Jabatan Amal Malaysia
| Maklumat am | |
|---|---|
| Kependekan | JAM |
| Cogan kata | Beramal Kerana Allah |
| Jenis/bentuk sah | Pertubuhan |
| Tujuan | Khidmat kebajikan, bantuan bencana, dan kesukarelawanan |
| Bidang | Kebajikan, bantuan bencana, kesihatan, pengurusan acara |
| Sejarah | |
| Ditubuhkan | 16 Februari 1990 |
| Pengasas | Muhamad Deraman |
| Pengurusan | |
| Ketua Pengarah | Rosazli bin Md Yasin [1] |
| Organisasi induk | Dewan Pemuda PAS |
| Gabungan | Dewan Pemuda PAS |
| Perangkaan | |
| Sukarelawan | >5,000 (berdaftar) ~1,000 (aktif) |
| Lokasi | |
| Lokasi | |
| sunting · sunting di Wikidata | |
Jabatan Amal Malaysia (JAM) merupakan sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berfungsi sebagai pasukan kebajikan sukarela beruniform.[2][3] Jabatan ini dianggotai oleh pemuda dan ahli PAS dengan objektif untuk melahirkan generasi muda yang beriman, beramal Islami, dan bertakwa melalui aktiviti kesukarelawan.[3] Moto jabatan ini ialah "Beramal Kerana Allah".[4]
Sehingga kini, Jabatan Amal Malaysia mempunyai lebih 5,000 anggota berdaftar, dengan kira-kira 1,000 daripadanya merupakan anggota aktif yang bersedia digerakkan untuk pelbagai misi kebajikan dan kecemasan.[2]
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Idea penubuhan pasukan ini bermula melalui kertas kerja induk Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 1989/1991.[3] Cadangan tersebut telah disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-4 pada 1 Julai 1989. Gerak kerja awal dijayakan oleh unit penajaan yang terdiri daripada 12 orang dari Terengganu.[3]
Pada 14 hingga 16 Februari 1991, pasukan ini dilancarkan secara rasmi sebagai Unit Amal (Kebajikan dan Rekreasi) dalam satu majlis di Pantai Tok Jembal, Kuala Terengganu. Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu ketika itu, Tuan Guru Haji Harun Taib.[3] Jambori pertama yang diadakan sempena pelancaran itu berjaya mengumpulkan 851 anggota dari seluruh negara.[3]
Bermula Februari 2006, Unit Amal memperkenalkan pakaian rasmi baharu berwarna merah terang yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.[3] Pada tahun 2007, Unit Amal Malaysia telah dinaik taraf statusnya menjadi Jabatan Amal Malaysia dengan penggunaan logo yang baharu.[3]
Struktur Organisasi
[sunting | sunting sumber]Bahagian
[sunting | sunting sumber]Jabatan Amal Malaysia dibahagikan kepada lima bahagian utama:[3]
- Bahagian Operasi: Merancang dan melaksanakan operasi bantuan semasa bencana alam seperti banjir, kebakaran, dan tanah runtuh.
- Bahagian Kajian Dasar & Kurikulum: Bertanggungjawab ke atas perancangan dan pelaksanaan latihan, kejurulatihan, serta penyelarasan pangkat serta bertindak sebagai tulang belakang intelektual bagi memastikan keseragaman disiplin, kemahiran serta tarbiyah seluruh anggota di Malaysia
- Bahagian Asset & Perolehan: Berperanan sebagai pengurus logistik dan pemegang amanah harta benda organisasi. Bahagian ini memastikan setiap aset yang dimiliki sama ada kenderaan, peralatan menyelamat, atau penjualan kelengkapan uniform diuruskan dengan sistematik.
- Bahagian Pelapis: Menguruskan pembentukan generasi muda atau pengkaderan anggota Jabatan Amala melalui perlaksanaan Modul Briged Amal Malaysia di sekolah-sekolah swasta dan kegiatan kebajikan dikalangan Mahasiswa serta orang awam.
- Bahagaian Staf: Bertindak sebagai "Nadi Pentadbiran" yang menguruskan segala urusan dalaman, keanggotaan, dan protokol organisasi.
Kor
[sunting | sunting sumber]Jabatan ini mempunyai 11 kor secara keseluruhan bagi memastikan gerak kerja yang efektif:[3]
- Kor Medik dan Penyelamat: Bertanggungjawab dalam bantuan kecemasan medik, rawatan awal, serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
- Kor Trafik dan Lalulintas: Memastikan kelancaran aliran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya semasa majlis atau bencana.
- Kor Semboyan dan Komunikasi: Menguruskan sistem komunikasi radio dan perhubungan antara unit semasa di lapangan.
