berjemaah yang diimamkan Imam Besar Masjid Zahir sebelum disusuli majlis bacaan Yasin dan doa serta solat isyak.[36]

Orang ramai membacakan doa untuk Almarhum Sultan Kedah di makam Almarhum Tuanku.

Pada keesokan harinya, makam Almarhum Sultan Abdul Halim dibuka dari jam 7.30 pagi dan ditutup pada jam 6 petang agar rakyat jelata dapat menziarah untuk membacakan Surah Yasin dan menyedekahkan doa untuk Almarhum di Makam Diraja Langgar.[37] Paduka puteri sulung Almarhum, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim, turut berangkat mencemar duli ke makam Almarhum paduka ayahanda baginda dengan membaca Surah Yasin selama kira-kira sejam.[38] Bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad turut menziarahi makam Sultan Abdul Halim bersama lima pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Ar-Riyaadah. Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, bercemar duli menziarahi Makam Almarhum Sultan kedah pada jam 3 petang.[39] Setelah Perdana Menteri dan isteri kembali ke Malaysia, mereka menziarahi makam Almarhum kira-kira setengah jam sehingga jam 7 petang serta menyiram air bunga mawar dan menabur bunga di atas pusara Almarhum Sultan Kedah.[40]

Hadirin dan hadirat[sunting | sunting sumber]

Kerabat Diraja Kedah yang berkenan mencemar duli ke pemakaman Almarhum.[41]

  • Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, paduka cucunda Almarhum Sultan Abdul Halim.
  • Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani, Tengku Bendahara Kedah, paduka adinda tiri Almarhum Sultan Abdul Halim.
  • Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, anakanda buah kepada adinda ipar Almarhum Sultan Abdul Halim dan permaisurinya.

Duli-duli Yang Maha Mulia yang berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir.[42]

Orang-orang kenamaan yang turut hadir memberi penghormatan kepada Almarhum Sultan Abdul Halim.[45]

Merafak belasungkawa[sunting | sunting sumber]

