Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
| Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan | |
|---|---|
Wilayah/Negeri | |
| Penjawat kini | |
| Tuanku Muhriz sejak 29 Disember 2008 | |
| Ditabalkan pada 26 Oktober 2009 | |
| Butiran | |
| Penyandang pertama | Raja Melewar |
| Pembentukan | 1773 |
| Persemayaman | Istana Besar Seri Menanti, Seri Menanti |
| Laman sesawang | www |

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atau Yamtuan Besar Negeri Sembilan adalah raja bagi Negeri Sembilan bersama Undang Yang Empat mengikut sistem raja berperlembagaan moden negeri berkenaan sejak tahun 1898.
Sebelum itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikenali sebagai Yang di-Pertuan Besar Seri Menanti dan menjadi raja di lingkungan Luak Tanah Mengandung yang meliputi Seri Menanti iaitu Ineh, Terachi, Ulu Muar, Gunung Pasir dan Jempol.
Sejarah
Sejarah Awal
Negeri Sembilan telah menerima penghijrahan penduduk dari Sumatera sejak ratusan tahun lagi. Sebelum penubuhan kerajaan di Negeri Sembilan, wilayah itu merupakan sebahagian daripada jajahan Kesultanan Melayu Melaka. Setelah kejatuhan Melaka pada 1511, wilayah itu kemudiannya berada di bawah pengaruh Kesultanan Johor-Riau. Menjelang abad ke-18, masyarakat Minang telah berkembang di beberapa kawasan meliputi Rembau, Sungai Ujong dan Naning, sementara masih mengekalkan hubungan kuat dengan tanah air mereka di Sumatera.
Penubuhan Kerajaan
Pada abad ke-17, Kesultanan Johor-Riau sentiasa diancam oleh Kesultanan Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda (1607-1636). Hal ini menyebabkan Johor tidak berupaya untuk melindungi Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, angkatan orang Bugis diketuai oleh Daeng Kemboja telah memasuki Negeri Sembilan lalu mencetuskan kekacauan dan memaksa penduduk Negeri Sembilan berketurunan Minangkabau mengakui Daeng Kemboja sebagai raja di Negeri Sembilan. Kaedah ini dilihat adalah bertentangan dengan pendirian orang-orang Minangkabau di Negeri Sembilan.
Satu utusan telah dihantar dari Negeri Sembilan bagi mengadap Sultan Johor untuk meminta supaya seorang raja dipertuankan di Negeri Sembilan. Sultan Johor membenarkan penduduk Negeri Sembilan untuk mencari anak raja dari negeri lain untuk dipertuankan di Negeri Sembilan. Penghulu-penghulu luak (pendahulu jawatan Undang Yang Empat) di Negeri Sembilan kemudiannya menghantar wakil untuk mengadap Yang di-Pertuan Pagar Ruyung di Tanah Minangkabau. Permintaan utusan dari Negeri Sembilan ini telah diperkenankan dan baginda melantik anakandanya Raja Mahmud menjadi Yamtuan Besar yang pertama. Raja Mahmud telah ditabalkan di Kampung Penajis di Rembau, menggunakan gelaran "Raja Melewar". Baginda kemudiannya mengetuai angkatan perang orang Negeri Sembilan menghalau Daeng Kemboja dari wilayah itu.
Raja Dari Pagar Ruyung
Setelah kemangkatan Raja Melewar pada 1795, utusan penghulu luak Negeri Sembilan telah dihantar semula ke Pagar Ruyung bagi mencari pengganti kepada Raja Melewar. Pada masa ini, kepentingan wilayah Negeri Sembilan telah meningkat dalam pengaruh Minangkabau. Raja Pagar Ruyung, Sultan Muning Syah III telah melantik ayahanda saudara baginda, Raja Hitam sebagai Yamtuan Besar yang baharu.
