Gula Melaka

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Gula Melaka, juga dikenali dengan nama Gula Tuak, merupakan salah satu sumber gula yang banyak terdapat di Melaka. Gula ini diperbuat daripada air nira kelapa. Kemanisan dan kehalusan Gula Melaka asli berbeza dengan gula melaka tiruan yang banyak terdapat di pasaran kini.


Proses pembuatan[sunting | sunting sumber]

Proses membuat Gula Melaka mempunyai tiga peringkat. Seseorang yang pakar dalam membuat Gula Melaka dapat mengenal pasti kelapa yang menghasilkan air nira yang baik. Ini penting bagi mendapatkan Gula Melaka yang bermutu tinggi.

Peringkat pertama

Peringkat pertama dalam menghasilkan Gula Melaka menggunakan buluh dan pengikatnya serta pisau yang dikenali sebagai "penyadap" untuk mengambil nira kelapa. Setelah itu, mayang kelapa dilenturkan sedikit demi sedikit dengan membalutnya pada daun kelapa muda. Proses ini berterusan sehingga seminggu bagi mengelakkan tangkai mayang itu patah. Mayang yang dilentur dibuang seludangnya dan dihiris sedikit demi sedikit dan air nira ditakung ke dalam buluh yang sepanjang sekaki. Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit kapur untuk mencegah air nira daripada menjadi masam. Air nira ini dikenali sebagai "air tuak".

Peringkat kedua

Pada peringkat kedua, proses memasak Gula Melaka mengambil masa selama empat jam. Tempat memasak gula Melaka dikenali sebagai "sabak". Pada peringkat ini, pengawasan dan pengalaman adalah amat penting bagi menghasilkan gula yang baik. Api sabak mesti dijaga agar tidak terlalu besar ketika gula mencapai peringkat ""bunga sena" dan menjadi pekat serta mengeluarkan buih-buih yang berwap panas. Dalam peringkat ini, gula dikacau dengan perlahan-lahan dan beberapa minit kemudian, kancah diturunkan dan gula itu terus dikacau bagi menghasilkan gula yang halus.

Peringkat ketiga

Dalam peringkat terakhir, gula yang dipastikan cukup pekat dan masih panas dituangkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada buluh setinggi tiga inci yang tidak tertutup di kedua-dua hujung. Tabung diletakkan di atas lantai khas. Setelah beku, gula tersebut dikeluarkan daripada bekas tersebut.