Zimbabwe

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Rhodesia Selatan)
Jump to navigation Jump to search
Republik Zimbabwe

Republic of Zimbabwe
Bendera Zimbabwe
{{{coat_alt}}}
Bendera Lambang
Cogan kata: "Kesatuan, Kebebasan, Usaha"
Lagu kebangsaan: "Blessed be the land of Zimbabwe"
Bahasa Melayu: Rahmatilah Tanah Air Zimbabwe[1]
Location of Zimbabwe
Ibu negara
dan bandar terbesar
Harare
Bahasa rasmi[Note 1]
KerajaanRepublik
• Presiden
Emmerson Mnangagwa
Kemerdekaan
• Rhodesia
11 November 1965
• Republik
2 Mac 1970
• Zimbabwe
18 April 1980
Keluasan
• Jumlah
390,757 km2 (150,872 bt2) (60)
• Air (%)
1
Penduduk
• Anggaran 2019
14,215,809[2] (74)
KDNK (PPP)Anggaran 2019 
• Jumlah
$41.031 bilion
• Per kapita
$2,621[3] (129)
KDNK (nominal)Anggaran 2019 
• Jumlah
$22.290 bilion
• Per kapita
$1,424[3]
Gini (1995)50.1[4]
tinggi
HDI (2019) 0.571
sederhana · 150
Mata wangDolar Amerika Syarikat (rasmi untuk kerajaan), Rand Afrika Selatan, dan banyak mata wang lain 2, mis Pula Botswana. syiling bon Zimbabwe digunakan sebagai proksi untuk syiling dolar AS. nota bon Zimbabwe ditetapkan yang akan diperkenalkan pada 2016. (ZWD)
Zon masaUTC+2 (CAT)
• Musim panas (DST)
UTC+2 (tidak diperhatikan)
Kod panggilan263
DPT Internet.zw
1 Anggaran bagi negara ini mengambil kira kesan daripada wabak AIDS. 2 Dolar Zimbabwe tidak lagi digunakan secara aktif selepas ia digantung secara rasmi oleh kerajaan kerana hiperinflasi. Dolar Amerika Syarikat (US $), Rand Afrika Selatan (R), Pula Botswana (P), Pound sterling (£), euro ( €), Rupee India s (), Dolar Australia s (A $), Renminbi (元 / ¥) dan Yen Jepun (¥ )[5] adalah mata wang yang sah diperlakukan.[6]. Dolar Amerika Syarikat telah diterima pakai sebagai mata wang rasmi bagi semua urus niaga kerajaan.

Zimbabwe; secara rasminya dikenali Republik Zimbabwe (dahulunya Rhodesia Selatan, Republik Rhodesia, dan Zimbabwe Rhodesia) terletak di tanah tinggi antara Sungai Zambezi dan Limpopo, Zimbabwe dan di kelilingi negara Zambia, Mozambique, Afrika Selatan dan Botswana. Di Zimbabwe terdapat tiga bahasa utama bahasa Inggeris, bahasa Shona dan bahasa Ndebele, dengan 16 bahasa rasmi menjadikannya negara yang paling banyak bahasa rasmi di dunia.[7] Dengan keluasan lebih 390,245 km persegi, negara ini terletak pada ketinggian 300 meter di atas paras laut, sekali gus menjadikan ia sebuah negara yang mengalami cuaca tidak seterik negara Afrika lain.

Zimbabwe bermula sebagai jajahan British yang dikenali sebagai Rhodesia. Negara ini telah bergolak sejak Pengisytiharan Kemerdekaan Sepihak atau UDI pada 11 November 1965 sehinggalah ke hari ini. Seperti Afrika Selatan, negara ini telah lambat mencapai kemerdekaan iaitu pada tahun 1980. Pada awalnya, kerajaan kulit hitam di bawah pimpinan Robert Mugabe telah diberi pujian kerana berjaya memperbaiki standard kehidupan dan ekonomi negara. Namun keadaan negara merosot pada akhir tahun 80an dan pentadbirannya dibelenggu dengan ekonomi yang tak terurus, hiperinflasi dan penyalahgunaan kuasa serta pelanggaran hak asasi manusia.[8] Pada 2008, Zimbabwe mempunyai kadar inflasi tertinggi di dunia yang mencapai 2.2 juta peratus. [9]

Pada 15 November 2017, setelah tunjuk perasaan yang berlarutan selama lebih dari satu tahun terhadap pemerintahannya dan juga ekonomi Zimbabwe yang merosot dengan cepat, Mugabe telah dikenakan tahanan rumah oleh tentera nasional negara itu dalam satu rampasan kuasa.[10] Pada 19 November 2017, ZANU–PF memecat Robert Mugabe sebagai pemimpin parti dan melantik bekas Naib Presiden Emmerson Mnangagwa sebagai gantinya. Pada 21 November 2017, Mugabe mengemukakan peletakan jawatannya sebelum prosiding pendakwaan terhadapnya selesai. Pada 30 Julai 2018 Zimbabwe mengadakan pilihan raya umum, [11] yang dimenangi oleh parti ZANU–PF yang diketuai oleh Emmerson Mnangagwa.[12] Nelson Chamisa yang mengetuai parti pembangkang utama MDC Alliance mempertikaikan keputusan pilihan raya dan mengemukakan petisyen ke Mahkamah Perlembagaan Zimbabwe. Walaupun begitu, mahkamah mengesahkan kemenangan Mnangagwa, menjadikannya presiden Zimbabwe ketiga selepas berakhirnya regim Mugabe.

