Afrika Selatan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Republik Afrika Selatan)
Republik Afrika Selatan
ريڤوبليك أفريک سلاتن
Republic of South Africa
  • 10 nama rasmi lain:[1]
  • Republiek van Suid-Afrika (Afrikaans)
  • iRiphabliki yeSewula Afrika (Ndebele Selatan)
  • iRiphabliki yomZantsi Afrika (Xhosa)
  • iRiphabhuliki yaseNingizimu Afrika (Zulu)
  • iRiphabhulikhi yeNingizimu Afrika (Swazi)
  • Repabliki ya Afrika-Borwa (Northern Sotho)
  • Rephaboliki ya Afrika Borwa (Sotho)
  • Rephaboliki ya Aforika Borwa (Tswana)
  • Riphabliki ra Afrika Dzonga (Tsonga)
  • Riphabuḽiki ya Afurika Tshipembe (Venda)
Bendera Afrika Selatan
Jata Afrika Selatan
Bendera Jata
Cogan kata"!ke e: ǀxarra ǁke(ǀXam)
"Bersatu dalam Kepelbagaian"
Lagu kebangsaanNkosi Sikelel' iAfrika atau dalam bahasa Melayu "Tuhan Rahmati Afrika"

Lokasi  Afrika Selatan  (biru tua) – di Afrika  (biru muda & kelabu tua) – di Kesatuan Afrika  (biru muda)
Lokasi  Afrika Selatan  (biru tua)

– di Afrika  (biru muda & kelabu tua)
– di Kesatuan Afrika  (biru muda)

Lokasi Afrika Selatan
Ibu negara
Bandar terbesarJohannesburg[2]
Bahasa rasmi[Note 1]
Kumpulan etnik
(2014[3])
DemonimOrang Afrika Selatan
KerajaanRepublik
• Presiden
Cyril Ramaphosa
David Mabuza
Badan perundanganParlimen
Majlis Kebangsaan
Perhimpunan Kebangsaan
Kemerdekaan 
• Kesatuan
31 Mei 1910
11 Disember 1931
• Republik
31 Mei 1961
• Demokrasi
27 April 1994
Keluasan
• Jumlah
1,221,037 km2 (471,445 bt2) (ke-25)
• Perairan (%)
0.380
Populasi
• Perkiraan 2019
59,622,350[4] (ke-24)
• Bancian Penduduk 2011
51,770,560[5]:18
42.4/km2 (109.8/sq mi) (ke-169)
KDNK (PPP)2017
• Jumlah
$767,200 bilion[6] (ke-30)
$13,600[7] (ke-90)
KDNK (nominal)2015
•  Jumlah
$323.809 bilion[8] (ke-35)
$5,902[8] (ke-88)
Gini (2009)63.1[9]
sangat tinggi
HDI (2013) 0.658[10]
sederhana · 118th
Mata wangRand Afrika Selatan
(ZAR)
Zon waktuUTC+2 (SAST)
Bahagian memandukiri
Kod panggilan+27
Kod ISO 3166ZA
DPT internet.za

Afrika Selatan, secara rasminya Republik Afrika Selatan (Jawi: ريڤوبليك أفريک سلاتن, bahasa Inggeris: Republic of South Africa, ''RSA), ialah negara paling selatan di benua Afrika. Ia bersempadan dengan Namibia, Botswana dan Zimbabwe di utara, Mozambique dan Eswatini di timur laut. Manakala, keseluruhan negara Lesotho terletak di dalam pedalaman Afrika Selatan. [11] Dengan penduduk lebih daripada 59 juta orang, negara ini berada di tangga ke-24 dari segi penduduk paling ramai di dunia. Afrika Selatan mempunyai tiga ibu kota: Pretoria (eksekutif), Bloemfontein (kehakiman) dan Cape Town (perundangan). Bandar terbesarnya ialah Johannesburg dan di sana juga terletak mahkamah yang paling tinggi iaitu Mahkamah Perlembagaan. Kira-kira 80% orang Afrika Selatan berketurunan kulit hitam dari Afrika [12], terbahagi kepada pelbagai kumpulan etnik yang berbahasa Afrika. Baki penduduknya pula terdiri daripada komuniti keturunan kulit putih dari Eropah, Asia dan berbilang kaum. Pada suatu masa dahulu, kerajaan negara ini dikecam kerana dasar aparteidnya tetapi sekarang ia sebuah negara demokratik dengan penduduk kulit putih terbesar di benua Afrika.

Afrika Selatan terdiri daripada masyarakat pelbagai etnik yang merangkumi pelbagai budaya, bahasa dan agama. Sifat pluralistik masyarakatnya dapat dilihat dalam pengiktirafan perlembagaan terhadap 11 bahasa rasmi[13], dan bahasa Inggeris ialah bahasa kelima paling banyak dituturkan di negara ini.[14] Menurut bancian 2011, dua bahasa rasmi yang paling banyak dituturkan ialah Zulu (22.7%) dan Xhosa (16.0%). [15] Dua bahasa lain yang utama di sini berasal dari Eropah: Afrikaans (13.5%) dikembangkan dari Belanda dan berfungsi sebagai bahasa pertama Afrika Selatan untuk golongan berwarna dan putih; Bahasa Inggeris (9.6%) adalah kesan peninggalan penjajahan British, dan biasanya digunakan dalam kehidupan awam dan komersial. Negara ini ialah salah satu daripada negara di benua Afrika yang tidak pernah mengalami kudeta, dan pilihan raya biasa telah diadakan selama lebih satu abad. Namun, sebahagian besar orang Afrika Selatan kulit hitam tidak diberikan hak mengundi sehingga tahun 1994.

Afrika Selatan ialah negara membangun dan berada di kedudukan ke-113 dalam Indeks Pembangunan Manusia, ketujuh tertinggi di rantau Afrika. Ia telah diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai negara industri baru, dengan ekonomi kedua terbesar di Afrika, dan dan ke-33 terbesar di dunia.[16] Perlombongan merupakan industri yang penting dan negara ini merupakan pengeluar emas, berlian, platinum dan kromium yang terbesar di dunia. [17]Afrika Selatan juga mempunyai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang paling banyak di Afrika. Negara ini mempunyai kekuatan pertengahan di arena antarabangsa; ia mengekalkan pengaruh wilayah yang signifikan dan merupakan anggota negara Komanwel dan G20. Walau bagaimanapun, jenayah, kemiskinan dan ketidaksamarataan tetap berleluasa, dengan kira-kira seperempat penduduk menganggur dan hidup dengan pendapatan kurang daripada AS $ 1,25 sehari. Lebih-lebih lagi, perubahan iklim adalah isu penting bagi Afrika Selatan: ia merupakan penyumbang utama perubahan iklim akibat pengeluaran gas kesan Greenhouse ke-14 terbesar pada 2018 (sebahagian besarnya disebabkan oleh industri arang batu)[18], dan rentan terhadap banyak kesannya, kerana persekitaran air yang tidak selamat dan komuniti yang rentan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Sejarah Afrika Selatan

Afrika Selatan merupakan antara negara yang mempunyai kesan peninggalan tertua di dunia.[19] Ramai puak telah menjadi penghuninya termasuklah puak Khoi, Bushmen, Xhosa dan Zulu. Peneroka Belanda telah tiba di sini pada 1652 dan mereka dikenali sebagai Afrikaner atau Boer. Mereka telah membuka penempatan mereka di Tanjung Harapan. Pada tahun 1795 tentera British telah menawan koloni ini dan ia dikembalikan kepada Belanda pada 1803. Tetapi tiga tahun kemudian mereka menjajah koloni ini semula. [20] Kaum kulit putih asal iaitu Afrikaner tidak berpuas hati dengan pemerintahan British dan memulakan migrasi besar-besaran ke kawasan pedalaman di mana mereka berperang dengan kaum kulit hitam dan berjaya membuka beberapa wilayah yang baharu. Pada mulanya pihak British dapat hidup dengan harmoni dengan kedua-dua republik Boer di utara ini tetapi penemuan emas dan berlian yang banyak di Transvaal telah mencetuskan Perang British-Belanda dan dua perang Boer. Akhirnya pada tahun 1910, empat republik utama telah digabungkan di bawah kesatuan Afrika Selatan. Pada 1931, Afrika Selatan telah menjadi jajahan British sepenuhnya.

Perhubungan Portugis[sunting | sunting sumber]

Pada masa dari perhubungan Eropah, kumpulan etnik yang dominan ialah kaum berbahasa Bantu yang telah berhijrah dari bahagian-bahagian lain di Afrika lebih kurang seribu tahun sebelum. Kedua-dua kumpulan bersejarah utama ialah orang Xhosa dan Zulu.

Pada 1487, pengembara Portugis iaitu Bartolomeu Dias merupakan pelayar Eropah pertama yang berjaya mendarat di selatan Afrika.[21] Pada 4 Disember, dia mendarat di Teluk Walfisch (kini dikenali sebagai Teluk Walvis di Namibia). Ini ialah titik selatan paling jauh dicapai selepas pelayar Portugis terdahulu Diogo Cao menjumpai Cape Cross. Dias terus ke pantai barat selatan Afrika. Selepas 8 Januari 1488, beliau dihalang oleh ribut daripada meneruskan perjalanan di sepanjang pantai, lalu terus belayar melalui tanjung yang paling selatan di Afrika yang dipanggilnya Cabo das Tormentas (Tanjung Ribut) kerana berlayar dalam ribut yang dahsyat dan laut yang bergelora. Beliau dan anak kapalnya hanya dapat berlayar ke Liberia sebelum berpatah balik.[22] Walaupun tidak berjaya sampai ke benua Asia, ekspedisinya telah berjaya membuka jalan pelayaran dari Eropah ke Asia, teruatamanya ke Hindia Timur yang kaya dengan pelbagai jenis rempah. Rajanya, João II, telah menukar nama tanjung itu kepada nama Cabo da Boa Esperanca, atau Tanjung Harapan, kerana ia memberi harapan baharu kepada Portugal untuk menjelajah dan menakluki Hindia Timur.[23]

Ketibaan Belanda[sunting | sunting sumber]

Ketibaan Jan van Riebeeck, orang Eropah pertama yang menduduki Afrika Selatan, dengan Devil's Peak pada latarbelakang

Menjelang awal abad ketujuh belas, kuasa maritim Portugal telah mula merosot, dan pedagang Inggeris dan Belanda telah bergabung untuk menghapuskan monopoli Portugis terhadap perdagangan rempah di Hindia Timur[24]. Pada awalnya pada tahun 1601 pihak Syarikat Hindia Timur British tidak berlabuh di Cape, tetapi memilih Pulau Ascension dan Pulau St. Helena sebagai pelabuhan alternatif[25]. Minat Belanda terhadap Cape telah terangsang selepas 1647, apabila dua pekerja Syarikat Hindia Timur Belanda telah terdampar di sana selama beberapa bulan. Kelasi tersebut dapat terus hidup dengan mendapatkan air segar dan daging daripada penduduk tempatan. Mereka juga berjaya menanam sayur-sayuran di tanah yang subur[26]. Apabila mereka kembali ke Belanda mereka dilaporkan baik dan berpendapat Cape berpotensi sebagai "gudang dan taman" tempat persinggahan kapal untuk pelayaran panjang ke rantau Asia[25].

Pada 1652, satu abad setengah selepas penemuan laluan Cape, Jan van Riebeeck dan rombongannya sebanyak 90 kelasi kapal telah tiba dari Belanda dan mendirikan stesen pengisian semula minyak kapal di Cape Town - perhentian penting dari segi geografi dan politik, kerana ia ialah satu-satunya laluan perdagangan awal dari Eropah dan Amerika ke India, 'Kepulauan Rempah-rempah' Hindia Timur, dan Timur[27]. Demi mengembangkan ekonomi mereka di sana pihak Belanda telah membawa masuk hamba yang kebanyakannya dari kepulauan Jawa dan Melaka sebagai buruh kasar.[28] Selain itu hamba abdi juga dibawa masuk dari negara berhampiran seperti Madagaskar dan sebahagian Afrika Timur[29]. Di samping itu, van Riebeeck telah membebaskan kelasi kapalnya yang telah berumah tangga untuk menjadi petani dan mengerjakan ladang di sana; dan golongan ini dikenali sebagai Free Burghers (golongan Burgher yang bebas, yang juga dipanggil Boer).[30] Oleh sebab mereka berkembang ke timur, peneroka Belanda telah bertembung dengan orang Xhosa di barat daya dan satu siri peperangan, yang dikenali sebagai Perang Cape Frontier telah tercetus.

Ketibaan dan Penjajahan British[sunting | sunting sumber]

Pada awalnya, pihak British tidak berminat dengan Tanjung Harapan, walaupun mereka sedar ia jalan perdagangan yang penting ke Asia. Namun demikian apabila kerajaan Belanda jatuh ke tangan musuh ketat British iaitu pihak Perancis pada tahun 1794, pihak British telah mengambil keputusan untuk menakluki koloni di Tanjung Harapan. Satu peperangan telah meletus antara British dan Belanda, yang dikenali sebagai Pertempuran di Muzenberg. Dalam masa 3 bulan, pihak Belanda telah tewas dan terpaksa menyerah kalah. British telah menduduki koloni itu sehingga tahun 1802 selepas Perjanjian Amiens, di mana koloni ini dipulangkan semula kepada pihak Belanda[31]. Walaupun begitu dalam masa yang singkat, iaitu pada tahun 1806, koloni ini jatuh semula ke tangan British selepas Pertempuran di Blaauwberg. [32]

Pada awal 1800an, ramai peneroka Belanda keluar dari koloni di Tanjung Harapan, yang berada di bawah kawalan British. Mereka berhijrah secara besar-besaran ke kawasan pedalaman dan ini dikenali sebagai Voortrek, dan hasilnya mereka membuka beberapa penempatan baharu. Pertamanya mereka telah menubuh Republik Natal tetapi setelah ia jatuh ke tangan British, mereka berhijrah semula dan membuka dua penempatan baharu yang lain iaitu Negara Bebas Oranye, dan rantau Transvaal. Pihak Boer telah mengasaskan Republik Boer iaitu Republik Selatan Afrika (kini wilayah Gauteng, Limpopo, Mpumalanga dan Barat Laut) dan Orange Free State (Negara Bebas Oranye).

