Jalan Kembali: Bohsia 2

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Jalan Kembali Bohsia 2
Jalan Kembali Bohsia 2.jpg
Pengarah Syamsul Yusof
Penerbit Tengku Iesta Tengku Alaudin
Dato' Yusof Haslam
Penulis Syamsul Yusof
Dibintangi oleh Syamsul Yusof
Salina Saibi
Nabila Huda
Zizan Razak
Soffi Jikan
Muzik oleh James Baum
Disunting oleh Hisham Jupri
Syamsul Yusof
Syarikat
produksi
Mula ditayangan
7 Jun 2012
Tempoh tayangan
97 minit
Negara  Malaysia
Bahasa Bahasa Melayu
Box office RM 4.98 juta

Jalan Kembali: Bohsia 2 merupakan sebuah filem aksi Malaysia tahun 2012 arahan Syamsul Yusof terbitan Skop Productions dan Grand Brilliance yang ditayangkan pada 7 Jun 2012 di seluruh Malaysia. Filem ini dibintangi oleh Syamsul Yusof, Nabila Huda, Salina Saibi, Zizan Razak dan Soffi Jikan dan merupakan kesinambungan daripada filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009). Ia kemudiannya diadaptasikan ke siri TV yang disiarkan di TV2 pada 2014.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Filem Jalan Kembali Bohsia 2 menceritakan tentang gadis bernama Amy, seorang ex-bohsia yang sudah bertaubat dan tidak mahu mengulangi sejarah hitamnya dengan menjejakkan kaki ke sebuah pusat pemulihan manakala Tasya, bekas rakan karibnya pula makin hanyut bergelumang dengan gejala haram dan tingkah lakunya dikawal ketat oleh Keting, teman lelakinya.Seperti Amy, Muz juga telah bertaubat dan tidak mahu lagi bergelumang dengan kehidupan yang pernah sia-sia itu namun Muz dan Ijan sentiasa mencuba untuk meraih kemenangan dalam setiap perlumbaan motor yang diadakan.Akan tetapi, keputusan Amy untuk meninggalkan pusat pemulihan adalah peluang keemasan untuk Keting memesongkan Amy ke jalan hitam. Walau bagaimanapun, dengan pertolongan daripada Muz dan Ejan, Amy dan Tasha mencari jalan untuk memusnahkan segala hasrat Keting yang ingin merosakkan lebih ramai lagi gadis – gadis yang lemah pegangan agama.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Jalan Kembali: Bohsia 2 merupakan filem ketujuh arahan Syamsul Yusof dan merupakan kesinambungan daripada filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam yang ditayangkan pada 23 April 2009. Filem ini mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dan kos pembikinannya dianggarkan berjumlah RM1.5 juta, penggambaran dijalankan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Tema dan gaya[sunting | sunting sumber]

Menurut Syamsul Yusof, Jalan Kembali: Bohsia 2 tidak hanya memaparkan kecelaruan masalah remaja kini, beliau turut menyelitkan elemen Islamik untuk suntik kesedaran kepada golongan remaja untuk berfikir.[1]

Wahiduzzaman menulis untuk mStar Online mengulas mengenai perjalanan awal filem ini khususnya babak pembukaan antara Amy lakonan Salina Saibi dan Serina Redzuawan dalam pusat pemulihan akhlak itu kurang mantap untuk mengikat tumpuan kepada babak-babak seterusnya. Momentum filem ini terus rancak dan transisi babak semakin meyakinkan, lengkap pasang surutnya yang sekali gus menjadikan filem ini baik pada persembahan dan pengisiannya. Secara peribadinya, Wahiduzzaman berkenan pada sinematografi filem ini, terutamanya permainan syot yang diketengahkan Syamsul amat menarik dan memberikan impak lebih besar bagi babak-babak pertarungan dan kejar-mengejar.[2]