Sejarah nama asal negara[sunting | sunting sumber]

Nama Zimbabwe adalah diambil daripada nama sebuah kota yang besar pada abad ke-11 bernama Great Zimbabwe. Dalam bahasa Shona Dzimba dza mabwe, bermaksud "rumah batu yang besar". [13][14]Kota batu ini mempunyai keluasan 7,22 kilometer persegi, pada pada masa kemuncaknya, dapat menampung hingga 18.000 penduduk. Namun pada abad ke-15, zaman kegemilangannya berakhir. Ia kini diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Beberapa tamadun telah wujud di Zimbabwe berdasarkan peninggalan struktur batu kuno yang terdapat di Khami, Great Zimbabwe dan Dhlo-Dhlo. Tamadun yang pertama dikenali Mwene Mutapa atau Monomatapas yang mencapai kemuncaknya pada pertengahan 1440an. Pada waktu itu, empayar di bawah pimpinan Raja Mutota meliputi kesemua dataran tinggi Rhodesia dan sebahagian Mozambique. Antara industri yang penting termasuklah melebur besi, perusahaan tekstil, perlombongan emas dan kuprum dan juga pertanian. Para pedagang Arab dan Swahili merupakan rakan dagang utama dengan empayar tersebut.

Pada awal abad ke-16, tentera Portugis telah tiba di sini dan berlakulah beberapa siri peperangan yang telah menjatuhkan empayar tersebut. Namun demikian beberapa wilayah kaum Shona telah bergabung dan membentuk empayar Rozwi untuk menentang pendatang Portugis dan pada 1690 berjaya menghalau tentera Portugis dari negara ini. Keamanan kembali selama dua abad dan ibu kota di Dhlo-Dhlo, Khami dan Great Zimbabwe telah berkembang dengan pesat. Empayar Rozwi berakhir pada pertengahan abad ke-19 akibat pergolakan di Transvaal dan Natal di Afrika Selatan.

Burung Zimbabwe ialah simbol suci kaum Shona dan beberapa patungnya telah dijumpai di kota Great Zimbabwe. Ia juga boleh dilihat di bendera Zimbabwe.

Selepas itu negara ini berada di bawah pemerintahan puak Ndebele. Pihak British di Cape Colony mula menunjuk minat dengan negara ini apabila emas ditemui di Witwatersrand, Afrika Selatan. Pada tahun 1890, pihak British datang dan menakluki negara itu menjadikannya tanah jajahan mereka. Mereka menamakan negara itu sebagai Rhodesia sempena nama Cecil Rhodes iaitu pelopor Syarikat Afrika Selatan British dan juga Perdana Menteri Cape Colony di Afrika Selatan. Tidak lama kemudian ia menjadi Rhodesia Selatan dan pada tahun 1923, peneroka negara Eropah memilih untuk menjadikan negara ini jajahan British yang memerintah dengan sendiri. Salisbury (kini Harare) telah dijadikan ibu negara Rhodesia Selatan. Pada tahun 1963 selepas Perang Dunia II, Rhodesia Utara (sekarang Zambia) dan Nyasaland (sekarang Malawi) memilih untuk mendapat kemerdekaan; sementara Rhodesia Selatan memilih untuk tetap kekal sebagai jajahan British. Selepas 2 tahun, minoriti kulit putih Rhodesia mengisytiharkan kemerdekaan negara itu dari Britain dan pada tahun 1970, Rhodesia secara rasmi menjadi sebuah republik, mengikuti jejak langkah kerajaan kulit putih di Afrika Selatan. Kaum minoriti kulit putih Rhodesia yang dipimpin oleh Ian Smith terus memegang tampuk pemerintahan dan mereka telah menentang tuntutan orang Afrika Hitam yang menyebabkan kekacauan dan perang. Pada tahun 1978, kerajaan minoriti bersetuju untuk memindahkan kekuasaan kepada kaum majoriti kulit hitam, walaupun Smith masih akan bertindak sebagai Perdana Menteri negara itu. Setelah 2 tahun, pada tahun 1980, kaum minoriti kulit putih memutuskan untuk mengadakan pilihan raya pelbagai kaum untuk menyelesaikan ketegangan di negara ini. Seperti yang dijangkakan, parti kaum kulit hitam utama di bawah teraju Robert Mugabe memperoleh kemenangan besar. Pada 17 April 1980, negara ini meraikan kemerdekaannya dan menukar namanya menjadi Zimbabwe.

