Sultan Yahya Petra ibni al-Marhum Sultan Ibrahim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Yang di-Pertuan Agong
Img agung6 2.gif
Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim
Yang di-Pertuan Agong ke- 6
Raja Permaisuri Agong Tengku Zainab binti Tengku Mohammad Petra
Negeri Kelantan
Keputeraan (1917-12-10)10 Disember 1917
Istana Kota Lama, Sungai Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malaya British
Kemangkatan 29 Mac 1979(1979-03-29) (umur 61)
Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia
Mula jawatan 21 September 1975
Tamat jawatan 29 Mac 1979
Penyandang terdahulu Al-Sultan Al-Mu’tassimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
Penyandang kemudian Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Mu’azzam Shah

Sultan Yahya Petra ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim (10 Disember 1917 - 29 Mac 1979) merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang keenam.

Riwayat awal[sunting | sunting sumber]

Diputerakan pada 10 Disember 1917 di Istana Kota Lama, Sungai Kelantan, Kota Bharu dan merupakan putera kedua bagi Sultan Ibrahim IV ibni al-Marhum Sultan Muhammad IV dengan isteri ketiga baginda iaitu Che Puan Besar Cik Embong binti Daud. Tengku Yahya Petra menerima pendidikan agama semasa zaman kanak-kanak ketika baginda dibesarkan oleh ayahanda saudara Baginda, Sultan Ismail. Tengku Yahya Petra menerima pendidikan awal di Sekolah Francis Light, Pulau Pinang ketika berusia 14 tahun. Selepas empat tahun menuntut di sekolah ini, Almarhum Sultan Ismail menghantar baginda menuntut di England pada 1934.

Baginda berkahwin dengan Tengku Zainab binti Tengku Muhammad Petra ketika berusia 22 tahun pada tahun 1939. Pasangan diraja ini dikurniakan seorang putera dan lima puteri. Putera tunggal Tengku Yahya Petra dan Tengku Zainab ialah Sultan Kelantan ke-28, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra. Lima orang puteri Baginda ialah Yang Mulia Tengku Merjan, Yang Mulia Tengku Rozan, Yang Mulia Tengku Salwani, Yang Mulia Tengku Rohani dan Yang Mulia Tengku Minasrul. Baginda juga berkahwin dengan Tengku Alexandrian binti Tengku Yusuf dan dikurniakan seorang putera iaitu Yang Mulia Tengku Mohammad Petra.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Tengku Yahya Petra dianugerahkan gelaran Tengku Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K.) oleh Almarhum Sultan Ismail pada 21 Julai 1939. Untuk membiasakan diri, baginda dengan hal ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran, Tengku Yahya Petra telah dilantik untuk memegang pelbagai jawatan utama dalam kerajaan negeri. Baginda ialah Timbalan Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan antara 1941 hingga 1947. Pada 2 April 1944, S.P.B. dilantik sebagai Penolong Ketua Pegawai Kewangan Negeri dan pada 6 Februari 1945, Baginda dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Bharu. Pada 1945 S.P.B. Tengku Yahya Petra dilantik sebagai Tengku Bendahara oleh ayahanda baginda, Sultan Ibrahim. Tengku Yahya Petra menjadi Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu pada 1 Januari 1948 hingga 31 Disember 1953.

Semasa menjadi Tengku Mahkota, baginda turut terlibat sama dalam hal ehwal kerajaan negeri dan mengambil berat kebajikan rakyat. Semasa pemerintahan baginda (1948 - 1960), negeri Kelantan berada dalam keadaan darurat dan baginda tetap memberanikan diri dengan melawat kampung-kampung di kawasan pedalaman Kelantan.

Naik takhta[sunting | sunting sumber]

Tengku Yahya Petra ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada, 17 Julai 1961, dengan gelaran Sultan Yahya Petra, untuk menggantikan ayahanda baginda, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Pada 6 Oktober 1966, Sultan Yahya Petra menjadi Kolonel Briged Artileri Malaysia.

Pada 22 Julai 1970, Sultan Yahya Petra dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja. Istiadat mengangkat sumpah diadakan pada 21 September 1970. Kemudian pada 19 Jun 1975, Majlis Raja-Raja memilih Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Semasa pemerintahan Baginda sebagai Yang di Pertuan Agong, anakanda Baginda, Duli Yang Maha Mulia Tengku Ismail Petra menjadi Pemangku Raja.

Kemangkatan[sunting | sunting sumber]

Sultan Yahya Petra mangkat akibat serangan jantung pada pukul 3:45 petang, hari Khamis 29 Mac 1979 dalam usia 61 tahun, di Istana Negara Kuala Lumpur. Baginda mangkat selepas santapan tengahari dan ketika sedang berahat bersama keluarga di Istana Negara. Jenazah Baginda telah diterbangkan ke negeri keputeraanya, Kelantan Darul Naim dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu.

Anugerah lain[sunting | sunting sumber]

Pada 5 Jun 1952, Tengku Yahya Petra menerima Order St. Michael dan St. George (C.M.G.) daripada Ratu Elizabeth II dari England.

Ketika negara meraikan sambutan ulang tahun pertama Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, Tengku Yahya Petra telah dilantik menjadi Seri Maharaja, menerima Darjah Tertinggi Tanah Melayu, Seri Mangku Negara (S.M.N.) daripada Yang di-Pertuan Agong Pertama, Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sultan Yahya Petra juga menerima Darjah Kerabat yang lain-lain, antaranya:

Paduka anakanda[sunting | sunting sumber]

Tengku Yahya Petra mengahwini Tengku Zainab pada 4 Jun 1939 di Kota Bharu, Kelantan dan dikurniakan seorang putera dan lima orang puteri. Baginda juga mengahwini dengan Tengku Alexandria dan dikurniakan seorang putera.

[1]

Nama Keputeraan Kemangkatan Perkahwinan
Tarikh | Pasangan
Cahaya mata
YBM Tengku Merjan 23 Februari 1940 Tiada 22 Januari 1960 YBM Tengku Abdul Aziz bin Tengku Mohd Hamzah YM Tengku Mohamad Rizam
YM Tengku Ramizan
YM Tengku Mohamad Rizal
YM Tengku Mohamad Ridzman
YBM Tengku Rozan 25 Disember 1942 Tiada 1969 - bercerai YM Tengku Muhammad Nasrun bin Tengku Yusuf YM Tengku Rozanna Petri
YM Tengku Rozlynda Petri
YBM Tengku Salwani 26 Ogos 1944 Tiada 20 Oktober 1966 - bercerai YM Raja Aman Shah bin Raja Shahar Shah YM Raja Amir Saifuddin Shah
YM Tengku Rohani 14 Oktober 1947 Tiada Tiada Tiada Tiada
YTM Tengku Ismail Petra 11 Novembar 1949 Tiada 4 Disember 1968 YTM Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid YAM Tengku Muhammad Faris Petra
YAM Tengku Muhammad Faiz Petra
YAM Tengku Muhammad Fakhry Petra
YAM Tengku Amalin A'ishah Putri
YM Tengku Minasrul 1960 1960 Tiada Tiada Tiada
YAM Tengku Muhammad Petra 1966 Tiada Tiada Tiada Tiada

Lihat juga[sunting | sunting sumber]


Penyandang Terdahulu Yang di-Pertuan Agong Malaysia Penyandang Kemudian
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni al-Marhum Sultan Badlishah Sultan Ahmad Shah al-Musta'in Billah ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar
Penyandang Terdahulu Sultan Kelantan Penyandang Kemudian
Sultan Ibrahim IV Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra