Parti Hizbul Muslimin Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Parti Hizbul Muslimin Malaysia
Muslim People's Party of Malaysia
HAMIM
Ketua Tan Sri Dr. Haji Asri Muda (Presiden Pengasas)
Diasaskan 1983
Ibu pejabat Kota Bahru
Warna rasmi Hijau

Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) adalah sebuah parti politik di Malaysia. HAMIM merupakan serpihan daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diasaskan oleh Tan Sri Dr. Haji Asri Muda, bekas Presiden PAS yang meninggalkan parti itu selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan negeri Kelantan dalam Pilihan raya umum Malaysia 1982. HAMIM kini merupakan salah sebuah parti politik yang tidak aktif, tetapi tidak dibubarkan.

Penubuhan Parti[sunting | sunting sumber]

HAMIM telah ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh Tan Sri Dr. Haji Asri Muda, mantan Presiden PAS yang meninggalkan parti itu pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan negeri Kelantan dalam Pilihan raya umum Malaysia 1982 yang melihat arus kesedaran dan kebangkitan Islam yang semakin kuat ketika itu di mana kemudiannya puak ulamak agama mengambil-alih kepimpinan pusat PAS daripada puak nationalis pada Muktamar PAS ke-28 1982. Lantaran itu HAMIM diasaskan sebagai alternatif kepada PAS dan telah menyertai Barisan Nasional sehingga meninggalkannya pada 1989 untuk menyertai gabungan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) pula bagi menghadapi Pilihan raya umum Malaysia 1990, di mana ianya telah memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan untuk membentuk kerajaan campuran APU di Kelantan.[1] [2]

HAMIM dalam Pilihan Raya[sunting | sunting sumber]

Pada pilihanraya umum 1986, Hamim sebagai salah satu kompenan BN telah bertanding 2 kerusi Parlimen dan 4 DUN. HAMIM telah menang 1 kerusi Parlimen (Bachok) dan 2 DUN (Chetok dan Meranti).

Sebelum Pilihanraya Umum 1990, kepimpinan baru Hamim mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Nasional dan seterusnya menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Dalam pilihanraya umum 1990 melalui pakatan APU di Kelantan, HAMIM meletakan calonnya iaitu Dato Nik Man bin Nik Mohammad di Dun Geting (Pengkalan Kubor) dalam Parlimen Tumpat. Dato Nik Man juga merupakan Tim Presiden Hamim Pusat. Sekaligus menjadi satu-satu wakil HAMIM dalam DUN Kelantan. Manakala di Kedah pula HAMIM meletakan calonnya iaitu Dato Hj Sudin B. Wahab di Parlimen Kubang Pasu (atas tiket Parti S46) untuk berdepan dengan Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir B. Mohamad, pertembungan antara presiden parti ini dimenangi oleh Dr Mahathir. Selain itu, HAMIM turut meletakkan calonnya di Selangor iaitu di DUN Sabak yang diwakili oleh Naib Presiden Parti, Bong Khalid bin Hj Siri, namun tewas di tangan calon UMNO.

Pada Pilihanraya Umum tahun 1995 sekali lagi Bong Khalid bin Hj Siri menjadi calon di DUN Paya Jaras. Manakala bagi DUN Pengkalan Kubor di Parlimen Tumpat pula HAMIM meletakan calonnya iaitu Hj Wan Abdul Rahman Wan Salleh yang bertanding atas tiket Parti Semangat 46 namun tewas di tangan calon Umno iaitu Cikgu Mat Nawi dengan majoriti 1289.

HAMIM dan perkembangannya[sunting | sunting sumber]

Selepas Datuk Asri dan kumpulannya gagal dalam usaha untuk membubarkan HAMIM dalam muktamar Khas, beliau akhirnya bersama kumpulannya (termasuk ahli parlimen Bachok dan Adun Chetok) telah meletak jawatan dan keluar daripada HAMIM pada 17 Nov 1988. Dengan perletakan jawatan oleh Datuk Asri itu maka jawatan Presiden HAMIM dipangku oleh Tuan Haji Abdul Wahab Yunus (Mantan MP Dungun) dari Terengganu manakala jawatan Timbalan Presiden dipangku oleh Dato Hj Sudin B. Wahab (Mantan Adun Langgar-Limbung) dari Kedah. Dalam Muktamar HAMIM pada tahun 1989 berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden hinggalah ke jawatan MPP, di mana jawatan Presiden dimenangi oleh Dato Hj Sudin bin Wahab dan jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi oleh Dato Nik Man bin Nik Mohamad dari Kelantan.

Selepas kalah dalam pertandingan bagi jawatan Presiden HAMIM maka Tn Hj Abd Wahab Yunus mengambil keputusan bersama kumpulannya untuk keluar daripada HAMIM dan seterusnya menubuhkan parti baru iaitu Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia(IKATAN) di mana pada akhirnya daripada parti inilah ditukar menjadi Parti Keadilan Nasional pada masa berlakunya gelombang Gerakan Reformasi di Malaysia.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Ibrahim Abu Bakar (July 2009), "PAS and Its Islamist Fundamentalism in Malaysia" (PDF), Issue 43 Journal of Human Science, ULUM (Kuala Lumpur, Malaysia: Department of Theology and Philosophy-Faculty of Islamic Studies-National University of Malaysia), dicapai pada 2010-04-18  Check date values in: |date= (bantuan)
  2. "Hamim Seeks Meeting With Dr Mahathir", New Sunday Times (Kota Baru), Jul 29, 1989, dicapai pada 2010-04-18