- Kor Kejuruteraan: Memberikan khidmat teknikal, pembaikan infrastruktur ringan, dan sokongan logistik kejuruteraan dan sebagainya bagi pemulihan bencana.
- Kor Tugas Khas: Melaksanakan tugasan khusus pengiring rapat bagi pimpinan dan kawalan keselamatan mana-mana himpunan serta program dalaman anjuran parti.
- Kor Marin: Mengendalikan operasi menyelamat di kawasan air, termasuk penggunaan bot dan peralatan menyelamat di laut atau sungai.
- Kor Tarbiyah & Dakwah: Menguruskan pengisian rohani, usrah, dan memastikan setiap gerak kerja kebajikan niatnya ikhlas "Beramal Kerana Allah"
- Kor Doktrin & Tatatertib: Memastikan setiap anggota mematuhi etika pemakaian uniform dan tatatertib sebagai seorang anggota dan dan disiplin Organisasi
- Kor Kurikulum & Latihan: Menggubal silibus latihan (seperti KAKA) dan menyelaras modul-modul kemahiran menyelamat serta teknikal seperti kawad kaki, pengurusan trafik dan lain-lain.
- Briged & Kadet Amal: Program Kokurikulum untuk peringkat remaja atau pelajar sekolah (seperti di sekolah-sekolah agama swasta/SRITI/SMITI dan lain-lain)
- Kor Siswa Amal: Menggerakkan golongan intelektual muda mahasiswa dengan gerak kerja kebajikan lapangan dankhidmat masyarakat (CSR).
- Kor Sukarelawan Amal: Bahagian ini menyelaras individu yang ingin menyumbang tenaga dalam misi tertentu (contohnya semasa banjir besar) tetapi tidak mempunyai status anggota tetap atau belum melalui latihan penuh
Anggota jabatan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan profesional dan orang awam yang menyumbang tenaga serta wang ringgit secara sukarela tanpa menerima sebarang elaun tetap.[2][4]
Ketua Pengarah
[sunting | sunting sumber]| Bil | Nama | Tahun Khidmat |
|---|---|---|
| 1 | Muhamad Deraman [5] | 1991 – 1992 |
| 2 | Hussin Ismail[5] | 1992 – 2002 |
| 3 | Jamuliddin Elias[5] | 2002 – 2005 |
| 4 | Jamsari Marsom[5][6] | 2005 – 2011 |
| 5 | Johari Osman [7] | 2011 – 2015 |
| 6 | Mohd Nazree Mohd Aris[8] | 2015 – 2019 |
| 7 | Norazman Ishak[9] | 2019 – 2021 |
| 8 | Hanafi Zulkapli[10] | 2021 – 2023 |
| 9 | Rosazli bin Md Yasin[1] | 2023 – kini |
Aktiviti dan Perkhidmatan
[sunting | sunting sumber]Jabatan Amal Malaysia aktif dalam pelbagai bentuk khidmat masyarakat, bantuan bencana, dan pengurusan acara.
Bantuan Bencana
[sunting | sunting sumber]Jabatan Amal Malaysia terlibat secara aktif dalam khidmat masyarakat seperti membantu mangsa kebakaran, banjir besar, dan bencana lain. Mereka juga dikenali dengan jolokan "Semut Merah"[11] semasa operasi membantu rakyat Johor yang ditimpa banjir beberapa tahun lepas.