Campur tangan British[sunting | sunting sumber]

Bendera Union Jack mula dikibarkan di Kubu Salisbury pada 13 September 1890

Pada awalnya, pihak British menjelajah ke Rhodesia Selatan dengan harapan menjumpai emas yang banyak. Namun, jangkaan ini meleset kerana tiada emas ditemui. Sebaliknya, peneroka ini mendapati tempat ini kaya dengan tanah yang subur untuk pertanian dan iklimnya yang sederhana amat sesuai untuk tanaman beriklim sederhana seperti di Eropah. Masalahnya adalah hak yang diberi adalah untuk perlombongan dan bukannya pertanian. Cecil semakin tertekan kerana pemegang sahamnya mahu meraih keuntungan daripada penerokaan ini. Oleh itu, beliau terpaksa bercampur tangan agar peneroka British boleh membuka ladang pertanian di sana. Aliran masuk peneroka British dan Eropah yang ramai ini kemudiannya mencetus peperangan antara pihak ini dengan kerajaan Ndebele pada 1893. Pada tahun 1894, Raja Lobengula telah meninggal dunia dan ini sedikit sebanyak telah melemahkan tentangan terhadap British. Namun demikian, perang gerila telah berterusan sehinggalah 1899 apabila pihak British akhirnya berjaya membunuh ketua pemberontak.

Pada 1899, BSAC telah menubuhkan Majlis Perundangan yang pertama di sana. Mulanya para peneroka menyokong BSAC tetapi kemasukan bangsa kulit puith yang semakin ramai telah menimbulkan ketegangan antara mereka dan masyarakat kulit hitam. Kerajaan British di Afrika Selatan telah memberi perlindungan kepada rakyat berkulit hitam dan ini tidak disenangi masyarakat kulit putih di sini. Pihak British mahu menggabungkan Rhodesia Utara dengan Kesatuan Afrika Selatan tetapi ini telah dibantah oleh penduduk Rhodesia sendiri dalam satu pungutan suara pada 1922. Akhirnya pada 1923, BSAC telah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada penduduk tersebut dan negara ini telah diilhakan sebagai jajahan British.

Selepas itu, kerajaan kulit putih mula menunjukkan taringnya dengan melaksanakan dasar-dasar aparteid yang mirip kepada Afrika Selatan. Konflik perkauman mula terserlah selepas pungutan suara 1922 di mana golongan minoriti kulit putih memilih untuk menubuhkan koloni tadbir sendiri dan bukannya kekal menjadi sebahagian Kesatuan Afrika Selatan. Golongan kulit hitam telah disisih dan mereka hilang hak mengundi walaupun secara teorinya ia bertentangan dengan perlembagaan negara yang tidak bersifat perkauman. Pada 1930, satu akta tanah telah diluluskan yang mengecualikan rakyat kulit hitam Afrika daripada memiliki ladang terbaik demi menaikkan kepekerkasaan kaum kulit putih di sana. Manakala pada tahun 1934, undang-undang buruh dilaksanakan yang melarang orang kulit hitam daripada menyertai sektor perdagangan dan profesional yang lain. Akibat undang-undang perkauman ini, rakyat Afrika terpaksa bekerja di ladang, kawasan perlombongan dan kilang milik rakyat kulit putih.

Ian Smith menandatangani Pengisytiharan Kemerdekaan Sebelah Pihak di hadapan kabinet kulit putihnya di Rhodesia pada 11 November 1965

Pengunduran Afrika Selatan dari Komanwel pada tahun 1961 dan pelaksanaan dasar perkauman yang melampau telah mencetuskan kemarahan kaum kulit hitam di seluruh benua Afrika. Mereka menuntut kerajaan British untuk mengambil tindakan tegas terhadap Afrika Selatan dan juga Rhodesia dan menghukum negara tersebut kerana mengamalkan dasar aparteid. Pihak British yang malu dengan krisis yang berlaku di Afrika Selatan terpaksa akur kepada desakan tersebut dan melaksanakan dasar 'No Independence Before Majority African Rule (NIBMAR) di mana kemerdekaan tidak akan diberi sehingga penduduk majoriti kulit hitam mentadbir negara tersebut.

