Institut Latihan Islam Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke navigasi Pergi ke carian

Institut Latihan Islam Malaysia (Jawi: اينستيتوت لاتيهن إسلام مليسيا, singkatan: ILIM) merupakan institut yang bertanggungjawab menyediakan kursus, seminar dan latihan berkaitan Islam kepada masyarakat, kumpulan sasaran tertentu dan pegawai agensi Islam di Malaysia. Ia merupakan institusi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

ILIM telah ditubuhkan pada 1 Januari 1997 dan mula beroperasi pada Julai 1999. Ia terletak di Sebelum itu ia dikenali sebagai Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH), Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri (JPM). INDAH ditubuhkan pada April 1974. Penubuhan INDAH adalah memenuhi hasrat dan cita-cita umat Islam di Malaysia yang ingin melihat penubuhan sebuah institut latihan yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan di peringkat pusat.

INDAH ditubuhkan hasil daripada Persidangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Keenam pada 16 Disember 1971 yang dipengerusikan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Haji Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

Seiring dengan penjenamaan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), maka pada 1 Januari 1997, INDAH telah dikembangkan fungsinya kepada tiga bahagian iaitu Dakwah, Latihan dan ILIM.

Cawangan[sunting | sunting sumber]

Kampus Bangi (Utama)[sunting | sunting sumber]

ILIM mula beroperasi di Bandar Baru Bangi Selangor mulai Julai 1999 dengan penubuhan dua pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Hal Ehwal Islam (PPHEI) dan Pusat Pengajian Undang-Undang dan Mahkamah Syariah (PPUMS)

Selaras dengan perkembangan struktur organisasi dan pertambahan perjawatan baharu mulai Disember 2018, ILIM mempunyai tiga kluster yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan iaitu Kluster Ilmu Turath dan Tamadun Islam, Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam, dan Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam

Kampus Kundasang[sunting | sunting sumber]

ILIM Kampus Kundasang dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Dakwah Kundasang (PLDK) yang dibina oleh Kerajaan Negeri Sabah dan ditadbir oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1984. Penubuhannya bertujuan untuk dijadikan pusat pemulihan dadah, namun hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pada tahun 1987, MUIS telah menyerahkan kompleks pusat latihan ini kepada BAHEIS, JPM dengan tujuan digunakan sebagai Pusat Latihan Dakwah. Pada tahun 1992, dengan peruntukan sebanyak RM 700 000.00 daripada bantuan Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN), kompleks tersebut telah dibaik pulih dan dibina semula. Walau bagaimanapun pada tahun 2001, kompleks ini telah dilanda ribut dan mengakibatkan kerosakan yang teruk.

Maka pihak JAKIM telah mengambil keputusan untuk membina semula PLDK dengan kos RM15 juta serta penambahan beberapa bangunan baru seperti dewan makan, rumah tetamu dan penginapan peserta yang lebih selesa. Projek ini siap dibina pada September 2006 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2007. PLDK kemudiannya telah dikenali sebagai Pusat Latihan Islam Kundasang bagi membezakan di antara IPDAS Kudat dan Keningau yang mana program latihan yang dijalankan merupakan kursus dan latihan jangka pendek. Pada akhir Disember 2018 pusat ini telah dijadikan sebahagian daripada ILIM dan dikenali sebagai ILIM Kampus Kundasang.

Kampus Jelebu[sunting | sunting sumber]

ILIM Kampus Jelebu yang pada awal penubuhannya dikenali sebagai Pusat Pemulihan Akidah (PPA) merupakan salah sebuah institusi yang ditubuhkan oleh kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Institusi ini bertanggungjawab untuk memulih individu atau kumpulan yang telah disabitkan kesalahan kerana terpengaruh dengan ajaran sesat agar kembali insaf dengan mengamalkan semula ajaran Islam sebagaimana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Pusat yang dibina pada tahun 1996 dan mula beroperasi pada tahun 1999 ini telah dibangunkan di atas kawasan seluas 4 hektar terletak di Lot No. 720, Mukim Gelami Lemi, Jelebu Negeri Sembilan. Pada tahun 2007, Mesyuarat Pengurusan JAKIM yang bersidang pada 22 Januari 2007 telah memutuskan agar Pusat Pemulihan Akidah dijenamakan semula sebagai Pusat Pemantapan Akidah seiring dengan perubahan masa dan peranan yang perlu dilaksanakan.

Pada 18 Mac 2015, Mesyuarat Pengurusan JAKIM telah bersetuju agar PPA dijenamakan semula setelah mempertimbangkan semua aspek dan peranan yang perlu dilaksanakan. Oleh yang demikian, PPA secara rasmi telah dinamakan sebagai Institut Pemantapan dan Perkaderan Akidah Malaysia (IPHAM). Pada Disember 2018, seiring dengan perubahan struktur yang dilaksanakan oleh JAKIM, IPHAM telah dijadikan sebahagian daripada ILIM dan dikenali sebagai ILIM Kampus Jelebu.

Kampus Lahad Datu[sunting | sunting sumber]

ILIM Kampus Lahad Datu dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Islam Lahad Datu. Pada tahun 1999, Kerajaan Negeri Sabah telah menganugerah sebidang tanah seluas 24 hektar di Silabukan, Lahad Datu. Pemberian ini adalah bertujuan untuk menubuhkan sebuah pusat latihan yang dapat memberi latihan kepimpinan dan kefahaman Islam bagi seluruh Pantai Timur Sabah. Projek pembinaan kompleks ini dimulakan pada bulan Ogos 1999 dengan kos RM16.878 juta. Kemudian pada tahun 2007 pembinaannya ditambah baik dengan kos sebanyak RM9.3 juta.

