Pilihan raya umum Malaysia 1974

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Malaysia

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan kerajaan
Malaysia



Negara-negara lain · Atlas
 Portal Politik

Pilihan Raya Umum Malaysia 1974 yang merupakan pilihan raya umum Malaysia yang keempat diadakan pada Ogos 1974. Pilihan raya ini juga merupakan pilihan raya umum yang pertama sejak Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Sejak tahun 1971, keahlian Parti Perikatan yang terdiri daripada tiga parti komponen telah diperluas oleh Tun Abdul Razak untuk merangkumi 10 parti politik, termasuk Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan dinamakan Barisan Nasional. Bagaimanapun, menjelang pilihan raya, terdapat banyak pertikaian terhadap peruntukan kerusi yang mewujudkan ketegangan hubungan antara parti-parti komponennya sehingga ramai rang berpendapat bahawa parti campuran Barisan Nasional tidak akan kekal lama.

Pesaing utama dalam pilihan raya ini ialah sebuah parti campuran pembangkang yang diketuai oleh Lim Kit Siang, pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP). Amat berbeza dengan Barisan Nasional, parti campuran pembangkang ini tidak mempunyai mana-mana satu parti atau tokoh yang paling berpengaruh dan oleh itu, dengan pantasnya menunduk kepada pertikaian-pertikaian ideologi serta peribadi.[1]

Perjalanan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pembubaran Parlimen dan tarikh pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Pada 31 Julai 1974, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein mengumumkan bahawa Parlimen Malaysia yang ketiga dan Dewan-dewan Undangan Negeri, kecuali di Sabah dibubarkan setelah Yang di-Pertuan Agong menandatangani pengisytiharan pembubaran Parlimen. Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya juga telah dimaklumkan mengenai pembubaran Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri.[2]

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa tarikh bagi hari penamaan calon ialah 8 Ogos 1974 manakala Hari Mengundi bagi Semenanjung Malaysia ialah pada Sabtu, 24 Ogos 1974. SPR pada 1 Ogos 1974, mengumumkan 21 simbol yang akan digunakan oleh parti politik dan calon bebas dalam Pilihan Raya Umum kali keempat ini. Barisan Nasional menggunakan simbol dacing, Parti Kesatuan Insaf Tanah Air atau KITA akan menggunakan simbol Pokok Kelapa Sawit dan Parti Progresif Rakyat Bebas (PPP) menggunakan simbol Rumah Api. Lain-lain parti akan menggunakan simbol masing-masing iaitu Pekemas (Matahari terbit), DAP (roket), Parti Sosialis Rakyat Malaya (Benteng) dan SNAP menggunakan simbol perisai. Sembilan jenis simbol juga disediakan oleh SPR untuk calon bebas dan empat lagi simbol simpanan.Simbol-simbol calon bebas ialah bas, basikal, kapal terbang, anak kunci, lilin, buku, wau dan kepala harimau. Empat lagi sebagai simbol simpanan untuk calon-calon bebas ialah motokar, lampu, lampu picit dan bunga.[2]

Lagu ‘Mari Mengundi'[sunting | sunting sumber]

Lagu ‘Mari Mengundi' telah meriah disiarkan di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bukan sahaja berjaya mengingatkan orang ramai tentang kewajipan mengundi, tetapi menjadi menjadi lagu kesukaan ramai. Ini kerana rentaknya menarik dan dinyanyikan oleh Surya Booty. Lagu berentak Calypso itu dicipta dan disusun senikatanya oleh Daud Hamzah. Lagu  ini digubah oleh Ahmad Shariff, Surya Booty dengan diiringi oleh pancaragam RTM. 12 lagu bertemakan undi dicipta oleh RTM,khas untuk pilihan raya tahun 1974. Kesemua lagu tersebut kecuali ‘Mari Mengundi', dinyanyikan oleh penyanyi bercorak lagu-lagu kebangsaan, Jamaluddin Alias.[2]


Menang tanpa bertanding[sunting | sunting sumber]

Sebaik sahaja penamaan calon ditutup pada tengah hari 8 Ogos 1974, Parti Barisan Nasional telah memenangi 90 kerusi tanpa bertanding. 47 daripadanya merupakan kerusi Parlimen dan 43 lagi, kerusi Dewan Undangan Negeri. Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn, serta lapan orang Menteri Kerajaan Pusat antara calon-calon yang menang tanpa bertanding bagi kawasan Parlimen. Ketua Menteri dan Menteri Besar yang menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri ialah Tun Datu Mustapha bin Datu Harun (Sabah), Haji Ghani Ali (Melaka), Datuk Haji Othman Saat (Johor) dan Dato' Syed Ahmad Shahabuddin (Kedah).  Manakala antara Menteri Kabinet yang menang tanpa bertanding ialah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie (Lipis); Menteri Kebajikan Am, Puan Hajah Aishah Ghani (Kuala Langat); Menteri Kerja Raya dan Tenaga, Datuk Abdul Ghani Gilong (Kinabalu) dan Menteri Tak Berjabatan yang juga Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Encik Mohd Khir Johari.[2]

Hari Mengundi[sunting | sunting sumber]

Pengundian agak lembap pada sebelah pagi di seluruh negara kerana ramai pengundi keluar bekerja. Kebanyakan yang keluar mengundi pada waktu pagi ialah kaum ibu dan orang tua. Tempat mengundi telah di tutup pada jam 8 malam dan ada beberapa tempat ditutup lebih awal daripada itu. Sejumlah empat juta pengundi telah keluar membuang undi di 3,000 pusat pengundian untuk memilih 107 calon bagi kerusi Parlimen dan 317 calon bagi Dewan Undangan Negeri. Seramai 1,267 orang calon telah mendaftar untuk bertanding pada penamaan calon, 8 Ogos 1974  dengan  seramai 939 orang calon bertanding untuk kawasan Dewan Negeri dan 328 orang calon untuk kerusi Parlimen.