Zimbabwe selepas UDI[sunting | sunting sumber]

Oleh sebab dasar NIBMAR, kerajaan British tidak memberi kemerdekaan kepada Rhodesia Selatan yang dipimpin oleh Ian Smith. Sebagai balasan Ian Smith dan kabinet kulit putihnya di Rhodesia telah mengejutkan kerajaan British dengan mengisytiharkan Pengisytiharan Kemerdekaan Sepihak atau UDI pada 11 November 1965. Selepas UDI diisytiharkan, kerajaan Britain mengemukakan petisyen kepada PBB untuk mengenakan sekatan terhadap Rhodesia sementara menunggu perbincangan yang tidak berjaya dengan pentadbiran Smith pada tahun 1966 dan 1968. Pada bulan Disember 1966, organisasi antarabangsa itu menerima petisyen British, lalu mengenakan embargo perdagangan wajib yang pertama kepada sebuah negara yang autonomi. Sekatan ini diperluas lagi pada tahun 1968. United Kingdom menganggap pengisytiharan Rhodesia sebagai tindakan pemberontakan, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap pemerintahan kulit putih di sana. Perang gerila kemudiannya dilancarkan oleh Kesatuan Rakyat Afrika Zimbabwe (ZAPU) di bawah pimpinan Joshua Nkomo dan Kesatuan Nasional Afrika Zimbabwe (ZANU) di bawah Robert Mugabe, yang disokong secara aktif oleh kuasa komunis dan negara-negara Afrika yang berjiran, memulakan operasi gerila terhadap pemerintah kulit putih Rhodesia. ZAPU disokong oleh Kesatuan Soviet, Pakatan Warsaw dan negara-negara yang bersekutu seperti Cuba, dan mengadopsi ideologi Marxis-Leninis; Sementara itu, ZANU menyesuaikan diri dengan Maoisme dan blok yang diketuai oleh Republik Rakyat China.

Smith mengisytiharkan Rhodesia sebagai republik pada tahun 1970, berikutan hasil referendum tahun sebelumnya, tetapi ini tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sementara itu, konflik dalaman Rhodesia meningkat, akhirnya memaksanya untuk membuka rundingan dengan militan komunis. Pada bulan Mac 1978, Smith mencapai kesepakatan dengan tiga pemimpin Afrika, yang dipimpin oleh Uskup Abel Muzorewa, yang menawarkan untuk meninggalkan penduduk kulit putih dengan selesa sebagai pertukaran untuk pembentukan demokrasi dwikaum atau biracial. Hasil daripada Penyelesaian Dalaman, pilihan raya diadakan pada bulan April 1979, diakhiri dengan Majlis Nasional Afrika Bersatu (UANC) yang membawa majoriti kerusi parlimen. Pada 1 Jun 1979, Muzorewa, ketua UANC, menjadi perdana menteri dan nama negara itu ditukar menjadi Zimbabwe Rhodesia.

Bendera Zimbabwe Rhodesia sebuah negara yang tidak diiktiraf dan wujud antara Jun dan Disember 1979

Penyelesaian Dalaman meninggalkan kawalan Pasukan Keselamatan Rhodesia, perkhidmatan awam, kehakiman, dan sepertiga kerusi parlimen kepada orang kulit putih. Pada 12 Jun, Senat Amerika Syarikat memilih untuk menarik balik tekanan ekonomi terhadap bekas Rhodesia. Selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang kelima, yang diadakan di Lusaka, Zambia dari 1 hingga 7 Ogos pada tahun 1979, pemerintah Inggeris mengundang Muzorewa, Mugabe, dan Nkomo untuk mengambil bahagian dalam persidangan perlembagaan di Lancaster House. Tujuan persidangan ini adalah untuk membincangkan dan mencapai kesepakatan mengenai syarat-syarat perlembagaan.

Pada 11 Disember 1979, Dewan Perhimpunan Rhodesia sebulat suara memilih untuk Rhodesia kekal sebagai jajahan British (ini termasuk Ian Smith sendiri). RUU itu kemudian diluluskan Senat dan disetujui oleh Presiden. Dengan kedatangan Lord Soames, Gabenor yang baru, tepat setelah jam 2 petang pada 12 Disember 1979, Britain secara rasmi mengambil alih Zimbabwe Rhodesia sebagai Jajahan Rhodesia Selatan, walaupun pada 13 Disember Soames menyatakan bahawa selama mandatnya nama Rhodesia dan Zimbabwe Rhodesia akan terus digunakan. Britain menarik balik sekatan pada 12 Disember, dan PBB pada 16 Disember, sebelum menyeru negara-negara anggotanya untuk melakukan perkara yang sama pada 21 Disember. Oleh itu, Zambia, Mozambique, Tanzania, Angola dan Botswana pun turut serta mengakhiri pemulauan mereka pada 22-23 Disember.

Robert Mugabe, Bapa Kemerdekaan Zimbabwe

Semasa pilihan raya demokratik pertama di Zimbabwe pada Februari 1980, Robert Mugabe dan parti ZANU memperoleh kemenangan besar. Part ZANU rata-rata dianggotai oleh kaum majoriti berbangsa Shona, manakala part ZANU di bawah pimpinan Joshua Nkomo, didominasi bangsa minoriti kulit hitam Ndebele. Presiden pertama Zimbabwe setelah kemerdekaannya adalah Canaan Banana yang berperanan sebagai Ketua adat istiadat Negara. Robert Mugabe, iaitu pemimpin parti ZANU, pula telah menjadi Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan pertama negara itu.

