Kaum Dusun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Rencana ini ialah mengenai kumpulan etnik Dusun. Untuk Kadazandusun, sila lihat Kadazan-Dusun. Untuk Kaum Kadazan, sila lihat Kadazan.
Dusun
Penampang Sabah Kaamatan-Celebrations-2014-05.jpg
Bobolian Dusun berpakaian tradisi Dusun Tindal
Kawasan ramai penduduk
Borneo: SabahSabah, BruneiBrunei, KalimantanIndonesia
Bahasa
Dusun, Melayu, Bahasa Inggeris
Agama
Kristian, Islam, Momolianisme
Kumpulan etnik yang berkaitan
Dayak, Murut, Lundayeh / Lun Bawang, Rungus, Kadazandusun, Orang Sungai, Idahan

Dusun merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada sekumpulan suku kaum peribumi dalam rumpun Dusunic yang berasal dari Sabah (dahulu dikenali sebagai North Borneo). Pada dasarnya, Dusun dan Kadazan merupakan etnik yang sama dengan struktur budaya, tradisi dan linguistik mirip antara satu sama lain. Tiga perbezaan yang ketara diantara Kadazan dan Dusun ialah kawasan penetapan penduduk, kegiatan ekonomi dan juga sebutan konsonannya dalam perbualan seharian.

  • Kaum Kadazan umumnya menduduki kawasan tanah rendah dengan kepadatan hutan yang rendah, manakala kaum Dusun pula menduduki kawasan bukit dengan kepadatan hutan yang tinggi.
  • Sementara kaum Kadazan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam menanam dan menghasilkan jumlah padi yang tinggi, kaum Dusun pula mempunyai kemahiran yang tinggi dalam berburu di hutan, dan juga pertanian lereng bukit.
  • Kaum Kadazan kerap menggunakan konsonan V, Z dan L dalam pertuturan seharian, sementara kaum Dusun pula lebih kerap menggunakan konsonan W, Y dan R dalam pertuturan seharian; contohnya "ngawi"(Dusun) dan "ngavi"(Kadazan) yang bermaksud "habis", "tagayo"(Dusun) dan "tagazo"(Kadazan) yang bermaksud "besar", dan juga "karaja"(Dusun) dan "kalaja"(Kadazan) yang bermaksud "kerja".[1]

Panggilan terhadap suku-suku dalam kumpulan masyarakat Dusun dimulakan dengan perkataan Dusun, sebagai contoh Dusun Dumpas, Dusun Kimaragang, Dusun Liwan, Dusun Lotud, Dusun Tindal dan banyak lagi, merujuk kepada kumpulan sub-etnik Dusun yang diwakili. Setelah diselidik dan dipertimbangkan melalui kesamaan linguistik, tradisi dan budaya, Parti Bersatu Sabah(PBS) telah mencadangkan penggabungan etnik Dusun dan Kadazan dengan istilah "Kadazandusun" pada tahun 1989. Gabungan ini sebulat suara diluluskan sebagai resolusi semasa Persidangan Delegasi Persatuan Kebudayaan Kadazan ke-5. "Kadazandusun" juga telah diiktiraf sebagai etnik masyarakat orang asal Borneo Utara dengan warisan dan budaya yang didokumenkan oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) sejak tahun 2004.[2]

Terdapat kelompok kaum yang juga dipanggil Dusun berasal dan menetap di negara Brunei. Di wilayah Kalimantan Indonesia terdapat masyarakat Dayak yang turut dipanggil sebagai kaum Dusun, dan kajian genetik yang dijalankan oleh Kee Boon Pin dan S.G. Tan telah membuktikan bahawa masyarakat Dusun di Sabah mempunyai pertalian genetik melalui persamaan urutan genome Kromosom-Y dengan masyarakat Dayak di Kalimantan.[3][4][5][6]

Kelompok-haplo DNA kromosom-Y[sunting | sunting sumber]

