Shima (penyanyi)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Shima
Shimacover.jpg
Shima semasa sesi fotografi bersama Utusan Malaysia pada 1998.
Latar belakang
Nama lahirKu Nazhatul Shima binti Ku Kamaruzzaman
Kelahiran (1969-09-12) 12 September 1969 (umur 51)
Sungai Ara, Banting, Selangor, Malaysia
Genre
PekerjaanPenyanyi, pelakon
InstrumenVokal
Tahun aktif
  • 1990–1999
  • 2007–2008
  • 2013–kini
Syarikat rakaman
CBS Music (1989-1990)
Sony Music (1991-1999)
EMI Music (2006-2008)
Pengkarya berkait
Shima and The Boys

Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman (lahir 12 September 1969) atau lebih dikenali dengan mononim, Shima merupakan seorang penyanyi wanita Malaysia.[1] Beliau dikenali dengan menyampaikan lagu rock yang bernada tinggi sangat memukau peminat muzik rock tanahair suatu masa dahulu.[2] Antara lagu-lagu popularnya ialah "Di Sebalik Sejuta Wajah", "Setelah Aku Kau Miliki", "Teringin" dan "Aku Tetap Aku", yang kesemuanya menaikkan nama Shima sebagai antara penyanyi yang popular pada era 90an, sezaman dengan Ziana Zain, Amy Mastura, Ning Baizura, Nora dan Fauziah Latiff.[3][4]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Shima dilahirkan di Sungai Ara, Banting, Selangor pada 12 September 1969. Shima mendapat pendididikan awal di Sekolah Rendah Convent, Pelabuhan Klang, Selangor dan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Banting, Selangor. Beliau ialah anak kepada Kamaruzzaman Shariff, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Hajah Samuh Hassan.[5]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

1989-1990: Tahun-tahun awal[sunting | sunting sumber]

Kerjaya Shima sebagai seorang penyanyi bermula dengan kumpulan Shima and The Boys menggantikan penyanyi asal kumpulan itu iaitu Ella, sebelum mengorak langkah sebagai penyanyi solo dengan album Shima. Album sulung Shima yang diterbitkan oleh Sani, Usop dan Siso pada tahun 1990 itu telah menaikkan nama Shima sebaris dengan dengan puteri-puteri rock yang lain. Lagu Di Sebalik Sejuta Wajah ciptaan Umarul (Iklim) ini sebenarnya begitu popular pada masa itu hingga menaikkan nama Shima antara sebagai penyanyi wanita baru yang popular waktu itu.[6]

Kisah Shima bukan habis setakat itu, malah selepas kemunculan pertamanya bersama kumpulan itu, muncul pula gosip kononnya Shima bergaduh dengan Ella gara-gara The Boys. Populariti yang dikecapi bukan sahaja telah mencatatkan sejarah dalam diari Shima sebagai anak seni, malah ia juga telah mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan peminat Ella & The Boys ketika itu.[6]

Sedari awal Shima tahu apabila muncul bersama The Boys ramai yang menganggap dia merampas kumpulan itu daripada Ella. Tetapi sebenarnya, The Boys menawarkan beliau yang ketika itu menyanyi di sebuah kelab di Kelang untuk menjadi penyanyi utama. Selain Shima, Bibiyana Layola Lee juga pernah menjadi penyanyi The Boys ketika itu.[6]

Hakikatnya, jodoh Shima bersama The Boys hanya bertahan untuk satu album sahaja. Shima kemudian meninggalkan The Boys untuk meneruskan kerjaya secara solo dan masih mendapat sokongan daripada The Boys sendiri.[6]

1990-1996: "Setelah Aku Kau Miliki" dan kemuncak kerjaya[sunting | sunting sumber]

Shima ketika bersama The Boys. Dibelakangnya (berdiri 3 dari kiri) ialah bekas suaminya, keyboardis Satiman.

Kerjaya nyanyian Shima mencapai puncak kegemilangan apabila berjaya memenangai tempat kedua di Anugerah Juara Lagu edisi 1991 menerusi lagu Setelah Aku Kau Miliki petikan album kedua beliau.[6] Lagu ciptaan Saari Amri itu juga berjaya memberi tuah kepada Shima apabila turut memenangi anugerah persembahan terbaik. Sejak itu, Shima menerusi syarikat rakaman Sony Music merencana projek untuk album ketiga yang lebih baik. Ternyata album Shima 3: Teringin itu berjaya meledak di pasaran dan lagu Teringin menjadi siulan anak muda. Lagu itu layak ke Anugerah Juara Lagu 1993, biarpun tewas di tangan Fauziah Latiff, Shima menebus kekecewaan apabila memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) di Anugerah Industri Muzik yang pertama kali diadakan juga memenangi pertandingan Pujaan 10 Nescafe 1993 kategori persembahan solo terbaik dengan lagu Teringin.