Melihat kepada keadaan peratusan yang keluar mengundi di antara 30 hingga 45 peratus sahaja di beberapa tempat di negeri Pulau Pinang, Penyelia Pilihan Raya negeri, Encik Ariffin bin Mohd Yassin terpaksa membuat rayuan kepada para pengundi supaya keluar untuk menunaikan hak mereka. Rayuan dibuat menerusi Radio Malaysia di Pulau Pinang pada jam empat petang.[2]

Penduduk dalam kawasan Gerik pula dilaporkan dikawal oleh Pasukan Anggota Keselamatan. Penduduk yang tinggal di pedalaman diangkut dengan lori-lori tentera yang dikawal rapi untuk di bawa ke tempat-tempat mengundi. Langkah tersebut dibuat agar penduduk dapat keluar mengundi dengan selamat berikutan daripada insiden keganasan pengganas komunis ke atas pekerja pembinaan Lebuh Raya Timur-Barat. Tugas mengawal keselamatan ini tertumpu di kawasan Dewan Undangan Negeri Kenering yang menjadi medan pertarungan Menteri Pertanian dan Perikanan, Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi.[2]

Lebih 30,000 buah kereta termasuk teksi dan bas sekolah telah digunakan oleh parti-parti politik untuk membawa pengundi-pengundi ke pusat-pusat mengundi di seluruh Semanjung Malaysia mulai jam 8 pagi pada 24 Ogos 1974. Parti Barisan Nasional mengatasi lain-lain parti dengan menggerakkan kira-kira 20,000 buah kenderaan yang dipasang dengan bendera dan poster dacing bagi memberi perkhidmatan percuma kepada para pengundi. Parti-parti lawan Pekemas, DAP, PSRM, calon-calon bebas juga memasangkan bendera simbol masing-masing untuk memancing undi pada saat-saat akhir. Jurucakap Barisan Nasional menyatakan bahawa kesemua kereta yang digunakan merupakan perkhidmatan sukarela dari tuan-tuan punya sebagai langkah menyokong Barisan Nasional dan calon-calonnya.

Pengiraan Undi Kelam Kabut[sunting | sunting sumber]

Pengiraan undi bagi kawasan Parlimen Setapak diadakan bertempat di Sekolah Menengah Lelaki, Jalan Ampang, Kuala Lumpur menjadi kelam kabut, apabila bekalan elektrik terputus dari jam 8.45 hingga 10.15 malam. Keadaan itu memaksa, pegawai-pegawai pilihan raya menggunakan lampu picit, lampu minyak tanah dan lampu kereta. Atas sebab keselamatan peti-peti undi, polis mengawal orang-orang yang keluar masuk ke pusat tersebut. Kerja-kerja mengira undi di pusat itu dijalankan semula pada jam 10.30 malam, kira-kira 15 minit selepas bekalan elektrik di sambung semula. Menurut Lembaga Letrik Negara (LLN), bekalan terputus itu juga turut berlaku dibeberapa kawasan lain di bandar raya Kuala Lumpur termasuk Kampung Bharu.[2]

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Walaupun kemenangan Barisan Nasional merupakan sesuatu yang sudah pasti, parti campuran ini mencatat satu pencapaian yang tertinggi sejak kemerdekaan. Pemerolehan 135 kerusi yang merupakan 87.7% daripada jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat adalah melebihi pencapaian sebanyak 85.6% yang dicapai pada tahun 1964. Jumlah undi sebanyak 60.7% juga merupakan satu perbaikan sebanyak 23.1% berbanding tahun 1969 yang hanya mencatat 49.3% jumlah undi. Pencapaian ini mungkin disebabkan keinginan rakyat untuk keamanan dan kestabilan selepas kejadian Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969.

Majoriti sebanyak 87.7% jelas jauh melebihi dua pertiga Dewan Rakyat yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan. Barisan Nasional juga memenangi semua kerajaan negeri, termasuk Kelantan, disebabkan Parti Islam SeMalaysia (PAS) kini merupakan sebahagian parti campuran Barisan Nasional.

Sebaliknya, parti-parti pembangkang pada keseluruhannya mengalami kekalahan yang amat teruk dan mencatat rekod yang terendah sejak kemerdekaan dengan jumlah undi hanya sebanyak 39.3%. Bilangan kerusinya sebanyak 19 hanya merupakan 12.3% daripada kerusi-kerusi Dewan Rakyat. Ini merupakan satu penurunan sebanyak 63.7% dalam bilangan kerusinya.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Barbara Watson Andaya & Leonard Y. Andaya. A History of Malaysia (Sejarah Malaysia), m.s. 293 (1982). ISBN 0-333-27673-6
  2. ^ a b c d e f g Arkib Negara Malaysia: Pilihan Raya Umum Keempat tahun 1974


Didahului oleh:
1969
Pilihan Raya Umum Malaysia Diikuti oleh:
1978