Menurut satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2014, oleh Kee Boon Pin keatas 150 orang sukarelawan warga Kadazandusun daripada seluruh rantau Sabah, Y-DNA etnik Kadazandusun tergolong dalam 9 kelompok-haplo (haplogroup) induk, dengan Haplogroup M mencatatkan jumlah terbanyak (60/150 40%). Diikuti oleh Haplogroup R (26/150 17.33%), Haplogroup E (22/150 14.67%), Haplogroup B (20/150 13.33%), Haplogroup D (9/150 6%), Haplogroup JT (6/150 4% ), Haplogroup N (4/150 2.67%), Haplogroup F (2/150 1.33) dan Haplogroup HV (1/150 0.67%). Mutasi genom selama ribuan tahun telah memecahkan lagi Haplogroup mtDNA induk ini kepada beberapa subkategori-haplo dengan ribuan variasi subkelompok-haplo. Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk M yang didapati dari kajian ini ialah: M7b1'2'4'5'6'7'8 (22%), M7c3c (12.67%), M31a2 (0.67%), dan M80 (3.33%). Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk E: E1a1a (8%), E1b + 16261 (4.67%), dan E2 (2%). Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk B: B4a1a (3.33%), B4b1 (1.33%), B4b1a + 207 (3.33%), B4c2 (0.67%), B4j (0.67%), B5a (2%), dan B5a1d (1.33% ). Subkelompok-haplo daripada haplogroup induk D: D4s (1.33%), dan D5b1c1 (4.67%). Untuk Haplogroup induk F, H, JT, R dan N pula, terdapat hanya 1 subkelompok-haplo yang didapati bagi setiap haplogroup induk: F1a4a1 (1.33%), HV2 (0.67%), JT (4%), R9c1a (17.33%), N5 (2.67% ).[4] Menurut S.G. Tan dalam kajiannya yang diterbitkan pada tahun 1979, etnik Kadazandusun mempunyai hubungan genom mtDNA (DNA mitokondrion) yang dekat dengan etnik lain yang terdapat di Borneo, Semenanjung Malaysia dan Filipina; termasuklah etnik Iban, Bisaya, Ifugao, Jakun, Dayak Kalimantan, dan Tagalog. S.G. Tan juga menyatakan bahawa Kadazandusun mempunyai "kalau bukan sedikit, tiada" hubungan genom dengan etnik daripada Haplogroup O sebagai haplogroup induknya, seperti etnik Batak[nota 1], Senoi, Bunun[nota 2], Melayu[nota 3] dan Orang Negrito.[5]

Asal usul istilah "Dusun"[sunting | sunting sumber]

Fakta menarik mengenai kaum Dusun ialah, mereka tidak mempunyai perkataan "Dusun" dalam kamus bahasa asli mereka, kerana istilah "Dusun" merupakan sejenis kata nama am bagi sesuatu tempat. Dalam bahasa melayu, "Dusun" bermaksud "kebun" atau "ladang". Teori asal usul istilah "Orang Dusun" ini bermula dengan spekulasi sejarah yang mengatakan bahawa Sultan Brunei yang memerintah kawasan Borneo Utara di bawah Kekuasaan Kesultanan Brunei sejak kurun ke-14 menggunakan istilah "Orang Dusun" bagi merujuk komuniti orang asli Borneo yang bertani, berkebun dan berladang demi kelangsungan hidup.[7] Istilah "Orang Dusun" ini digunapakai oleh Sultan Brunei setiap kali ingin mengutip Cukai Sungai yang juga disebut "duis" daripada golongan etnik pekebun yang menduduki tanah rendah di kawasan Pantai Barat Borneo Utara. Istilah yang sama juga digunapakai Sultan Brunei bagi merujuk kepada golongan etnik petani yang primitif dan menduduki kawasan pedalaman Borneo Utara yang jauh daripada kawasan tanah rendah. Penggunaan istilah ini diteruskan oleh orang Inggeris yang memerintah Borneo Utara pada tahun 1881 hingga 1988, dan 1941, 1945 hingga 1946.[8] [9]

Budaya dan masyarakat[sunting | sunting sumber]

Pesta menuai atau Kaamatan[sunting | sunting sumber]

Pesta menuai yang juga disebut sebagai "Tadau Tagayo Kaamatan" merupakan perayaan tahunan masyarakat Dusun di Sabah yang diadakan pada setiap 30 dan 31 Mei. Menurut budaya turun temurun, Tadau Kaamatan diadakan selepas musim menuai padi untuk memuja semangat padi yang juga disebut sebagai "magavau" dalam bahasa Dusun. Secara detailnya, "magavau" merupakan salah satu daripada upacara terpenting dalam perayaan Tadau Kaamatan.[10]