Sony Music memberi peluang untuk Shima mencuba pelbagai jenis genre muzik menerusi penerbitan album More Than Your Girl pada hujung tahun 1993. Album berbahasa Inggeris itu berjaya meletakkan Shima sebagai penyanyi versatil. Tidak cukup dengan itu, Shima mencuba bakat dalam lakonan menerusi filem Sutera Putih.[7] Ini bukan kali pertama beliau berlakon kerana sebelum itu pernah mencuba bakat dalam filem Red Hair Tumbler in Malaya dan Kelisa.[8][9]

Selepas itu Shima muncul semula dengan album Luka Dilukai pada tahun 1994. Album ini terus mengembalikan Shima sebagai seorang penyanyi wanita yang sangat popular di era 90an sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Ziana Zain, Fauziah Latiff, Ella, Noraniza Idris, Aishah, Mas Idayu, Sheila Majid, Amelina, Amy Mastura dan Ramlah Ram. Disamping itu, Shima merupakan antara penyanyi yang menjayakan persembahan di Konsert Sensasi Shima yang berlangsung pada 7 Oktober 1995 di Tampin, Melaka.[10]

Pada 11 November 1995, Shima dan rakan penyanyi, Aishah terpilih mewakili Malaysia di Concert In Singapore yang berlangsung di Stadium Nasional Singapura.[11]

Beliau turut mewakili Malaysia bagi program Asia Live Special di Shanghai pada tahun 1996, anjuran NHK dan OTV.

1997-1999: Rasa dan Aku Tetap Aku[sunting | sunting sumber]

Wajah-wajah Shima di zaman kemuncaknya

Album kelima berjudul Rasa diterbitkan hampir 2 tahun setelah kejayaan Luka Dilukai. Pada tahun 1997 ketika itu, Shima terpaksa bersaing dengan ramai penyanyi baru yang mula menonjol seperti Nora, Siti Nurhaliza dan Liza Hanim. Biarpun sedikit tenggelam, jualan album Shima masih memberangsangkan malahan lagu Apaku Rasa berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 1997.

Sejak itu, karier nyanyian Shima menjadi sedikit 'low profile' setelah berumahtangga buat kali kedua. Shima bekerjasama dengan Hattan dan Fauzi Marzuki untuk album keenamnya yang berjudul Aku Tetap Aku. Kemunculan album ini disambut baik peminat, lagu Aku Tetap Aku berjaya menjuarai carta radio biarpun album kali ini berkonsepkan pop yang mana Shima menghilangkan terus bunyian rock dalam nyanyian beliau.

1999-2008: Persaraan dan Ke Pangkuanmu[sunting | sunting sumber]

Sejak membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu 1999 untuk lagu "Aku Tetap Aku", Shima mengambil keputusan untuk berehat seketika dari arena nyanyian arus perdana. Shima bercuti agak lama tanpa album terbaru. Sepanjang tempoh itu Shima banyak menyanyi di hotel-hotel.[12] Lagu Mohon Diri yang diterbitkan dalam album kompilasi beliau sementara menanti buah tangan baharu.

Pada tahun 2006, Shima menerima pelawaan dari lagenda rock Ramli Sarip untuk menyumbangkan suara dalam album Ruh Zaman. Dalam album itu mereka tampil berduet dalam lagu nyanyian asal Jay Jay dan Dayangku Intan yang berjudul Kita Insan Biasa. Hanya pada tahun 2007, Shima menerima lamaran EMI Music (M) untuk kembali merakamkan suara. Album Ke Pangkuanmu menjadi album terakhir Shima setakat ini. Album ini bagaimanapun tidak mendapat publisiti meluas biarpun beberapa single nya popular menerusi program drama TV (sebagai lagu tema). Shima dikatakan kecewa kerana stesen radio mengamalkan sikap pilih bulu dalam menyiarkan lagu-lagu penyanyi lama sepertinya.

Hingga kini, Shima telah menerbitkan 8 album solo (tidak termasuk 1 album bersama The Boys), 4 album kompilasi dan sebuah album runut bunyi. Beliau menjadi salah seorang penyanyi wanita yang sangat masyhur pada era 90an dan berbekalkan bakat, personaliti dan auranya sebagai diva.

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Shima telah berkahwin sebanyak 5 kali.[13] Pada tahun 1990, Shima mendirikan rumahtangga bersama pemain keyboard kumpulan itu iaitu Satiman. Perkahwinan pada usia muda ternyata tidak menjanjikan kebahagian buat Shima. Biarpun Satiman begitu menyokong kerjaya Shima malahan terbabit dalam penerbitan album beliau, hubungan mereka berdua tidak kesampaian. Pada tahun 1993, Shima dan Satiman bercerai.[14]

Seterusnya, Shima berkenalan dengan seorang guru bernama Khairun Lamb pada tahun 1996 dan seterusnya mendirikan rumahtangga. Namun panas tidak berpanjangan, jodoh Shima dan Khairun juga tidak panjang. Mereka berpisah pada tahun 1998.