  •  Malaysia: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merafak sembah takziah atas pemergian Almarhum Sultan Abdul Halim. Beliau berkata, "Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Negeri Kedah. Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah".[49]
    • Timbalan Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan baginda.[50]
    • Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak merafak sembah di laman Twitter beliau takziah dengan catatan, "Merafak sembah takziah atas kemangkatan DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat. Al-Fatihah".[51]
    • Ketua Polis Negara Tan Sri Dato' Sri Mohamad Fuzi bin Harun merafak sembah takziah kemangkatan DYMM Sultan Kedah mewakili semua warga Polis Diraja Malaysia.[52]
    • Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abd Aziz Kaprawi merafak sembah takziah ke atas kemangkatan KDYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Sultan Badlishah dalam Twitter beliau.[53]
    • Dewan Rakyat: Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Sultan Kedah dan bacaan al-Fatihah sebelum sidang Mesyuarat Ketiga bagi penggal kelima Parlimen Ke-13 bermula.[54]
      •  Kedah: Cucunda Almarhum Sultan Kedah, Raja Sarina Iskandar berkongsi catatannya dalam akaun Instagram baginda mengenai kemangkatan Almarhum nenda baginda. Baginda bertitah, "Dedikasi Tuanku kepada Kedah dan Malaysia memberikan inspirasi kepada saya ketika membesar. Ketika Tuanku ditabalkan sebagai Agong buat kali kedua pada usia 83 tahun, saya ikut tinggal bersama di Istana Negara. Ketika itu saya lihat pertama kali kehidupan di sebalik tabir Tuanku".[55]
      •  Johor: Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah merafak takzim belasungkawa atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah.
        • Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah dan takziah buat Sultanah Haminah Hamidun, puteri-puteri serta seluruh kerabat diraja Kedah.[56]
      •  Kelantan: Menteri Besar Kelantan merafak sembah takziah atas kemangkatan baginda. Beliau berkata dalam satu kenyataan, "Patik menyatakan rasa dukacita dan sedih serta merakamkan ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Kedah di atas kemangkatan Tuanku Abdul Halim. Sesungguhnya baginda telah memayungi rakyat jelata dengan seadilnya dan menjaga keizzahan agama Islam dimercunya. Patik berdoa semoga Allah mencucuri rahmat dan maghfirah ke atas roh baginda dan menempatkan baginda di syurga-Nya bersama para golongan yang diredhai".[57]
      •  Melaka: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. Beliau berkata, "Almarhum Tuanku merupakan seorang Raja yang berjiwa rakyat dan disanjung tinggi dalam tempoh menyandang jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal, dan juga sebagai Pemerintah negeri Kedah".[58]
      •  Negeri Sembilan: Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, "Kami berdoa agar roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh".
      •  Perak: Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah menitahkan semua bendera di negeri Perak dikibar separuh tiang sebagai tanda turut bersedih dan dukacita rakyat negeri Perak atas kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Al-Haj.[59]
      •  Pulau Pinang: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menzahirkan ucapan takziah atas kemangkatan Sultan Kedah.
      •  Sabah: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman merafak sembah takziah atas pemergian Almarhum. Beliau berkata, "Kami juga berkongsi rasa dukacita dan sedih ini bersama-sama dengan kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kedah atas kemangkatan almarhum Tuanku. Kami mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama para hamba-Nya yang beriman dan dikasihi."[60]
      •  Selangor: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, merafak takzim takziah kepada kerabat diraja Kedah dan rakyat jelata Negeri Kedah dalam catatan Facebook baginda.[61]
        • Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merafak sembah takziah kepada Sultanah Kedah dan paduka anakanda baginda. Beliau berkata, "Almarhum baginda banyak menyumbang jasa kepada Persekutuan dan negeri Selangor sepanjang tempoh menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dan Yang di-Pertuan Agong ke-14. Kerajaan negeri dan rakyat Selangor bersama dengan seluruh rakyat Kedah merasai akan kehilangan raja pemerintah Kedah Darul Aman yang aktif, berjiwa rakyat dan disayangi ramai," katanya dalam kenyataan di sini hari ini."[62]
      •  Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi beliau turut mengutuskan ucapan takziah kepada seluruh ahli kerabat Diraja Kedah. “Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Al-Marhum dan ditempatkan oleh Allah SWT di kalangan para aulia, syuhada dan solihin,” katanya yang turut mewakili seluruh rakyat Terengganu.[63]
  •  Amerika Syarikat: Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam akaun Facebook rasminya mencatatkan: "Kedutaan Amerika Syarikat melahirkan perasaan sedih dan merafak takziah Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun dan keluarga Diraja Kedah, kerajaan negeri Kedah dan rakyat Kedah Darul Aman atas kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah."[64]
  •  Australia: Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith, merafak sembah takziah kepada kerabat Almarhum Sultan Abdul Halim dalam akaun Twitter beliau.[65]
  •  Brunei: Pengiran Muda Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen ibni Sultan Hassanal Bolkiah, merafak takzim takziah kepada kerabat Almarhum Sultan Abdul Halim dan rakyat jelatanya atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah dalam akaun Twitter rasmi baginda.[66]
  •  China: Konsulat Jeneral Malaysia ke China merafak takziah di atas kemangkatan KDYMM Sultan Kedah.[67]
  •  Croatia: Kedutaan Republik Croatia di Malaysia dalam akaun Facebook rasminya menzahirkan duka cita atas pemergian Almarhum Sultan Abdul Halim.[68]
  •  Finland: Kedutaan Finland dalam akaun Facebook rasminya menyatakan: "Kami amat sedih atas kemangkatan DYMM Tuanku Abdul Halim. Doa dan ingatan kami terhadap keluarga Diraja Kedah dan rakyatnya."
  •  Hungary: Kedutaan Hungary turut merafak takziah kepada keluarga diraja Kedah dan rakyat negeri serta seluruh rakyat Malaysia atas kemangkatan Sultan Abdul Halim, Yang di-Pertuan Agong Kelima dan ke-14 Malaysia.
  •  Jerman: Duta Jerman ke Pakistan, Martin Kobler merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Kedah dan telah menandatangani buku belasungkawa DYMM Almarhum Sultan Abdul Halim.[69]
  •  Kesatuan Eropah: Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia dan Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Maria Castillo merafak sembah takziah dalam laman Twitter atas pemergian Almarhum Sultan Abdul Halim.[70]
  •  Singapura: Pemangku Presiden Republik Singapura, Encik J. Y. Pillay, dan Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong mengutus surat belasungkawa kepada Sultanah Haminah Hamidun atas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim.[71]
  •  Taiwan: Wakil Kerajaan Taiwan menandatangani buku belasungkawa atas kemangkatan Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia, Taipei.[72]
  •  Ukraine: Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechytaylo, menzahirkan rasa sedih atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah. Beliau menulis dalam laman Twitternya, "Sangat sedih dengan berita kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim. Pemimpin hebat yang berkhidmat kepada negara dan telah menawan hati rakyat".[73]
  •  United Kingdom: Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur dalam akaun Facebook rasminya turut melahirkan perasaan sedih dan mengucapkan takziah kepada kerajaan negeri dan rakyat Kedah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.[74]