Kini, majoriti kaum Dusun telah menganuti agama Kristian dan juga Islam. Walaupun Kaamatan masih dirayakan mengikut amalan tradisi tahunan, namun perayaannya sudah tidak lagi dibuat bagi memenuhi tuntutan adat dan tradisi spiritual nenek moyang, tetapi lebih kepada misi untuk memperingati dan menghormati adat dan tradisi nenek moyang. Hari ini, Kaamatan lebih simbolik kepada hari reuni bersama keluarga tersayang, dan juga hari untuk berpesta bagi kaum Kadazan-dusun. Secara domestiknya, Kaamatan hari ini dirayakan selari dengan tuntutan agama anutan dan juga kemahuan individu tersendiri; dengan pilihan samada mahu atau tidak menghidangkan makanan dan minuman tidak-halal seperti masakan daging babi dan arak. Pada peringkat negeri pula, pesta Kaamatan disambut dengan pelbagai warna warni tentatif pesta seperti persembahan seni tari kebudayaan, jualan tamu, warung minuman keras dan makanan tradisi, persembahan dan jualan kraftangan di rumah-rumah tradisi, pertandingan menyanyi sugandoi dan juga pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau.[11]

Pakaian Tradisional[sunting | sunting sumber]

Lazimnya, pakaian tradisi kaum Dusun disebut baju koubasanan, diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam yang ditatah-rias menggunakan pelbagai hiasan seperti manik-manik, bunga-bunga, butang berwarna, renda keemasan, labuci dan juga tenunan. Bahagian utama dalam baju tradisi dusun ialah baju, seluar dan siga bagi lelaki; dan bagi wanita pula blaus, sarung/gonop dan penutup kepala. Hiasan dan gaya pemakaian pakaian tradisi berbeza mengikut daerah dan boleh dirujuk di sini.[12]

Tarian Sumayau[sunting | sunting sumber]

Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun dari daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam erti kata lain disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari keramaian dan sebagainya.[13]

Persembahan tarian diketuai oleh seorang Bobolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan banyak serta dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Bobolian.[13]

Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam. Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi(sejenis tampian besar) yakni untuk menghormati atau memuja gusi-gusi. Majlis tersebut juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu sama seperti kenduri arwah yang lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.[13]

Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mula menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki agak perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Penari bergerak berinsut-insut dan perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.[13]

Muzik tradisi[sunting | sunting sumber]

Pemalu gong pada musim Kaamatan

Kebanyakan alat-alat muzik di Sabah diperbuat daripada bahan-bahan asli. Seperti contoh, suling (seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh bambu.

Alat-alat muzik di Sabah dikelaskan kepada Kordofon(tongkungon, gambus,sundatang atau gagayan), Erofon(suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton), dan Idofon(togunggak, gong,kulintangan) dan membranofon (kompang,gendang atau tontog).

Alatan muzik yang lazim dimainkan di dalam upacara dan majlis Kadazan ialah gong, dan kulintangan. Paluan gong dengan iringan kulintangan biasanya berbeza mengikut daerah, dan paluan gong yang sering dimainkan di majlis kebudayaan rasmi ialah paluan gong daripada daerah Penampang.[14]

Kraftangan[sunting | sunting sumber]

Koleksi wakid dan barait pelbagai saiz

Kaum Kadazan-dusun menggunakan bahan asli dalam menghasilkan kraftangan, termasuklah bambu, rotan, lias, labu air dan kayu. Antara hasil kraftangan yang sinonim dengan etnik kadazandusun ialah wakid, barait, sompoton, pinakol, topi siung, parang dan gayang.[15]

Sebelum hasil kraftangan ini dipromosi dan dikomersialkan sebagai ikon fesyen dan juga khazanah kebudayaan negeri Sabah bagi kaum Kadazandusun, sebahagian daripada hasil tangan ini dahulunya digunakan warga kadazandusun secara praktikal dalam kehidupan seharian. Wakid dan barait digunakan untuk mengangkat barang, khususnya hasil kutipan dari kebun. Pinakol pula digunakan dalam upacara-upacara penting, seperti upacara perkahwinan dan juga kematian bergantung kepada warna manik pada pinakol yang digunakan. Sompoton pula digunakan masyarakat kadazandusun sebagai alat muzik. Parang dan gayang pula digunakan dalam aktiviti berkebun, menebas semak dan juga sebagai senjata pada zaman perang saudara yang secara tidak langsung telah membuatkan etnik kadazandusun pada zaman itu digelar sebagai pengait, ataupun pemburu kepala.[16]