Pada filem sekuel kepada Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), fokus Syamsul terarah pada mesej dan pengisian plot yang hendak dikongsi dengan penonton. Jika pada bahagian pertama dulu, Syamsul Yusof ‘menjual’ aksi tetapi pada filem ini, pertaruhannya terarah pada pengisian pada skrip yang sarat dengan mesej dan pengajaran. Nilaikan pula aspek lakonan bintang-bintang utamanya, Wahiduzzaman berpuas hati dengan persembahan mereka.[2] Nabila Huda sebagai Tasya, Syamsul Yusof (Muz) dan Salina Saibi (Amy) menyerlah menerusi watak masing-masing. Nabila biarpun dipagari stail lakonan yang keterlaluan dan menjelikkan sebagai seorang gadis liar dan tidak bermoral, dia cukup meyakinkan dan bersahaja dengan sisi hitam itu. Salina yang memperlihatkan sisi baru dalam diri Amy iaitu gadis yang sudah berubah dan kembali ke pangkal jalan, turut mencuri tumpuan. Malah, percubaan pertama kali aktres ini membawakan watak baik nampak meyakinkan.[2]

Kesederhanaan Amy yang sarat dengan emosi dan dendam kerana keterlanjurannya pada masa lalu memberikan variasi kepada pencorakan watak-watak dalam filem ini. Begitu juga dengan Syamsul yang makin baik mutu lakonan dan pengarahannya. Kematangan lelaki ini dalam penghasilan karya-karyanya seiring pengalaman dan peningkatan usia.[2] Wahiduzzaman mengakui kurang tertarik dengan lakonan Soffi Jikan sebagai Keting dan Zizan Razak (Ijan) kerana mereka hanya mempamerkan lakonan yang klise, biarpun penghayatan watak masing-masing adalah pada tahap yang baik. Secara keseluruhannya, Bohsia 2 menghidangkan lebih daripada aksi, drama dan komedi. Mungkin temanya klise tetapi pengisiannya menawarkan sesuatu yang baik untuk industri filem kita.[2]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Jalan Kembali: Bohsia 2 ditayangkan pada 7 Jun 2012 di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Menurut laporan tidak rasmi mereka yang bekerja di belakang tabir filem ini, untuk tempoh 48 jam yang lalu, filem ini telah berjaya mengutip lebih RM1 juta jualan tiket.[3][4]

Budiey dari Sensasi Selebriti mengulas mengenai poster filem ini berkata: "Poster filem Bohsia 2 ini nampak segar, menarik dan unik kerana susunan imej, warna dan efek yang digunakan dapat menghasilkan sebuah visual yang mencuri perhatian dan mengundang penelitian yang lama. Gabungan warna yang cukup menyerlah juga dapat melambangkan unsur keganasan dan kemarahan watak – watak yang terdapat dalam filem ini."[5]

Adaptasi[sunting | sunting sumber]

Pada 2014, sebuah drama bersiri 13 episod telah diterbitkan berdasarkan daripada filem ini. Jalan Kembali versi drama mula bersiaran pada 11 Ogos 2014 di slot Seleta Prima TV2 dan diterbitkan oleh Skop Productions, ia dibintangi oleh Sheera Iskandar, Qazem Nor, Lufya Omar, Aznah Hamid, Azuan Mazwan dan Dato’ Aziz Singah dan turut dibintangi oleh penyanyi nasyid terkenal, Hafiz Hamidun yang memegang watak Dani.[6]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Nurezzatul Aqmar Mustaza (8 Jun 2012). "Jalan Kembali: Bohsia 2 sarat mesej". Sinar Harian. Dicapai pada 2012-06-09. 
  2. ^ a b c d e Wahiduzzaman (18 Jun 2012). "'Bohsia 2' Kehebatan Dalam Sebuah Karya Klise". mStar Online. Dicapai pada 2012-06-09. 
  3. ^ "Bohsia 2: Jalan Kembali Mengutip RM1 Juta Dalam Masa Dua Hari Tayangan". Rotikaya. 8 Jun 2012. Dicapai pada 2012-06-08. 
  4. ^ "Jalan Kembali Bohsia 2 catat hampir RM1j". Utusan Malaysia. 8 Jun 2012. Dicapai pada 2012-06-08. 
  5. ^ Budiey (3 Mac 2016). "Filem Jalan Kembali Bohsia 2". Sensasi Selebriti. Dicapai pada 2017-02-09. 
  6. ^ "Drama Jalan Kembali Dari Syamsul Yusof". Hye Bro!. 12 Ogos 2014. Dicapai pada 2014-08-13. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]