Penemuan berlian pada tahun 1867 dan emas pada tahun 1884 di kawasan pedalaman memulakan Revolusi Mineral dan peningkatan pertumbuhan ekonomi dan migrasi. Ini mendorong orang Eropah-Afrika Selatan untuk mendapatkan kawalan terhadap orang tempatan. Perjuangan untuk mengawal sumber-sumber ekonomi yang penting ialah faktor dalam hubungan antara Eropah dan penduduk peribumi dan juga antara Boer dan British.[33]

Perang Anglo-Zulu telah berlaku pada tahun 1879 antara Empayar British dan Kerajaan Zulu. Susulan kejayaan Lord Carnarvon dalam menyatukan Kanada, ramai yang menganggap usaha politik yang sama, ditambah dengan kempen ketenteraan, mungkin dapat menyatukan kerajaan British di Cape Colony, kawasan puak kulit hitam dan juga republik Boer di Afrika Selatan. Pada tahun 1874, Sir Henry Bartle frère telah dihantar ke Afrika Selatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi bagi Empayar British untuk melaksanakan rancangan ini. Salah satu halangan kepada penyatuan Afrika Selatan di bawah jajahan British ialah kehadiran negara-negara bebas seperti Republik Selatan Afrika dan Kerajaan Zulu. Kerajaan Zulu mengalahkan British dengan teruk dalam Pertempuran Isandlwana. Namun demikian, setelah berperang sekian lama, akhirnya pihak Zulu telah tewas dan kerajaannya jatuh ke tangan British.

Orang Boer bertempur (1881)

Republik Boer berjaya menentang pencerobohan British semasa Perang Boer Pertama (1880-1881) dengan menggunakan taktik perang gerila, yang sesuai dengan persekitaran tempatan. British kembali dengan jumlah tentera yang lebih besar, lebih banyak pengalaman dan strategi baharu dalam Perang Boer Kedua (1899-1902). Meskipun pada awalnya mereka mengalami kekalahan yang agak teruk disebabkan ramai tenteranya meninggalkan medan perang, akhirnya mereka berjaya menewaskan pihak Boer.

Di dalam negara ini, dasar-dasar anti-British dalam kalangan orang kulit putih Afrika Selatan memberi tumpuan kepada kemerdekaan. Semasa penjajahan Belanda dan British, pengasingan kaum kebanyakannya dibuat secara tidak rasmi, walaupun beberapa undang-undang telah digubal untuk mengawal penempatan dan pergerakan orang asli, termasuk Akta Penempatan Pribumi 1879 dan undang-undang berkaitan sistem permit perjalanan atau pass laws.[34][35][36][37][38] Kuasa telah dipegang oleh penjajah etnik Eropah.

Lapan tahun selepas berakhirnya Perang Boer Kedua dan selepas empat tahun rundingan, satu Akta Parlimen British iaitu (Akta Afrika Selatan 1909) telah diluluskan yang memberi kemerdekaan nominal kepada rakyat, dan mewujudkan Kesatuan Afrika Selatan pada 31 Mei 1910. Ini sekali gus memberi Kesatuan kuasa atas wilayah-wilayah Cape dan Natal, serta Republik Negara Bebas Oranye dan Republik Selatan Afrika.[39]

Selepas Kesatuan Afrika Selatan[sunting | sunting sumber]

Walaupun negara ini berada di bawah jajahan British, mereka terpaksa berkongsi kuasa dengan pihak Boer. Perkongsian kuasa ini telah berlanjutan hingga 1940an, bila parti pro-Afrikaner iaitu Parti Kebangsaan (NP) mencapai majoriti di Parlimen pada tahun 1948. Kerajaan nasionalis ini telah mengukuhkan pemisahan kaum yang dimulakan di bawah pemerintahan kolonial Belanda dan Inggeris. Dengan mengambil Undang-Undang Peribumi (Indian Act) Kanada sebagai kerangka kerja[40], pemerintah nasionalis mengklasifikasikan semua kaum menjadi tiga kaum iaitu putih, hitam dan berwarna dan mengembangkan hak dan batasan bagi kaum masing-masing. Kumpulan minoriti kulit putih (kurang dari 20%) [41]menguasai penduduk kulit hitam yang jauh lebih besar. Pengasingan kaum yang diinstitusikan secara sah dikenali sebagai aparteid. Walaupun orang kulit putih menikmati taraf hidup tertinggi di seluruh Afrika, setanding dengan negara-negara Barat Dunia Pertama, majoriti kulit hitam tetap dipinggirkan dari setiap aspek, termasuk pendapatan, pendidikan, perumahan dan jangkaan hidup. Dasar aparteid memain peranan penting untuk mengawal sistem ekonomi dan sosial negara dengan mengekalkan penguasaan kulit putih ke atas kaum kulit hitam dan mewujudkan diskriminasi perkauman. Namun demikian kerajaan British kerap menggagalkan usaha Aparteid yang menyeluruh di Afrika Selatan. Oleh itu pada tahun 1961, selepas suatu pungutan suara kaum kulit putih, negara ini telah diisytiharkan sebagai sebuah republik. Di samping itu pada tahun yang sama, Afrika Selatan telah keluar daripada Komanwel. Oleh itu, kerajaan yang diterajui kaum Afrikaner ini tidak lagi tertakluk kepada pengaruh British. Bermula pada 1960an, program Grand Apartheid telah dilaksanakan secara besar-besaran; yang menekankan pengasingan wilayah dan kezaliman pihak polis.

Penindasan kaum kulit hitam telah berlanjutan sehingga akhir abad ke 20. Pada Februari 1990, rentetan dari pemulauan antarabangsa dan tentangan hebat daripada pelbagai gerakan anti-aparteid terutamanya Kongres Kebangsaan Afrika (ANC), kerajaan Parti Kebangsaan di bawah pimpinan Presiden F.W. de Klerk telah menarik balik pengharaman Kongres Kebangsaan Afrika dan persatuan politik berhaluan kiri yang lain dan membebaskan Nelson Mandela dari penjara. Undang-undang aparteid telah dimansuhkan secara perlahan-lahan dan pilihan raya pelbagai bangsa yang pertama telah diadakan pada tahun 1994. Parti ANC telah meraih kemenangan yang besar dan Nelson Mandela, telah dilantik sebagai Presiden kulit hitam yang pertama di Afrika Selatan. Walaupun kuasa telah berada di tangan kaum kulit hitam, berjuta-juta penduduknya masih hidup dalam kemiskinan.

Berakhirnya Pemerintahan Minoriti Kerajaan Kulit Putih[sunting | sunting sumber]

Nelson Mandela, Bapa Kemerdekaan Afrika Selatan yang demokratik

Sewaktu Nelson Mandela menjadi Presiden negara ini selama 5 tahun, kerajaannya telah berjanji untuk melaksanakan perubahan terutamanya dalam isu-isu yang telah diabaikan semasa era aparteid. Antara isu-isu yang ditangani oleh kerajaan pimpinan ANC termasuklah pengangguran, wabak AIDS, kekurangan perumahan dan jenayah. Pentadbiran Mandela juga mula memperkenalkan kembali Afrika Selatan kepada ekonomi global setelah beberapa tahun dipulaukan disebabkan dasar aparteidnya. Selain itu, dalam usaha mereka untuk menyatukan rakyat semula kerajaan telah menubuhkan satu suruhanjaya yang dikenali sebagai Truth and Reconciliation Committee (TRC) di bawah pimpinan Biskop Desmond Tutu. Suruhanjaya ini berperanan untuk memantau agensi kerajaan seperti agensi polis agar masyarakat Afrika Selatan boleh hidup dalam aman dan harmoni. President Mandela telah menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pendamaian di tahap nasional, dan telah cuba untuk membentuk satu identiti untuk Afrika Selatan dalam masyarakat majmuk yang terpisah akibat konflik perkauman sejak beberapa dekad. Kebolehan Mandela dalam mencapai objektifnya jelas terbukti kerana selepas 1994 negara ini telah bebas dari keganasan politik. Nelson Mandela telah meletak jawatan sebagai Presiden parti ANC pada Disember 1997, untuk memberi laluan kepada Presiden yang baru iaitu Thabo Mbeki. Mbeki dipilih sebagai presiden Afrika Selatan selepas memenangi pilihan raya nasional pada tahun 1999, dan partinya menang tipis dua pertiga majoriti di parlimen. Presiden Mbeki telah mengalih tumpuan kerajaan daripada pendamaian kepada perubahan, terutamanya dari segi ekonomi negara.

