Pulau Pinang

Laman separuh dilindungi
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Penang)

Pulau Pinang
Pulau Pinang Pulau Mutiara
ڤولاو ڤينڠ ڤولاو موتيارا
Moto: 
Bersatu dan Setia
Lagu: Untuk Negeri Kita
Penang in Malaysia.svg
   Pulau Pinang di    Malaysia
Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E / 5.40250; 100.36500Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E / 5.40250; 100.36500
NegaraMalaysia
Ibu negeriGeorge Town, Pulau Pinang
Bandar terbesarSeberang Perai
Kerajaan
 • JenisSistem berparlimen
 • Yang di-Pertua NegeriAhmad Fuzi Abdul Razak
 • Ketua MenteriChow Kon Yeow
Luas
 • Jumlah1,048 km2 (405 batu persegi)
Paras tertinggi833 m (2,733 ft)
Penduduk
 (2020)[2]
 • Jumlah1,740,405
 • Kepadatan1,659/km2 (4,300/batu persegi)
Indeks Pembangunan Manusia
 • IPM (2018) 0.838 sangat tinggi [3]
Zon waktuUTC+08:00 (WPM)
Poskod
10xxx–11xxx (Pulau Pinang)
12xxx-14xxx (Seberang Perai)
Kod panggilan04
Huruf pertama plat kenderaanP
Laman webwww.penang.gov.my

Pulau Pinang merupakan negeri di Malaysia dan merupakan sebahagian daripada Negeri Kedah sebelum diambil oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dan dijadikan tanah jajahan Mahkota British. Negeri ini terbahagi kepada dua bahagian oleh Selat Melaka (lihat peta) iaitu seberang pulau dan Seberang Perai dengan adanya jambatan dan feri di laut Prai, Glugor dan Bagan Dalam. Negeri ini juga merupakan petempatan British yang pertama di Semenanjung Malaysia dan satu-satunya negeri yang berpisah dua belah di Malaysia.

Nama Pulau Pinang ini diambil daripada nama pokok pinang (areca catechu). Ia juga dipanggil Tanjung Bidara sebelum dikenali Pulau Pinang. Terdapat banyak pantai terletak di Pulau Pinang.

Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 yang diterbitkan pada 26 Julai 2018 melaporkan bahawa Pulau Pinang mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM49,873 pada 2017.[4]

Negeri Pulau Pinang juga merupakan negeri majoriti penduduk Cina di Malaysia. Di sini juga menjadi Chinatown utama negara Malaysia.

Asal-usul nama

Pulau Pinang pada awalnya dikenali sebagai Pulau Ka Satu. Seorang pelayar yang bernama Ragam menamakannya sedemikian kerana inilah satu-satunya pulau besar yang terasing yang ditemui beliau sewaktu berulang-alik berdagang dari Lingga ke Kedah. Nama Pulau Ka Satu terus digunakan sehinggalah namanya diubah kepada Pulau Pinang disebabkan banyaknya pokok pinang yang tumbuh di pulau itu.[5]

Sejarah

Bukti arkeologi menunjukkan Pulau Pinang dan Seberang Perai telah\ dihuni sejak zaman prasejarah lagi. Bukti pertama prasejarah negara ditemui di Guar Kepah, Seberang Perai pada tahun 1860. Berdasarkan timbunan cengkerang kepah dan kerang yang di dalamnya ditemui rangka manusia dengan alat batu, manik, pecahan tembikar dan sisa makanan, dijangkakan tapak di Guar Kepah ini berusia sekurang-kurangnya sekitar 3,000 hingga 4,000 tahun. Manakala penemuan alat batu beliung di beberapa tempat di Pulau Pinang merupakan merupakan bukti Neolitik iaitu bukti dari era pertanian yang awal yang dijangkakan berusia sekurang-kurangnya 5,000 tahun yang lalu.

Antara pedagang berbangsa Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure milik pedagang tersebut adalah di antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau Rimau yang terletak di selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tidak berpenghuni.

Satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Di Seberang Perai pula, sewaktu diambil alih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.[5]

Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, dipajak kepada Syarikat Hindia-Timur British (SHTI) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau itu sebagai Pulau Prince of Wales sempena nama Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaga yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakan "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain.

Kapten Francis Light: mendapatkan Pulau Pinang dengan memberikan janji palsu, bantuan tentera kepada Sultan Kedah.

Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangan dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut.

Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerahkan hak kepada syarikat itu dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah tetapi telah dinaikkan sebanyak Ringgit Malaysia, 10 juta pada tahun 2018.

Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Negeri Selat di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.

Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, zon perdagangan bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.

Pada tahun 2004, ketidakpuasan terhadap kemerosotan ekonomi Pulau Pinang telah mengakibatkan kempen media untuk mengembalikannya kepada zaman kegemilangannya.

Geografi

Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah utara dan timur, negeri Perak di sebelah selatan dan perairan Selat Melaka di sebelah barat. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai. Keluasan kawasan pulau adalah 285 kilometer persegi yang terpisah sepenuhnya daripada Seberang Perai. Kedua-dua bahagian dihubungkan dengan perkhidmatan feri dan Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer.

Iklim

Suhu (siang) 27°C-30°C
Suhu (malam) 22°C-24°C
Curahan hujan 2670 mm
Kelembapan 70%-90%
Data iklim untuk Pulau Pinang
Bulan Jan Feb Mac Apr Mei Jun Jul Ogo Sep Okt Nov Dis Tahun
Purata tinggi °C (°F) 31.6
(88.9)
32.2
(90)
32.2
(90)
31.9
(89.4)
31.6
(88.9)
31.4
(88.5)
31.0
(87.8)
30.9
(87.6)
30.4
(86.7)
30.4
(86.7)
30.4
(86.7)
30.7
(87.3)
31.2
(88.2)
Purata rendah °C (°F) 23.2
(73.8)
23.5
(74.3)
23.7
(74.7)
24.1
(75.4)
24.2
(75.6)
23.8
(74.8)
23.4
(74.1)
23.4
(74.1)
23.2
(73.8)
23.3
(73.9)
23.3
(73.9)
23.4
(74.1)
23.5
(74.3)
Curahan hujan mm (inci) 68.7
(2.705)
71.7
(2.823)
146.4
(5.764)
220.5
(8.681)
203.4
(8.008)
178.0
(7.008)
192.1
(7.563)
242.4
(9.543)
356.1
(14.02)
383.0
(15.079)
231.8
(9.126)
113.5
(4.469)
2,407.6
(94.787)
Purata hari hujan (≥ 1.0 mm) 5 6 9 14 14 11 12 14 18 19 15 9 146
Jam cahaya matahari 248.0 234.5 235.6 225.0 204.6 201.0 204.6 189.1 162.0 170.5 183.0 207.7 2,465.6
Sumber #1: National Environment Agency
Sumber #2: Hong Kong Observatory[6]

Pecahan kawasan pentadbiran

Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada 5 daerah dan 81 mukim.

Daerah di Pulau Pinang
Mukims of Penang labelled.svg
Daerah Keluasan (km2)[7] Populasi (2020)[8] Mukim
Barat Daya 174.87 237,735 22
Seberang Perai Selatan 242.27 422,985 16
Seberang Perai Tengah 237.8 339,132 21
Seberang Perai Utara 267.74 183,996 16
Timur Laut 126.4 556,557 6

Bandar Utama

Demografi

Sejarah kependudukan
TahunPend.±%
1970776,124—    
1980900,772+16.1%
19911,064,166+18.1%
20001,231,209+15.7%
20101,526,324+24.0%
20201,740,405+14.0%
Sumber:[2]

Mengikut bancian penduduk Malaysia 2020, jumlah penduduk di Pulau Pinang ialah seramai 1,740,405 orang majoritinya di daerah Timur Laut iaitu 32 peratus dari jumlah penduduk. 91.9 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warganegara manakala selebihnya merupakan bukan warganegara.[2]