Kemerdekaan dan negara di bawah regim Mugabe[sunting | sunting sumber]

Di seluruh negara, patung-patung Cecil Rhodes telah diturunkan dan jalan raya yang diberi nama tokoh penjajah digantikan dengan nama tokoh-tokoh nasionalis kulit hitam. Pada tahun 1982, ibu negara Salisbury dinamakan semula Harare.[15] Di samping itu Mugabe menggunakan arkitek Korea Utara untuk pembinaan Heroes 'Acre, sebuah monumen dan kompleks di Harare barat untuk memperingati perjuangan rakyat kulit hitam menentang pemerintahan kaum minoriti Eropah.[16] Zimbabwe juga mendapat banyak bantuan daripada negara-negara Barat, yang pemerintahnya berharap agar Zimbabwe yang stabil dan makmur dapat membantu peralihan Afrika Selatan dari pemerintahan aparteid dan minoriti. Amerika Syarikat juga telah memberikan pakej bantuan tiga tahun bernilai $ 25 juta kepada Zimbabwe. Manakala, pihak British membiayai program pembaharuan tanah, dan menyediakan penasihat ketenteraan untuk membantu penyatuan tentera gerila dan pasukan keselamatan Rhodesia lama beralih menjadi tentera Zimbabwe yang baharu. Anggota tentera ZANLA dan ZIPRA disatukan ke dalam tentera; walaupun, masih ada persaingan yang kuat antara kedua-dua kumpulan.

Patung di atas makam the Unknown Soldier di Heroes' Acre; makam ini dibina oleh arkitek dari Korea Utara

Mugabe sering bercakap tentang rancangannya untuk mengubah Zimbabwe menjadi sebuah negara sosialis, tetapi pada dasarnya pemerintahannya lebih bersifat konservatif dalam kerangka kapitalis. Penekanan juga diberi kepada pelaburan asing. Mugabe telah berusaha untuk mentransformasi negara secara beransur-ansur dari kapitalisme ke sosialisme dan berusaha membangun institusi negara yang sedia ada. Dari tahun 1980 hingga 1990, ekonomi negara tumbuh rata-rata pada kadar 2.7% setahun, tetapi ini diatasi oleh pertumbuhan penduduk dan pendapatan sebenar menurun. Sebaliknya kadar pengangguran meningkat, mencapai 26% pada tahun 1990. Kerajaan mengalami defisit belanjawan tahun ke tahun yang rata-rata mencapai 10% daripada produk domestik kasar negara. Di bawah kepemimpinan Mugabe, tumpuan telah diberi kepada perbelanjaan pendidikan dan kesihatan.[17] Pada tahun 1980, Zimbabwe hanya mempunyai 177 sekolah menengah, pada tahun 2000 jumlah ini meningkat menjadi 1.548. Dalam tempoh itu, kadar literasi orang dewasa meningkat dari 62% menjadi 82%, salah satu tahap tertinggi di Afrika. Tahap imunisasi kanak-kanak juga meningkat dari 25% penduduk menjadi 92%.

Politik[sunting | sunting sumber]

Zimbabwe adalah sebuah negara republik yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Negara ini pada awalnya mempunyai satu dewan tetapi selepas pindaan perlembagaan 2005, Dewan Senat telah dikembalikan semula. Dewan Rakyat yang dipanggil House of Assembly merupakan dewan rendah di Parlimen. Pada asalnya, ketua kerajaan Zimbabwe ialah Perdana Menteri tetapi selepas tahun 1987, pindaan perlembagaan telah memberikan kuasa sepenuhnya kepada Presiden.

Sejak kemerdekaan lagi, Presiden Robert Mugabe dan partinya Zimbabwe African National Union – Patriotic Front atau lebih dikenali ZANU-PF telah berkuasa di Zimbabwe. Sejak merdeka lagi, parti ZANU telah memenangi setiap pilihan raya dan parti ini terkenal dengan taktik kotornya.Pada pilihan raya 1990, parti ini menerima kutukan dari dalam dan luar negara apabila dituduh melakukan pembelian undi, dengan parti pembangkang bawah pimpinan Edgar Tekere Zimbabwe Unity Movement, memenangi hanya 16% undi.[18] Pilihan raya presiden diadakan sekali lagi pada 2002 dan ia dicemari dengan tuduhan pembelian undi, ugutan dan penipuan.[19] Tuduhan itu tidak berhenti di situ sahaja, malah semakin menjadi-jadi pada pilihan raya parlimen Zimbabwe 2005 yang diadakan pada 31 Mac dan tuduhan tersebut dibuat oleh parti Gerakan Perubahan Demokratik (MDC) dan Jonathan Moyo, yang mahukan penyiasatan dibuat terhadap 32 daripada 120 kawasan parlimen.[20] Meskipun Jonathan Moyo tidak berpuas hati, beliau masih bertanding dalam pilihan raya dan berjaya memenangi kerusi parlimen sebagai parti bebas.