Pada Disember 2007, Jacob Zuma telah berjaya menewaskan Mbeki sebagai presiden parti ANC. [42] Dua tahun kemudian pada pilihan raya 22 April 2009, parti ANC yang diterajui Zuma berjaya memenangi 65.9% kerusi di parlimen. [43] Semasa beliau berusaha menggulingkan Mbeki sebagai presiden ANC, dia menikmati sokongan kuat dalam kalangan kesatuan pekerja dan parti komunis - sekutu ANC - kerana mereka percaya beliau akan mengagihkan kekayaan Afrika Selatan untuk orang miskin, tetapi selepas beberapa tahun di bawah pemerintahan Zuma, ekonomi negara tidak banyak berubah, malah kadar pengangguran meningkat kepada sekitar 28%. [44] Malah selama tempohnya sebagai presiden, kerajaan pimpinannya telah dicemari oleh pelbagai skandal, rasuah dan salah urus dan pada awalnya pihak atasan ANC telah memberi sokongan padu kepada pemimpin mereka; namun, pada akhirnya, mereka menentangnya dan meminta beliau mengundurkan diri setahun setengah sebelum berakhirnya penggal kedua. [45] Pada tahun 2018, beliau terpaksa bersara dan digantikan oleh Cyril Ramaphosa.

Politik[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Politik Afrika Selatan

Cyril Ramaphosa, presiden Afrika Selatan

Afrika Selatan merupakan negara demokrasi berperlembagaan dengan sistem tiga tingkat dan institusi kehakiman yang bebas. Terdapat tiga peringkat iaitu kebangsaan, wilayah dan kerajaan tempatan yang mempunyai badan perundangan serta eksekutif dengan bidangkuasa yang terhad dalam sfera masing-masing.

Presiden Afrika Selatan memegang dua jawatan iaitu sebagai Ketua Negara dan juga Ketua kerajaan. Beliau dipilih sewaktu kedua-dua dewan bergabung, iaitu Perhimpunan Kebangsaan (National Assembly) dan Majlis Wilayah-wilayah Kebangsaan (National Council of Provinces). Lazimnya, Presiden ialah pemimpin parti majoriti di Parlimen.

Perhimpunan Kebangsaan mempunyai 400 ahli yang dipilih melalui pilihan raya secara perwakilan berkadar. Majlis Negeri-Negeri Kebangsaan (NCoP), yang telah menggantikan Senat pada 1997, terdiri daripada 90 ahli yang mewakili setiap 9 negeri termasuk bandar-bandar besar di Afrika Selatan.

Di Afrika Selatan, pilihan raya diadakan setiap 5 tahun dan setiap rakyat berusia 18 tahun ke atas diwajibkan mengundi. Dalam pilihan raya terakhir, yang diadakan pada 8 Mei 2019, parti ANC memenangi 57.5% undi dan 230 kerusi, sementara parti pembangkang utama, Democratic Alliance (DA) memenangi 20.77% undi dan 84 kerusi. The Economic Freedom Fighters (EFF), yang diasaskan oleh Julius Malema, mantan Presiden Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika yang kemudiannya berpecah daripada ANC, memenangi 10.79% undi dan 44 kerusi. ANC telah menjadi parti politik yang memerintah di Afrika Selatan sejak akhir aparteid.

Bangunan Dewan Undangan di Cape Town

Di samping itu, setiap negeri di Afrika Selatan mempunyai satu penggubal undang-undang negeri dan Majlis Eksekutif yang diketuai oleh seorang Perdana Menteri atau "Premier".

Dasar Luar Negara[sunting | sunting sumber]

Sewaktu era aparteid, negara ini telah dipulaukan oleh kebanyakan negara termasuk Malaysia. Malah, Afrika Selatan telah berperang secara sulit dengan negara jirannya seperti Angola yang menyokong fahaman komunisme. Pada 1 Jun, 1994, Afrika Selatan dengan rasminya telah menyertai semula organisasi Komanwel dan pada 23 Jun tahun yang sama, negara ini telah diterima semula ke dalam Perhimpunan Agung PBB. Selain itu, negara ini telah menyertai Pertubuhan Kesatuan Afrika (OAU), yang kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika; dan perubahan ini telah dicadangkan oleh Presiden Afrika Selatan iaitu Thabo Mbeki pada 2002.

Para pemimpin BRICS yang berjumpa pada tahun 2019. Dari kiri ke kanan: Xi, Putin, Bolsonaro, Modi, dan Ramaphosa.

Sejak kemunculannya selepas pemulauan antarabangsa sewaktu era aparteid, negara ini telah memainkan peranan yang penting di arena global. Dasar luar negaranya yang utama ialah untuk menjalin perhubungan yang baik dengan semua negara, terutamanya dengan negara-negara jiran dalam Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan ahli-ahli lain dalam Kesatuan Afrika. Di samping itu, negara ini telah memainkan peranan penting dalam menamatkan konflik serta krisis politik yang melanda rantau ini, termasuklah di Burundi, Republik Congo, Comoros, dan Zimbabwe. Pada Ogos 1998, negara ini telah mempengerusikan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang berakhir pada Julai 2002. Pada bulan April 2011, Afrika Selatan secara rasmi telah bergabung dengan negara Brazil, Rusia, India dan China untuk mewujudkan kumpulan BRICS. Keempat-empat negara tersebut telah dikenal pasti oleh Zuma sebagai rakan dagang terbesar di negara ini, dan juga rakan dagang terbesar dengan rantau Afrika secara keseluruhan. Zuma menegaskan bahawa negara-negara anggota BRICS juga akan bekerjasama antara satu sama lain melalui PBB, Kumpulan Dua Puluh (G20) dan forum India, Brazil dan Afrika Selatan (IBSA).

Swaziland telah meminta Afrika Selatan untuk membuka perundingan berkenaan menggabungkan semula beberapa wilayahnya yang berhampiran yang diduduki etnik Swazi atau kawasan yang merupakan sebahagian kerajaan Swazi yang lampau.

Selain itu, status Afrika Selatan sebagai pusat pemindahan perkapalan bagi dadah heroin dan kokaina telah mencetuskan kontroversi. Penyalahgunaan dadah tempatan yang agak tinggi telah merangsangkan perdagangan dadah; serta meningkatkan lagi permintaan kokaina di negara ini. Malah, Afrika Selatan terkenal sebagai pasaran dunia terbesar bagi dadah methaqualone, yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai "Mandrax". Dadah ini biasanya diimport secara haram dari India melalui beberapa negara Afrika Timur. Penanaman ganja secara haram juga amat berleluasa di sini.

Tentera[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Tentera Afrika Selatan

Tentera SANDF

Dari segi pertahanan, Afrika Selatan merupakan negara ketiga terkuat di benua Afrika, selepas Mesir dan Algeria.[46]

Angkatan Tentera Afrika Selatan atau lebih dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Nasional Afrika Selatan (SANDF), telah ditubuhkan pada tahun 1994. Sebelum itu, ia dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Afrika Selatan (SADF). Angkatan yang baru ini terdiri daripada angkatan tentera lama, berserta pasukan militari daripada beberapa organisasi yang berjuang untuk kebebasan kaum kulit hitam iaitu Umkhonto we Sizwe (MK), Tentera Kebebasan Rakyat Azania (APLA), dan angkatan tentera dari bekas kawasan "homeland". SANDF boleh dibahagikan kepada empat cabang utama, Tentera Afrika Selatan, Tentera Udara Afrika Selatan, Tentera Laut Afrika Selatan, dan Khidmat Kesihatan Ketenteraan Afrika Selatan.