Orang terkenal[sunting | sunting sumber]

  • Tony Fernandez merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Kedah dalam catatan Twitter. Beliau berkata "Baginda ialah pemimpin yang baik dan rendah diri".[75]
  • Datuk Lee Chong Wei merafak sembah takziah atas kemangkatan Almarhum Sultan Kedah dalam catatan Facebook rasmi beliau.[76]

Syarikat utama[sunting | sunting sumber]

  • AirAsia merafak sembah takziah kepada DYMM Sultanah Kedah dan kerabat diraja Kedah atas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam catatan Twitter rasmi.[77]
  • Astro Awani menggelapkan kelabu logonya di laman sosial Twitter.
  • ntv7 menggelapkan kelabu logonya di laman sosial Twitter.
  • Penerbangan Malaysia merafak sembah takziah kepada kerabat diraja Kedah atas kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dalam catatan Twitter rasmi.[78]

Akhbar tempatan[sunting | sunting sumber]

Berita Harian, New Straits Times dan beberapa akhbar lain menggelapkan halaman depan akhbar berwarna kelabu.

Penafian[sunting | sunting sumber]

Setelah pemergian Almarhum Sultan Abdul Halim, dua ulasan berunsurkan penghinaan terhadap Almarhum telah dimuat naik dalam laman sosial Facebook.[79] Pengulas ini telah ditahan dan direman di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.[80] Terdapat juga gambar yang dimuat turun dalam sebuah laman politik Facebook serta dikongsi oleh seorang ahli politik pembangkang yang kemudiannya telah dipadamkan, telah mencetuskan kemarahan dalam laman media sosial.[81] Salah satu daripadanya telah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen walaupun tertuduh telah memohon hukuman yang lebih ringan.[82]