Parlimen Zimbabwe di Harare

Pilihan raya umum telah diadakan di Zimbabwe pada 30 Mac 2008.[21] Keputusan rasminya menunjukkan bahawa pilihan raya pusingan kedua perlu diadakan antara Mugabe dan Morgan Tsvangirai, ketua pembangkang. Namun, parti MDC mempersoalkan keputusan tersebut, dengan mendakwa penipuan pilihan berleluasa telah dilakukan oleh kerajaan Mugabe. Persaingan kedua ini dicadangkan pada 27 Jun, 2008 tetapi pada 22 Jun, Tsvangirai menarik diri daripada pilihan raya presiden atas alasan ketidakadilan yang berterusan dan enggan menyertai proses pilihan raya yang ganas dan tidak mengikut undang-undang, sekali gus memberikan kemenangan kepada Mugabe.[22]


Dasar Luar Negara[sunting | sunting sumber]

Sebelum merdeka, 'negara' ini yang dikenali sebagai Rhodesia telah dipulaukan oleh kebanyakan negara dan tidak diiktiraf oleh PBB. Malah Rhodesia telah dikenakan sekatan ekonomi oleh PBB pada 16 Disember 1966. Namun demikian, negara Afrika Selatan masih menjalinkan hubungan ekonomi dengan negara ini.

Selepas merdeka, kerajaan baru di bawah pimpinan Robert Mugabe telah cuba untuk mewujudkan pendamaian. Tiada balasan yang dikenakan terhadap regim kulit putih Ian Smith. Smith dan rakannya masih menjadi wakil rakyat di Parlimen. Di samping itu, Zimbabwe tidak membenarkan sayap militari ANC beroperasi di negara tersebut, walaupun membantah dasar aparteid di Afrika Selatan.

Pada 25 Ogos 1980 Zimbabwe telah diterima ke dalam Perhimpunan Agung PBB. Selain itu, negara ini telah menyertai Organisasi Kesatuan Afrika (OAU), yang kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika. Pada bulan November 1982, Zimbabwe dipilih oleh OAU untuk memegang salah satu kerusi tidak tetap di Majlis Keselamatan PBB selama dua tahun berikutnya, yang membawanya ke pentas utama dunia dan memberikannya pengalaman yang sangat diperlukan dalam urusan antarabangsa . Pada tahun 1986, Zimbabwe telah menjadi hos mesyuarat kemuncak NAM.

Walaupun begitu, kegemilangan Zimbabwe tidak bertahan lama. Isu seperti penindasan petani kulit putih telah mencetuskan kemarahan negara Barat. Pada tahun 2002, Zimbabwe telah mengadakan pilihan raya tetapi kerajaannya dituduh sebagai melakukan penipuan. Lalu, negara ini telah digantungkan keahliannya di Komanwel. Setahun kemudian, Komanwel telah becadang untuk menggantung keahlian Zimbabwe sehingga suatu waktu yang tertentu atau indefinitely. Robert Mugabe pun mengambil keputusan untuk meninggalkan Komanwel.[23] Sehingga ke hari ini, Zimbabwe dan Gambia merupakan dua negara di benua Afrika yang tidak menganggotai Komanwel lagi.

Tentera[sunting | sunting sumber]

Angkatan Pertahanan Zimbabwe atau Zimbabwe Defense Force (ZDF) telah ditubuhkan selepas berakhirnya era perjuangan pembebasan pada akhir 1980. ZDF adalah hasil daripada pengintegrasian tiga angkatan tentera utama: Zimbabwe African National Liberation Army, (ZANLA), Zimbabwe People's Revolutionary Army, (ZIPRA) dan Rhodesian Security Forces (RSF). Proses integrasi ini telah menyaksikan pembentukan Zimbabwe National Army (ZNA) dan Air Force of Zimbabwe (AFZ) sebagai entiti yang berasingan.

Walaupun integrasi berlaku di ZNA, lain pula halnya dengan angkatan tentera udaranya iaitu Air Force of Zimbabwe. Bekas tentera dari ZIPRA dan ZANLA telah menyertai angkatan tentera udaranya secara di antara 1980 dan awal 1982. Akibatnya, ramai yang gagal semasa proses pengambilan dan telah disingkirkan dari angkatan tersebut. Pada Julai 1982, beberapa pesawat tentera telah dimusnahkan disebabkan perbuatan sabotaj di Bes Udara Thornhill di Gweru. Penahanan telah dibuat dan ini mengakibatkan peninggalan beramai-ramai pegawai tentera kulit putih dari AFZ. Pada tahun 1995, pindaan telah dibuat keatas rang undang-undang pertahanan dimana semua cabang angkatan tentera diletakaan di bawah seorang komander.