Sewaktu era aparteid di bawah pentadbiran Botha, negara ini telah menjalankan program senjata nuklear, kononnya dengan bantuan pihak Israel. SADF juga mungkin pernah melancarkan ujian nuklear di Atlantik pada 1979, tetapi sejak itu negara ini telah menolak program nuklearnya dan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) pada 1991 selepas menghapuskan longgokan nuklearnya yang kecil. Hanya Afrika Selatan berjaya membangunkan senjata nuklear di benua Afrika ini, dan merupakan salah satu negara yang secara sukarela memansuhkan program nuklearnya. NPT menggalakkan negara ahli yang berjaya dalam program nuklear untuk menarik balik program tersebut.

Sejak kebelakangan ini, SANDF telah menjadi angkatan keamanan utama di rantau ini, dan telah terlibat dalam pelbagai operasi termasuk di Lesotho, Republik Demokratik Congo, serta Burundi. Angkatan ini juga turut terlibat dalam pasukan pengaman multinasional di bawah PBB.

Organisasi antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Afrika Selatan adalah ahli kepada beberapa organisasi antarabangsa, antaranya:

Geografi[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Iklim Afrika Selatan

Afrika Selatan terletak di 29° 00' S, 24° 00' T. Luas kawasannya adalah 1,219,912 km² termasuk Pulau Robben dan Kepulauan Prince Edwards (Pulau Marion dan Pulau Prince Edward). Afrika Selatan bersempadan dengan Lautan Atlantik di pantai barat dan Lautan Selatan dan Lautan Hindi di pantai timur. Arus utama di lautan tersebut adalah arus sejuk Benguela dan arus suam Agulhas. Titik paling rendah ialah Lautan Atlantik pada 0 m dan paling tinggi ialah Njesuthi pada ketinggian 3,408 m.

Afrika Selatan mempunyai iklim yang berbeza-beza. Di barat-daya negara ini, iklimnya ialah Mediterranean, di kawasan pedalaman ia beriklim sederhana, dan di timur-laut iklimnya ialah separa tropika atau "subtropical".

Afrika selatan merupakan sebuah negara yang kaya dengan galian bernilai seperti emas, platinum dan berlian. Galian semula jadinya termasuklah emas, kromium, antimoni, arang, bijih besi, mangan, nikel, fosfat, bijih timah, uranium, berlian, platinum, kuprum, vanadium, garam dan gas asli.

Wilayah dan bandar[sunting | sunting sumber]

Peta Afrika Selatan

Afrika Selatan terdiri daripada sembilan wilayah iaitu:

Pada amnya Pretoria ialah ibu negara Afrika Selatan. Namun pusat kerajaannya terbahagi kepada tiga iaitu:

Cape Town mempunyai penduduk paling ramai di Afrika Selatan. Kelihatan Dewan Bandar Raya Cape Town berlatar belakang gunung Table Mountain.

Berikut ialah senarai 10 bandar raya dengan penduduk paling ramai di negara ini menurut banci 2019: [47]

Taraf Bandar Raya Bil. Penduduk
1. Cape Town, Cape Barat 3,433,441
2. Durban, KwaZulu-Natal 3,120,282
3. Johannesburg, Gauteng 2,026,469
4. Soweto, Gauteng 1,695,047
5. Pretoria, Gauteng 1,619,438
6. Pelabuhan Elizabeth, Cape Timur 967,677
7. Pietermaritzburg, KwaZulu-Natal 750,845
8. Benoni, Gauteng 605,344
9. Thembisa, Gauteng 511,655
10. East London, Cape Timur 478,676

Iklim[sunting | sunting sumber]

Afrika Selatan mempunyai beberapa iklim yang berlainan. Ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti aras ketinggian dan arus laut. Di barat-daya negara ini, iklimnya ialah Mediterranean, di kawasan pedalaman ia beriklim sederhana, dan di timur-laut iklimnya adalah separa tropikal atau "subtropical". Sebahagian kecil kawasan di barat-laut Afrika Selatan bergurun dan beriklim kering. Sebahagian besar negara ini bercuaca sederhana panas dengan hari yang cerah dan malam yang sejuk.

Dari segi suhu, suhu yang biasa disini ialah antara 17 °C hingga 30 °C. Misalnya, purata suhu tahunan di Cape Town ialah 17 °C, dan di Pretoria, 17.5 °C. Suhu maksimum biasanya melebihi 32 °C pada musim panas, dan di beberapa tempat di utara ia boleh mencecah 38 °C. Suhu paling tinggi yang pernah dicatatkan ialah lebih kurang 48 °C, telah berlaku di Cape Utara dan Mpumalanga (sebelum ini dikenali sebagai Transvaal Timur). Suhu paling rendah telah dicatit 250 km timur-laut bandar Cape Town, di mana purata suhu minimumnya adalah serendah -6.1 °C. Rekod salji (hampir 50sm) berlaku pada Julai 1994 di kawasan pergunungan yang bersempadan dengan Lesotho.

Musim hujan biasanya berlaku pada musim panas (November hingga Mac), tetapi di barat-daya, di sekeliling Tanjung Harapan, musim hujannya adalah pada musim sejuk (Jun hingga Ogos).

Di barat-laut, hujan tahunannya adalah di bawah paras 200mm. Manakala di timur Highveld, tempat ini menerima 500mm hingga 900mm hujan setiap tahun; kadangkala hujannya melebihi 2,000mm. Sebahagian besar zon pertengahannya menerima purata lebih kurang 400mm hujan.

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan lihat: Ekonomi Afrika Selatan

Bursa Saham Johannesburg atau Johannesburg Stock Exchange (JSE)

Afrika Selatan ialah sebuah negara maju dengan penduduk yang berpendapatan sederhana. Negara ini kaya dengan galian terutamanya galian bernilai tinggi seperti emas, platinum dan berlian. Ia juga mempunyai sistem kewangan, perundangan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur yang maju dan moden. Bursa sahamnya di Johannesburg begitu aktif, sehinggakan ia pernah berada di tangga ke-10 terbesar di dunia.

Sejak kedatangan British di sini, ekonomi negara bergantung kepada sektor perlombongan. Tetapi beberapa dekad yang lalu, ia telah digantikan oleh sektor pengeluaran. Sektor industri Afrika Selatan yang sangat maju, telah menjadikannya ekonomi ke-25 terbesar di dunia. Dengan hanya 7% penduduk dan 4% jumlah kawasan keseluruhan Afrika, Afrika Selatan mengeluarkan lebih satu pertiga produk dan perkhidmatan di Afrika, dan hampir 40 % pengeluaran industri di Afrika. Selain itu, KDNK per kapitanya telah meletakkan negara ini dalam kalangan 50 negara terkaya di dunia. Namun secara realitinya, pembangunan hanyalah tertumpu pada empat kawasan utama: Cape Town, Pelabuhan Elizabeth, Durban, dan Pretoria-Johannesburg. Manakala kebanyakan tempat lain masih mundur. Akibatnya Afrika Selatan mempunyai kadar ketidaksamaan pendapatan yang tertinggi di dunia. Dasar Aparteid yang dilaksanakan selama lebih empat dekad, merupakan punca utama kemiskinan di kalangan penduduk kulit hitam di Afrika Selatan. Pada akhir 1980an, dianggarkan 16 juta penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan dan 2.3 juta orang berisiko kebuluran dan kurang zat makanan. Walaupun begitu, kerajaan kulit hitam Afrika Selatan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari 42% pada 1994 ke 24% pada tahun 2003.