Seramai 5,000 anggota telah digerakkan ke seluruh negara, termasuk ke negeri-negeri yang terjejas teruk seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah untuk membantu mangsa banjir.[12]
Antara operasi yang dijalankan termasuk:
- Operasi Menyelamat: Menggunakan aset seperti bot gentian kaca dan kenderaan pacuan empat roda (4x4) untuk memindahkan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).[13][14]
- Operasi Cari Mangsa Hilang: Anggota Amal turut digerakkan untuk membantu mencari individu yang dilaporkan hilang, seperti operasi di kawasan berisiko atau selepas bencana.[15]
- Pembersihan Pasca Banjir: Membersihkan rumah mangsa banjir, seperti operasi di daerah Sik, Kedah yang berjaya membersihkan 80 buah rumah dalam tempoh empat hari.[16]
- Dapur Rakyat: Menyediakan makanan kepada mangsa yang terjejas.[12]
- Pengagihan Bantuan: Kerjasama dengan pelbagai NGO untuk menyalurkan makanan, minuman, dan pakaian kepada penduduk setempat.[17]
- Pembinaan dan Baik Pulih Rumah: Membantu penduduk membaiki dan membina semula rumah yang rosak akibat ribut dan banjir.[18]
Khidmat Kesihatan dan Kecemasan
[sunting | sunting sumber]Unit ini turut terlibat dalam misi bantuan kesihatan. Semasa pandemik COVID-19, Jabatan Amal Malaysia Pulau Pinang membantu Kementerian Kesihatan Malaysia menguruskan jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam di daerah Seberang Perai Utara ekoran peningkatan kes kematian.[19]
Selain itu, jabatan ini kerap menganjurkan program derma darah seperti Amal Mega Blood Donation. Pada tahun 2021, program ini berjaya mengumpul 5,135 penderma darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara.[4] Di peringkat tempatan, program di Sandakan dan Tawau, Sabah turut menyumbang kepada tabung darah hospital tempatan.[20][21]
Pengurusan Acara dan Trafik
[sunting | sunting sumber]Jabatan Amal Malaysia telah berkhidmat membantu kelancaran Muktamar PAS selama 35 tahun.[2] Tugasan mereka merangkumi kawalan trafik, keselamatan, perubatan, dan tugas-tugas khas untuk memastikan perjalanan program berjalan lancar.[2]
Selain itu, Unit Amal juga sering dilihat bertugas menjaga lalulintas jalan raya semasa ceramah, muktamar PAS atau perhimpunan. Dengan pakaian rasmi t-shirt dan beret merah hati/maroon, mereka memastikan keselamatan peserta dari sebarang provokasi atau keganasan. Unit Amal menjadi benteng keselamatan kepada peserta himpunan.
Mereka juga menubuhkan Amal Rescue Team (ART) untuk memberikan bantuan kerosakan kenderaan ringan kepada orang ramai, terutamanya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri bagi melancarkan aliran trafik.[22]
Isu Berbangkit
[sunting | sunting sumber]Pakaian Seragam
[sunting | sunting sumber]Pada September 2018, timbul isu apabila Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) mengkritik pemakaian uniform Jabatan Amal semasa perbarisan Muktamar PAS yang didakwa menyerupai pakaian istiadat nombor satu Angkatan Tentera Malaysia (ATM).[23] Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mempertahankan pemakaian tersebut dengan menyatakan bahawa ia adalah salah satu daripada tujuh jenis pakaian rasmi Jabatan Amal yang sah dan perbarisan tersebut diketuai oleh bekas tentera.[24][23]
Selain itu, pada 2025, timbul kritikan mengenai penggunaan pangkat bergaya tentera seperti "Jeneral" dalam Jabatan Amal, yang dianggap tidak sesuai untuk organisasi sukarelawan awam dan biasanya digunakan dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pengulas menyarankan supaya pihak berkuasa berkaitan, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), meneliti penggunaan pangkat dalam organisasi bukan kerajaan atau parti politik.[25]
Dana dan Aset
[sunting | sunting sumber]Jabatan Amal bergantung kepada sumbangan orang ramai dan ahlinya sendiri untuk membiayai operasi serta pembelian aset.[2] Terdapat insiden di mana rayuan sumbangan untuk membeli kenderaan pacuan empat roda (4x4) bagi tujuan kebajikan di Negeri Sembilan dan Kelantan mendapat kecaman segelintir warganet, namun jabatan tersebut menegaskan keperluan aset berkenaan untuk melancarkan misi bantuan banjir dan kebajikan.[26]
Di Perak, sebuah kenderaan Isuzu D-Max baharu bagi kegunaan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak telah didedahkan semasa satu perasmian pada 29 Jun 2024. Kenderaan ini dipamerkan dengan nombor pendaftaran "JAM 8" dan menimbulkan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk kritikan daripada beberapa warganet mengenai kemungkinan kos untuk mendapatkan nombor pendaftaran tersebut, walaupun tiada bukti rasmi bahawa nombor itu dibeli oleh jabatan.[27]
Kontroversi Berkaitan PPS
[sunting | sunting sumber]Pada September 2014, Dewan Pemuda PAS mempertahankan Unit Amal, pasukan sukarelawan parti itu, susulan penahanan anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) oleh polis di Pulau Pinang.[28] Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat, menegaskan Unit Amal hanya terlibat dengan aktiviti sosial dan kemanusiaan seperti bantuan banjir dan kawalan khalayak semasa perhimpunan parti, berbeza dengan PPS yang beroperasi 24 jam dan menjalankan penguatkuasaan anti jenayah.[28] Unit Amal ketika itu mempunyai sekitar 850 ahli aktif, berbanding lebih 9,000 anggota berdaftar PPS.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Tahniah diucapkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia sesi 2023-2025 yang baru iaitu Al-Fadhil Ustaz Rosazli Bin Md Yasin di atas perlantikan ini". Facebook Rasmi Jabatan Amal Malaysia. 30 Oktober 2023. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ a b c d e f "Jabatan Amal Malaysia bantu Muktamar Pas sejak 35 tahun lalu". MalaysiaGazette. 15 September 2024.
