Pulau Pisang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pulau Pisang, Johor
ڤولاو ڤيسڠ، جوهر
Geografi
StatusPulau
Negara Malaysia
Negeri Johor
DaerahPontian

Pulau Pisang (bahasa Inggeris: Banana Island) adalah salah sebuah pulau kecil yang terdapat di perairan negeri Johor Darul Ta'zim, Malaysia. Pulau ini terletak 5 kilometer dari bandar Benut, Pontian dan 12 kilometer dari Pontian Kechil. Ia berada di selatan laluan perkapalan Selat Melaka yang sibuk serta berkedudukan strategik di barat daya negeri Johor.

Di pulau ini terdapat sebuah rumah api yang dikawal selia oleh Singapura berikutan daripada perjanjian di antara Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim dan kerajaan Inggeris pada 1900.[1]

Namun berikutan daripada hasil kes pertindihan tuntutan wilayah antara Malaysia dan Singapura di Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang telah memihak kepada Singapura, terdapat gesaan dari pelbagai pihak supaya kerajaan Malaysia segera mengambil alih pengurusan rumah api tersebut. Walaupun Singapura ketika ini mengakui pulau itu milik Malaysia, penduduk Malaysia bimbang jika Pulau Pisang juga bakal menerima nasib yang sama seperti Pulau Batu Puteh jika kerajaan Malaysia tidak berbuat apa-apa untuk membuktikan penguasaan serta kedaulatannya terhadap pulau ini.[2]

Dakwaan pembesaran jeti dan infrastruktur Rumah Api Pulau Pisang oleh Singapura[sunting | sunting sumber]

Pada bulan Ogos tahun 2008, pewaris tanah perkebunan di Pulau Pisang mendakwa kerajaan Singapura telah meluaskan lot-lot tanah yang menganjur bermula dari sekitar kawasan Rumah Api Pulau Pisang. Bukti pembesaran adalah dengan perubahan struktur dapat dilihat dengan jelas berbanding dahulu serta keluasan tanah yang dilebarkan.[3]

Pada tahun yang sama, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, pula meminta Kerajaan Malaysia untuk menyiasat dakwaan pembinaan sebuah stor simpanan dan jeti oleh Pihak Berkuasa Maritim Singapura (MPA) di Pulau Pisang. Desakan ini bertujuan bagi memantau agar Singapura tidak melanggar perjanjian yang termaktub di antara Sultan Johor dan Kerajaan Negeri-Negeri Selat yang berpengkalan di Singapura pada 1900. Menurut perjanjian tersebut di antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Okt 1900, kawasan keluasan rumah api yang dipersetujui adalah 1 ekar, 1 Rod dan 18 Poles. Keluasan laluan daripada jeti ke rumah api pula ditetapkan pada 1 ekar dan 5 Poles, manakala keluasan jeti pula adalah 17 Poles.

Seorang lagi waris pemilik kebun di pulau terbabit, Abdul Razak Malutak, 66, berkata kawasan rumah api yang ditadbir republik itu turut mempunyai kemudahan bagi pendaratan helikopter. Pada tahun-tahun 80-an, penduduk kadangkala melihat helikopter Singapura di kawasan rumah api terbabit sedang menghantar barangan-barangan berat untuk kegunaan rumah api itu.

Penduduk tempatan juga didakwa dilarang oleh penjaga rumah api untuk menggunakan perkhidmatan jeti yang disifatkan milik persendirian. [4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Pulau Pisang: Persekutuan runding dengan kerajaan Johor, mSTAR Online.
  2. ^ Pulau Pisang won't be another Batu Puteh, The NST Online.
  3. ^ Siasat Singapura bina jeti di Pulau Pisang, MalaysiaKini.com. Pautan web: http://www.malaysiakini.com/news/87553 (Melayu)
  4. ^ Singapura Mula Besarkan Kawasan Rumah Api Pulau Pisang Sejak Awal 80-an, Pautan web: http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=352097 Bernama.com (Melayu)