Sun City sebuah resort kasino yang dibuka pada 1976 di tengah-tengah kawasan golongan orang miskin di Bophuthatswana

Antara masalah lain yang telah melanda negara ini ialah jangkitan HIV. Wabak ini merupakan masalah kritikal di Afrika Selatan. Dianggarkan 4.79 juta penduduknya dijangkiti HIV/AIDS dan kerajaan Afrika yang baru terpaksa berbelanja berjuta-juta Rand untuk menangani masalah ini. Sejak Afrika Selatan membuka sempadannya selepas tamatnya Apartheid, sindiket jenayah antarabangsa telah menembusi negara ini. Kini, Afrika Selatan ialah pengeluar dadah ganja terbesar di dunia. Pergolakan politik di Zimbabwe juga memberi impak yang buruk kepada ekonomi negara ini. Ramai pelabur asing bimbang masalah ini akan berlanjutan ke Afrika Selatan. Pada tahun 2002, masalah-masalah ini telah menjadi faktor utama penurunan nilai Rand sebanyak 30 peratus tetapi sejak kebelakangan ini matawang Rand telah kembali kukuh.

Dari segi pengangkutan, pengangkutuan darat seperti jalan raya dan lebuh raya masih merupakan sistem utama bagi menghubungi satu tempat dengan tempat lain. Syarikat kereta api nasional, Spoornet, mempunyai lintasan kereta api sepanjang 20,319km. Namun demikian, dianggarkan 80 peratus muatan diangkut melalui jalanraya seperti melalui lori, trak dan sebagainya.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Demografi di Afrika Selatan boleh dibahagikan kepada empat kumpulan utama iaitu: orang kulit hitam, orang kulit putih, orang berwarna (orang dari Asia atau peranakan) dan orang berbangsa India.

Jalan Bo-Kaap di Cape Town yang merupakan perkampungan orang Melayu Tanjung di Afrika Selatan

Kaum yang terbesar di Afrika Selatan ialah kaum pribumi berkulit hitam iaitu 81% jumlah penduduk di sini. Penduduk kulit hitam terdiri daripada masyarakat majmuk yang boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan etnik berdasarkan kepada bahasa masing-masing. Kumpulan yang terbesar iaitu 50% penduduk Afrika di sini ialah yang berbahasa Nguni termasuk bangsa Ndebele, Swazi, Xhosa dan Zulu. Kumpulan yang kedua terbesar ialah yang berbahasa Sotho-Tswana, termasuklah beberapa bangsa Sotho, Pedi, dan Tswana dan merupakan majoriti di kebanyakan kawasan Highveld. Dua kumpulan yang terakhir ialah Tsonga, atau Shangaan, yang tertumpu di Utara dan wilayah Mpumalanga, dan Venda, yang juga tertumpu di wilayah utara Afrika Selatan.

11% penduduk di sini terdiri daripada kaum kulit putih yang berbangsa Belanda, Perancis, Inggeris dan Jerman. Kebanyakan orang Eropah di negara ini adalah berketurunan peneroka-peneroka awal di koloni Cape. Terdapat juga kumpulan minoriti Portugis — kumpulan pertama daripada keturunan peneroka Eropah yang awal. Dari segi budaya dan linguistik kaum kulit putih boleh dibahagikan kepada dua kumpulan yang besar iaitu Afrikaner dan Inggeris. Sejak tahun 1994, iaitu apabila berakhirnya era aparteid kaum kulit putih telah berkurangan akibat kadar kelahiran yang rendah dan penghijrahan; lebih 100,000 telah berhijrah ke negara lain atas beberapa sebab seperti kadar jenayah yang tinggi dan dasar kerajaan yang memihak kepada kaum kulit hitam.

9% daripada penduduk Afrika Selatan terdiri daripada bangsa berwarna atau coloured. Bangsa ini termasuklah kumpulan peranakan dan juga pendatang Asia, termasuk orang Melayu dan Indonesia (dipanggil Melayu Tanjung) yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai kuli di Natal. Manakala, 3% lagi terdiri dari bangsa India yang berasal dari pedagang-pedagang India.

Dari segi agihan pendapatan pula, kaum kulit putih masih mendominasi ekonomi negara. Hampir 100,000 kaum kulit putih mempunyai pendapatan tahunan lebih daripada ASD$60,000; hanya 5,000 kaum kulit hitam mempunyai pendapatan yang sama. Walaupun begitu lebih kurang 300,000 kaum kulit hitam boleh dikategorikan sebagai kelas pertengahan (dengan pendapatan antara ASD$13,000 dan ASD$23,000 setahun) walaupun 40% pengangguran masih berlaku di kalangan masyarakat kulit hitam.[48]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Untuk senarai universiti sila lihat: Universiti di Afrika Selatan

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Sejarah Pendidikan Afrika Selatan

Di Afrika Selatan, alam persekolahan adalah selama 13 tahun - atau gred. Namun, tahun pertama pendidikan atau gred 0 dan tiga tahun terakhir iaitu dari gred 10 hingga gred 12 (juga dipanggil "matric") adalah tidak wajib. Kebanyakan sekolah rendah menawarkan gred 0. Tetapi gred ini boleh juga dibuat di tadika. Lazimnya untuk memasuki universiti, seseorang itu wajib melepasi "matric" dengan minimum tiga mata pelajaran gred tinggi dan bukan sekadar lulus (standard). Malah beberapa universiti yang berprestij akan mengenakan syarat akademik yang lebih tinggi. Walaupun begitu, mereka yang lulus "National Senior Certificate" layak untuk belajar di "technikon" atau kolej teknikal.

Di bawah sistem aparteid, sistem pendidikannya dirangka mengikut warna kulit iaitu kementerian yang berasingan untuk pelajar kulit putih, berwarna, Asia, dan kaum kulit hitam di luar bantustan. Pengasingan ini telah menghasilkan 14 kementerian pendidikan yang berbeza di negara ini.

Universiti Cape Town merupakan universiti yang paling berprestij di Afrika Selatan.

Pengstrukturan sistem pendidikan selepas era-aparteid merupakan cabaran yang besar bagi kerajaan negara ini. Kerajaan baru telah membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan tanpa diskriminasi kaum tetapi menggabungkan 14 kementerian pendidikan merupakan tugas yang sukar. Oleh itu pada Februari 1996, Kementerian Pendidikan telah melancarkan satu kurikulum baru yang dinamakan "Curriculum 2005". Kurikulum ini yang akan menggantikan dasar pendidikan berdasarkan aparteid, akan memberi tumpuan kepada "outcome" atau hasilnya iaitu pelajar akan menjadi lebih proaktif dalam persekitarannya dan juga di dalam masyarakat. Untuk mencapai objektif ini, pada 1999 kerajaan telah memperuntukkan 5.7 peratus belanjawan untuk sektor pendidikan termasuk membina 2,000 sekolah-sekolah baru, 65,000 bilik darjah yang baru dan beralatan penuh, 60,000 guru-guru yang terlatih dan 50 juta buku teks yang dicetak.

Pada 2004, Afrika Selatan mempunyai 366,000 guru dan hampir 28,000 sekolah-sekolah -termasuk 390 sekolah khas dan 1,000 sekolah swasta. Daripada jumlah ini, 6,000 orang daripada sekolah tinggi (gred 7 hingga gred 12) dan selebihnya bersekolah rendah (gred 1 hingga gred 6).