Etnik

Kumpulan etnik warganegara (2020)[2]
Etnik Peratusan
Bumiputera
  
44.7%
Cina
  
44.9%
India
  
9.7%
Lain-lain
  
0.6%

Negeri Pulau Pinang mempunyai penduduk berbagai etnik terdiri daripada Melayu, Cina, India, bumiputera selain Melayu dan lain-lain. Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang majoriti penduduknya beretnik Cina. Namun, peratusan penduduk beretnik Cina di Pulau Pinang semakin berkurang.[2]

Kumpulan etnik warganegara
Etnik %
Bumiputera 44.7
Cina 44.9
India 9.7
Lain-lain 0.6

Pulau Pinang juga mempunyai komuniti Yahudi dan Armenia, tetapi selepas Perang Dunia Kedua dan penubuhan negara Israel, komuniti Yahudi dan Armenia Pulau Pinang hampir lenyap. Terdapat juga komuniti peniaga Arab, Jerman, Inggeris, dan Belanda di Pulau Pinang, selain itu Pulau Pinang mempunyai golongan ekspatriat yang besar, kebanyakannya berasal dari United Kingdom, Australia, negara-negara Eropah, dan Jepun.

Agama

Agama di Pulau Pinang - Banci 2020[2]
Agama Peratusan
Islam
  
45.5%
Buddha
  
37.6%
Hindu
  
8.4%
Kristian
  
4.3%
Lain-lain
  
2.4%
Tiada agama atau N/A
  
1.7%

Pada tahun 2020, majoriti penduduk Pulau Pinang beragama Islam iaitu 45.5 peratus dari jumlah penduduk diikuti agama Buddha yang dianuti 37.6 peratus penduduk. Antara agama lain yang dianuti penduduk Pulau Pinang termasuklah agama Hindu dengan 8.4 peratus dan agama Kristian dengan 4.3 peratus. Sebanyak 1.7 peratus penduduk Pulau Pinang tidak beragama atau tidak diketahui status agamanya.[2]

Kerajaan negeri

Negeri Pulau Pinang mempunyai Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) sendiri, akan tetapi kuasanya terhad apabila dibandingkan dengan pihak berkuasa kerajaan pusat.

Sebagaimana dengan negeri-negeri Malaysia yang lain, Majlis Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik daripada parti politik yang menjadi kerajaan. Ketua Majlis Mesyuarat Kerajaan ialah Yang di-Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Pada Mei 2005, terdapat permintaan daripada ahli-ahli UMNO, parti politik yang terbesar dalam kerajaan campuran, untuk menggilirkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang di antara parti-parti komponen Barisan Nasional, akan tetapi cadangan itu ditolak oleh Perdana Menteri.

Terdapat satu majlis bandaraya dan satu majlis perbandaran di Pulau Pinang, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Ahli majlis tempatan dilantik oleh kerajaan negeri sejak Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dibatalkan dalam tahun 1960-an.

Bangunan Komtar

Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada lima pembahagian pentadbiran:



Kebudayaan dan ekonomi

Pulau Pinang, yang juga digelarkan sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient), merupakan sebuah syurga bagi pencinta-pencinta makanan yang datang dari seluruh Malaysia dan Singapura untuk menikmati gaya masakan yang istimewa. Makanan Pulau Pinang yang membayangkan pergaulan di antara kaum Cina, Melayu dan India, juga dipengaruhi kuat oleh makanan Thailand. Pulau Pinang adalah termashyur dalam makanan penjaja yang dijual dan dimakan di tepi jalan, terutamanya makanan mi dan makanan laut.