Kini ZNA mempunyai 30,000 tentera yang aktif, manakala angkatan tentera udaranya pula mempunyai 5,139 ahli yang bertugas.[24] Pasukan polis nya iaitu Zimbabwe Republic Police (termasuk unit bantuan polis, polis paramilitari) merupakan sebahagian daripada angkatan tentera di Zimbabwe dengan bilangan seramai 25,000 orang.[25]

Pada tahun 1999, Pemerintah Zimbabwe telah mengirim pasukan ketenteraan yang cukup besar ke Republik Demokratik Congo untuk menyokong pemerintahan Presiden Laurent Kabila semasa Perang Congo Kedua. Namun demikian, pada tahun 2002, sebahagian besar tentera Zimbabwe telah ditarik keluar dari Congo.

Organisasi antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Zimbabwe adalah ahli beberapa organisasi dunia termasuklah:

  • IMF;
  • ADB;
  • WTO;
  • Southern African Development Community (SADC);
  • Preferential Trade Area for Eastern and Southern Africa (PTA);
  • African Caribbean and Pacific Countries (ACP, dengan kerjasama EU);
  • G-77;
  • G-15;
  • NAM;
  • AU;
  • CCC; dan
  • The World Federation of Trade Unions.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Zimbabwe terletak di 20° 00' S, 30° 00' T. Luas kawasannya adalah 390,757km². Zimbabwe adalah sebuah negara tanpa lautan dan di kelilingi Afrika Selatan di selatan, Zambia di utara, Mozambique di timur dan Botswana di barat. Titik paling rendah adalah di persimpangan sungai-sungai Runde dan Save pada 162 m dan paling tinggi ialah Inyangani pada ketinggian 2,592 m.

Pada umumnya, negara ini mempunyai iklim tropikal tetapi ia berbeda-beda berdasarkan altitud.

Galian semula jadinya di Zimbabwe termasuklah arang batu, kromium, asbestos, emas, nikel, tembaga, bijih besi, vanadium, lithium, bijih timah, platinum. Zimbabwe juga terkenal dengan kawasan pertaniannya yang subur. Antara hasil pertanian yang utama adalah jagung, kapas, tembakau, gandum, kopi dan tebu.[26]

Wilayah[sunting | sunting sumber]

Administrative Divisions of Zimbabwe.svg

Zimbabwe adalah kerajaan berpusat dan terbahagi kepada lapan wilayah dan dua bandar raya dengan status wilayah untuk tujuan pentadbiran. Setiap wilayah pula mempunyai ibu negerinya yang tersendiri di mana perniagaan rasmi dijalankan.[27]

Wilayah Ibu Negeri
Bulawayo Bulawayo
Harare Harare
Manicaland Mutare
Mashonaland Tengah Bindura
Mashonaland Timur Marondera
Mashonaland Barat Chinhoyi
Masvingo Bandar Masvingo
Matabeleland Utara Lupane
Matabeleland Selatan Gwanda
Midlands Gweru

Nama-nama sebahagian besar wilayah dihasilkan daripada perpecahan Mashonaland dan Matabeleland semasa penjajahan: Mashonaland adalah wilayah yang pertama sekali diduduki Syarikat Afrika Selatan British Pioneer Column dan Matabeleland pula ialah wilayah yang ditakluki semasa Perang Matabele Pertama. Ini sejajar dengan wilayah pra-kolonial orang Shona dan orang Matabele, walaupun terdapat etnik minoriti yang signifikan di kebanyakan wilayah. Setiap provinsi diketuai oleh seorang Gabenor Wilayah, yang dilantik oleh Presiden. [28] Pemerintah wilayah dikendalikan oleh Pentadbir Provinsi, yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Fungsi pemerintahan lain di tingkat provinsi dilaksanakan oleh pejabat wilayah jabatan pemerintah nasional. [29]

Wilayah-wilayah pula dibahagikan kepada 59 daerah dan 1,200 mukim atau ward (kadang-kadang disebut sebagai munisipal). Setiap daerah diketuai oleh Pentadbir Daerah, yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Terdapat juga Majlis Daerah Luar Bandar, yang melantik Ketua Pegawai Eksekutif. Majlis Daerah Luar Bandar terdiri daripada ahli majlis munisipal yang terpilih, Pentadbir Daerah dan satu wakil ketua (pemimpin tradisional yang dilantik berdasarkan undang-undang adat) di daerah tersebut. Fungsi pemerintahan lain di peringkat daerah dilaksanakan oleh pejabat daerah jabatan pemerintah nasional.[30]

Iklim[sunting | sunting sumber]

Bulan Jun adalah bulan paling sejuk dan Oktober paling panas; variasi suhu bergantung pada altitud. Zimbabwe, yang terletak di utara Tropic of Capricorn, berada sepenuhnya di kawasan tropika tetapi menikmati iklim subtropika kerana secara puratanya ia berada di ketinggian yang tinggi. Menjelang akhir bulan-bulan yang panas dan kering, yang berlaku dari bulan Ogos hingga Oktober, angin monsun yang melintasi Lautan Hindi dan Mozambique mengakibatkan hujan orografik yang kuat ketika mereka bertemu dengan benteng yang dibentuk oleh tanah tinggi timur. Akibatnya, kawasan timur menerima curahan hujan paling lebat di negara ini dan mengalami musim hujan yang lebih lama (berlangsung dari Oktober hingga April) berbanding kawasan Zimbabwe yang lain.