Selepas kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Universiti Utara Malaysia mewujudkan satu kursi baharu yang diberi nama Sultan Abdul Halim Professorial Chair, diletakkan di bawah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, bagi mengenang jasa dan sumbangan Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah menjadi Canselor universiti itu selama 30 tahun.[83]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mangkat". Astro Awani. 
  2. ^ "Rakyat Kedah hiba terima berita kemangkatan Sultan Kedah". Astro Awani. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  3. ^ "Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mangkat". mStar. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  4. ^ "Mangkatnya Sultan yang memerintah Kedah 59 tahun". Kosmo! Online. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  5. ^ "Belasungkawa - mangkatnya sultan kesayangan rakyat". Malaysiakini. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  6. ^ "Santapan teh di Keriang Hill, majlis terakhir dihadiri Tuanku Abdul Halim". Utusan Online. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  7. ^ "Titah terakhir Tuanku Abdul Halim". Utusan Online. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  8. ^ "Kedah cuti esok". Harian Metro. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  9. ^ "Peperiksaan UPSR Diteruskan Di Kedah". MYNEWSHUB. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  10. ^ "Kedah berkabung 7 hari, bendera separuh tiang". Berita Harian. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  11. ^ "Sultan Kedah mangkat: Perak kibar bendera separa tiang". Astro Awani. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  12. ^ "Bendera Johor, daerah dikibar separuh tiang hormati kemangkatan Sultan Kedah". MYNEWSHUB. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  13. ^ "Jalur Gemilang dikibar separuh tiang pada Selasa dan Rabu - PM Najib". Astro Awani. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  14. ^ "Sultan Selangor titah bendera dikibar separuh tiang". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  15. ^ "Bendera Pulau Pinang berkibar separuh tiang bermula hari ini". Roket Kini. 12 September 2017. Dicapai pada 27 September 2017. 
  16. ^ "Condolence book for 'people's king' opened at Malaysian mission" [Buku takziah untuk ‘raja rakyat’ dibuka di misi Malaysia] (dalam bahasa Inggeris). GulfNews.com. 13 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  17. ^ "Istana Anak Bukit hening dengan bacaan al-Quran". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  18. ^ "21 das tembakan makluman kemangkatan Sultan Kedah". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  19. ^ "Jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim selesai disiram, dikafan". Kosmo! Online. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  20. ^ "Jenazah Sultan Kedah tiba di Balai Penghadapan Baru". Harian Metro. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  21. ^ "Sultan Kedah Mangkat: Masa untuk rakyat beri penghormatan 11 pagi - 12 tengah hari". Utusan Online. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  22. ^ "Kedah berkabung tujuh hari, esok cuti umum". Utusan Online. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  23. ^ "Tuanku Abdul Halim dimakamkan 4 petang esok". Sinar Harian. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  24. ^ "Dimakamkan penuh istiadat diraja". Utusan Online. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  25. ^ "Tunku Sallehuddin dimasyhur Sultan Kedah ke-29". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  26. ^ "89 das iringi keberangkatan jenazah". Harian Metro. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  27. ^ "Almarhum Tuanku Abdul Halim selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar". Utusan Online. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  28. ^ "Jenazah diarak ke Makam Diraja Langgar". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  29. ^ "Almarhum Sultan Abdul Halim disemadi". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  30. ^ "Kedah state anthem played at slow tempo at funeral of Sultan Abdul Halim" [Lagu negeri Kedah dimainkan dengan tempoh perlahan di pemakaman Sultan Abdul Halim] (dalam bahasa Inggeris). Sinar Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  31. ^ "Jenazah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Selamat Disemadikan". BERNAMA. 12 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  32. ^ "Jenazah Tuanku Abdul Halim selamat dimakamkan". Kosmo! Online. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  33. ^ "Tuanku Abdul Halim dimakamkan 4 petang esok". Sinar Harian. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  34. ^ "Jenazah Almarhum Sultan Kedah Selamat Disemadikan". mStar. 12 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  35. ^ "Tahlil sempena kemangkatan Sultan Kedah". Sinar Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  36. ^ "500 hadir majlis tahlil Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim". Utusan Online. 19 Oktober 2017. Dicapai pada 24 Oktober 2017. 
  37. ^ "Orang ramai mula ziarah Makam Sultan Abdul Halim". Kosmo! Online. 13 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  38. ^ "Tunku Soraya ziarah Makam Diraja Langgar". Berita Harian. 13 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  39. ^ "Raja Muda Perlis ziarah makam Almarhum Sultan Abdul Halim". Berita Harian. 13 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  40. ^ "Najib ziarah makam Almarhum Sultan Kedah". Utusan Online. 15 September 2017. Dicapai pada 15 September 2017. 