Selepas kemangkatan Raja Hitam pada tahun 1808, tradisi melantik Yamtuan Besar dari Pagar Ruyung diteruskan seperti biasa. Pada ketika itu, perang saudara yang dikenali sebagai Perang Padri sedang berlaku di kerajaan Pagar Ruyung. Namun, kerajaan Pagar Ruyung masih menghantar Raja Lenggang, putera kepada Sultan Malenggang Alam sebagai Yamtuan Besar ketiga.
Sistem Perwarisan Takhta
Selepas kemangkatan Raja Lenggang pada tahun 1824, utusan dari Negeri Sembilan tidak dapat dihantar ke kerajaan Pagar Ruyung bagi melantik Yamtuan Besar yang baharu. Hal ini disebabkan oleh Perang Padri yang telah memusnahkan dinasti Pagar Ruyung, di mana Belanda mula menduduki wilayah Minangkabau pada tahun 1821. Oleh itu, buat pertama kalinya dalam sejarahnya, Negeri Sembilan akan mempunyai pemimpin turun-temurunnya sendiri untuk meneruskan dinasti Pagar Ruyung. Raja Lenggang digantikan oleh puteranya, Yamtuan Radin.
Apabila institusi ini ditubuhkan, gelaran raja Negeri Sembilan adalah Yang di-Pertuan (Yamtuan) Seri Menanti. Baginda hanya berkuasa di Seri Menanti dan luak-luak sekitarnya yang dikenali sebagai Luak Tanah Mengandung. Bermula 1887, jawatan Yamtuan Seri Menanti telah dipersetujui untuk menjadi jawatan yang akan disandang oleh keturunan Yamtuan Antah, bermula dengan puteranya Tunku Muhammad.[1] Pada 1898[2], iaitu selepas penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, gelaran Yang di-Pertuan Seri Menanti ditukar menjadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan atas persetujuan Undang Yang Empat[3].
Yang di-Pertuan Agong Malaysia
Setakat tahun 2026, seramai dua orang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia, iaitu:
Baginda merupakan Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu pertama. Baginda berkhidmat bermula daripada 31 Ogos 1957 sehingga kemangkatan baginda pada 1 April 1960.
Kemangkatan
Baginda mangkat ketika masih menjawat jawatan ketua negara dan tempatnya digantikan oleh Sultan seterusnya mengikut sistem penggiliran, iaitu Sultan Selangor, Sultan Hisamuddin Alam Shah.
Pemangku Jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu dipangku oleh anakanda baginda, Tunku Laksamana, Tuanku Munawir.
Beliau merupakan Yang di-Pertuan Agong Malaysia Kesepuluh. Baginda telah dilantik pada 26 April 1994 dan menamatkan tempoh penuh jawatannya selama 5 tahun pada 25 April 1999.
Pemangku Jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu dipangku oleh anakanda baginda, Tunku Laksamana Tunku Naquiyuddin.
Senarai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Berikut merupakan senarai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan :
| Bil | Gambar | Penyandang | Tarikh Pemerintahan | Tempoh Masa Pemerintahan | Sebab Tamat Tempoh Pemerintahan |
|---|---|---|---|---|---|
| 1 | Raja Melewar | 1773–1795 | 22 tahun | Kemangkatan | |
| 2 | Raja Hitam | 1795–1808 | 13 tahun | ||
| 3 | Raja Lenggang | 1808–1824 | 16 tahun | ||
| 4 | Yamtuan Radin | 1831–1861 | 30 tahun | ||
| 5 | Yamtuan Imam | 1861–1869 | 8 tahun | ||
| Tuanku Ampuan Intan Pemangku Raja |
1869–1872 | 3 tahun | |||
| 6 | Yamtuan Antah | 1872–1888 | 16 tahun | ||
| 7 | Tuanku Muhammad | 13 Julai 1889 – 1 Ogos 1933 | 44 tahun, 19 hari | ||
| 8 | Tuanku Abdul Rahman | 3 Ogos 1933 – 1 April 1960 | 26 tahun, 242 hari | ||
| 9 | Tuanku Munawir | 5 April 1960 – 14 April 1967 | 7 tahun, 9 hari | ||
| 10 | Tuanku Ja’afar | 18 April 1967 – 27 Disember 2008 | 41 tahun, 253 hari | ||
| 11 | Tuanku Muhriz | 29 Disember 2008 – Kini | 17 tahun, 157 hari | Masih Memerintah |
Nota : Pada 5 Jun 2026, Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja'afar telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat yang disebabkan oleh Krisis perlembagaan Negeri Sembilan 2026. Walau bagaimanapun, pelantikan tersebut mencetuskan pertikaian undang-undang dan perlembagaan, memandangkan Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sembilan secara rasmi kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai pemerintah Negeri Sembilan yang sah menyebabkan pelantikan baginda masih diragui.
