Tuan Haji Kamaruzaman Mohamad adalah ahli politik Malaysia berbangsa Melayu dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Dalam parti, beliau merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat. Beliau juga merupakan Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sehingga tahun 2019. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pensijilan Kayu Malaysia pada 11 Mei 2020 lalu.
Kamaruzaman merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) (1997) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Sistem Maklumat (2000) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau memulakan kariernya sebagai Pensyarah dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di sebuah kolej swasta pada tahun 2000 sebelum meneruskan kerjaya dalam industri perkhidmatan di sektor swasta khusus dalam bidang insurans takaful. Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah sebagai Ketua Bahagian Integrasi Web serta Ketua Bahagian Pengurusan Sistem Maklumat. Kamaruzaman mengasah kemahiran dan kepakarannya dalam bidang jualan, perkhidmatan dan pengurusan sumber manusia ketika berkhidmat di sebuah agensi takaful dan amanah saham pada tahun 2007. Berbekalkan pengalaman serta kebolehan dalam bidang keusahawanan, beliau memulakan perniagaan dalam industri minyak dan gas sejak tahun 2010 sehingga kini (2020)[1].