Afrika Selatan juga mempunyai suatu sistem pendidikan tinggi yang maju, yang juga dipisahkan mengikut ras sewaktu era aparteid. Pada 1995 terdapat 385,000 pelajar yang belajar di 21 universiti dan 190,000 pelajar di "technikon" (institut teknikal atau vokasional). Hampir 37 peratus adalah dari golongan kulit putih. Tetapi sejak 1994, penyertaan pelajar kulit hitam di universiti-universiti yang dikhaskan untuk pelajar kulit putih telah bertambah secara mendadak.[49]

Budaya[sunting | sunting sumber]

Untuk rencana lanjutan sila lihat: Budaya pelbagai bangsa di Afrika Selatan

Pergaulan bebas dalam kalangan masyarakat Afrika Selatan di kawasan-kawasan bandar dan penindasan budaya kaum kulit hitam sewaktu era aparteid telah mengakibatkan hilangnya cara hidup lama di bandar-bandar di sini. Namun, budaya kulit hitam masih wujud di kawasan desa. Beberapa perbezaan budaya tetap ada antara etnik-etnik di sana, seperti adat perkahwinan dan pantang-larang mereka. Tetapi pada umumnya, tradisi masyarakat kulit hitam ialah berlandaskan kepercayaan kepada dewa-dewa yang perkasa serta maskulin, semangat nenek-moyang dan kuasa-kuasa ghaib. Poligami juga dibenarkan dan "lobolo" (mas kahwin) biasanya akan dibayar. Kerbau memainkan peranan penting dalam kebanyakan budaya, sebagai simbol kekayaan dan binatang korban.

Seni Afrika Selatan boleh dilihat dari pelbagai lukisan gua dan batu oleh puak San, sebahagiannya dilukis sejak 26,000 tahun yang lalu. Manik-manik yang direka secara teliti oleh puak Zulu juga merupakan kraftangan yang popular di negara ini. Malangnya, budaya kaum kulit hitam telah dihapuskan sewaktu era-aparteid. Amalan seharian yang berkait rapat dengan tradisi dan budaya kaum kulit hitam telah diabaikan dan juga dihapuskan. Contoh yang paling ketara ialah pemusnahan "District Six", suatu kawasan pelbagai budaya di Cape Town dan Sophiatown di Johannesburg, di mana ramai pemuzik-pemuzik terkenal antarabangsa berhimpun dan mengasah kemahiran mereka. Antara kumpulan muzik terkenal termasuklah Ladysmith Black Mambazo yang berjaya membawa bunyian Afrika Selatan ke dunia barat, sebelum dan juga selepas aparteid.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Makanan daging sering dimasak secara braai yang serupa dengan barbeku

Dari segi makanan, pihak British patut dipersalahkan kerana membawa makanan yang membosankan ke Afrika Selatan. Walaupun begitu, sejak akhir-akhir ini keadaan tersebut telah bertambah baik. Stik atau sosej boerewors, sayur rebus dan chips (kerepek kentang) ialah makanan utama, dan makanan yang lebih mencabar biasanya menakutkan. Para vegetarian akan terasa tersisih di negara ini kerana rakyatnya gemar memakan daging seperti sosej khinzir, daging lembu, kambing dan ayam. Manakala snek popular di negara ini ialah biltong, sejenis daging kering dari daging lembu atau daging buruan, dan ia biasanya dimakan sewaktu menonton pertandingan sukan. Potjie (disebut "pooi-ki") berasal dari Belanda dan merupakan periuk besi berkaki tiga yang digunakan oleh peneroka-peneroka awal Belanda dan juga penjelajah. Ia kemudian digunakan sebagai periuk memasak puak Afrika untuk memasak putu (masakan jagung). Bir dan brandi merupakan minuman paling popular di kalangan masyarakatnya, dan wain terbaik dari Afrika Selatan semakin popular di sini.

Di pesisiran pantai pula, kelompok Portugis mencampur gaulkan masakan mereka dengan masakan Mozambique, menghasilkan masakan berunsurkan tomato yang pedas iaitu peri-peri, yang terkenal di seluruh Afrika Selatan. Kini restoran Nando's telah membawa masakan ayam peri-peri ke seluruh dunia.

Melayu Tanjung atau "Cape Malays" yang tiba di Cape Town pada akhir abad ke-17 membawa sumbangan terbesar kepada kuisin di Afrika Selatan. Mereka telah membawa sos pedas, cutni (chutney), blatjangs (sos pekat yang dibuat daripada buah-buahan dan perasa), acar , sambal, bobotie (daging cincang berperisa) dan ikan jeruk.

Kaum minoriti India juga mempunyai makanannya yang tersendiri. Makanan yang paling popular dalam kalangan mereka (terutamanya di sebelah Durban) ialah kari, tetapi ia tidak sepedas kari di negara asalnya iaitu India. Suatu keistimewaan di Durban ialah 'bunny' atau 'bunny chow', iaitu roti putih berisi kari (biasanya daging).

Kaum pribumi Afrika Selatan pula meminati makanan berunsurkan jagung dan sayuran tempatan. Mereka juga memburu burung merpati dan ayam hutan. Makanan kaum Afrika jarang dijual di restoran-restoran di sini, walaupun seseorang itu boleh mendapat nasi yang murah serta "stew" dari gerai-gerai di sekitar kawasan bandar.

Sukan[sunting | sunting sumber]

Masyarakat Afrika Selatan merupakan masyarakat yang "gila" sukan. Namun sukan di sini berkait rapat dengan ras dan bangsa. Misalnya dalam kalangan kaum kulit hitam, sukan yang paling popular ialah bola sepak dengan pasukan kebangsaan yang dipanggil Bafana Bafana atau 'The Boys'(Budak-budak lelaki). Manakala kebanyakan kaum kulit putih bermain ragbi, dan ia amat diminati oleh kaum Afrikaner, yang mendominasi pasukan kebangsaan, "the Springboks", dan juga kriket, yang secara tradisi dimain oleh bangsa British. Sejak dikaitkan dengan aparteid, pasukan "the Springboks" atau 'Boks' hendak menjadi sebahagian 'Afrika Selatan Baru', dengan menyarungkan Presiden Nelson Mandela dengan jersi Springbok, yang sebelum ini hanya dipakai oleh kaum kulit putih, pada Piala Dunia untuk ragbi pada tahun 1995.

Rata-rata ahli sukan yang terkemuka dari Afrika Selatan adalah daripada kaum kulit putih. Antaranya termasuklah Retief Goosen (golf), Penelope Heyns (perenang kuak dada), Zola Budd (merentas desa) dan Percy Montgomery (ragbi). Walaupun begitu, kaum kulit hitam telah mula mengharumkan nama negara mereka dalam arena sukan antarabangsa termasuk "Baby Jake" Matlala (tinju) dan Josiah Thugwane (maraton). Malah kaum kulit hitam juga telah mula melibatkan dalam permainan kaum kulit putih seperti kriket. Misalnya Makhaya Ntini yang merupakan salah seorang pemain bowler dalam pasukan kriket kebangsaan. [50]

Walaupun begitu, sukan mampu menyatukan rakyat di Afrika Selatan dan sejak negara itu mencapai demokrasi pada tahun 1994, ia telah diberi penghormatan untuk menganjurkan pelbagai acara sukan di peringkat dunia. Afrika Selatan merupakan negara tunggal di benua Afrika yang pernah menjadi hos acara piala dunia untuk sukan ragbi pada tahuh 1995 (di mana pasukan Afrika Selatan The Springboks muncul juara), kriket pada tahun 2003 dan bola sepak pada tahun 2010.