Pemburu kepala[sunting | sunting sumber]

Rumah Tengkorak Monsopiad

Amalan memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun.[16] Pemenggal kepala ini digelar sebagai pengait atau tonggorib.[17] Kepala musuh yang dipenggal akan dibawa pulang bukan sahaja sebagai trofi kemenangan, tetapi juga sebagai objek pemujaan roh dan amalan perubatan. Pemenggalan kepala tidak dilakukan untuk tujuan perang semata-mata, tetapi juga untuk memenuhi tuntutan persepsi masyarakat pada zaman itu, dan juga memenuhi syarat ritual-ritual kuno.[18] Masyarakat kuno Kadazandusun meletakkan keperkasaan seorang lelaki pada kekuatan fizikal dan keberaniannya untuk berperang dan memenggal kepala musuh. Etnik yang terkenal dengan amalan memenggal kepala di Sabah ialah Kadazandusun, Rungus dan Murut. Pantang utama amalan memenggal kepala ialah, musuh wajib dalam keadaan masih hidup saat kepalanya dipenggal. Ini kerana kepala yang dipenggal daripada orang yang telah meninggal tidak bermakna untuk disimpan.

Terdapat lima faktor utama yang membetuk objektif pemenggalan kepala dilakukan.

  • Bagi situasi perang besar
    • Kepala pihak musuh dipenggal untuk tujuan membuktikan kekuatan pahlawan dan puak
    • Pengumpulan kepala pihak lawan sebanyak yang mungkin (lebih banyak kepala bermaksud telah banyak musuh yang telah berjaya dikalahkan)
    • Kepala akan disimpan di dalam rumah tengkorak(bangkawan) milik puak yang menang.[19][20]
  • Bagi situasi perang kecil atau perang keluarga
    • Kepala pihak musuh dan keluarga dipenggal dengan tujuan menghapuskan keluarga musuh secara total
    • Kepala musuh akan disimpan di rumah keluarga yang menang[20]
  • Bagi tujuan memperkasakan kelelakian
    • Seorang lelaki wajib memenggal kepala untuk menjadi lelaki perkasa kalau tidak mahu dianggap sebagai pengecut
    • Lelaki yang tidak berani/pernah memenggal kepala musuh tidak layak memiliki pasangan hidup kerana dikhuatiri tidak akan dapat melindungi isteri dan keluarganya[20]
  • Bagi tujuan menjadi ketua kampung
    • Lelaki wajib memperoleh sekurang-kurangnya 10 kepala musuh bagi memperoleh kehormatan daripada puaknya
    • 10 kepala ini juga penting bagi meyakinkan puaknya bahawa dia layak mengetuai perang[20]
  • Bagi tujuan memperkasakan kegagahan seorang pahlawan
    • Masyarakat dahulu percaya bahawa kekuatan dan semangat musuh akan diperoleh oleh pahlawan yang memenggal kepalanya[20]

Kepala-kepala yang dipenggal akan disimpan dan dijaga rapi dengan menggunakan amalan dan ritual kuno. Masyarakat dahulu percaya bahawa roh dan semangat seseorang individu terletak pada kepalanya yang disebut sebagai "tandahau". Oleh itu, kepala-kepala ini tidak hanya disimpan sebagai trofi kemenangan semata-mata, tetapi juga digunakan sebagai objek dalam ritual keagamaan dan juga perubatan.[17]

Antara kegunaan kepala-kepala ini ialah sebagai penjaga rumah. Masyarakat Kadazandusun kuno percaya bahawa sebuah rumah harus mempunyai penjaganya. Maka, mereka akan menggunakan semangat 'tandahau' daripada kepala ini bagi tujuan melindungi rumah dan penghuninya daripada serangan musuh dan binatang buas. Kegunaan kepala-kepala ini juga penting untuk diletakkan di bawah jambatan yang baru dibina. Masyarakat kuno Kadazandusun percaya bahawa setiap sungai ada semangat air yang juga disebut sebagai "tambaig". Kepala-kepala ini akan diletak atau digantung pada jambatan sebagai persembahan damai buat tambaig supaya jambatan yang dibina tidak dirobohkan oleh tambaig. Kepala-kepala ini juga digunakan oleh bobohizan atau bobolian sebagai tujuan perubatan, dan pemujaan roh nenek moyang.[17][18]