- ^ a b c d e f g h i j "Jabatan AMAL Malaysia". Laman Web Rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ a b c "Semua bangga dengan Jabatan Amal Malaysia". Harakahdaily. 20 Januari 2021.
- ^ a b c d "KETUA PENGARAH JABATAN AMAL MALAYSIA 1991 - KINI". Facebook Rasmi Jabatan Amal Malaysia. 25 Mac 2021. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ "Ustaz Jamsari Kekal Sebagai Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Sesi 2009-2011". Blogspot Rasmi Jabatan Amal Malaysia. Jun 2009. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ "Tahniah Sdr Johari Osman, Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia DPPM". Facebook Rasmi Pemuda PAS Malaysia. 15 Januari 2013. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ "Saya amat kesal dengan tindakan UMNO Kapar yang mempergunakan..." Facebook Rasmi Jabatan Amal Malaysia. 17 Disember 2015. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ "Sekalung tahniah diucapkan kepada kekanda kami, Tuan Norazman Ishak diatas taklifan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia yang baharu..." Facebook Rasmi Jabatan Amal Malaysia. 4 Julai 2019. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ "Tahniah dan selamat bertugas diucapkan kepada Ustaz Hanafi Zulkapli diatas lantikan Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia yang ke-8". Facebook Rasmi Jabatan Amal Malaysia. 20 November 2021. Dicapai pada 15 Disember 2025.
- ^ "25 Tahun Jabatan Amal: Rahsia Kejayaan". Harakahdaily. 8 Februari 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 15 April 2016. Dicapai pada 1 Mei 2016.
- ^ a b "5,000 anggota Jabatan Amal Pas digerakkan bantu mangsa banjir". Sinar Harian. 1 Disember 2024.
- ^ "Jabatan Amal Gua Musang atur gerak aset, anggota". Harakahdaily. 1 Disember 2024.
- ^ "Banjir: Lebih 15 keluarga diselamat Jabatan Amal". Harakahdaily. 30 November 2024.
- ^ "Anggota Amal Turut Cari Mangsa Hilang". Harakahdaily. 27 Jun 2025. Dicapai pada 17 Disember 2025.
- ^ "Jabatan Amal Kedah gerak operasi cuci di Sik". Harakahdaily. 4 Disember 2024.
- ^ "Agensi Penyelamat Malaysia iktiraf Jabatan Amal Malaysia". Harakahdaily. 13 April 2016. Diarkibkan daripada yang asal pada 24 April 2016. Dicapai pada 1 Mei 2016.
- ^ "USAH DISEKAT KEINGINAN RAKYAT SAMBUT MERDEKA". pemuda.pas.org.my. 30 Ogos 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 September 2012. Dicapai pada 17 Disember 2025.
- ^ "JAM assists in Covid-19 funerals" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 5 Ogos 2021.
- ^ "Amal Blood Donation Sandakan kumpul 57 beg darah". Harakahdaily. 30 Januari 2023.
- ^ "PAS Tawau sumbang 52 beg darah dalam program 'Amal Blood Donation 3.0'". Utusan Borneo. 22 Jun 2021.
- ^ "Pas tawar khidmat baiki kenderaan rosak". MalaysiaGazette. 9 Jun 2019.
- ^ a b "PAS pertahan Jabatan Amal, anggap pakaian tentera 'biasa'". Malaysiakini. 16 September 2018.
- ^ "'Uniform Jabatan Amal tak langgar undang-undang'". Astro Awani. 16 September 2018.
- ^ "Peliknya pangkat 'Jeneral' dalam Jabatan Amal, patut hanya ATM layak guna". Harapan Daily. 29 Jun 2025. Dicapai pada 17 Disember 2025.
- ^ "Rayuan beli kenderaan 4×4: Jabatan Amal kena kecam". Malaysia Dateline. 11 Januari 2022.
- ^ "Perasmian kenderaan baharu 4x4 'semut merah' Jabatan Amal Malaysia Negeri Perak". Facebook Rasmi Haji Razman Zakaria. 29 Jun 2024. Dicapai pada 17 Disember 2025.
- ^ a b "Dewan Pemuda PAS pertahan Unit Amal susulan penahanan PPS". MStar. 1 September 2014. Dicapai pada 17 Disember 2025.