Keistimewaan
Peranan Keagamaan dan Kuasa Muafakat
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipilih dan dilantik hasil muafakat antara Undang Yang Empat. Yang di-Pertuan Besar adalah ketua agama Islam negeri, namun peranan baginda tertakluk kepada nasihat dan persetujuan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin. Yang di-Pertuan Besar bersama-sama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin berperanan menjaga agama Islam dengan dinasihati Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Urusan Adat Istiadat dan Sempadan Pentadbiran
Baginda juga bertanggungjawab dalam adat istiadat negeri dengan tertakluk pada nasihat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan. Yang di-Pertuan Besar bersemayam di Seri Menanti di Luak Ulu Muar. Baginda tidak campur tangan dalam hal ehwal luak-luak yang lain[3].
Sejarah Perjanjian Pemilihan Yamtuan
Sejak kedatangan Raja Melewar, Yang di-Pertuan Besar dilantik oleh Undang Yang Empat iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau. Namun aturan itu terhenti selepas kemangkatan Yamtuan Imam. Aturan pemilihan dan pertabalan Yang di-Pertuan Besar oleh Dato' Undang Yang Empat dimaktubkan semula menerusi perjanjian pada 1898 yang menyaksikan Tuanku Muhammad dipilih dan ditabal Dato' Undang Yang Empat.
Syarat dan Kriteria Calon Pewaris
Pemilihan Yang di-Pertuan Besar berdasarkan kepada latar belakang keturunan, kebaikan tingkah laku dan calon mestilah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Yang di-Pertuan Besar yang mangkat mengikut sebelah bapa, iaitu daripada kalangan putera raja berketurunan Raja Lenggang, iaitu Yamtuan Seri Menanti yang ketiga.
Inspirasi Kepada Jawatan Yang di-Pertuan Agong
Sistem beraja yang unik itu mencetuskan ilham kepada kewujudan jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Persekutuan Malaysia, di mana Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan Raja Melayu ditubuhkan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong.
Keanggotaan Dalam Majlis Raja - Raja
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan secara automatik akan mengangotai Majlis Raja-Raja dan menjadi sebahagian daripada sistem beraja di Malaysia.
Lihat juga
Rujukan
- Zakiah Hanum (2004). Asal Usul Negeri-Negeri Malaysia. Times Editions-Marshall Cavendish. ISBN 9812326081.
- Faridzwan Abdul Ghafar (2019). Balai Undang di Negeri Sembilan: 1933-2004. Sungei Ujong Press Resources. ISBN 9789671716502.
- Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid (2011). The Encyclopedia of Malaysia : Volume 16, The Rulers of Malaysia. Archipelago Press. ISBN 9789813018549.
- Rosiswandy bin Mohd Salleh (t.t), Sejarah Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Jelebuː Muizum Adat Negeri Sembilan.
Nota kaki
- ↑ "Perjanjian Antara Yamtuan Antah Dengan Inggeris". Pe Khabar. Dicapai pada 18 Julai 2023.
- ↑ "Perlantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Pertama". PeKhabar. Dicapai pada 18 Julai 2023.
- 1 2 Rosiswandy bin Mohd Salleh (t.t), Sejarah Pengamalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan. Jelebuː Muizum Adat Negeri Sembilan.