Senjata yang lazim digunakan pahlawan kuno masyarakat Kadazandusun untuk memburu kepala adalah Ilang sakuit/mandau, gayang dan juga tandus/adus. Peralatan lain yang wajib ada ketika memburu kepala adalah taming kayu yang digunakan sebagai perisai.[20][17]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Etnik Batak umumnya mempunyai mtDNA induk Haplogroup P dan O.
  2. ^ Etnik Bunun umumnya mempunyai mtDNA induk Haplogroup O.
  3. ^ Etnik Melayu umumnya mempunyai mtDNA induk Haplogroup F, O dan P.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ White, Tessie (5 Mac 2012). "Berbezakah Etnik Kadazan dan Dusun ?". Blogspot. Dicapai 27 Januari 2018. 
  2. ^ United Nations, Discovery Channel (1 Januari 2004). "Kadazandusun, Malaysia". UNESCO. Dicapai 1 Januari 2004. 
  3. ^ Selatan, Kalimantan (1 Januari 1983). "Sistem kesatuan hidup setempat daerah Kalimantan Selatan". Departemen Pendidikan dan Kebudayaan, Proyek Inventarisasi dan Dokumentasi Kebudayaan Daerah. Dicapai 19 December 2018. 
  4. ^ a b Boon Pin, Kee (1 February 2014). "Assesment and Analysis of Genomic Diversity and Biomarkers in Sabahan Indigenous Populations" (PDF). Universiti Malaya. Dicapai 1 February 2014. 
  5. ^ a b S.G, Tan (1 March 1979). "Genetic Relationship between Kadazans and Fifteen other Southeast Asian Races". Universiti Putra Malaysia. Dicapai 19 December 2018. 
  6. ^ Sjamsuddin, Helius (1 Mac 2001). "Pegustian dan Temenggung akar sosial, politik, etnis, dan dinasti perlawanan di Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah, 1859-1906". Balai Pustaka. Dicapai 19 December 2018. 
  7. ^ Staal, Fr. J (1 Julai 1923). "The Dusuns of North Borneo. Their Social Life". JSTOR. Dicapai 25 Disember 2019. 
  8. ^ Rutter, Owen (1 Januari 1929). "The Pagans of North Borneo". Oxford University Press. Dicapai 18 Mac 2018. 
  9. ^ Luping, Herman (7 Ogos 2016). "A history of the term Kadazandusun". Oxford University Press. Dicapai 28 November 2019. 
  10. ^ Admin, Dbp. "PESTA MENUAI". Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai 6 September 2018. 
  11. ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (29 Mei 2019). "Kemuncak sambutan Kaamatan: Ribuan pengunjung banjiri Hongkod Koisaan". Berita Harian. Dicapai 27 Disember 2019. 
  12. ^ Edu, Sabah. "Pakaian Tradisi". Sabah Edu. Dicapai 6 September 2018. 
  13. ^ a b c d Edu, Sabah. "Tarian Tradisional". Sabah Edu. Dicapai 6 September 2018. 
  14. ^ Edu, Sabah. "Muzik Tradisional". Sabah Edu. Dicapai 6 September 2018. 
  15. ^ Jabatan, Penerangan (9 April 2018). "Kraftangan Tradisi Imbau Memori Zaman Kanak-kanak". Utusan Borneo. Dicapai 6 September 2018. 
  16. ^ a b Unnip Abdullah, Mohn Izham (13 Oktober 2018). "Kisah pengait, pemburu kepala perlu dikaji, dibukukan". Berita Harian. Dicapai 27 September 2018. 
  17. ^ a b c d Bujang, Haslina (21 Mac 2019). "Pengait @ Tonggorib: Pemburu Kepala di Sabah". The Patriots Asia. Dicapai 24 Disember 2019. 
  18. ^ a b Sintian, Minah (20 Januari 2014). "Amalan Memotong Kepala dalam Masyarakat Primitif Kadazandusun: Survival atau Budaya?". ResearchGate. Dicapai 21 Disember 2019. 
  19. ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (18 Jun 2015). "Tengkorak musuh bukti kegagahan Pahlawan Monsopiad". Berita Harian. Dicapai 23 Disember 2019. 
  20. ^ a b c d e f Madkauw, Faridah. "ADAT MEMENGGAL KEPALA DI SABAH". Berita Harian. Dicapai 23 Disember 2019. 

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]