Sastera[sunting | sunting sumber]

Afrika Selatan telah melahirkan beberapa penulis bertaraf antabangsa seperti Nadine Gordimer dan J. M. Coetzee kedua-duanya merupakan penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan. Karya Nadine sering berkisar pandangan orang putih liberal terhadap kekejaman aparteid. Penulis bangsa Inggeris J. R. R. Tolkien, penulis The Hobbit, The Lord of the Rings dan The Silmarillion telah dilahirkan di Bloemfontein, Afrika Selatan pada 1892.

Bagi kaum kulit hitam pula novel pertama karya seorang penulis kulit hitam ialah bertajuk Mhudi (yang mula dicetak 1930), oleh Solomon (Sol) Thekiso Plaatje. Cerita epik ini mengisahkan kehidupan masyarakat Tswana semasa dan selepas berdepan dengan tentera Zulu di bawah pemerintahan Shaka, penakluk Zulu pada abad ke-19, dan kisah pengalaman awal dengan kaum kulit putih di kawasan pedalaman.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Bahasa-bahasa Khoi, Nama dan San, Bahasa Isyarat Afrika Selatan, Jerman, Yunani, Gujarati, Hindi, Portugis, Tamil, Telegu, Urdu, Arab, Ibrani, Sanskrit dan "bahasa-bahasa lain yang digunakan untuk tujuan keagamaan di Afrika Selatan" mempunyai status istimewa (Bab 1, Artikel 6 dari Perlembagaan Afrika Selatan).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "The Constitution". Constitutional Court of South Africa. Dicapai pada 3 September 2009.
  2. ^ "Principal Agglomerations of the World". Citypopulation.de. Dicapai pada 30 Oktober 2011.
  3. ^ Mid-year population estimates 2014. Statistics South Africa
  4. ^ "Mid-year population estimates" (PDF). Statistics South Africa. 9 July 2020. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 29 July 2019. Dicapai pada 9 July 2020.
  5. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan census2011-inbrief tidak disediakan
  6. ^ "South Africa Economy Overview". CIA The World Factbook. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-05-22. Dicapai pada 2020-09-20.
  7. ^ "South Africa Economy Overview". CIA The World Factbook. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-05-22. Dicapai pada 2020-09-20.
  8. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan imf2 tidak disediakan
  9. ^ "Gini Index". World Bank. Dicapai pada 2 March 2011.
  10. ^ "2014 Human Development Report Summary" (PDF). United Nations Development Programme. 2014. m/s. 21–25. Dicapai pada 27 July 2014.
  11. ^ "Lesotho". Britannica.com.
  12. ^ "South Africa's white population is still shrinking". business.co.za.
  13. ^ "The 11 languages of South Africa". SouthAfrica-info.com.
  14. ^ "The people of South Africa". SouthAfrica-info.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-07-19. Dicapai pada 2021-01-28.CS1 maint: bot: original URL status unknown (link)
  15. ^ Census 2011: Census in brief (PDF). Pretoria: Statistics South Africa. 2012. m/s. 23–25. ISBN 978-0621413885. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 13 May 2015.
  16. ^ "South Africa". World Bank. Dicapai pada 30 October 2011.
  17. ^ "Resources and power". Britannica.com.
  18. ^ "The Carbon Brief Profile: South Africa". Carbon Brief (dalam bahasa Inggeris). 2018-10-15. Dicapai pada 2020-11-26.
  19. ^ Wymer, John (1982). The Middle Stone Age at Klasies River Mouth in South Africa. Chicago: University of Chicago Press. ISBN 0226761037. Unknown parameter |coauthor= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  20. ^ "A short history of South Africa". localhistories.org.
  21. ^ Domville-Fife, C.W. (1900). The encyclopedia of the British Empire the first encyclopedic record of the greatest empire in the history of the world ed. London: Rankin. m/s. 25.
  22. ^ "Bartolomeu Diaz". Britannica.com.[pautan mati kekal]
  23. ^ Mackenzie, W. Douglas; Stead, Alfred (1899). South Africa: Its History, Heroes, and Wars. Chicago: The Co-Operative Publishing Company.
  24. ^ Pakeman, SA. Nations of the Modern World: Ceylon (ed. 1964). Frederick A Praeger, Publishers. m/s. 18–19. ASIN B0000CM2VW.
  25. ^ a b Alexander Wilmot & John Centlivres Chase. History of the Colony of the Cape of Good Hope: From Its Discovery to the Year 1819 (ed. 2010). Claremont: David Philip (Pty) Ltd. m/s. 1–548. ISBN 978-1144830159.
  26. ^ Kaplan, Irving. Area Handbook for the Republic of South Africa (PDF). m/s. 46–771.
  27. ^ "African History Timeline". West Chester University of Pennsylvania. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-07. Dicapai pada 2020-09-21.
  28. ^ "Kenali Cape Malay, Kaum Melayu Yang Hidup Di Afrika Selatan". IloveBorneo.my.
  29. ^ Worden, Nigel (5 August 2010). Slavery in Dutch South Africa (ed. 2010). Cambridge University Press. m/s. 40–43. ISBN 978-0-521-15266-2.
  30. ^ "HISTORY OF SOUTH AFRICA". historyworld.net. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-12. Dicapai pada 2021-08-14.
  31. ^ "The Dutch in South Africa". Colonial Voyage.
  32. ^ "Battle of Blaauwberg". The Great Karoo.
  33. ^ Williams, Garner F (1905). The Diamond Mines of South Africa, Vol II. New York: B. F Buck & Co. m/s. Chapter XX.
  34. ^ Bond, Patrick (1999). Cities of gold, townships of coal: essays on South Africa's new urban crisis. Africa World Press. m/s. 140. ISBN 978-0-86543-611-4.
  35. ^ Cape of Good Hope (South Africa). Parliament House. (1906). "Report of the Select Committee on Location Act". Cape Times Limited. Dicapai pada 30 July 2009. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  36. ^ Godley, Godfrey Archibald, Welsh, William Thomson, Hemsworth, H. D (1920). "Report of the Inter-departmental committee on the native pass laws". Cape Times Limited, government printers: 2. Cite journal requires |journal= (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  37. ^ Great Britain Colonial Office; Transvaal (Colony). Governor (1901–1905: Milner) (January 1902). "Papers relating to legislation affecting natives in the Transvaal". His Majesty's Stationery Office. Cite journal requires |journal= (bantuan)CS1 maint: multiple names: authors list (link)
  38. ^ De Villiers, John Abraham Jacob (1896). The Transvaal. London: Chatto & Windus. m/s. 30 (n46). Dicapai pada 30 July 2009.
  39. ^ Cana, Frank Richardson (1911). "South Africa" . Dalam Chisholm, Hugh (penyunting). Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 25 (ed. ke-11). Cambridge University Press. m/s. 467.
  40. ^ Gloria Galloway, "Chiefs Reflect on Apartheid", The Globe and Mail, 11 Disember 2013
  41. ^ Beinart, William (2001). Twentieth-century South Africa. Oxford University Press. p. 202. ISBN 978-0-19-289318-5.
  42. ^ "Jacob Zuma president of South Africa". Britannica.com.
  43. ^ "Zuma resmi presiden Afsel". BBCIndonesia.
  44. ^ "Jacob Zuma - the survivor whose nine lives ran out". bbc.com.
  45. ^ "Jacob Zuma's legacy is a weakened South Africa". nytimes.com.
  46. ^ "10 African countries with the highest military strength and firepowr". answerafrica.com.
  47. ^ "South Africa demographics". Worldometers.
  48. ^ "Welcome To The Club". Time, Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada 2005-06-22. Dicapai pada 2007-08-03.
  49. ^ "Education in South Africa". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-06-17. Dicapai pada 2010-05-27.
  50. ^ "Sporting Greats". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-06. Dicapai pada 2008-09-30.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]