Gambar ini menunjukkan seorang pembawa beca bersama pelancong menaiki beca

Batu Ferringhi, yang terletaknya di pantai utara Pulau Pinang, mempunyai banyak hotel yang moden dan merupakan pantai peranginan yang amat popular. Ramai pelancong juga melawati Georgetown, sebuah bandar yang bersejarah dan yang mengandungi rumah-rumah pelbagai kaum, termasuk orang Cina Selat, Melayu dan India, yang dibina pada abad kesembilan belas. Bangunan-bangunan kolonial British boleh juga didapati diantara kuil-kuil Cina dan India, dan masjid orang Melayu Islam. Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Rumah Besar Cheong Fatt Tze di bandar, dan Kuil Ular di Bayan Lepas merupakan destinasi pelancong yang masyhur. Salah satu daripada mercu tanda yang utama ialah bangunan KOMTAR, bangunan yang tertinggi di Pulau Pinang.

Kegiatan perdagangan di negeri Pulau Pinang telah merosot dengan hebat bukan sahaja disebabkan oleh kehilangan taraf pelabuhan bebas, tetapi juga kerana kemajuan yang aktif di Pelabuhan Klang berdekatan ibu negara Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, masih terdapatnya sebuah terminal kontena di Butterworth yang meneruskan perkhidmatannya disebelah utara.

Pada hari kini, negeri Pulau Pinang merupakan ekonomi yang ketiga terbesar di antara negeri-negeri Malaysia, iaitu selepas Selangor dan Johor. Sektor pengeluaran merupakan sektor terutama dalam ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 45.9% kepada keluaran negeri kasar pada tahun 2000. Perkembangan industrialisasi di bahagian selatan pulau amat pesat, dengan banyak kilang elektronik teknologi tinggi (seperti Intel, AMD, Motorola, Agilent, Hitachi, Osram, Bosch dan Seagate) yang terletaknya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Baru.

Sektor-sektor utama yang lain dalam ekonomi Pulau Pinang termasuk sektor pelancongan, kewangan dan lain-lain perkhidmatan.

Pengangkutan

Pulau Pinang dikaitkan dengan tanah besar Semenanjung Malaysia melalui Jambatan Pulau Pinang yang disiapkan pada tahun 1985. Dengan panjangnya sebanyak 13.5 kilometer, jambatan ini merupakan salah satu daripada jambatan yang terpanjang di wilayah Asia. Perkhidmatan feri masih disediakan di antara:

  • Georgetown dan Butterworth (yang mana stesen keretapi yang terdekat ditempatkan) di tanah besar; dan
  • Georgetown dan Pulau Langkawi, sebuah pulau peranginan di utara.
Gambar Jambatan Pulau Pinang

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ditempatkan di selatan George Town dan memberi kemudahan penerbangan antarabangsa ke London, Hong Kong, Singapura, Medan, Taipei, Bangkok, Seoul, Riau, Xiamen, dan Guangzhou.

Beca masih lagi boleh didapati dibeberapa tempat di Georgetown. Walau bagaimanapun, dengan ketibaan pengangkutan moden, beca semakin menjadi daya tarikan utama kepada pelancong. Malangnya, pengangkutan moden telah membawa masalah kesesakan trafik kepada George Town, disebabkan kebanyakan jalan di pusat bandaraya terlalu sempit kerana ketiadaan perancangan yang baik.

Penduduk terkenal

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 24 Januari 2011.
  2. ^ a b c d e f g "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 40. Dicapai pada 2022-03-30.
  3. ^ "| Human Development Reports". hdr.undp.org.
  4. ^ https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=d21BMHFxZFBIcFlCNExIYUQ1cE92Zz09
  5. ^ a b "Sejarah - Kerajaan Negeri Pulau Pinang". Dicapai pada 2022-03-31.
  6. ^ "Climatological Information for Penang, Malaysia". Hong Kong Observatory. Dicapai pada 2010-10-30.
  7. ^ "Kependudukan Pulau Pinang" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia Pulau Pinang. 2020. m/s. 1. Dicapai pada 2022-03-31.
  8. ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 54. Dicapai pada 2022-03-30.
  • The Penang Tourism Action Council. "The 'Light' Years and Beyond" (2005).

Pautan luar