Nota dan rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "The World Factbook – Zimbabwe". Central Intelligence Agency.
  2. ^ Zimstat. "2019 Labour Force Report" (PDF). Dicapai pada September 20, 2020.
  3. ^ a b "Report for Selected Countries and Subjects".
  4. ^ "GINI Index". World Bank. Dicapai pada 21 July 2013.
  5. ^ "Zimbabwe to make Chinese yuan legal currency after Beijing cancels debts". Agence France-Presse. The Guardian. 22 December 2015.
  6. ^ Hungwe, Brian. (6 February 2014) BBC News – Zimbabwe’s multi-currency confusion. BBC. Retrieved 26 May 2014.
  7. ^ "Countries With The Most Official Languages". worldatlas.com.
  8. ^ "Zimbabwe". Amnesty International. Diarkib daripada yang asal pada 2012-05-30. Dicapai pada 2008-12-13.
  9. ^ "Inflasi Zimbabwe 2.2 juta peratus tertinggi di dunia". Utusan Malaysia Online. Dicapai pada 2010-7-13. Periksa date values in: |accessdate= (bantuan)
  10. ^ McKenzie, David; Swails, Brent; Dewan, Angela. "Zimbabwe in turmoil after apparent coup". CNN. Dicapai pada 15 November 2017.
  11. ^ ___. "BREAKING- Record 23 Presidential Candidates For Zimbabwe's July 30 Polls | ZimEye" (dalam bahasa Inggeris). Diarkib daripada yang asal pada 17 January 2019. Dicapai pada 17 January 2019.
  12. ^ Mabhena, Charles (2 August 2018). "BREAKING NEWS: Emerson Mnangagwa wins Zimbabwe Presidential Elections 2018, ZEC". ZWNEWS | Zimbabwe News | Latest Zimbabwe | Zim News Latest | Zim Latest News | Zimnews (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 17 January 2019.
  13. ^ "Zimbabwe – big house of stone". Somali Press. Diarkib daripada yang asal pada 3 May 2011. Dicapai pada 14 December 2008.
  14. ^ Lafon, Michel (1994). "Shona Class 5 revisited: a case against *ri as Class 5 nominal prefix" (PDF). Zambezia. 21: 51–80.
  15. ^ Martin, Meredith (2002). Our Votes, Our Guns: Robert Mugabe and the Tragedy of Zimbabwe. New York: Public Affairs.
  16. ^ Martin, Meredith (2002). Our Votes, Our Guns: Robert Mugabe and the Tragedy of Zimbabwe. New York: Public Affairs.
  17. ^ David, Blair (2002). Degrees in Violence: Robert Mugabe and the Struggle for Power in Zimbabwe. London and New York: Continuum.
  18. ^ "Tekere says Mugabe 'insecure' in new book". Dicapai pada 2008-01-06.
  19. ^ Zimbabwe: Election Fraud Report, University of Pennsylvania, 18 April 2005.
  20. ^ Mugabe's former ally accuses him of foul play, 12 March 2005. Independent Online Zimbabwe.
  21. ^ Zimbabwe stands 'on a precipice' BBC, 31 March 2008.
  22. ^ "Mugabe rival quits election race", BBC News, 22 June 2008
  23. ^ "Zimbabwe quits Commonwealth". BBC.co.
  24. ^ "Zimbabwe Defence Forces News". ZDF News. Dicapai pada 2009-04-17.
  25. ^ "Militarisation of Zimbabwe: Does the opposition stand a chance?". Dicapai pada 2008-01-06.
  26. ^ "Africa>Zimbabwe>Agriculture". NationMaster.com.
  27. ^ "The World Factbook". Dicapai pada 2007-11-13.
  28. ^ "Constitution of the Republic of Zimbabwe" (PDF). Parliament of Zimbabwe. Dicapai pada 2008-12-19.
  29. ^ "Provincial Councils and Administration Act (Chapter 29:11)" (PDF). Parliament of Zimbabwe. Dicapai pada 2008-12-19.
  30. ^ "Rural District Councils Act (Chapter 29:13)" (PDF). Parliament of Zimbabwe. Dicapai pada 2008-12-19.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]



Ralat petik: Tag <ref> untuk kumpulan "Note" ada tetapi tag <references group="Note"/> yang sepadan tidak disertakan