Shima kemudian berkahwin dengan lelaki warga Kanada pada 2003. Menurut Shima, walaupun suaminya bukan orang Melayu tetapi seleranya yang lebih Melayu dan suka makan di rumah membuatkan Shima teruja menjadi suri rumah yang memasak pelbagai resepi Melayu dan Barat. Walaupun kadangkala dia ingin hidup seperti orang biasa tetapi sesekali dia akan memenuhi tawaran menyanyi untuk dinner show dan juga di hotel. Suaminya juga tidak pernah menghalang beliau menyanyi asalkan kontrak persembahan hanya hotel di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Menurut Shima, menyanyi di lounge bukanlah mudah. Setiap malam dia harus menyanyi selama 180 minit yang dibahagikan kepada empat segmen. Selain lagu-lagu permintaan pengunjung, antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan Shima ialah lagu-lagu popular Frank Sinatra, Nat King Cole di samping lagu-lagu hitsnya.

Setelah album Ke Pangkuanmu tidak dapat membantunya meneruskan kerjaya dalam bidang seni, Shima lebih banyak menumpukan perhatian pada rumah tangga. Pada tahun 2018, beliau bertudung sepenuhnya.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

The Boys[sunting | sunting sumber]

Album studio[sunting | sunting sumber]

Album kompilasi[sunting | sunting sumber]

Album runut bunyi[sunting | sunting sumber]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Catatan
1991 Kelisa Filem pertama
1992 Red Haired Tumbler di Malaya
1995 Sutera Putih

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
1995 Istimewa Bersama... Shima[15] Dirinya sendiri TV1
2014 Gegar Vaganza (musim 1) Dirinya sendiri/peserta Astro Ria

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album Keputusan
1993
  • (AIM pertama)
Lagu Terbaik Teringin Shima 3: Teringin Tercalon
Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Artis: Shima Menang
1999
  • (AIM ke 7)
Persembahan Vokal Terbaik di dalam Album (Wanita) Artis: Shima Aku Tetap Aku Tercalon
Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Lagu Album Pencipta Lagu Penulis Lirik Kategori Keputusan
1991 (AJL 6) Setelah Aku Kau Miliki Shima Vol. 2 Saari Amri Azida N.S -tiada- Menang
  • Naib Juara Keseluruhan
  • Persembahan Terbaik
1993 (AJL 8) Teringin Shima 3: Teringin Fauzi Marzuki Lukhman S. Balada Tercalon
1997(AJL 12) Apaku Rasa Rasa Loloq (Darwis) Pop Rock Tercalon
1999(AJL 14) Aku Tetap Aku Aku Tetap Aku Lan Laga Amran Omar Balada Tercalon
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH)
Tahun Kategori Keputusan
1991 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
1993 Penyanyi Wanita Popular Tercalon
1994 Penyanyi Wanita Popular Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Farihad Shalla Mahmud (9 Mei 2012). "Shima masih teringin". Berita Harian. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  2. ^ "Shima bersiap sedia hadapi masa depan". Utusan Malaysia. 13 September 1995. Dicapai pada 8 April 2009.
  3. ^ Nor Hatina Shuib (21 September 2012). "Shima kepenatan kerana Teringin". Berita Harian. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  4. ^ "Shima tidak berserah pada keadaan". Utusan Malaysia. 26 Februari 2000. Dicapai pada 8 April 2009.
  5. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (22 Oktober 2005). "Shima semakin selesa tanpa solekan". Berita Harian. Dicapai pada 8 April 2009.
  6. ^ a b c d e Norhashimah MD, Zarina Amin, Kamal Ishak (12 Julai 1992). "Suara Shima semakin matang". Berita Minggu. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.Selenggaraan CS1: pelbagai nama: senarai pengarang (link)
  7. ^ Zainuri Misfar (8 Oktober 1994). "Shima pilih Sutera Putih". Berita Harian. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  8. ^ Zubairi Zabidin (27 Disember 1994). "Lakonan Shima menyerlah". Harian Metro. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  9. ^ Rosli Manah (11 Oktober 1995). "Shima ingin berteater". Utusan Malaysia. Dicapai pada 8 April 2009. "SHIMA... ingin mendekati teater meskipun hanya untuk watak sampingan".
  10. ^ Zulkifli Abdullah (6 Oktober 1995). "Konsert Sensasi Shima di Tampin". Utusan Malaysia. Dicapai pada 8 April 2009.
  11. ^ "Aishah dan Shima ke Singapura". Utusan Malaysia. 26 Ogos 1995. Dicapai pada 8 April 2009.
  12. ^ "Meriah... persembahan penyanyi Shima,..." Berita Harian. 14 Mac 2000. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  13. ^ "Shima kahwin kali kelima". Metro Ahad. 14 Mei 2017. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  14. ^ "Shima disahkan bercerai". Berita Harian. 4 Februari 1993. Dicapai pada 8 April 2018 – melalui KLiK.
  15. ^ "Persembahan khas Shima dinantikan". Utusan Malaysia. 16 Ogos 1995. Dicapai pada 8 April 2009.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]