  41. ^ "Almarhum Sultan Abdul Halim selamat disemadi". Sinar Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  42. ^ "Yang di-Pertuan Agong beri penghormatan terakhir". Utusan Online. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  43. ^ "Yang di-Pertuan Agong berkenan beri penghormatan terakhir". MYNEWSHUB. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  44. ^ "Raja Zarith Sofiah, Tunku Ismail hadir pemakaman Sultan Kedah". Utusan Online. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  45. ^ "YDP Agong Beri Penghormatan Terakhir Kepada Almarhum Sultan Kedah". BERNAMA. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  46. ^ "Kemangkatan Sultan Kedah satu kehilangan besar - TPM". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  47. ^ "Twitter Vicki Treadell". 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  48. ^ "Pemimpin S'pura utus kawat takziah atas pemergian Sultan Kedah". Berita MediaCorp. 12 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  49. ^ "Tuanku Abdul Halim raja pemerintah disanjung tinggi - PM". Utusan Online. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  50. ^ "Sultan Kedah Mangkat: PM, TPM ucap takziah". Berita Harian. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  51. ^ "Sultan Kedah mangkat". Free Malaysia Today. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  52. ^ "Facebook Rasmi Polis Diraja Malaysia". 11 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  53. ^ "Twitter Rasmi Datuk Abd Aziz Kaprawi". 11 September 2017. Dicapai pada 20 September 2017. 
  54. ^ "Dewan Rakyat ucap takziah kemangkatan Sultan Kedah". Berita Harian. 23 Oktober 2017. Dicapai pada 24 Oktober 2017. 
  55. ^ "'Tok' Sultan selamanya bagi saya". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  56. ^ "Kerajaan Negeri Johor zahir rasa dukacita". Sinar Harian. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  57. ^ "MB Kelantan ucap takziah". Utusan Online. 
  58. ^ "Sembah takziah kemangkatan Sultan Kedah". Sinar Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  59. ^ "Sultan Nazrin Titah Bendera Dikibar Separuh Tiang". BERNAMA. 11 September 2017. Dicapai pada 11 September 2017. 
  60. ^ "Kerajaan negeri merafak sembah takziah". Malaysiakini. 11 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  61. ^ "Facebook Rasmi Raja Muda Selangor" (dalam bahasa Inggeris). 11 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  62. ^ "Pemimpin, rakyat dukacita kemangkatan Sultan Kedah". GulfNews.com. 11 September 2017. Dicapai pada 15 September 2017. 
  63. ^ "Terengganu zahir ucapan takziah". Sinar Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  64. ^ "Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi ucap takziah". Berita Harian. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  65. ^ "Twitter Rod Smith" (dalam bahasa Inggeris). 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  66. ^ "Twitter Rasmi Putera Mateen" (dalam bahasa Inggeris). 12 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  67. ^ "Twitter Konsulat Jeneral Malaysia ke China". 11 September 2017. Dicapai pada 20 September 2017. 
  68. ^ "Facebook Kedutaan Republik Croatia di Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  69. ^ "Twitter Rasmi Martin Kobler" (dalam bahasa Inggeris). 13 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  70. ^ "Twitter Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  71. ^ "Pemimpin Singapura Ucap Takziah Atas Kemangkatan Sultan Kedah". BERNAMA. 13 September 2017. Dicapai pada 13 September 2017. 
  72. ^ "Twitter Rasmi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia". Twitter. 14 September 2017. Dicapai pada 20 September 2017. 
  73. ^ "Almarhum Sultan Abdul Halim, Pemimpin Hebat Yang Menawan Hati Rakyat - Duta Ukraine". BERNAMA. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  74. ^ "Kedutaan Dan Suruhanjaya Tinggi Di KL Ucap Takziah Kemangkatan Sultan Kedah". BERNAMA. 12 September 2017. Dicapai pada 12 September 2017. 
  75. ^ "Twitter Rasmi Tony Fernandez" (dalam bahasa Inggeris). 11 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  76. ^ "Facebook Rasmi Datuk Lee Chong Wei" (dalam bahasa Inggeris). 11 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  77. ^ "Twitter Rasmi AirAsia" (dalam bahasa Inggeris). 11 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  78. ^ "Twitter Penerbangan Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). 11 September 2017. Dicapai pada 16 September 2017. 
  79. ^ "Hina Tuanku Abdul Halim, lelaki ditahan, seorang diburu". Utusan Online. 13 September 2017. Dicapai pada 27 September 2017. 
  80. ^ "Ditahan hina kemangkatan Sultan Abdul Halim". Berita Harian. 13 September 2017. Dicapai pada 27 September 2017. 
  81. ^ "Dikecam akibat siar gambar Sultan Kedah dengan Najib". MalaysiaKini. 12 September 2017. Dicapai pada 27 September 2017. 
  82. ^ "Lelaki Dipenjara Tujuh Hari, Denda RM5,000 Hina Almarhum Sultan Kedah". BERNAMA. 27 September 2017. Dicapai pada 28 September 2017. 
  83. ^ "UUM akan wujudkan Sultan Abdul Halim Professorial Chair". Sinar Online. 18 November 2017. Dicapai pada 19 November 2017. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]