Pada 27 November 2008, YBhg. Encik Mohd Noor bin Abd Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM dengan rasminya menerima kompleks Pusat Latihan Islam Lahad Datu yang diserahkan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO). Bermula pada tahun 2009, pusat latihan ini telah melaksanakan operasi latihan di bangunan kompleks pusat latihan khususnya untuk kumpulan sasar di Pantai Timur Sabah.

Kampus Lawas[sunting | sunting sumber]

ILIM Kampus Lawas yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Latihan Lawas merupakan sebuah pusat latihan yang kedua selepas Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air, Kuching. Cadangan membina Pusat Latihan Lawas adalah untuk merealisasikan hasrat mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Ahmad Zaidi Adruce. Beliau amat mengharapkan agar dibangunkan sebuah pusat latihan di Lawas yang akan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat Islam di Lawas dan kawasan persekitaran berkaitan usaha-usaha meningkatkan pengetahuan kepada umat Islam.

Setelah melalui proses yang agak panjang akhirnya Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan Sarawak, Lawas berlangsung pada 13 April 2006 dan telah disempurnakan oleh YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Sebelum itu, pusat latihan sementara telah pun beroperasi mulai Ogos 2002 dengan menyewa bangunan rumah kedai tiga tingkat bertempat di Lot 332, Jalan Trusan Lawas.

Antara asas pertimbangan keperluan pusat latihan ini adalah untuk melatih para pendakwah sedia ada seperti guru-guru takmir, imam bilal dan ahli jawatankuasa masjid surau. Selain itu, pusat ini juga digunakan sebagai tempat kelas pengajian untuk melatih ‘saudara baru’ dalam usaha menjadikan mereka pendakwah. Program yang dicadangkan antaranya adalah untuk melatih para pendakwah dalam usaha mempertahankan akidah masyarakat melalui ceramah, kuliah dan pengajian. Usaha ini dilihat amat perlu seperti yang kita sedia maklum bahawa daerah Lawas merupakan Pusat Pengkaderan Missionaris Kristian dan terdapat 88 buah gereja di situ.

Kampus Besut[sunting | sunting sumber]

ILIM Kampus Besut merupakan institut yang bertanggungjawab menyediakan kursus, seminar dan latihan kepada pegawai perkhidmatan hal ehwal Islam daripada agensi agama Islam seluruh Malaysia. Walau bagaimanapun, tawaran juga dibuka kepada pegawai dan kakitangan daripada pelbagai jabatan kerajaan yang berminat.

ILIM Kampus Besut, dibina di atas tapak seluas 26.5 hektar. Projek pembinaannya bermula pada 03 Disember 2007 dan siap pada Disember 2009. Institut ini terletak 99 km dari banda raya Kuala Terengganu dan 18 km dari bandar Jerteh.

ILIM Kampus Besut telah memulakan operasi pada 11 Februari 2010 yang mana JPA telah meluluskan 22 jawatan yang meliputi semua gred jawatan dan pelbagai skim perkhidmatan. Terdapat tiga pusat diwujudkan iaitu Pusat Pengurusan Islam (PPI), Pusat Pembangunan Insan (PBI) dan Pusat Pengurusan Sains Dakwah (PPSD).

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Kampus Bangi (Utama)

ILIM sebagai pusat latihan Islam yang dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas seperti blok pentadbiran, dewan, auditorium, surau, bilik-bilik kuliah, perpustakaan, asrama dan dewan makan. Turut disediakan kuarters pegawai dan kakitangan.

Kampus Kundasang

Antara kemudahan asas yang terdapat di ILIM Kampus Kundasang adalah seperti blok pentadbiran, bilik kuliah utama, bilik sindiket, dewan jamuan dan blok penginapan yang boleh memuatkan 96 orang peserta.

Kampus Jelebu

ILIM Kampus Jelebu dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas seperti blok pentadbiran, dewan, surau, bilik-bilik kuliah, perpustakaan, asrama dan dewan makan. Turut disediakan kuarters pegawai dan kakitangan.

Kampus Lahad Datu

ILIM Kampus Lahad Datu dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas seperti blok pentadbiran, surau, dewan-dewan, dewan makan, bilik-bilik kuliah, bilik-bilik latihan, penginapan pelajar, pegawai dan kakitangan serta kemudahan sukan.

Kampus Besut

ILIM Kampus Besut dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan asas seperti blok pentadbiran, dewan, surau, bilik-bilik kuliah, perpustakaan, asrama dan dewan makan. Turut disediakan kuarters pegawai dan kakitangan.

Pengarah[sunting | sunting sumber]

Kehebatan ILIM dalam merealisasikan visi, misi, fungsi dan objektif adalah hasil kepimpinan dan komitmen tinggi pengarah terdahulu dan sekarang. Sejak ditubuhkan, ILIM telah diterajui oleh 10 orang pengarah iaitu:

No. Nama Tahun Khidmat
1 Haji Abdullah Fahim bin Abdul Rahman 1998
2 Haji Md. Zaki bin Ab. Manan 1999 – 2004
3 Datuk Haji Ahmad Mustafa bin Haji Karim 2005 – 2007
4 Haji Paimuzi bin Yahya 2007 – 2010
5 Che Ibrahim bin Che Man 2010 – 2011
6 Hajah Pauzaiyah binti Haron 2011 – 2015
7 Hajah Zawanah binti Muhammad 2015 – 2016
8 Hajah Zaiton binti Abd. Rahman 2016 – 2018
9 Hajah Zawanah binti Muhammad 2019 – 2019
10 Dr. Nordin bin Ahmad 2019 – kini

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani; Haji Zakaria bin Othman (2019). Mercu Tanda Risalah JAKIM (PDF). Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]